Jumaat, 11 Januari 2013

Harian Metro: Rap


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


'Inilah fasa paling menyeronokkan'

Posted: 10 Jan 2013 02:57 PM PST

Jalur populariti bukan lagi sesuatu yang mahu dikejarnya. Hakikat ini kerana selama hampir sedekad bergelar anak seni, sudah terbukti dia sudah mengecapi semua itu dan terus ada di hati masyarakat.

Penilaiannya jelas melalui pengiktirafan sebagai penerima Anugerah Pelakon TV Wanita Popular pada 2005, 2006, 2010 & 2011 serta Pelakon Filem Wanita Popular 2006 & 2007, dengan jumlah kemenangan semuanya enam trofi.

Sekali lagi, anak seni bernama Nur Fasha Sandha, 29, kembali cemerlang tahun ini apabila berjaya membolosi senarai lima calon terbaik bagi kategori Pelakon TV Wanita Popular dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2012 (ABPBH12). Ia bakal berlangsung buat julung kalinya di Stadium Putra Bukit Jalil pada 7 April nanti.

Berbeza dengan keinginannya dulu yang melihat kemenangan sebagai satu bonus, persepsi wanita mesra disapa Fasha terhadap sesuatu kemenangan mulai berubah malah bersedia melepaskan gelaran popular itu andai tahun ini bukan lagi menjadi miliknya.


"Terus terang dan jujur daripada hati kecil, saya tidak jangka langsung akan tercalon dalam Top 5 ABPBH kali ini. Tambahan pula, dengan berbadan dua sekarang ini, saya lebih fokus kepada menguruskan keluarga baru saya.


"Kehadiran saya pada sidang media pencalonan awal tidak lama dulu, saya sifatkan sebagai tanda sokongan kepada Berita Harian selaku penganjur anugerah.

"Pada masa akan datang kalau tidak tercalon pun, saya akan tetap memberi sokongan kepada penganjuran acara ini. Bagi saya enam anugerah yang saya miliki menerusi ABPBH sudah cukup besar dan saya berpuas hati.

"Harus saya perkatakan bahawa saya amat terhutang budi dengan ABPBH. Ternyata ia ba­nyak membantu kerjaya artis tempatan dan disifatkan sebagai penganjuran anugerah terhebat di Malaysia.

"Mungkin ramai yang tidak mengetahui hal ini. Sebelum bergelar artis lagi, saya adalah salah seorang peminat anugerah ini. Saban tahun saya memang ternanti-nanti untuk menonton ABPBH.

"Dulu saya akan menunggu depan kaca TV dengan perasaan teruja untuk melihat Erra Fazira mengambil anugerah. Saya minat sangat dengan Erra dan sampai sekarang masih mengagumi Erra. Berbalik pada pertanyaan tadi, andai nama saya tidak lagi dicalonkan dalam ABPBH sekalipun, saya akan tetap menjadi penonton setia," katanya.

Bakal bersaing dengan pelakon berpengalaman, Nabila Huda serta nama baru seperti Neelofa, Izara Aishah dan Siti Saleha, Fasha begitu berterima kasih kepada peminat setianya yang tidak jemu-jemu menghantar undian bagi memastikan dia mara.

"Ingin sekali saya berterima kasih kepada pembaca yang mengundi dan saya yakin mereka ini adalah peminat tegar yang begitu mempercayai bakat saya.

"Pencalonan saya sekali lagi dalam anugerah ini mungkin juga didorong ruang yang diberikan Berita Harian kepada saya sebagai pengendali kolum Cinta & Hati Hamba yang hampir enam bulan diterbitkan.

"Meskipun kebelaka­ngan ini, tidak banyak berita dilaporkan mengenai saya atau pendek kata kurang publisiti tetapi kemunculan saya dalam ruangan itu untuk memperkatakan berbagai isu dilihat membantu saya untuk terus wujud di mata peminat," katanya.

Ditanya mengenai kejelitaannya yang kekal menyerlah, Fasha ha­nya tersenyum menampakkan barisan giginya yang cantik. Dia akui pipinya semakin tembam dan kadangkala dia sendiri tertawa sendiri apabila melihat cermin.

"Inilah saat yang paling menyeronokkan dalam fasa hidup saya. Saya tidak sabar-sabar menjadi ibu. Kalau ikutkan saya akan 'due' atau dijangka bersalin hujung Mac atau awal April ini. Kalau sempat saya dapatlah ke ABPBH2012 nanti.

"Lagipun ia kali ini dibuat di Stadium Putra Bukit Jalil dan saya tiada masalah ke sana kerana masih dalam kawasan ibu negara," katanya.

Tolak tawaran Osman Ali

Kata Fasha, dia dan suaminya Jejai (Rizal Ashram Ramli) sudahpun dimaklumkan doktor me­ngenai jantina anak mereka.

"Kami berdua sudah tahu jantina anak melalui pemeriksaan yang dilakukan baru-baru ini, tapi kami berdua belum sedia berkongsi dengan umum. Nanti tak ada 'surprise'.

"Apa yang lebih penting bagi saya dan suami sama ada lelaki mahupun perempuan, mudah-mudahan bayi ini sempurna dan selamat dilahirkan. Persiapan seperti barangan keperluan bayi juga belum kami lakukan kerana saya percaya pada pesan orang tua-tua, selepas kandu­ngan cecah tujuh bulan barulah sesuai kita membuat persediaan.

"Kalau ikutkan hati siapa yang tak seronok tapi dalam seronok itu pun kenalah selalu berhati-hati," katanya yang mengambil keputusan berehat seketika dari dunia seni lakon untuk memberi tumpuan pada proses kehamilan yang semakin membesar.

Selain itu, Fasha dan suami sudah mempu­nyai pilihan nama anak mereka kelak tetapi perkara itu hanya akan didedahkan pada saat kelahiran bayi itu nanti.

Pada temu bual sama, Fasha yang wajahnya pernah menghiasi kaca TV menerusi drama Runtun Qalbu turut disoal apakah rahsianya kekal cantik.

"Tiada amalan petua kecantikan khusus sepanjang tempoh saya mengandung. Namun saya tak nafikan masih menjaga diet. Mengandung tak semestinya kita boleh makan apa saja untuk dua orang. Kena berpada-pada supaya ia tidak menjejaskan penampilan diri selepas bersalin kelak.

"Saya masih makan nasi tapi hanya sehari sekali saja. Selebihnya saya banyakkan makan sayur-sayuran dan buah-buahan. Mungkin sebab itu saya tidak mengalami penambahan berat badan yang drastik melainkan perut saja yang membesar.

"Setakat ini, alhamdulillah doktor maklumkan saya dan bayi sihat. Selain itu, saya percaya tahap emosi sekarang ini turut mempengaruhi penampilan saya sekarang.

"Saya akui cukup bahagia dengan kehidupan sebagai seorang isteri dan bakal menjadi seorang ibu. Mungkin kerana itu orang melihat wajah saya lebih berseri sekarang ini. Sebelum berkahwin, saya tidak pernah alami perasaan luar biasa seperti ini," katanya.

Fasha berkata, dia mula mengalami perasaan sangat luar biasa setiap kali bayi di dalam perutnya bergerak-gerak lantas membuatkan dia tidak sabar-sabar melahirkannya.

Sementara itu, Fa­sha sudahpun disunting menjadi duta kepada dua produk terkenal. Difahamkan, tawaran yang diterimanya itu berupa produk kecantikan termasuk barangan bayi.

Sementara itu, Fa­sha akui ada menerima tawaran daripada pe­ngarah handalan Osman Ali untuk membintangi filem terbaru.

"Sayang sekali Fa­sha terpaksa menolak tawaran itu kerana wataknya tidak sesuai dengan badan saya yang sedang hamil ini. Memang sudah lama saya teringin hendak berlakon semula di bawah arahan Osman selepas Anak Halal, namun nampaknya saya terlepas peluang itu.

"Tidak mengapa lain kali kalau ada peluang saya pasti akan menerimanya kalau watak itu sesuai," ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/10

Sanggar Budaya unggul

Posted: 10 Jan 2013 07:14 AM PST

Usaha Persatuan Belia Kota Gagasan me-nganjurkan pertandingan Akar Kita Zapin 2012 nampaknya membuahkan hasil diinginkan apabila pertarungan membabitkan dua kumpulan iaitu Sanggar Budaya Sri Pengkalan dari Johor dan Nyala Dance Theatre (Kuala Lumpur) berlangsung dengan jayanya.

Bahkan, pada malam final berlangsung, baru-baru ini kemenangan nyata berpihak kepada kumpulan Sanggar Budaya Sri Pengkalan sebagai juara dan sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM5000, piala pusingan Menteri Penera-ngan, Komunikasi dan Kebudayaan serta sijil penyertaan.

Tidak ketinggalan, kumpulan itu juga turut dipilih memenangi kategori lain iaitu Penari Terbaik Lelaki yang berpihak kepada Mohamad Topeq Bakar yang menerima RM500, trofi dan sijil penyertaan. Diikuti Pereka Tari Terbaik dimenangi Mohd Faizule Abdullah dengan hadiah juga RM500, sijil dan trofi.

Begitu juga dengan kategori Persembahan Terbaik yang dimenangi kumpulan Sanggar Budaya Sri Pengkalan. Apapun, kumpulan Indra Tari dari Kuala Lumpur dipilih memenangi Hadiah Khas Juri yang melayakkan mereka membawa pulang wang tunai RM1,000, trofi dan sijil.


Sementara itu, bagi kategori Penari Terbaik Wanita pula kemenangan menjadi milik Noor Syafqah Ahmadi yang mewakili kumpulan The Tagaps Dance Theatre dari Sabah dengan hadiah wang tunai RM500, sijil dan trofi. Bukan itu saja, kumpulan ini juga dipilih memenangi Piala Ikon Datuk Bandar Kuala Lumpur (DBKL) serta merangkul pemenang tempat ketiga dengan hadiah wang tunai RM2,000, trofi dan sijil.


Bagaimanapun, selaku naib juara pastinya kumpulan Nyala Dance Theatre mampu berpuas hati dengan hadiah wang tunai dimenangi sebanyak RM3,000, trofil dan sijil penyertaan.

Sehubungan itu, hadiah kepada peserta disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf dengan diiringi Ketua Pengarah DBKL, Datuk Sal-leh Yusup dan Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Datuk Norliza Rofli.

Julung kali dianjurkan, pertandingan ini juga mendapat kerjasama daripada Pertubuhan Kebajikan Insaniah Srikandi Malaysia dengan sokongan penuh JKKN dan tanggungjawab pengendalian majlis pula diuruskan Akademi Tatihseni Malaysia, Noraniza Idris Production Ventures Sdn Bhd dan Sekretariat Masyhur 1Malaysia.

Berlangsung selama dua hari pada 28 dan 29 Disember lalu, pertandingan yang mengangkat seni budaya tarian zapin ini terbuka kepada seluruh warga Malaysia berumur 15 hingga 40 tahun.

Pemangku Pengarah Kanan Sektor Dasar dan Pe-nyelarasan JKKN, Che Kassim Mahmud berkata pertandingan Akar Kita Zapin 2012 itu dianjurkan sebagai satu pendekatan istimewa yang bersesuaian dengan matlamat JKKN dalam usaha untuk melahirkan masyarakat Malaysia berbudaya dengan berteraskan gagasan 1Malaysia.

"Bersandarkan misi ini juga, JKKN turut memangkinkan usaha mengekal dan memulihara seni budaya masyarakat tempatan. Oleh itu, menerusi pertandingan ini, secara tidak langsung dapat membantu mengembangkan budaya dan seni tradisi tempatan melalui aspek memupuk, membimbing dan menyemarakkan.

"Justeru, mendukung usaha Noraniza mengete-ngahkan zapin buat pertama kalinya untuk dipertanding-kan dalam bentuk zapin bertingkah atau 'battle' iaitu menilai aspek persembahan dan tingkah geruh berkumpulan, nyata cukup menarik bagi JKKN. Apatah lagi, ramai belia meminati zapin tampil menyertai," katanya.

Sehubungan itu, sebanyak lapan kumpulan kebudayaan dan kesenian dari Sabah, Kuala Lumpur, Selangor, Terengganu, Johor dan Perlis mengambil bahagian dalam pertandingan ini. Antaranya Kumpulan Tari Ujong Tanah, Kumpulan Taming Sari UiTM Perlis, Kumpulan Manira Tari dan Kumpulan Genta Buana.

Tidak hanya memperlihatkan kehebatan kumpulan Sanggar Budaya Sri Pengkalan dan Nyala Dance Theatre saling beradu kehebatan menari zapin, penonton juga dipertontonkan dengan persembahan khas monolog oleh novelis Rahimah Muda dan teater pendek perjuangan bangsa melalui lagu Anak Kecil Main Api dan Berakar Teguh Berakal Canggih.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/10
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved