Khamis, 24 Januari 2013

Harian Metro: Rap


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Tak mudah melatah

Posted: 23 Jan 2013 07:49 AM PST

Sama ada disukai atau tidak, gosip adalah lumrah dalam dunia hiburan. Itulah hakikat yang perlu diterima setiap individu yang bergelar artis. Tanpa gosip, dunia hiburan seperti makanan tidak cukup perisa. Apa yang pasti, seseorang itu perlu bersedia untuk berdepan dengannya sebelum membuat keputusan menjadi artis.

Bagi dua remaja berusia 21 tahun yang kini masing-masing mengukir nama sebagai anak seni, pelakon, Nur Hawa Zainal Abidin atau Wawa dan penyanyi, Ainan Tasneem Redzuan juga tidak dapat lari daripada menjadi bahan gosip dalam kalangan peminat dan rakan mereka.

Biarpun kedua-duanya masih baru dalam industri hiburan, mereka tidak mudah melatah malah menjalani kehidupan dengan tabah berkat suntikan semangat daripada keluarga masing-masing.

Ainan yang juga penuntut Kejuruteraan Bioproses di Universiti Malaysia Perlis (Unimap) digosip tidak boleh berenggang dengan kekasih hati yang belajar satu universiti dengannya. Wawa pula dicemburui rakan artis kerana dia laris membintangi drama dan filem.

Foto

Ainan Tasneem Redzuan

Foto

Nur Hawa Zainal Abidin


Berbual dengan mereka berdua terserlah kematangan menangani isu itu dan tidak sedikit pun menggugat perancangan masa depan mereka. Ainan ingin melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat Ijazah Sarjana di luar negara dan bercita-cita menjadi pensyarah manakala Wawa mahu memburu cita-cita menjadi pelakon disegani ramai.

Ainan nafi dating tengah malam

Ainan yang hadir untuk sesi fotografi bersama Wawa untuk RAP di Balai Berita berkata, dia terkejut apabila tersebarnya gosip yang dia dan teman lelakinya asyik berkepit dan 'berdating' hingga lewat malam di kampus mereka.

"Perkara itu mustahil berlaku kerana jam 12 malam kolej kediaman sudah ditutup. Kolej kediaman saya dengan teman lelaki pula jauh di mana saya di Kolej Kediaman Wang Ulu manakala dia di Kampung Wai.

"Jika bertemu pun hanya untuk makan di kafe yang terletak di kawasan kampus yang terbuka. Adalah berjumpa seminggu atau dua minggu sekali. Saya syak gosip ini timbul daripada junior saya. Rakan sekuliah dan sebilik tahu aktiviti saya. Apabila tersebarnya gosip ini, mereka turut tergelak dan pensyarah menghubungi saya minta bersabar," katanya.

Ainan berkata, keluarganya percaya perkara itu tidak akan berlaku kerana dia sibuk dengan pelajaran dan pelbagai aktiviti kampus.

"Saya dan teman lelaki berkenalan ketika kami sama-sama belajar matrikulasi di Perak. Dia mengikuti pengajian Kejuruteraan Rangkaian Komputer dan kami berdua bercadang untuk melanjutkan pengajian pada pering kat Ijazah Sarjana di United Kingdom.

"Kami berkenalan sebelum saya bergelar penyanyi dan dia memahami minat saya itu. Saya tidak pernah mencampuradukkan urusan peribadi, cinta dan cita-cita. Ketiga-tiganya berjalan dengan baik," katanya yang sedang bercuti sebulan.

Sepanjang percutian ini, jadual hariannya penuh dengan rakaman lagu baru, sesi fotografi dan penggambaran untuk televisyen. Pada 4 Februari ini Ainan akan mengadakan persembahan pada majlis Penganugerahan Tahap Emas Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda di Hotel Equatorial Bangi.

"Ketika cuti semester saya memberi tumpuan penuh kepada bidang nyanyian. Single ketiga, Kamu Saja juga akan kedengaran di radio tiga minggu lagi dan klip video lagu itu yang dimuatkan di Youtube sudah ditonton lebih 30,000 orang," katanya yang popular dengan single kedua berjudul 150 Juta Kali ciptaan Fynn Jamal.

Dengan 'kuasa' Youtube juga, nyanyian Ainan dapat ditonton peminat muzik Indonesia sehingga penyanyi terkenal negara itu, Glen Fredly, menawarkan diri mencipta lagu untuknya berjudul Setengah Hati berentak R&B. Ainan mengerti tidak selamanya dia akan membawakan lagu berentak 'catchy' seperti melodi lagu 150 Juta Kali kerana irama sebegitu amat sinonim dengan penyanyi yang dilahirkan daripada Youtube.

"Saya sudah bersedia melakukan perubahan dan menyanyikan lagu Glen Fredly adalah langkah awal saya ke arah itu. Saya mengagumi Shila Amzah kerana kekuatan vokalnya. Selaras peningkatan usia saya perlukan lagu yang lebih matang dengan kawalan vokal yang mantap," katanya yang mengenakan rekaan O'oi Couture.

Wawa dicemburui rakan

Laris berlakon drama dan filem, Wawa menjadi mangsa tidak puas hati artis lain. Telinganya sendiri terdengar kata-kata yang kurang enak kononnya dia anak emas Metrowealth Pictures (MIG) tetapi Wawa yang tidak suka mencari musuh hanya membiarkan saja perkara itu berlalu.

"Mereka tengok setiap hari saya ada penggambaran drama tetapi bukan semuanya terbitan MIG. Saya bukanlah anak emas MIG kerana semua artisnya mendapat layanan sama rata. Mungkin rezeki saya turut mendapat tawaran daripada produksi luar menyebabkan mereka nampak saya selalu sibuk.

"Saya tidak ambil kisah dengan tohmahan sebegitu kerana saya tidak pernah minta layanan istimewa. Kejayaan yang capai ini pun bukannya dalam sekelip mata tetapi selepas dua tahun. Untuk mengelakkan hubungan keruh sesama rakan artis saya lebih senang buat hal sendiri. Saya berkawan dengan mereka tetapi tidaklah terlalu rapat.

"Hanya bertemu apabila berlakon bersama. Saya pun bukannya suka keluar tanpa tujuan, lebih suka duduk di rumah menonton DVD. Mulai 19 Januari ini saya akan bercuti selama dua minggu balik kampung di Tawau, Sabah. Saya rindukan keluarga dan kampung halaman.

"Berbual di telefon dengan emak tidak sama dengan bertemu dengannya. Saya rindukan masakan emak dan pada masa sama saya perlu berehat. Tawaran yang datang pada tarikh itu saya terpaksa tolak," katanya.

Wawa baru saja selesai penggambaran filem Longkai terbitan MIG arahan Hashim Rejab. Dalam filem itu dia memegang watak Suraya dan teman wanita kepada Nizam Zaidi.

"Suraya berpura-pura jadi baik tetapi hakikatnya dia sangat jahat. Untuk meneruskan persaingan dalam industri ini, apa saja watak diberikan saya berusaha memberikan yang terbaik.

"Penerbit MIG, David Teo juga selalu mengingatkan saya supaya berdisiplin dan jaga perangai. Katanya, itulah rahsia kejayaan seseorang artis. Dia ibarat bapa saya kerana saya tidak ada sesiapa di sini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/23

Demi cinta Junjungan

Posted: 23 Jan 2013 07:05 AM PST

Bagi membangkitkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW, sambutan Maulidur Rasul bukan semata-mata untuk meraikan hari kelahiran baginda tetapi juga usaha ke arah mengingatkan kembali umat Islam kepada baginda dan perjuangannya.

Sempena sambutan itu juga, turut diadakan majlis penganugerahan dan penghargaan kepada orang tertentu. Amalan ini juga dilihat baik dan boleh membawa kepada rasa minat seseorang untuk mencontohi sikap baginda.

Justeru, sempena sambutan Maulidur Rasul hari ini, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menyediakan program menarik bermula dengan Perhimpunan Maulidur Rasul (jam 7.15 - 11.30 pagi), dokumentari Setulus Kasihmu (11.30 pagi) dan Air Mata Kasih (12 tengah hari).

Ini diikuti telefilem Mencari Takbir (2 petang), Adik-Adikku...Mengenang Rasul (6 petang), Forum Perdana Ehwal Islam bertajuk Khutbah Terakhir (9 malam) dan hiburan khas Festival Nasyid Kebangsaan 2012 (mulai Isnin lalu hingga hari ini jam 4.05 petang).


Semua program ini disiarkan menerusi saluran TV1.


Perarakan Maulidur Rasul 2013 akan bermula dari Dataran Kehakiman menuju ke Masjid Putrajaya, Putrajaya, diiringi alunan selawat kepada Rasulullah SAW. Tahun ini seramai sembilan orang dari pelbagai bidang dan latar belakang akan menerima Anugerah Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan.

Telefilem Setulus Kasihmu mengisahkan Wak Omar yang mengaplikasikan sifat kasih sayang Rasulullah SAW kepada anak yatim dengan menjadi penaung kepada Rumah Anak Yatim Darul Takwa di Sungai Besi, Kuala Lumpur. Usaha terpuji harus dicontohi oleh semua orang kerana mencontohi sifat Rasulullah SAW adalah sunnahnya.

Program majalah Air Mata Kasih pula membicarakan sifat Rasulullah SAW yang dikongsi bersama tokoh agama dan orang ramai. Turut diselitkan hiburan qasidah untuk hiburan semua.

Mengisi slot Panggung 1 disiarkan drama menarik Mencari Takbir lakonan Eira Shazira, Fezrul Khan, Ku Fridah dan Jufery Rayyan yang mengisahkan ketabahan hati dan kesukaran hidup dihadapi wanita bernama Shahila apabila suaminya, Mikail yang juga saudara baru kembali mengamalkan cara hidup seperti sebelum memeluk Islam. Pelbagai cara dan pendekatan digunakan Shahila untuk cuba membawa suaminya kembali ke jalan benar.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/23
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved