Rabu, 20 Februari 2013

Harian Metro: Arena


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Lin Dan buat hal!

Posted:

Kuala Lumpur: Lin Dan terus mencabul peraturan ditetapkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) apabila tidak menyertai Siri Super Perdana Seluruh England pada 5-10 Mac sekali gus menyaksikan perebutan kejuaraan kali ini terarah kepada pemain nombor satu dan dua dunia, Datuk Lee Chong Wei dan Chen Long (China).

Mengikut peraturan BWF, semua pemain berada dalam ranking 10 teratas dunia wajib menyertai semua lima kejohanan berstatus Siri Super Perdana.


"Tapi, Persatuan Badminton China (CBA) langsung tidak menyenaraikan nama Lin Dan untuk kejohanan ini," kata Pengurus Pemasaran Siri Super BWF, S Selvam.

Beliau mengesahkan, juara bertahan itu akan didenda AS$5,000 (RM15,512) kerana gagal menyertai kejohanan diwajibkan ke atas setiap pemain kelompok 10 terbaik dunia itu.


"Untuk Seluruh England, kami mengambil kira ranking dunia terakhir pemain pada November 2012 dan dia ketika itu berada di ranking kelapan dunia.


"Jika penganjur (England) membuat aduan dan mahu Lin Dan hadir, kami (BWF) akan menghantar surat kepada CBA, meminta pemain itu menghadirkan diri dan meminta surat tunjuk sebab mengapa dia tidak mengambil bahagian," kata Selvam.

Foto

Lin Dan

Berdasarkan ranking semasa, Lin Dan kini berada di kedudukan ke-14 dunia.


Chong Wei pula enggan memandang isu lain selain fokus kepada permainannya pada kejohanan itu.

"Tidak kira siapa juga lawan kerana tanpa Lin Dan, status sebagai nombor satu dunia sentiasa menjadi buruan pemain lain yang mahu menewaskan saya," kata Chong Wei, juara 2010 dan 2011 serta naib juara tahun lalu.


Pemain utama negara itu membuka saingan menentang pemain Hong Kong, Wong Wing Ki pada pusingan pertama dan diramal mudah ke final, dengan pemain seperti Wang Zhengming (China), Nguyen Tien Minh (Vietnam), Du Pengyu (China), Hu Yun (Hong Kong) serta Sho Sasaki (Jepun) dan Taufik Hidayat (Indonesia) berada dalam laluannya memburu kejuaraan ketiga di England.


Chen Long yang layak ke suku akhir tahun lalu pula meniti laluan lebih getir berbanding Chong Wei.


Selepas berdepan pemain Thailand, Boonsak Ponsana pada pusingan pertama, Kenichi Tago (Jepun) dijangka menjadi lawan di suku akhir dengan kemungkinan pemain yang kembali meningkat prestasi, Sony Dwi Kuncoro (Indonesia) ataupun Chen Jin (China) menjadi lawan separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/20

KAFA ketepikan tiga pemain

Posted:

Kota Bharu: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) akan menyingkirkan tiga pemain menjelang April bagi memberi ruang kepada tiga muka baru untuk mengatasi krisis ketumpulan jentera serangan.

Penasihat KAFA, Tan Sri Annuar Musa berkata, keputusan menyingkirkan tiga pemain yang tidak dinyatakan itu terpaksa dilakukan demi kepentingan pasukan yang kini berdepan kemarau kemenangan sepanjang pusingan pertama Liga Super musim ini.


Katanya, KAFA juga terpaksa menyingkirkan tiga pemain bagi memenuhi kuota 25 pemain seperti ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum mendaftarkan tiga muka baru.

"Tiada masalah lain yang dihadapi kecuali ketiadaan penyerang. Bagi mengatasi masalah ini, kami terpaksa singkirkan tiga pemain bagi membawa masuk tiga pemain lain yang lebih hebat.


"Saya tidak akan sebut nama pemain kerana tidak mahu mereka terganggu. Mereka yang akan disingkirkan bukannya tidak bagus tapi kami terpaksa lakukan demi kepentingan pasukan," katanya pada sidang media Majlis Penyerahan Penajaan Kereta Oleh Syarikat Secretleaf di Kafe The Red Warriors, di sini, semalam.


Turut hadir, Pengarah Urusan Secretleaf, Amir Ramadzan Ibrahim. Pada majlis itu, KAFA menerima tajaan sebuah kereta Proton Persona bagi kemudahan pengangkutan persatuan induk bola sepak negeri itu.

Ketika ditanya adakah pemain import dari Guinea, Keita Mandjou tersenarai dalam penyingkiran itu, Annuar dalam nada tegas meminta supaya dihentikan khabar angin seperti itu.


Katanya, Mandjou masih berada dalam pasukan dan berhak bermain. "Keita memang berhak bermain. Khabar angin seperti itu hanya menjatuhkan moralnya.

"Yang penting, pemain perlu bermain bersungguh-sungguh dan masalah ketiadaan penyerang ini akan diselesaikan pengurusan KAFA." Sementara itu, Amir Ramadzan berkata, pihaknya teruja dapat menaja Kelantan kerana pasukan itu mempunyai kelebihan tersendiri berbanding pasukan lain.


"Kami juga akan membawa dua penyokong yang memenangi peraduan 'Beli Dan Bola' untuk menyaksikan perlawanan Piala AFC di Vietnam pada 10 April.


"Peraduan ini bermula 15 Februari hingga 15 Mac. Kami menyediakan tiket penerbangan dan kemudahan penginapan tiga hari dua malam kepada dua pemenang itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/20
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved