Isnin, 21 Januari 2013

Harian Metro: Arena


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Chong Wei intai gelaran ke-10

Posted: 20 Jan 2013 07:47 AM PST

Kuala Lumpur: Datuk Lee Chong Wei menyuarakan hasrat melengkapkan 10 gelaran Terbuka Malaysia tahun depan, selepas mencatat sejarah baru pemenang terbanyak kejohanan itu dengan sembilan gelaran semalam.

Pencapaian Chong Wei itu adalah yang terbaik mengatasi rekod Wong Peng Soon yang meraih gelaran kelapan pada 1952.


"Untuk meraih gelaran kesembilan bukan mudah, tekanan datang dalam diri sendiri," kata Chong Wei selepas menewaskan pemain Indonesia, Sony Dwi Kuncoro 21-7, 21-8 dalam masa 32 minit di final di Stadium Putra, Bukit Jalil.

Pemain nombor satu dunia itu menjelaskan dia berjaya mengelak daripada tertekan selepas melihat tekanan itu hampir meragut impiannya pada separuh akhir menentang Jan O Jorgensen kelmarin.


"Hari ini saya memang berazam, walau apa Sony lakukan saya akan cuba kembalikan bulu tangkis.


"Saya melihat dia beraksi menentang Kenichi Tago semalam (kelmarin), saya faham apa yang perlu dilakukan untuk mengatasinya.

Foto

CHONG Wei (kanan) mengalahkan pemain Indonesia, Sony 21-7, 21-8 pada perlawanan akhir Terbuka Malaysia, semalam.

"Selepas ini memang ada hasrat untuk gelaran ke-10 seperti kejuaraan GP Kebangsaan, tapi dua kejohanan ini jauh berbeza saingannya," kata Chong Wei yang akan menyertai Siri Super Perdana Seluruh England Mac ini.


"Seluruh England lebih penting buat saya selepas ini kerana saingan yang datang hadir dari semua pemain terbaik dunia termasuk Lin Dan, jadi dapat mempertahankan dua kejuaraan Korea dan Malaysia adalah baik buat saya," katanya yang mengakui isterinya Wong Mew Choo sedang mengandung.

"Kali pertama saya mengetahui keadaan isteri saya, memang saya gembira apa lagi usia saya bukan lagi muda," kata Chong Wei yang enggan menentukan masa depan anaknya nanti, sama ada menjadi pemain badminton atau kerjaya lain.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/20

Sturridge, Suarez menjadi

Posted: 20 Jan 2013 07:37 AM PST

Liverpool, England: Pengurus Liverpool, Brendan Rodgers memuji keserasian yang cepat dibina antara Luis Suarez dan Daniel Sturridge yang menyaksikan kedua-duanya menyumbang gol ketika membelasah Norwich City 5-0, kelmarin.

Sturridge, 23, tiba dari Chelsea dengan nilai perpindahan £12 juta (RM57.3 juta) awal bulan ini dan muncul pemain ketujuh sepanjang sejarah Liverpool meledak gol pada setiap tiga perlawanan pertamanya bersama kelab itu.


Pemain antarabangsa England itu turut menjadi watak penting kepada gol ke-20 Suarez sepanjang musim ini ketika kedua-duanya mempamerkan kombinasi menakjubkan.

Ketika Sturridge tiba, Rodgers berdepan persoalan bagaimana caranya beliau boleh menggandingkan pemain itu di barisan depan tetapi kini Suarez dilihat lebih bebas bergerak dengan Sturridge bertindak sebagai penyokong utama pemain Uruguay itu.


"Suarez banyak membantu kami sepanjang musim ini. Dia memberikan komitmen 100 peratus pada setiap perlawanan dan begitu serasi dengan Sturridge di barisan depan.


"Kami mencipta banyak gerakan di bahagian depan kerana kedua-dua pemain ini tidak beraksi dengan statik.

"Sturridge mempunyai kepantasan dan tenaga yang bagus, tapi dia juga seorang pemain yang bijak. Dia jelas mencetuskan rasa bimbang pasukan lawan.


"Bagi kami Suarez pula sangat luar biasa dan dia mendapat sokongan dari barisan pemain muda di bahagian serangan.

"Saya menyaksikan gandingan kedua-dua pemain ketika sesi latihan dan ia memang amat bagus," katanya.


Jordan Henderson (m26), Suarez (m36), Sturridge (m59), Steven Gerrard (m66) dan gol sendiri Ryan Bennett (m74) menyumbang kepada kemenangan besar Reds. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/20
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved