Selasa, 8 Januari 2013

Harian Metro: Arena


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


PBSNT tak lepas Affize

Posted: 07 Jan 2013 12:29 PM PST

Kuala Lumpur: Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT) tidak mahu melepaskan Mohd Affize Faisal Mamat untuk beraksi bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana mahu menggunakan khidmat bekas pemain Harimau Muda A itu bagi kempen Liga Super musim ini.

Presiden, Datuk Che Mat Jusoh berkata, mengikut peraturan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), pemain berusia 23 tahun itu perlu kembali ke pasukan negeri kelahiran selepas kontraknya bersama Harimau Muda A tamat.


"Kalau mengikut peraturan FAM, mana-mana pemain yang sudah tamat kontrak bersama pasukan Harimau Muda perlu kembali ke pasukan negeri asal. Jika pasukan negeri tidak mahu barulah pemain itu dilepaskan ke pasukan lain.

"Tapi dalam kes Affize, kami memerlukannya. Memang kami tidak mendaftarkan namanya dalam pasukan kerana dia tidak mahu mengadakan perbincangan dengan kami. Kami tidak boleh mendaftarkan namanya jika dia tidak menandatangani kontrak. Tapi hingga kini kami masih mengosongkan satu tempat untuknya," katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.


Dalam laporan semalam, Affize menyatakan keinginan untuk beraksi dengan ATM atas dasar mahu menimba pengalaman di luar dan berharap PBSNT dapat mengeluarkan sijil perpindahan dengan segera.


Jurulatih ATM, B Sathianathan berkata, pihaknya sudah mendaftarkan pemain tengah itu musim ini dan berharap keputusan mesyuarat Jawatankuasa Status FAM Khamis ini memihak kepada mereka.

Foto

Mohd Affize Faisal Mamat

Foto

Datuk Che Mat Jusoh

Che Mat bagaimanapun menyangkal dakwaan mereka membuat keputusan pada saat akhir untuk memancing semula Affize selepas ATM berminat mengambil pemain itu.


"Kami tak pernah cakap kami tak nak (Affize), kalau kami tak mahu ambil dia, sudah lama kami melepaskannya kepada pasukan lain. ATM dan Affize sudah menghantar surat kepada kami sebelum ini dan kami juga sudah memaklumkan kepada mereka kami tidak boleh melepaskan Affize." Ketika ditanya adakah Terengganu masih mahu mengambil Affize bermain sedangkan pemain itu secara terbuka menyatakan keinginan untuk beraksi bersama pasukan lain, beliau berkata: "Ini bukan soal minat atau tidak, ini soal peraturan. FAM sudah tetapkan peraturan itu dan semua pihak perlu patuh. Jika tidak FAM perlu ubah peraturan itu dan kami harap Affize beraksi bersama kami."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/08

Fitri cabar kejuaraan

Posted: 07 Jan 2013 12:18 PM PST

Kuala Lumpur: Pengurus SCK Honda Racing, Soong Chee Kieong percaya Mohd Fitri Ashraff Razali mampu menjadi pencabar utama merebut gelaran juara kategori CP130 sebaik Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2013 membuka tirai, Mac ini.

Sebagai pelumba termuda pasukan, Fitri sudah membuktikan keupayaannya pada musim lalu. Walaupun sentiasa dibayangi tiga rakan sepasukan yang lebih senior, Azlan Shah Kamaruzaman, Norizman Ismail dan Affendi Rosli, dia berjaya menamatkan tiga perlumbaan di atas podium untuk mengakhiri musim 2012 di tangga ketujuh keseluruhan.


Pada penampilan pertama dalam kelas perdana sepanjang tahun lalu, pelumba berusia 18 tahun itu turut konsisten melayakkan diri ke sesi saringan Superpole (10 pelumba terbaik Ujian Masa) dan melakukan catatan terpantas untuk bermula dari petak pertama di Melaka.

Lebih membanggakan, gabungan Fitri dan juara CP130 2012, Azlan Shah turut membantu SCK Honda Racing mengekalkan gelaran Anugerah Berpasukan Terbaik buat kali dua berturut-turut.


"Fitri pelumba berbakat. Dia mempunyai ciri-ciri seorang juara. Berbekal daya pemikiran dan juga jentera yang tepat, dia berpeluang cerah bersaing merebut takhta keseluruhan CP130 tahun ini," kata Chee Kieong.


"Kami juga akan memberi lebih tumpuan kepada Fitri memandangkan hanya dia yang belum memenangi sebarang gelaran. Azlan sudah memenanginya tahun lalu manakala Norizman sudah memenangi dua gelaran pada 2005 dan 2011. Affendi pula memenangi gelaran lebih besar apabila muncul juara Underbone Kejuaraan Motosikal Asia Petronas pada 2009.

"Paling penting, kami percaya Fitri sudah cukup bersedia untuk mengharungi cabaran musim ini. Dia mempunyai tahap disiplin dan keinginan yang tinggi. Dia sudah membuktikan sebelum ini dengan bantuan rakan sepasukan dan juga krew, banyak peningkatan ditunjukkannya.


"Namun begitu, bukan mudah untuk menjadi juara terutama dengan peningkatan kemampuan jentera dan juga pelumba pasukan lain. Begitupun, kami percaya Fitri sudah sedia mengharungi segala halangan." Maklumat lanjut sila hubungi Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) di talian 03-8733 8787 atau layari laman web rasmi Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas di www.malaysiancubprix.com.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/08
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved