Khamis, 3 Januari 2013

Harian Metro: BeritaUtama


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: BeritaUtama


Kanang anak Langkau meninggal dunia akibat serangan jantung

Posted: 02 Jan 2013 10:36 PM PST

KUCHING: Pahlawan dan askar Malaysia terkenal, Temenggung Datuk Kanang anak Langkau menghembus nafas terakhir selepas rebah di rumahnya di Sungai Maong, di sini, akibat serangan jantung, pagi tadi.

Kanang, 68, disahkan meninggal dunia pada jam 1.45 pagi iaitu dua jam selepas dilaporkan rebah sebelum dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) menaiki ambulans.

Turut mengiringi jenazah mendiang di Rumah Mayat HUS, adalah isterinya, Datin Brawang Chonggop, 58, serta anak-anaknya.

Beliau dilahirkan di Julau, Sarawak, menyertai perkhidmatan Renjer Sarawak sebagai Pengesan Jejak Iban pada 21 April 1962, sebelum diserap ke dalam Renjer Malaysia apabila Persekutuan Malaysia diisytiharkan pada 16 September 1963.


Berasal dari komuniti Dayak, Iban, mendiang adalah Rejimen Renjer Diraja berpangkat Sarjan Mejar Rejimen kepada 8 Renjer dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).


Beliau kemudian dianugerahkan dengan pingat Panglima Gagah Berani (PGB) dan Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) oleh Yang diPertuan Agong, Sultan Ahmad Shah pada 3 Jun 1981.

Menamatkan khidmat sebagai Pegawai Waran 1, selepas 21 tahun terbabit dalam bidang ini, sebelum dianugerahkan Panglima Gemilang Bintang Kenyalang (PGBK) yang membawa gelaran Datuk oleh Kerajaan Negeri September tahun lalu.

Mendiang hampir menemui ajal selepas peluru musuh mengenai jantung merosakkan satu buah pinggangnya, terburai usus perut dan terlantar di hospital selama 14 bulan.

Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, mendiang akan diberikan penghormatan negara apabila disemadikan di Sarawak, Ahad ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/03



Mati enggan sekolah petang

Posted: 02 Jan 2013 02:05 PM PST

MIRI: Seorang pelajar tingkatan dua yang sebelum ini menyuarakan keengganannya ke sekolah pada sesi petang kerana adik-beradiknya yang lain bersekolah pagi, ditemui mati tergantung di tingkap bilik di rumahnya di Desa Pujut, di sini, semalam.

Alexander Ajang, 14, yang juga anak kedua daripada empat beradik itu ditemui tergantung dengan leher dijerut tuala dan baju yang diikat pada jeriji tingkap oleh bapanya, jam 12 tengah hari.


Ibu saudara mangsa, Roselind, 32, berkata, kematian mangsa amat mengejutkan kerana sejam sebelum kejadian, dia bersikap seperti biasa ketika membuka pintu rumah untuk bapanya berusia 40-an yang pulang untuk menghantarnya ke sekolah.

"Sebaik bapanya yang juga abang saya tiba di rumah, dia berehat di rumah tamu dan menyuruh anaknya itu mandi serta memakai seragam untuk ke sekolah.


"Tapi, selepas setengah jam dia masih tidak keluar dari bilik biarpun ayahnya memanggil namanya beberapa kali. Sebaik pintu bilik dibuka, ayahnya terkejut melihat dia tergantung di tingkap bilik dan sudah tidak bernyawa," katanya ketika ditemui, semalam.


Menurut wanita itu, sehari sebelum kejadian, mangsa memberitahu tidak mahu ke sekolah kerana abang serta adik-beradiknya yang lain bersekolah sesi pagi dan hanya dia pada sesi petang.

"Bagaimanapun, semua ahli keluarga lain tidak mengendahkan kata-katanya kerana menganggap itu perkara biasa saja. Kami tidak menyangka dia akan mengambil tindakan drastik seperti ini," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mun Kock Keong ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan mayat mangsa dibawa ke Hospital Miri untuk bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/03



Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved