Sabtu, 26 Januari 2013

Harian Metro: Arena


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Rajagobal terdesak cari penggempur

Posted:

Di sebalik rasa terkilan dengan masalah kecederaan pemain dalam skuad kebangsaan, pengurus Datuk Seri Subahan Kamal tetap yakin barisan pemain yang bakal menjalani latihan pusat bersama ketua jurulatih Datuk K Rajagobal (gambar) bermula hari ini mampu membentuk skuad mantap bagi mengharungi perlawanan kelayakan Piala Asia 2015 menentang Qatar 6 Februari ini.

Antara pemain yang berada dalam senarai kecederaan ketika ini adalah K Gurusamy, Mohd Bunyamin Omar dan Mohd Nor Farhan Muhammad hingga memaksa pengendali negara memanggil dua lagi pemain Abdul Shukur Jusoh dan Mohd Fitri Omar dalam skuad 26 pemain itu.


Terbaru dikhabarkan penyerang utama Mohd Safee Sali mengalami kecederaan pada sesi latihan Johor Darul Takzim dan Rajagobal membuat keputusan saat akhir memasukkan pemain berpengalaman dari Selangor, Mohd Amri Yahyah semalam.

Namun Subahan yang dihubungi Arena Metro meredakan perkhabaran kurang baik buat skuad kebangsaan itu dengan menyatakan kehadiran Amri tiada kaitan dengan kecederaan Safee.


"Saya difahamkan Safee mengalami kecederaan tapi Amri memang dalam perancangan kami. Dia memiliki pengalaman luas dan boleh beraksi di posisi penyerang dan tengah. Jurulatih pada mulanya mahu memanggil Amirulhadi Zainal yang cemerlang beraksi dengan Pahang musim ini tapi malangnya dia kini mengalami kecederaan hamstring.


"Memang saya terkilan dengan masalah kecederaan beberapa pemain yang dipanggil menyertai skuad kebangsaan kali ini tapi ini tidak boleh dijadikan alasan kerana saya harapkan pemain lain yang diberi peluang tidak mengecewakan," katanya.

Selepas menjalani latihan pusat tiga hari di Wisma FAM, Kelana Jaya, skuad Harimau Malaya berlepas ke Dubai bagi aksi persahabatan antarabangsa menentang Iraq pada 31 Januari.


Mereka kemudian akan berlepas ke Doha bagi menghadapi misi sebenar menentang Qatar pada pusingan kelayakan Kumpulan D Piala Asia 2015.

Bagi Subahan yang juga Naib Presiden FAM, beliau mengharapkan semua pemain dapat memberikan aksi terbaik dalam dua perlawanan menentang pasukan handalan negara Teluk itu.


"Iraq bekas juara Piala Asia 2007, lawan yang kami anggap kuat dan mereka akan menjadi persiapan terbaik untuk skuad negara sebelum berdepan Qatar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/26

Murray mara, Federer kecewa

Posted:

Pemain Britain, Andy Murray (gambar) menundukkan Roger Federer pada pertembungan getir lima set untuk layak ke perlawanan akhir kejohanan tenis Terbuka Australia, semalam.

Juara Terbuka AS itu menamatkan rentetan kegagalan Grand Slam menentang pemain nombor dua dunia dari Switzerland itu, memenangi pertemuan separuh akhir 6-4, 6-7 (5/7), 6-3, 6-7 (2/7), 6-2 dalam masa tepat empat jam.


Murray kini mara ke final ketiga pada Terbuka Australia dan bertemu juara bertahan, Novak Djokovic esok, perlawanan ulangan final Terbuka AS apabila pemain Scotland itu merangkul kejuaraan Grand Slam sulungnya, September lalu.

Murray melebarkan rekod pertemuannya ke atas Federer, pemenang 17 kejuaraan utama kepada 11-9, namun ia kejayaan pertamanya ke atas Federer dalam empat perlawanan Grand Slam.


Ia juga perlawanan akhir Grand Slam keenam Murray dan dia muncul pemain pertama Britain layak ke tiga final Terbuka Australia.


"Memang sukar menentangnya. Dia mempamerkan permainan terbaik pada acara Grand Slam," kata Murray. "Apabila saya melakukan servis untuk menamatkan perlawanan pada kedudukan 6-5 pada set keempat, dia tampil dengan beberapa pukulan menakjubkan.

"Saya tidak bermain dengan baik dalam tie-break, sukar apabila anda melakukan servis untuk merebut tempat ke final dan beberapa minit kemudian anda beraksi dalam set kelima.


"Saya terus berjuang dan dia melakukan beberapa pukulan lemah pada awal set kelima dan ia membantu saya." Murray terlalu unggul pada set penentuan apabila merampas dua servis lawannya untuk memastikan kemenangan.

"Djokovic mempamerkan aksi terbaik di sini, final ketiganya berturut-turut dan saya perlu bermain dengan cemerlang," kata Murray.


"Saya harap perlawanan ini menyakitkan kerana ia bermakna perlawanan yang bagus."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/26
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved