Selasa, 29 Januari 2013

Harian Metro: Rap


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


'Kami ada perancangan'

Posted:

Selain bakat, pakej juga menjadi taruhan untuk seseorang artis mencipta nama di persada seni tanah air. Pun begitu, tidak semua mereka bertuah dianugerahkan dengan pakej lengkap yang dianggap bonus. Apa yang pasti, memiliki wajah cantik, berkulit putih gebuh dan bertubuh langsing adalah impian setiap wanita.

Namun, sikap peminat yang semakin terbuka apabila lebih menilai bakat berbanding rupa atau bentuk badan, secara tidak langsung menyuntik semangat buat artis kekurangan pakej. Berpaksikan usaha gigih, penyanyi, Norayu Damit, 23, dan pelakon, Nor Syuhaida Ab Razak, 25, yakin untuk terus melangkah.

Apatah lagi, Norayu atau mesra dengan panggilan Ayu yang juga bekas juara One In A Million (OIAM) musim kedua, kini rancak menyusun strategi untuk kemunculan semulanya dalam bidang nyanyian. Selepas tiga tahun menyepi, ia cukup untuk Ayu berehat dan sekarang tiba masanya dia aktif semula dalam karier.

Gembira dan bersyukur dirinya masih diterima peminat, Ayu kembali mempertaruhkan bakat nyanyiannya dengan single Hati Ini ciptaan sepenuhnya oleh Mohd Atlas. Bahkan, single yang sudah siap dirakam tahun lalu itu dijangka akan diperdengarkan kepada peminat pada hujung Januari ini.


Ayu berkata dia mengharapkan lagu baru dendangannya diterima ramai, apatah lagi lembaran 2013 pun baru membuka tirai. Ujarnya, mana tahu kedatangan tahun baru ini membawa tuah seperti diharapkan. Apa yang pasti, akuinya dia sangat teruja menantikan lagu Hati Ini berkumandang di corong radio.


"Kepuasan bagi seorang penyanyi pastinya apabila lagu dirakamkan dapat diperdengarkan kepada umum. Itulah yang saya inginkan dan semoga mendapat kerjasama yang baik daripada stesen radio. Ditambah lagi, ini percubaan baru saya yang kembali aktif semula dalam nyanyian selepas lama menyepi.

"Biarpun, sebenarnya tahun lalu saya muncul dengan album tetapi tidak begitu diketahui kerana kekurangan promosi. Jadi, kali ini saya sedia menebus semua itu dengan memberi lebih komitmen dan fokus. Apatah lagi, dengan adanya Jeff Wai sebagai pengurus, ia membantu saya untuk bergerak aktif.

"Malah, syukur ke hadrat Ilahi kerana sejak tahun lalu hingga sekarang, saya tak putus menerima undangan nyanyian. Ini membuatkan saya yakin dan percaya semua ini rezeki anak dan keluarga. Ditambah, kemunculan semula saya ini pun mendapat restu suami, Syed Fauzi Syed Baharuddin, 25.

"Syukur suami begitu memahami minat mendalam saya pada nyanyian. Walau pun sekarang bergerak sendiri, perjalanan karier saya berjalan lancar," kata ibu kepada dua orang cahaya mata, Syed Nasrul Haikal, 3, dan Sharifah Alya Adriana, 1 tahun 3 bulan.

Berbicara mengenai pakej bagi seorang artis, Ayu berkata dia tidak gusar dengan penerimaan peminat terhadap dirinya kerana soal rezeki adalah ketentuan Tuhan. Lagi pun, ujarnya peminat sekarang sudah bersikap terbuka dan lebih menilai bakat dimiliki seseorang artis berbanding rupa yang cantik semata-mata.

"Apa yang pasti, saya jelas dengan niat dan bakat dimiliki. Justeru, saya cukup mengharapkan peminat dapat memberi ruang dan peluang kepada saya untuk menonjolkan bakat sebenar. Malah, di bawah pengurusan Jeff nampaknya segala aktiviti dan jadual seni saya begitu teratur, padat dan agak sibuk.

"Hinggakan masa untuk keluarga pun sekarang ini agak terhad kerana ada kalanya hujung minggu pun saya perlu memenuhi undangan nyanyian. Apapun, ia tidak bermakna saya akan mengabaikan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu. Semestinya, saya akan pastikan tetap mempunyai masa untuk keluarga," katanya.

Ujar anak jati kelahiran Negeri Di Bawah Bayu, Sabah ini, kasih sayang dan keharmonian keluarga masih menjadi keutamaannya. Apatah lagi, anak-anaknya pun masih kecil dan memerlukan perhatian. Bagaimanapun, Ayu berkata suaminya banyak membantu mengurus keluarga apabila dia sibuk bekerja.

Turut menjalankan perniagaan membekal peralatan makmal di sekolah, lebih setahun lalu bersama suami di bawah syarikat Kenali Pura Network milik mereka, Ayu berkata bagi memudahkan pergerakannya untuk hadir menjayakan persembahan pentas di mana-mana, dia kini mengikuti kelas belajar memandu.

Katanya, sudah tiba masa dia memberanikan diri untuk mengambil lesen memandu biar pun sebenarnya masih dalam keadaan trauma. Ujar Ayu, akibat pengalaman pernah terbabit dalam kemalangan jalan raya suatu ketika dulu, ia membuatkan dia takut. Pun begitu, atas nasihat suami dia harus akur pada keperluan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/29

Bertubuh besar bukan halangan bagi Dottie

Posted:

Di antara nama Nor Syuhaida dan panggilan pentasnya, Dottie, pasti ramai yang mengenali gadis bertubuh besar ini dengan judul drama pernah dibintanginya dulu. Sehingga kini, nama Dottie cukup lekat dengannya dan dia pun nampaknya amat selesa dengan gelaran itu.

Pernah tersenarai sebagai finalis kategori Artis Baru Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 lalu, Dottie mengakui dia juga akur dengan pasang surut hidup sebagai anak seni.

Apatah lagi, tanpa pakej lengkap pada dirinya membuatkan peluangnya untuk mengorak langkah lebih jauh agak terhad.

"Namun, saya tidak kesal atau terlalu berasa rendah diri dengan tubuh besar yang dimiliki ini. Bagi saya, sama ada gempal atau kurus, ia adalah pemberian Tuhan dan saya harus bersyukur.


Apatah lagi, saya yakin peminat sekarang tidaklah terlalu memandang pada saiz seseorang pelakon itu kecuali bakat dimiliki.


"Atas sebab itu, saya sentiasa pastikan berfikiran positif untuk lebih maju ke hadapan. Apatah lagi, melihat kejayaan beberapa artis tempatan yang bertubuh besar seperti penyanyi, Adibah Noor dan pengarah, Afdlin Shauki sudah membuktikan mereka berjaya di dalam kerjaya seni diceburi ini Jadi, pokok pangkalnya usaha.

"Apapun, sepanjang tiga tahun bergelar anak seni ini saya semakin memahami perjalanan industri. Tak dinafikan, biar pun sekarang saya kekurangan tawaran berlakon tetapi ia tak pernah mematahkan semangat untuk mengundur diri daripada lakonan. Saya yakin dengan rezeki Tuhan dan usaha mesti berganda," katanya.

Berasal dari Taiping, Perak, Dottie juga berkata selama dia menjadi pelakon, watak diberikan padanya agak kurang berkembang, barangkali kerana faktor tubuh badannya yang besar.

Bagaimanapun, dia tetap mengharapkan semoga suatu hari nanti bakat lakonannya akan lebih diuji dengan watak lebih berat.

"Kalau boleh saya ingin diberi peluang melakonkan watak lebih serius. Tidak semestinya dengan tubuh gempal ini, saya hanya layak melakonkan karakter bergenre komedi.

Apa yang pasti, demi kepuasan diri saya yakinkan penonton dapat merasai setiap karakter dilakonkan itu sebaik mungkin walau wataknya ringan.

"Bagi saya lagi, penting untuk penonton dapat merasakan sesuatu watak yang dilakonkan itu," katanya memaklumkan penonton di negara ini sudah diajar menerima artis yang mempunyai pakej untuk lebih menonjol.

Pun begitu, apa yang selalu dilakukannya ialah memotivasikan diri untuk terus bersemangat.

Bakal muncul dengan filem Pada Suatu Cinta Dahulu arahan Hashim Rejab yang diterbitkan MIG pada Februari ini, Dottie berkata dia juga bukanlah seorang pelakon yang terlalu cerewet mengenai watak.

Ujarnya, apa yang menjadi keutamaannya ialah watak dilakonkan itu perlulah benar-benar sesuai dengannya.

Turut beraksi dalam drama Hero Bola, Dottie juga mengakui dia tidak gentar perlu berhadapan saingan dengan kemunculan ramai pelakon baru yang kebanyakannya bertubuh langsing.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/29
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved