Sabtu, 5 Januari 2013

Harian Metro: Rap


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Kenapa dengan Amy Winehouse?

Posted: 04 Jan 2013 06:44 AM PST

BIARPUN nama sudah begitu gah dan memiliki jutaan peminat, masih ada rasa 'cemburu' terselit di hati Bruno Mars. Apa lagi yang belum cukup bagi penyanyi bersuara lantang yang suka memakai topi ini?

Penyanyi Grenade ini terus terang mengakui, dia sebenarnya cemburu terhadap seorang insan yang cukup diminatinya dan orang itu tidak lain daripada mendiang Amy Winehouse.

Kata Mars, dia sentiasa mahu mengikut jejak apa yang pernah dibuat penyanyi kontroversi dari Britain itu khususnya dalam penghasilan lagu menggabungkan pelbagai genre muzik atau 'genre bending' sehingga mampu memikat pendengar di serata dunia.

Mars berkata, sentuhan dimiliki Winehouse ketika membuat lagu dirasakan cukup sempurna dan hebat sehingga meninggalkan kesan mendalam.


"Saya rasa, apa saya cakap dan segala apa yang saya mahu buat, sudah dibuat dengan lebih baik oleh Amy. Ia menyebabkan fikiran saya selalu mengatakan 'ini tidak boleh jadi', 'ini tidak boleh jadi' kerana Amy berjaya membuat lagu-lagunya dengan cukup sempurna," kata penyanyi dan penulis lagu itu dalam satu wawancara bersama sebuah agensi berita antarabangsa di New York, baru-baru ini.


Winehouse, penyanyi dengan vokal 'contralto' meninggal dunia secara mengejut pada 23 Julai 2011. Dia pernah meraih lima gelaran Grammy Awards pada 2007 atas pencapaian album Back to Black termasuk kategori Album Terbaik.

"Anda tidak boleh menyimpan lagu Amy dalam kotak. Bagi saya, lagunya serba boleh, boleh dimainkan di stesen radio rock, kontemporari dan boleh diputarkan di stesen radio pop. Saya memang teringin membuat muzik seperti Amy kerana dia membuktikan lagu-lagunya boleh mencapai bilangan pendengar yang ramai dan tidak terikat kepada satu-satu genre saja. Amy dan Mark Ronson sudah berjaya melakukannya," kata Mars.

Ronson adalah deejay dan produser muzik United Kingdom (UK) yang banyak membantu Winehouse mencapai tahap kecemerlangan karier nyanyian.

Mars yang bernaung di bawah label Universal Motown mula cemburu terhadap Winehouse yang menghasilkan album Back to Black, enam tahun lalu.

Sekalipun Bruno pernah mengalami masalah kontrak, dia masih mampu menghasilkan album sulung yang melonjakkan namanya bersama Atlantic Records. Dia hampir mencatat pencapaian platinum berkembar menerusi album sulung bertajuk Doo-Wop & Hooligans.

Dia baru menghasilkan album baru lebih mantap dan menarik bertajuk Unorthodox Jukebox. Menariknya, dia juga menggunakan khidmat Ronson yang pernah menerbitkan album Lily Allen, Adele, Nas dan Q-Tip.

Suatu ketika, Mars pernah disindir presiden sebuah syarikat rakaman yang menyuruhnya pulang ke rumah kerana dia perlu belajar memperbaiki muzik ciptaannya yang dikatakan 'tidak tentu hala dan bersepah sana sini'.

Kata Mars lagi:" Saya tidak memikirkan mengenai perniagaan, radio atau politik, sebaliknya hanya membuat apa saya suka dan mencipta muzik baru.

"Sama ada lagu reggae, lagu rock atau lagu cinta, perkara utama bagi saya adalah membuat apa saja yang saya rasakan terbaik untuk merakamkan emosi saya pada masa itu," katanya lagi.

Suka berkurung dalam gelap

MARS yang kini berusia 27 tahun turut bercakap mengenai album keduanya itu yang membabitkan kerjasama produksi bersama Jeff Bhasker, Diplo, Paul Epworth, Emile Haynie dan Smeezingtons.

The Smeezingtons adalah gelaran untuk trio Mars, Philip Lawrence dan Ari Levine yang terbabit sebagai tenaga produksi album barunya itu.

Mars juga menulis lagu baru bersama The Smeezingtons.

Ditanya mengapa mengambil keputusan mencipta lagu bersama penulis lagu dan produser lain, dia berkata: "Mengapa tidak? Itulah yang berlaku apabila rasa ceria hadir dalam diri ini. Sekarang masa menikmati keseronokan. Ini adalah impian bersama. Saya suka cara mereka melihat muzik pop kerana ia menjadikan inisiatif kami menjadi satu projek sains ceria!"

Kata Mars, dia langsung tidak mendengar lagu ketika rakaman album Unorthodox Jukebox dibuat. Dia tidak mahu mendengar radio kerana lebih suka berkurung dalam studio seolah-olah berada dalam tempat gelap, tanpa tingkap dan segala-galanya kecuali lantai dan bau peluh setiap orang seperti bau kubis!

Bagi Mars, dia perlu membuktikan dirinya konsisten sepanjang masa, bukan sekadar 'one-off' dengan hanya memiliki sebuah lagu yang kerap diputarkan di radio.

Ibu bapa Mars yang juga pemuzik banyak memberi sokongan terhadap kerjayanya.
"Mereka adalah dua penyokong terkuat dan tiada siapa paling mempercayai diri saya selain mereka. Ada mesej mahu saya sampaikan dalam album itu.

"Album ini kurang selesa didengar ibu. Apapun, dia memahaminya 100 peratus. Saya memberitahunya, jika saya tidak menulis lagu seperti itu, saya akan menjadi kartun," katanya.

Mars berkata, dia ada membayangkan bekerjasama dengan keluarganya pada masa depan.

"Kami seperti satu dunia. Kalau boleh hanya saya, ibu dan bapa serta saudara-mara saya saja. Memang saya suka kalau perkara itu akan berlaku.

"Adik perempuan saya menyanyi dan adik lelaki saya bermain dram bersama kumpulan saya. Kami datang daripada keluarga bermain muzik. Mungkin satu hari nanti, saya akan memanggil usaha itu sebagai Behind the Music: Bruno's Family," katanya.

Apa yang nyata, sikap tidak pernah putus asa wujud dalam diri Bruno Mars atau nama sebenarnya, Pete Gene Hernandez, kini membariskan dirinya sebagai artis digital paling berjaya sepanjang 2011.

Tiga single nyanyiannya sudah berada dalam kedudukan Top 10 termasuk single sulung bertajuk Just the Way You Are yang terjual sebanyak 12.5 juta unit.

Lagu Grenade pula meletakkan dirinya antara artis pop paling banyak ditonton dalam laman sosial YouTube yang kini mencecah lebih 280 juta hit.

Antara pencapaian besar artis solo kelahiran Honolulu, Hawaii ini adalah meraih gelaran Artis Solo Terbaik Antarabangsa pada BRIT Awards 2012.

Setakat ini, albumnya terjual lebih enam juta unit manakala jualan digital laris lebih 40 juta unit di seluruh dunia.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/04



Anuar Zain tiga dekad

Posted: 04 Jan 2013 06:35 AM PST

SELAMA 30 tahun bergelar penghibur, penyanyi kacak Anuar Zain bakal menghadiahkan peminat setianya konsert yang diberi nama Anuar Zain Tiga Dekad Muzik, Cinta dan Sanubari pada 16 Februari depan.

Konsert yang akan berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil pada jam 8.30 malam itu menampilkan Mac Chew sebagai pengarah muzik di samping turut membariskan 26 pemuzik orkestra dengan bertemakan Bold & Classy.

Meletakkan sasaran 6,000 penonton, Pengarah Pentas konsert, Jennifer Thompson berkata, setakat ini hampir 60 peratus persiapan konsert sudah berjalan dan pihaknya berharap konsep yang dirancang berjaya dilaksanakan.

"Kami sedang mengusahakan sesuatu yang istimewa khusus buat peminat setia Anuar Zain. Walaupun tidak dapat menyatakan secara terperinci apakah konsep yang ingin kami tampilkan, apa yang pasti ia memberi suatu kenangan indah yang akan dikenang sampai bila-bila dan harus dilihat sendiri penonton nanti.


"Selain itu, istimewanya pada konsert ini ia memaparkan tayangan visual yang berlainan mengenai pembabitan Anuar sejak mula menjadi penyanyi dari zaman kanak-kanak hingga kini.


"Sebanyak 21 lagu Anuar sejak album pertama akan dipersembahkan kepada peminat di samping gabungan lagu medley yang begitu mengasyikkan," katanya.

Jennifer berkata, pastinya peminat yang hadir berasa sangat bertuah kerana menjadi penonton pertama menyaksikan kesinambungan video klip Ajari Aku berjudul Sempurnakan Aku.

Sementara itu, Pengurus Promosi konsert, Sam Kassim mengingatkan peminat Anuar supaya segera mendapatkan tiket yang semakin terhad berikutan sudah banyak yang terjual.

Tiket berharga RM598 (Gold), RM398 (Silver), RM298 (Bronze) dan RM88 (Palladium B) boleh dibeli menerusi TicketCharge (www.ticketcharge.com.my).

Konsert Anuar Zain Tiga Dekad Muzik, Cinta dan Sanubari ini adalah konsert solo pertama dipersembahkan Anuar selepas 30 tahun berada dalam industri muzik tempatan.

Malah, pemilihan tarikh 16 Februari dipilih sempena ulang tahun kelahiran Anuar ke-43 yang jatuh sehari sebelum itu.

Sam berkata, melalui konsert itu, Anuar mahu mempamerkan sesuatu yang berbeza yang belum pernah dilihat ribuan peminatnya sebelum ini.

Pendek kata, Anuar mahu menjadikan malam persembahan itu sebagai malam penuh bersejarah, intim dan dikenang sebagai yang terbaik daripadanya.

Selain itu, dalam konsert yang berlangsung selama dua jam itu, Anuar juga akan menyertakan 'footage' dan gambar nostalgia serta teknologi skrin LED.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/04



Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved