Ahad, 6 Januari 2013

Harian Metro: Arena


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Wan Zack tidak kedekut ilmu

Posted: 05 Jan 2013 12:16 PM PST

Siapa tidak kenal pemain sayap kanan Harimau Malaya, Wan Zack Haikal Wan Nor yang baru saja menerima dua anugerah cemerlang, Pemain Muda Terbaik dan Pemain Pilihan Kegemaran Ramai Liga Singapura 2012.

Bagaimanapun, anak muda berusia 22 tahun itu tetap merendah diri dan berazam untuk terus berjaya dalam karier bola sepak.

"Saya masih seperti dulu, tidak sekali-kali akan sombong walau sudah di 'atas'."

Itulah kata-kata hikmat diberikan kepada peminatnya, Muhammad Aizat Hussain Shaharuddin pada pertemuan di padang FAM, baru-baru ini.

Foto

AIZAT gembira selepas mendapat jersi ditandatangani Wan Zack.

Foto

WAN ZACK (kanan) memberi tunjuk ajar kepada Aizat cara menimbang bola.


Nyata Wan Zack tidak lokek menurunkan ilmu serta menceritakan perjalanan hidupnya kepada remaja berusia 17 tahun, pemain sayap Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur itu.


Kedua-duanya turut berkongsi kisah duka kehilangan ayah tercinta.

Ayah Aizat baru saja meninggal dunia pada Ramadan lalu manakala bapa Wan Zack, Jun 2010 pada usia 74 tahun.

Ikuti temubual Aizat dan Wan Zack sebelum pemain muda negara itu memberinya tips untuk bermain lebih lincah di padang.

SOALAN: Bagaimana permulaan perjalanan hidup Wan Zack sebagai pemain bola sepak?

JAWAPAN: Asalnya saya lebih gemar bermain badminton tapi kemudian beralih meminati bola sepak kerana terpengaruh dengan kerjaya abang, Wan Azwari yang bermain untuk skuad Sabah.

Kerjaya bola sepak saya bermula seawal usia 12 tahun apabila terpilih menyertai skuad bawah 12 tahun Malaysia.

Saya nekad untuk terus fokus sebagai pemain bola sepak profesional apatah lagi terpilih ke Jepun menyertai perlawanan Bola Sepak Remaja Asia 2003 sebelum diserap untuk beraksi dengan pasukan Harimau Malaya.

S: Apakah tips untuk jadi pemain terbaik?

J: Yang penting kita perlu bersungguh-sungguh, terus berusaha dan sentiasa cuba lakukan yang lebih baik.

S: Bagaimana Wan Zack membahagikan masa bermain bola sepak serta urusan peribadi, dengan keluarga umpamanya?

J: Secara jujur saya tidak mempunyai banyak masa terluang. Terlalu padat dengan latihan di padang pagi dan petang. Mujur keluarga amat memahami.

S: Apakah perasaan Wan Zack apabila kini sudah terkenal dan bagaimana caranya melayan peminat?

J: Bagi saya, terkenal itu tidak penting. Yang lebih utama kita jalankan tugas dengan baik. Saya tetap melayan peminat dengan baik, kita jangan sombong dengan sesiapa pun.

S: Mungkin Wan Zack juga mempunyai idola bola sepak? Siapa agaknya?

J: Cristiano Ronaldo. Bagi saya dia seorang pemain istimewa, sempurna serta mempunyai kelebihan bermain dengan kedua-dua kaki kiri dan kanan.

S: Selain bersukan, apa aktiviti riadah Wan Zack?

J: Saya gemar menembak ikan, memancing ikan dan bermain Play Station (PS)

S: Apa rancangan masa depan? Difahamkan Wan Zack ada rancangan untuk bermain dengan kelab antarabangsa dan jika diberi peluang, kelab mana yang diimpikan?

J: Ya memang impian saya untuk bergelar pemain bola sepak antarabangsa yang disegani. Pastinya hajat di hati untuk mewakili kelab terkenal seperti Manchester United atau Chelsea tapi kita kena bersikap realistik dan saya sekadar memilih kelab di Asia terlebih dulu.

S: Jika diberikan pilihan kerjaya lain, apa pekerjaan yang Wan Zack impikan?

J: Berniaga. Saya mahu bergelar usahawan berjaya.

S: Saya ingin tahu, apa misi atau 'moto' hidup Wan Zack?

J: Sentiasa berusaha.

BIODATA WAN ZACK

NAMA: WAN ZACK HAIKAL WAN NOR
TARIKH LAHIR: 28 JANUARI 1991
UMUR: 22 TAHUN
ASAL: MARAN, PAHANG
ADIK BERADIK: BONGSU DARI SEMBILAN
WARNA KEGEMARAN: MERAH
MAKANAN KEGEMARAN: IKAN PATIN MASAK TEMPOYAK

BIODATA AIZAT

NAMA: MUHAMMAD AIZAT HUSSAIN SHAHRUDDIN
TARIKH LAHIR: 19 MAC 1996
UMUR: 17 TAHUN
ASAL: KUALA LUMPUR
PENGAJIAN: TINGKATAN LIMA, SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN TAMAN TUN DR ISMAIL KUALA LUMPUR
ADIK BERADIK: ANAK KEDUA DARI TIGA BERADIK
WARNA KEGEMARAN: MERAH
MAKANAN KEGEMARAN: NASI GORENG KAMPUNG

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/06

Tiba masa jual Balotelli

Posted: 05 Jan 2013 12:07 PM PST

Pengurusan Manchester City dilapor bersedia menjual Mario Balotelli selepas pengurus, Roberto Mancini didakwa mengaku tidak mampu mengubah sikap penyerang muda Itali itu.

Meskipun Mancini secara terbuka mendakwa Balotelli kekal milik City, sumber menyatakan, pengurus warga Itali itu didakwa memutuskan sudah sampai masanya melepaskan penyerang berusia 22 tahun itu.


City bagaimanapun enggan membuat kenyataan terbuka akan menjual Balotelli kerana bimbang ia menyebabkan nilainya jatuh lagi.

Namun, tanpa sumbangan di atas padang, hanya satu gol liga dijaringkan musim ini dan kerap melakukan pelbagai masalah di luar padang, Mancini yang sebelum ini acap kali mempertahankan Balotelli kini akur tidak lagi mampu berbuat apa-apa untuk mengubah sikapnya.


Mancini secara terbuka menceritakan insiden pergaduhan di padang latihan kelmarin dan menegaskan, sedia memberi ratusan peluang untuk berubah. Pengurus City itu marah kerana Balotelli dilihat sengaja melakukan terjahan terhadap rakan sepasukannya, Scott Sinclair.


"Tindakannya itu bukan kerana kepenatan selepas menjalani latihan berat. Terjahan itu dilakukannya dengan niat, ketika dia masih cergas dan sebab itulah Mancini berang," kata saksi kejadian.

Bagaimanapun bekas pemain Inter Milan itu tidak akan didenda dan disenarai dalam skuad yang turun menentang Watford di Stadium Etihad, semalam.


Pengurusan City bagaimanapun kini sedia berbincang dengan kelab yang ingin membelinya. AC Milan dilapor berminat mendapatkan khidmat Balotelli tapi City hanya ingin menjualnya, bukan meminjamkannya sekali gus mungkin menyebabkan dia hanya mungkin dapat dijual pada musim panas ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/06
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved