Rabu, 20 Februari 2013

Harian Metro: Rap


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Ingin watak mencabar

Posted:

Bermula dengan watak Puteri Aishah dalam drama bersiri Syurgamu Ramadan arahan Shahrulezad Mohameddin empat tahun lalu, nama pelakon berbakat, Zarina Zainoordin terus menyerlah dengan watak antagonis.

Malah, kini watak antagonis sudah cukup sinonim dengan dirinya selepas sembilan tahun berkecimpung dalam bidang lakonan.

Antara watak antagonis lakonannya yang masih meninggalkan kesan mendalam pada penonton ialah dalam Saka Jentayu, telefilem Berselindung Di sebalik Kaabah, Ameera dan Mimpi Cinderella.

Secara peribadi, Zarina, 29, mengakui dia selesa melakonkan watak antagonis sekali gus menyahut cabaran yang diberikan pengarah.

Foto

SYAFIEQ memberi sentuhan pada wajah Zarina.

Foto

DI SEBALIK tabir sesi fotografi.

Foto

Azlee Khairi


"Walaupun sering membawakan watak berkenaan, tetapi saya pastikan watak hitam itu ada variasi dan bukan stereotaip supaya penonton tidak bosan.


"Contohnya, watak Zila dalam drama Ameera pada mulanya wanita kampung yang baik tetapi dia berubah menjadi 'psiko', gila, meroyan dan tekanan perasaan apabila diminta menyerahkan anaknya pada wanita lain yang tidak boleh mengandung.

"Namun, dalam Berselindung Di sebalik Kaabah, saya bawa watak wanita bertudung yang nampak baik tetapi sebaliknya dia seorang yang jahat, manakala, dalam drama Mimpi Cinderella arahan Azmi Hatta, watak Lorna dilakonkan adalah sama seperti karakter Meryl Streep dalam filem Devil Wears Prada," katanya.

Apapun, Zarina mengakui dia sangat bersyukur dengan pencapaiannya dalam bidang lakonan hari ini kerana sudah mampu memegang watak utama dan pelbagai karakter serta dapat bekerja dengan pengarah hebat yang diimpikan seperti Shahrulezad dan Murali Abdullah.

"Banyak ilmu lakonan yang ditimba sepanjang bekerja dengan Shahrulezad dulu. Bayangkan saya terpaksa ulang salah satu babak sebanyak 20 kali untuk menjiwai watak Puteri Aishah dalam Syurgamu Ramadan itu. Shahrulezad juga mengajar saya supaya tidak menghafal skrip sebaliknya memahami apa yang dikehendaki sesuatu karakter itu.

"Begitu juga dengan Murali yang tahu buka 'kunci hati' seseorang pelakon untuk menjayakan babak menangis dalam drama. Maklumlah, setiap pelakon ada kelemahan masing-masing.

"Antara kelemahan saya sendiri ialah sukar untuk melakonkan watak orang mati, pengsan, babak peluk dalam cerita romantik. Namun, sebenarnya ada teknik tertentu untuk mengatasi kelemahan itu seperti dikehendaki skrip," katanya.

Berkongsi watak diimpikan pula, kata Zarina, dia menanti watak lebih mencabar seperti watak baik dan wanita cacat seperti buta dan sebagainya lagi.

"Sebenarnya, bawa watak antagonis lebih senang orang nampak berbanding watak baik yang ternyata lebih mencabar kredibiliti seseorang pelakon itu.

"Pada masa sama, berlakon adalah periuk nasi dan saya juga berlakon bukan untuk kejar trofi. Justeru, saya sudah berasa puas jika karakter dilakonkan memberi impak pada penonton," katanya.

Drama baru lakonannya yang ditayangkan ketika ini ialah Janji Shirah di stesen TV3. Tidak ketinggalan, drama Kerana Lelaki Itu yang bakal bersiaran untuk slot Ratu di TV9.

Menyentuh karier nyanyian pula, penyanyi yang digilap dari program Akademi Fantasia musim kedua ini menegaskan cabang seni itu masih sebati dalam dirinya sampai sekarang.

"Saya memang suka menyanyi dan menonton persembahan 'live band'. Bila suka tengok 'live band' bukan bermaksud saya gadis sosial dan suka berparti seperti digosipkan orang kerana cerita itu tidak betul sama sekali.

"Pada masa sama, saya masih memenuhi undangan persembahan majlis makan malam bila ada kelapangan. Dari segi album baru pula saya masih mencari lagu yang sesuai dengan trend pasaran muzik sekarang. Maklumlah, saya buat lagu dengan duit sendiri dan pasti saya inginkan hasil terbaik," katanya.

Zarina selesa di samping Azlee Khairi

Sudah heboh orang memperkatakan hubungan Zarina dengan model dan pelakon baru berusia 23 tahun, Azlee Khairi, ketika ini.

Namun, Zarina pula nampaknya tidak ingin terlalu menguar-uarkan cerita peribadinya itu.

"Memang kami berkawan rapat selepas berlakon sama dalam drama Dingin Lagenda dan ia sudah berjalan selama setahun. Saya akui selesa berkawan dengannya kerana dia seorang yang matang dan bertanggungjawab pada keluarga. Saya juga tidak melihat perbezaan usia penghalang untuk kami berkawan. Soal jodoh pula, saya serahkan pada ketentuan Tuhan," katanya.

Bagaimanapun, kata Zarina, dia memang sudah bersedia untuk membina keluarga.

"Saya teringin ingin berkeluarga dan memiliki anak sendiri. Maklumlah, teman seusia semuanya sudah berkahwin dan memiliki anak sendiri. Saya akur jodoh belum sampai lagi. Keluarga terutama emak cukup memahami dan tidak pernah mendesak soal kahwin.

"Saya juga jarang ke majlis perkahwinan kerana tidak suka diasak soal kahwin lagi yang boleh beri tekanan pada saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/19

'Zaman maki hamun dah berlalu'

Posted:

Perjalanan pelakon, Mohamad Shoffi Jikan, 43, atau nama komersialnya, Soffi G, mengorak langkah dalam bidang lakonan tidak semudah artis lain. Dia bermula dengan kru produksi, kemudian berlakon teater dengan bayaran amat kecil dan seterusnya mencuba nasib sebagai pelakon tambahan dengan bayaran sebanyak RM20.

Berbekalkan dengan segala kepayahan itu, Soffi sedar diri dan kejayaan yang dikecapinya sekarang tidak menjadikannya alpa. Kesukaran untuk mencipta nama membuatkannya bekerja keras dan kini muncul antara pelakon hebat yang seharusnya menjadi contoh kepada artis baru. Lakonan terbarunya dapat disaksikan dalam filem Rock Oo! arahan Mamat Khalid yang akan menjengah pawagam di seluruh negara pada 28 Februari ini.

Bersama Wartawan RAP, Harian Metro, NOR AKMAR SAMUDIN (akmar@hmetro.com.my) Soffi berkongsi pendapat dan aspirasi perjuangannya sebagai anak seni.

RAP: Ada yang membuat andaian anda hanya akan bekerja dengan pengarah tertentu saja?

SOFFI: Saya tidaklah terlalu memilih, cuma saya suka bekerja dengan orang yang berbudi bahasa, daripada produser hingga pengarah, biarlah mereka daripada golongan yang tahu menjaga hati.

Zaman pengarah maki hamun pelakon dan kru sudah berlalu. Saya faham pengarah penat di lokasi tetapi janganlah suka memaki kru dan pelakon kerana mereka ada perasaan dan mereka pun letih juga. Kalau hati sedang marah dan dimaki lagi, perasaan akan jadi berkecamuk dan hasil kerja mesti tidak bagus kerana ada dendam serta geram dalam hati.

Dulu saya seorang yang panas baran tetapi selepas jadi pelakon jiwa saya jadi halus, sensitif dan cepat faham perasaan orang lain. Jadi, jika ada tawaran berlakon saya lihat siapa produser dan pengarahnya kerana saya senang bekerja dengan orang yang tahu menghormati orang lain.

Kini, saya juga mencari peluang untuk bekerja dengan syarikat yang ada potensi besar dalam industri seperti dengan KRU, Grand Brilliance Sdn Bhd (GBSB) dan White Merpati Entertainment Sdn Bhd.

RAP: Pada pandangan anda apakah yang dimaksudkan dengan karya yang bagus?

SOFFI: Sebuah karya yang bagus apabila kita membaca skripnya, hati kita mudah tersentuh hingga menitiskan air mata dan mempunyai nilai kemanusiaan yang tinggi. Ada juga skrip yang tidak bagus tetapi masih lagi boleh diperbaiki dan hasilnya akan jadi sebuah naskhah yang bagus.

RAP: Falsafah, misi dan visi anda berbeza daripada pelakon popular hari ini?

SOFFI: Seperti saya katakan tadi, saya bermula dari bawah, sebab itu pandangan saya terhadap industri berbeza dengan pelakon baru kerana mereka mencipta nama dengan cara mudah.

Saya seronok berlakon dengan orang yang hebat tetapi saya tak boleh bekerja dengan orang yang berlagak. Kehebatan seorang pelakon bukan apabila dia asyik bercakap mengenai dirinya saja, tetapi kita kena angkat orang lain dan kita akan nampak cantik apabila berdiri di sebelahnya. Sebelum kita sendiri berjaya kita mesti menolong orang lain berjaya dulu.

Apa yang lihat, ada segelintir pelakon yang suka 'mencaras' atau menganiaya orang lain asalkan cita-citanya tercapai. Saya pernah bekerja dengan syarikat pembinaan dan biasa bergaul dengan buruh warga Indonesia dan Bangladesh. Hasil daripada pergaulan itu, apabila saya ditawarkan berlakon dalam KL Gangster, watak yang dibawa sudah sebati dengan saya.

Dalam Rock Oo!, jalan cerita dan watak yang diberikan kepada saya juga dekat di hati kerana saya bukan anak orang kaya. Dalam Rock Oo! dan kehidupan nyata, kami sama-sama berjuang untuk hidup.

Ketika saya berlakon teater dulu, bayaran sangat kecil dan saya makan sehari sekali. Waktu itu saya dan kawan-kawan cukup suka apabila produser me-
ngadakan majlis pelancaran atau majlis tamat pementasan kerana dapat makan percuma!

RAP: Walaupun sudah berlakon berpuluh drama dan telefilem, selepas berlakon dalam KL Gangster dan Jalan Kembali Bohsia 2 baru anda benar-benar popular? Apakah ada perbezaan antara dulu dan sekarang?

SOFFI: Ramai yang berada di puncak akan jatuh. Saya tak mahu jadi macam itu. Apabila saya berasakan diri sudah berada di atas saya cepat-cepat ingat semula keadaan saya ketika orang tak mahu ambil saya berlakon dulu. Keadaan itu membuatkan saya sedar diri dan saya juga meletakkan diri saya sebagai pejuang, pekerja dan bukannya pelakon.

RAP: Siapa pelakon yang menjadi idola anda?

SOFFI: Saya amat menghormati pelakon lama seperti Wan Hanafi Su, Ahmad Yatim, Eman Manan, Sidi Oraza, Fauziah Nawi, Khatijah Tan, Khalid Salleh dan Nasir Bilal Khan. Orang inilah yang patut diangkat oleh industri. Wan Hanafi misalnya, dia pelakon yang sangat hebat dan lakonan saya masih separuh daripada persembahannya. Kami berlakon sama dalam filem Bunohan dan dia belum ada tandingan.

Saya kurang faham kenapa nama mereka sering tercicir dalam Festival Filem Malaysia (FFM) kerana merekalah penggerak sebenar industri seni tanah air. Wan Hanafi sangat menjiwai karektor, cukup dengan melihat cara dia duduk dan berjalan, kita sudah memahami gejolak di hatinya. Orang seperti dialah yang perlu kita hargai kerana dia dan rakan seangkatannya adalah panduan kepada pelakon muda tetapi sayang sekali saya tengok orang muda sekarang berlagak. Bukan saja tidak mahu menghormati malah tidak mahu belajar daripada pelakon senior.

RAP: Hala tuju anda dalam industri?

SOFFI: Saya tak sangka yang saya akan jadi pelakon dan selepas berjaya beraksi dalam filem, saya tidak menoleh ke belakang lagi. Kebanyakan filem yang saya lakonkan mendapat anugerah selain mencatat kutipan pecah panggung.

Selagi diperlukan saya akan terus berada dalam industri dan ia sebahagian daripada tanggungjawab sosial saya kepada masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/19
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved