Selasa, 29 Januari 2013

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Puas kreativiti mampu dizahirkan

Posted:

Melihat kecekapan wanita ini menggerakkan nozzle sambil memicit aising krim mentega di atas sebiji kek coklat yang sudah siap dibakar, ia seakan satu kerja yang mudah. Tidak sampai 30 minit, hiasan patung Barbie 'dipakaikan' gaun kembang selesai dilakukan.

Walaupun nampak ringkas, sebenarnya setiap langkah dalam penghasilan hiasan memerlukan ketelitian terutama dari segi pemilihan warna krim mentega serta bentuk picitan.

Menurut pemilik My Mum's Bakery Siti Saleha Idris, 32, hiasan patung Muslimah kini menjadi trend serta pilihan ramai terutama kanak-kanak bagi sambutan hari lahir mereka. Namun begitu teknik menghias memerlukan masa yang lama berbanding patung biasa. Ini kerana penghasilan baju yang lebih menyeluruh iaitu menutup aurat begitu juga teknik penggayaan tudung menggunakan fondant bagi mengelak ia cair atau tanggal.

"Kek hiasan patung Muslimah memerlukan lebih kesabaran dan ketelitian dalam menghasilkannya. Ini kerana walaupun menggunakan teknik yang sama, bahan digunakan berbeza. Fondant lebih sensitif dan mudah tanggal. Meletakkannya pada badan patung haruslah berhati-hati," katanya.

Foto

HIAS baju pada patung sehingga selesai.


Jika sebelum ini pemegang diploma daripada Sekolah Antarabangsa Sugarcraft dan Menghias Kek ini hanya menumpukan perhatian kepada teknik penghasilan kek yang sedap, dengan meningkatkan kemahiran menerusi seni menghias ia mampu memberikan kepuasan apabila idea serta kreativiti mampu dizahirkan di atas sebiji kek.


Lebih istimewa apabila hiasan bercirikan Muslimah ini jarang diperoleh di kedai kek biasa dan hanya eksklusif menerusi tempahan.

Dia yang meminati bidang masakan sejak kecil menjelaskan seni menghias kek menggunakan krim mentega bermula dari Barat. Ia dipengaruhi beberapa faktor antaranya pemilihan bahan, peralatan, teknik hiasan, kesabaran serta ketelitian sepanjang proses menghias. Paling penting, pemilihan warna krim mentega yang tidak melebihi daripada tiga warna.

"Penghias kek sama seperti pereka fesyen yang tahu mengenai pemilihan warna, fabrik serta potongan sesuai. Begitu juga dengan seni menghias yang memerlukan kreativiti dari segi pemilihan warna krim mentega serta perhiasan digunakan. Untuk nampak cantik, warna krim tidak harus terlalu terang dan mampu menarik perhatian," ujarnya yang menggunakan resipi turun temurun daripada ibunya.

Jelas Anne, walaupun seni menghias satu bakat yang boleh dipelajari dan dipraktikkan, untuk melahirkan daya kreativiti, individu harus menimba ilmu terutama mengenai asas dekorasi. Apabila sudah menguasainya, barulah bakat seni ini dapat diserlahkan. Ia ibarat anak kecil yang baru belajar membaca, apabila sudah pandai bertambah ilmu pengetahuan yang dapat dipelajarinya hanya menerusi pembacaan.

"Saya percaya dengan kesungguhan dan sedikit kreativiti, sesiapa saja mampu menghasilkan kek yang cantik dan sedap. Malah dengan minat dan usaha untuk berlatih membuat hiasan, lama-kelamaan mereka akan mahir dan mengetahui selok-belok seni menghias menggunakan krim mentega," katanya yang menerima tempahan kek pengantin seperti kek fondant, mentega, coklat, dan kek cawan untuk cenderahati.

Tambahnya, untuk menghias apa yang harus difikirkan ialah konsep majlis sama ada dikhususkan untuk dewasa atau kanak-kanak. Misalnya untuk majlis hari jadi kanak-kanak, kek dengan hiasan watak kartun, bola sepak atau kereta menggunakan warna ceria mampu menarik perhatian.

"Lumrahnya, kanak-kanak sukakan kek berwarna-warni dengan hiasan cip coklat dan marshmallow bersama barangan permainan kecil. Jadi terpulang pada kreativiti pembuat kek untuk menghasilkan hiasan," ujarnya yang turut mengadakan kelas membuat kek di rumahnya di Subang.

Selain kek hari jadi, Anne juga banyak menerima tempahan untuk kek perkahwinan. Bezanya, pemilihan warna untuk aising harus sama mengikut tema asal majlis. Misalnya jika tema majlis perkahwinan ungu dan putih sebaiknya serasikan kek dengan warna senada. Untuk dewasa, warna lembut seperti merah jambu, hijau muda, putih atau coklat, sesuai digunakan.

Bagi pembaca yang ingin membuat tempahan atau mendapatkan maklumat lanjut mengenai seni menghias kek boleh melayari Facebook My Mum's Bakery atau berkunjung ke No 13 Jalan Suria, UI5/103, Bandar Pinggiran Subang.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/29

Semangat kental warga emas

Posted:

Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Walaupun diri semakin dimamah usia, demi meneruskan kelangsungan hidup dan menyara keluarga, tiada istilah penat mewarnai kehidupan harian mereka, sebaliknya terus mengerah keringat mencari rezeki untuk menyara keluarga.

Selesai solat Subuh, mereka mengharungi dingin pagi memerah keringat menoreh getah dengan upah yang 'cukup-cukup makan' untuk dikongsi bersama ahli keluarga.

Perit wajah disiram panas mentari tidak pernah memudarkan semangat sekumpulan wanita berusia lebih setengah abad ini untuk terus berbudi pada tanah dan mengaut seberapa banyak rezeki dengan kudrat tulang empat kerat mereka.

Penat lelah mengerjakan tanah sekangkang kera hilang apabila memperoleh hasil, berkat kesabaran menunggu tanaman matang dan boleh dituai.


Biarpun hasil perlu dikongsi bersama, ia tidak menjadi beban kepada mereka kerana sudah bersetuju di peringkat awal lagi untuk menikmatinya secara bersama.


Mendekati sekumpulan wanita yang layak digelar nenek ini, penulis tabik dengan semangat kental mereka apabila sanggup berhujan dan berpanas melaksanakan rutin harian menoreh dan berkebun demi sesuap nasi.

"Kalau tidak bekerja di mana nak cari duit. Di dunia ini semua benda kena bayar, tiada yang percuma termasuk ketika hendak 'melepaskan hajat'," begitu kata Normah Jaafar, 53, saat memulakan perbualan pada pertemuan di kebun mereka di Kampung Gelugur, Kuantan.

Normah yang bertindak sebagai ketua projek berkata, seramai 10 wanita termasuk enam ibu tunggal di kampung itu terpilih menyertai projek tanaman fertigasi yang dimulakan sejak lebih tiga tahun lalu.

"Berkebun menggunakan konsep fertigasi tidaklah terlalu sukar, tetapi ia perlukan pemantauan dan penjagaan sumber air dan baja mengikut sukatan yang ditetapkan.

"Sistem pertanian berkonsepkan fertigasi mudah, menjimatkan masa dan tenaga selain mampu menjana hasil lumayan jika diselenggara dengan sempurna," katanya.

Normah berkata, projek berkenaan ialah inisiatif Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung untuk membantu kaum wanita terutama ibu tunggal di kampung itu menjana pendapatan menerusi aktiviti pertanian yang dijalankan.

Menurutnya, Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Paya Besar menyalurkan peruntukan RM20,000 bagi menjayakan dua projek tanaman, masing-masing RM10,000 untuk cili dan terung.

"Kami berterima kasih kepada Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail kerana prihatin dengan kebajikan ibu tunggal di Kampung Gelugor ini.

"Sejak tanaman fertigasi terung diusahakan Julai tahun lalu, hampir 600 kilogram (kg) sudah dijual kepada pemborong dengan harga antara RM2.50 hingga RM3 sekilogram, begitu juga cili yang dijual pada harga RM8 sekilogram," katanya.

Katanya, sebanyak 800 pokok terung dan 600 pokok cili ditanam menggunakan beg plastik berisi tanah yang mana proses pembajaan dan pengairan dijalankan serentak ke atas tanaman.

"Inilah kerja sampingan dilakukan bagi menambah upah RM500 yang diterima sebagai penoreh getah. Sekurang-kurangnya wang hasil berkebun ini boleh menampung belanja harian kerana kos sara hidup yang semakin meningkat.

"Walaupun tidak banyak, ia tetap membantu meningkatkan taraf ekonomi keluarga," ujar ibu tunggal lima anak berusia antara 20 hingga 24 tahun ini.

Normah yang kematian suami, Abd Malek Abd Rahman, akibat kemalangan jalan raya 14 tahun lalu berkata, usaha yang dilakukan itu memberi peluang menjalani kehidupan secara sihat.

"Dalam usia semakin meningkat ini, kesihatan perlu dijaga. Daripada duduk di rumah tanpa melakukan sebarang aktiviti pada waktu petang, ada baiknya kami berkebun. Kami dapat juga mengeluarkan peluh dan memperoleh pendapatan tambahan," katanya.

Ibu tunggal, Rahimah Isa, 51, berkata, projek penanaman secara fertigasi menjimatkan masa dan tidak menggunakan tenaga yang banyak.

"Pada waktu pagi saya mengambil upah menoreh getah dan waktu petang pula selepas Asar melihat tanaman.

"Malah, projek ini secara tidak langsung dapat mengeratkan lagi hubungan dengan peserta lain dan berkongsi pandangan bagaimana untuk meningkatkan lagi pengeluaran dan menjaga kualiti tanaman," kata ibu kepada lima cahaya mata berusia antara 20 hingga 33 tahun ini.

Rahimah yang juga mengambil upah menoreh getah tidak menafikan projek tanaman itu dapat membantu menampung perbelanjaannya.

"Kami bukanlah bergantung hidup seratus peratus daripada projek ini, tetapi lebih kepada mengisi masa lapang dan merapatkan hubungan silaturahim antara satu sama lain.

"Jika bukan kerana projek ini, mungkin kami sukar bertemu kerana masing-masing sibuk menguruskan rumah tangga," katanya.

Bagi warga emas, Salbiah Hussin, 61, masa terluangnya banyak dihabiskan di tapak projek.

"Walaupun sakit sendi lutut, saya gagahkan diri menyertai projek ini untuk menambah pendapatan kerana upah menoreh getah tidak banyak, sekitar RM500 sebulan.

"Selain itu, saya mempunyai banyak masa terluang. Daripada duduk tidak berbuat apa-apa, saya mengambil peluang menyertai projek ini untuk dapat wang lebih," katanya.

Salbiah berkata, suri rumah yang berminat dengan aktiviti berkebun boleh mencuba kaedah fertigasi kerana ia sangat menjimatkan.

"Seronok sebenarnya berkebun lebih-lebih lagi kalau menggunakan kaedah fertigasi. Badan tidak terlalu letih kerana kaedah menyiram dan membaja dibuat sekali gus menerusi sistem pengairan yang dilakukan secara sistematik.

"Setiap petang saya ke sini bersama rakan, membersihkan kawasan tanaman dan memeriksa pokok bimbang diserang ulat," katanya.

Hasil itu juga dijual dengan harga borong yang jauh lebih murah dan berpatutan kepada pelanggan di kawasan sekitarnya.

"Saya menjual dengan harga yang murah. Mungkin jika beli di kedai runcit atau pasar, ia lebih mahal.

"Sekurang-kurangnya saya dapat membantu orang ramai mengurangkan kos perbelanjaan membeli barangan keperluan dapur,"' katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Gelugor, Mamat Jamil, 63, berkata, fertigasi bukan perkara baru bagi golongan petani kerana ia kian mendapat sambutan disebabkan kelebihannya yang mudah untuk dilaksanakan.

"Saya mahu kaum wanita terutama ibu tunggal mempunyai kedudukan ekonomi yang kukuh dan tidak terlalu bergantung kepada bantuan yang dihulurkan kerajaan kerana bantuan itu hanya bersifat sementara," katanya.

Beliau berkata, Jabatan Pertanian yang membekalkan benih dan memberi khidmat nasihat turut menasihatkan supaya menjual kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) jika bekalan mencukupi.

"Semua peserta gigih mengusahakan projek ini kerana keyakinan mereka untuk berbudi pada tanah yang pasti membuahkan hasil lumayan," katanya.

Mamat berkata, pihaknya akan memperluaskan lagi kawasan dan mempelbagaikan tanaman serta memberi peluang kepada lebih ramai wanita dan ibu tunggal menyertai projek itu.

"Saya mahu wanita di kampung ini mempunyai aktiviti yang dapat membantu meningkatkan taraf ekonomi keluarga dan keluar daripada kelompok miskin.

"Semoga usaha ini mendapat perhatian daripada pemimpin setempat dan bersama berganding bahu melaksanakan usaha murni ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/29
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved