Ahad, 6 Januari 2013

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Dikategorikan sukan ekstrem

Posted: 06 Jan 2013 11:46 AM PST

'Banyak-banyak benda, macam mana boleh terfikir tarian tiang?' Memang itu soalan lazim apabila orang tahu hobi saya yang lain daripada yang lain.

Tidak dinafikan tarian ini yang juga disebut pole fitness (kecergasan menggunakan tiang) sarat de–ngan stigma dan persepsi negatif, bukan saja di sini malah di negara Barat yang kononnya lebih terbuka pemikiran mereka.

Namun ramai tidak tahu sebenarnya ia bukan mudah dipelajari. Bukan senang membuat pergerakan tarian ala akrobatik rumit kerana bukan saja memerlukan kekuatan teras, sebaliknya fleksibiliti dan stamina juga penting untuk menghasil–kan tarian yang baik selain menguatkan serta membentuk otot.

Pertama sekali, buang–kan bayangan wanita berpakaian seksi menggesel tiang di kelab malam dipenuhi lelaki. Kalau setakat itu, sesiapa pun boleh buat. Percayalah, apa kami lakukan ini tiada kaitan sama sekali.

Foto

Full-bracket Aerial Hold, memerlukan kekuatan lengan, bahu dan perut.

Foto

Flag, lebih mudah dilakukan lelaki kerana amat memerlukan kekuatan otot belakang dan perut namun dengan latihan intensif, ia boleh juga dilakukan wanita.


Ramai kalangan kami terdiri daripada golongan profesional dan tidak kurang juga yang bergelar ibu. Bagi kami yang memilihnya sebagai kaedah menyihatkan badan, kepuasannya tidak dapat digambarkan.


Setiap pergerakan ada gelarannya dan ada jugalah sakitnya. Payah juga menghafal terutama apabila sudah lama tidak dipraktikkan. Setiap satu daripadanya memberi kesan berbeza pada anggota badan, tidak kiralah yang mudah atau sukar dilakukan.

Secara am, satu sesi mengambil antara satu hingga satu jam setengah termasuk memanaskan badan serta menyejukkan badan selama 10 minit pada awal serta akhir kelas.

Kemudian kami diajar pergerakan tarian mudah untuk menjadi penyambung pergerakan akrobatik lantas 'memecah' lelah memanjat dan melompat. Rutin tarian membuatkannya lebih menarik dan mudah diingati, selain merehatkan badan daripada terlalu banyak melakukan senaman sekali gus.

Satu rutin tarian mungkin mengambil masa sebulan atau sekadar sejam untuk dipelajari, bergantung kepada tahap kesukarannya.

Nampak senang dan sudah tentu seksi apabila meliang-liuk memanjat tiang, ditambah pula kami memang perlu memakai baju senteng untuk membolehkan kulit melekat pada tiang yang licin itu.

Namun jangan terpedaya, kalau tidak lebam atau berbekas selepas kelas, memang tidak sah. Tidak hairanlah tarian tiang dikategorikan sukan ekstrem malah ada usaha menjadikannya acara Olimpik satu hari nanti.

Percaya atau tidak, tarian ini juga tidak terhad untuk wanita saja malah lelaki juga mempelajarinya digabungkan dengan rentak tari lebih sesuai dengan kekuatan badan lelaki.

Sesekali kami juga diminta membuat persembahan dalam kalangan pelajar. Acara yang biasanya diadakan secara tertutup sebenarnya cara halus untuk membuatkan pelajar lebih yakin menari di khalayak umum, sekali gus meningkatkan keyakinan diri kami.

Malah, rakan saya pernah mengakui dia kini tidak lagi takut persepsi orang sekiranya pakaian dikenakan menampakkannya lebih berisi. Mungkin apabila sudah biasa bergayut pada tiang dengan ha–nya sebelah kaki manakala kepala menghadap lantai, rasa malu seperti itu secara automatik tak wujud lagi kerana kami menjadi yakin dengan diri serta keupayaan sendiri. Setakat nampak debab, apalah sangat.

Persepsi negatif tidak mungkin dapat dibuang namun hakikatnya jika anda mahu sihat tetapi tidak meminati gimnasium atau sukan lain, ini memang alternatif yang sesuai. Asal berani mencuba, semuanya boleh!

'Ini bukan calang-calang sukan'

Kardah akrobatik yang lebih dominan menjadi kelebihan tarian tiang
berbanding yang lain. Ini sekali gus memaksa otot bahagian badan lain terutama perut, lengan serta belakang lebih aktif untuk menyokong berat badan penarinya.

Hos Body Blaze Life Inspired, Emily Tan berkata, perkara itu membezakan corak tarian ini dengan salsa atau tarian gelek contohnya, berikutan kaki penarinya tidak semestinya menjejak lantai.

"Ia jauh lebih akrobatik dan disebabkan itu kami lebih cenderung meng–gelarkannya pole fitness bukan sekadar tarian tiang. Secara tidak langsung gelaran itu membuka persepsi mereka yang mendengar.

"Disebabkan itu juga ia sesuai untuk lelaki dan wanita kerana menyasarkan kawasan bermasalah pada setiap individu.

"Anda tidak perlukan sebarang pengalaman tarian, malah saya sendiri juga sekadar mempunyai pengalaman balet setahun ketika berusia 12 tahun. Namun, jika punya minat dan keberanian, tarian ini tidak sukar dipelajari malah tiada juga had umur.

"Malah semakin kita matang, otot dan anggota badan kita semakin mampu tahan dibentuk, bererti usia memang bukan penghalang.

"Kecederaan juga boleh berlaku tetapi asalkan anda tahu bagaimana mengawal imbangan dan mempunyai guru bertauliah, anda boleh mengelak kecederaan serius," katanya.

Dia yang juga Pengarah Latihan Pole Fitness Viva Vertical Malaysia percaya, ia layak menjadi acara sukan Olimpik satu hari nanti.

"Kalau balet air atau acara seperti curling boleh diterima sebagai acara Olimpik, mengapa tidak tarian ini yang amat memerlukan kekuatan dan fokus? Ramai sebenarnya tidak tahu ada penari tempatan termasuk lelaki pernah memenangi acara tarian tiang antarabangsa. Ini bukan calang-calang sukan," tegasnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/07

Enak, berkhasiat, tahan lama

Posted: 06 Jan 2013 10:43 AM PST

Tiada makanan yang boleh mengatasi keenakan nasi putih yang wangi baunya, dimasak menggunakan santan kelapa dan daun pandan serta dibungkus dengan daun pisang bersama sambal ikan bilis, kacang goreng, telur dan timun yang pasti menggamit selera sesiapa saja.

Malah makanan wajib rakyat Malaysia ini bukan lagi menjadi hidangan ketika bersarapan malah tengah hari dan malam. Ada di sesetengah tempat di sekitar ibu kota, nasi lemak dijual 24 jam bersama pelbagai jenis lauk. Pilih saja mana yang berkenan di hati.

Mengambil nasi lemak setiap hari dikatakan mampu mempengaruhi tahap kesihatan disebabkan nasi yang dimasak bersama santan kelapa mengandungi lemak yang tinggi, seterusnya boleh menyebabkan kegemukan.

Perkara ini pernah mencetuskan polemik di kalangan pelajar sekolah rendah apabila hidangan ini dipersalahkan kerana mengakibatkan obesiti sehingga ada cadangan penjualan nasi lemak dikurangkan di kantin sekolah.


Walau apa juga tanggapan dan pandangan ramai, nasi lemak terus gah berada antara senarai teratas dalam menu pilihan sarapan. Malah bagi individu yang menjadikan nasi lemak sebagai makanan utama, pasti merasai kelainan sekiranya tidak dijamah dalam masa seminggu dua.


Namun bagi peminat tegar nasi lemak, kini mereka boleh menikmati hidangan berkhasiat nasi lemak tanpa kolesterol apabila pemilik yang juga Pengarah Urusan Restoran Nasi Lemak Heejau, Norazlina Md Jan, menghasilkan resipi istimewa nasi lemak menggunakan santan sawit.

Menurut Norazlina, idea menyediakan menu berasaskan nasi lemak tercetus selepas membuat penyelidikan mengenai hidangan yang ingin disediakan untuk pelanggan sebaik saja memutuskan untuk membuka perniagaan makanan. Menyedari individu kini amat menitikberatkan kesihatan dalam pengambilan makanan, dia mula mencari beberapa menu yang bukan saja berkhasiat malah sedap dimakan.

"Menerusi pembacaan, saya teruja melihat kejayaan sekumpulan penyelidik daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia yang berjaya mencipta santan daripada minyak kelapa sawit. Dari segi rasa dan rupa, ia setanding santan kelapa tetapi mempunyai pelbagai khasiat termasuk kandungan lemak tepu yang rendah dan lebih tahan lama.

"Ini membuka lembaran baru, seterusnya memberikan idea untuk menghasilkan nasi lemak berkhasiat menggunakan santan sawit," katanya.

Norazlina menjelaskan, kejayaan menghasilkan santan sawit ini mampu mengubah gaya hidup masyarakat Malaysia yang gemar menggunakan santan kelapa dalam masakan yang tanpa disedari boleh menjejaskan kesihatan. Ini kerana penggunaannya mempunyai kaitan dengan peningkatan kandungan kolesterol tidak baik (LDL) yang boleh menyebabkan penyumbatan pada saluran arteri jantung.

"Santan kelapa mempunyai kandungan asid lemak tepu yang tinggi seperti asid laurik dan miristik. Kandungan asid laurik dalam santan kelapa sebanyak 49.1 peratus berbanding santan sawit yang hanya 0.25 peratus. Malah asid miristik dalam santan kelapa kira-kira 18.4 peratus manakala santan sawit sebanyak satu peratus saja.

"Itulah sebabnya, kadangkala apabila kita makan nasi lemak bersantan selalunya akan berasa mengantuk. Ini berpunca daripada lemak yang bertindak menyumbat arteri sehingga perjalanan oksigen agak lambat," katanya.

Selain mahu mengubah minda masyarakat di negara ini supaya menukar gaya hidup lebih sihat dengan pemakanan yang betul, santan sawit mampu menjadi alternatif menggantikan santan kelapa kerana khasiatnya yang banyak dan baik untuk kesihatan.

Secara amnya, minyak kelapa sawit yang digunakan untuk membuat santan diproses daripada minyak sawit mentah berwarna jingga pekat sehingga bertukar menjadi kuning keputihan selepas melalui proses penapisan. Ia berbeza daripada minyak kelapa sawit untuk masakan yang ditapis sehingga menjadi kuning jernih.

"Keistimewaan santan sawit apabila ia tidak meningkatkan kadar kandungan kolesterol LDL dalam badan, sekali gus tidak menjejaskan jantung. Ini berbeza dengan santan kelapa yang boleh meningkatkan kandungan LDL dan mengurangkan HDL yang diperlukan badan.

"Malah santan sawit kaya vitamin A dan E semula jadi yang baik untuk kesihatan terutama bagi penglihatan, mengelakkan proses penuaan, penyakit jantung dan baik untuk kulit," jelasnya.

Norazlina turut menerima pelbagai maklum balas positif daripada pelanggan yang pernah mencuba nasi lemak yang dihasilkan menggunakan santan sawit. Kebanyakan mereka menyukai rasanya yang kurang berlemak, mudah dihadam serta tahan lama.

Santan sawit boleh bertahan sehingga beberapa hari tanpa berubah bau, warna serta rasa kerana mengandungi asid lemak berangkai panjang. Ini berbeza dengan santan kelapa kerana mempunyai jangka hayat yang rendah iaitu kurang daripada lima jam dalam suhu bilik.

"Sebab itu nasi lemak Heejau tidak cepat basi walaupun dibiarkan semalaman pada suhu bilik dan boleh bertahan berhari-hari sekiranya disimpan di dalam peti sejuk dengan suhu lima darjah Celsius. Ketahanan ini juga disebabkan teknik memasak secara kukus yang menyebabkan nasi lebih kering, kurang kandungan lemak dan tidak cepat basi," jelasnya.

Selain nasi lemak, santan sawit boleh digunakan dalam sebarang masakan kuih-muih tradisional dan manisan kerana rasanya tidak berbeza dengan penggunaan santan kelapa. Mungkin ramai beranggapan ia mahal, namun sebenarnya tidak kerana kos menghasilkan santan sawit lebih murah berbanding santan kelapa kerana minyak sawit mudah didapati.

Melihat kepada hidangan nasi lemak Heejau, Norazlina mempunyai resipi tersendiri agar sajian nasi lemaknya bukan saja lazat, malah mengeluarkan aroma enak. Selain santan, keistimewaan nasi lemak Heejau pada penggunaan daun pandan yang dikisar bagi menerbitkan warna hijau dan aroma asli nasi lemak, berbeza dengan nasi lemak biasa yang menggunakan halia.

"Selain memberikan pewarna dan bauan tradisional, pandan mempunyai banyak kebaikan antaranya air perahan boleh digunakan untuk membuat kuih tradisional seperti kuih talam, ketayap (kuih gulung), cendol, seri muka, buah melaka dan bingka.

"Daun yang dilayur boleh digunakan untuk membuat ketupat dan membungkus ayam. Selain itu, aroma pandan boleh dijadikan pewangi bedak sejuk, bunga rampai serta digunakan dalam perubatan untuk penyakit lemah saraf," jelasnya.

Restoran Nasi Lemak Heejau di Bandar Kinrara, Puchong ini beroperasi mulai Isnin hingga Sabtu dari jam 5 petang hingga 11 malam manakala Sabtu bermula jam 12 tengah hari hingga 11 malam.

Antara menu disediakan ialah nasi lemak berkhasiat dengan pelbagai lauk-pauk. Ini termasuk pilihan nasi lemak ayam penyet, nasi lemak goreng makanan laut, nasi lemak ayam, nasi lemak biasa serta pelbagai hidangan berasaskan nasi lemak yang hanya diperoleh di restoran ini.

Menariknya, jika harga santan sawit agak tinggi berbanding santan kelapa, namun nasi lemak yang menjadi tanda pengenalan di restoran Heejau dijual pada harga berpatutan bermula kira-kira RM4 bergantung kepada jenis lauk. Ini bagi memberi peluang kepada semua golongan merasai makanan kesukaan rakyat Malaysia dan pada masa sama mahu mengekalkan kesihatan.

Pada masa hadapan, Norazlina berharap mampu mengembangkan perniagaan nasi lemak Heejau menjadi antara menu pilihan semua. Dia juga ingin melihat suatu hari nanti nasi lemak menjadi makanan sejuk beku yang boleh dipanaskan dan dimakan pada bila-bila masa.

"Dengan teknologi dalam penghasilan santan sawit yang lebih tahan dan berkhasiat, saya bercadang untuk mengkomersialkan nasi lemak Heejau menjadi hidangan sejuk beku yang boleh dinikmati pada bila-bila masa. Selain itu, sambal ikan bilis akan menjadi hidangan rasmi bersama lauk pilihan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/07
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved