Isnin, 4 Februari 2013

Harian Metro: Rap


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Ikut suami menetap di Sabah

Posted:

Tiada saat lebih membahagiakan selain saat diijab kabul bersama lelaki idaman yang akhirnya sah bergelar suami dan menjadi teman untuk melayari kehidupan selepas ini.

Begitulah juga dirasakan pelakon dan penyanyi, Liyana Jasmay, 25, saat empunya diri mendengar sendiri lafaz daripada Fathuddin Mazlan, 29, pada majlis akad nikah yang berlangsung ringkas di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Yang jelas, penya­nyi Cinta Bersatu itu kelihatan tenang dan bahagia meskipun dalam hatinya siapa tahu debaran untuk melangkah ke alam berumah tangga.

Menjelaskan dia memang sudah bersedia untuk menempuh kehidupan suami isteri, Liyana ternyata seperti tidak percaya kini dia bukan lagi berstatus solo.

Foto

KUCUPAN sayang daripada suami.

Foto

SESI merenjis oleh tetamu khas.

Foto

PASANGAN mempelai memotong kek.

Foto

MENGABADIKAN potret bersama ayah dan ibu tercinta masing-masing.


"Saya rasa macam bermimpi pun ada. Tidak sang­ka akhirnya saya jumpa dan mengahwini lelaki idaman saya. Semestinya kehidupan selepas ini berbeza kerana sudah bergelar isteri, namun saya benar-benar rasa bahagia sekarang ini.


"Fathuddin adalah lelaki yang cukup sempurna buat saya dan yakin dia juga akan menjadi suami terbaik," katanya sejurus tamat majlis akad nikah yang bermula jam 9 pagi itu.

Dengan dua kali lafaz tepat jam 10.26 pagi, Liyana sah bergelar isteri kepada Fathuddin yang dinikahkan sendiri bapanya, Datuk Jasmay Md Shah dengan mas kahwin seutas gelang tangan emas bernilai RM5,500.

Liyana menerima lima dulang hantaran daripada pe­ngantin lelaki berupa tas tangan, wang hantaran bernilai RM28,300.88 dalam bentuk cek, sirih junjung, set bara­ngan kemas iaitu cincin, rantai dan anting-anting serta mas kahwin.

Fathuddin pula menerima tujuh dulang merangkumi sirih junjung, kek, buah anggur, kasut kulit Prada, jam tangan Tag Heuer, cincin Bvlgari dan dompet Louis Vuitton (LV).

Anggun dalam persalinan rona putih rekaan Jovian Mandagie, senyuman Liyana juga tidak lekang saat berdampi­ngan dengan Fathuddin sebaik selesai upacara berkenaan dan menarik nafas lega apabila segalanya berjalan lancar.

Meneruskan acara resepsi pada sebelah malamnya di Dewan Merdeka, Pusat Daga­ngan Dunia Putra (PWTC), atur cara majlis berkenaan cukup ringkas namun pastinya bermakna buat pasangan mempelai itu.

Dihadiri kira-kira 1,000 tetamu termasuk dalam kalangan rakan selebriti, sewaktu perarakan masuk ke dalam dewan, Liyana menggayakan sekali lagi persalinan berona putih rekaan Jovian manakala pada acara potong kek, dia memakai gaun rekaan Rizman Ruzaini.

Dimulakan dengan acara merenjis, upacara malam itu diteruskan dengan sesi jamuan sambil dihiburkan band yang juga rakan baik Liyana, AG & The Co menyanyikan lagu-lagu pilihannya khas buat Fathuddin termasuklah Love (Nat King Cole), Selalu De­nganmu (Tompi), Linger (The Cranberries) dan banyak lagi.

Ditanya me­ngenai peranca­ngannya untuk berbulan madu, Liyana berkata, dia mengikut saja pilihan lokasi Fathuddin yang lebih gemar bersantai di pantai dan mahukan ketenangan.

"Selesai saja acara ini, dalam pertengahan Februari saya akan terbang semula ke New York untuk tujuan kerja dan Fathuddin akan ikut sekali. Kemudian, kami akan singgah pula ke kota London untuk membeli-belah.

"Namun kami tidak bercadang berbulan madu di sekitar sana kerana 18 Mac nanti kami akan pulang ke Sabah dan mungkin mencari mana-mana tempat peranginan di sana untuk bulan madu," katanya yang memutuskan untuk menetap di Sabah selepas ini mengikut suaminya.

Tidak ambil pusing kontroversi

Beberapa hari sebelum menempuh detik bahagianya, umum turut dikejutkan dengan kontroversi yang tercetus mengenai isu gambar praperkahwinan pelakon Khurafat ini.

Bagaimanapun, lali dengan asam garam sebagai artis, Liyana berkata, kontroversi itu langsung tidak menggugat persiapannya malah tidak terlintas di benaknya untuk dipedulikan.

"Mengambil kira pembabitan saya dalam industri sejak kanak-kanak lagi, biasalah perkara sebegitu akan menimpa tidak mengenal masa. Namun, bukan alasan untuk saya pening memikirkan kerana apa yang paling penting adalah hari bahagia saya.

"Apatah lagi Fat­hud­din, dia langsung tidak membaca mengenai la­­poran isu berkenaan dan memang tiada kesan pun ke atas fokus kami," katanya me­­ngulas mengenai isu salah faham antaranya dengan seorang jurugambar bebas.

Sementara itu, Liyana yang bakal terbang semula ke New York pada 15 Februari ini untuk menjalani penggambaran telemovie sehingga 27 Februari nanti juga kini muncul dengan single terbaru berjudul Jujur.

Antara rakan artis yang hadir termasuklah Datin Paduka Umie Aida dan suami, Datuk Paduka Khairuddin Abu Hassan, Yusry dan Lisa Surihani, Awal Ashaari dan Scha Al Yahya, Farish Aziz, Rashidi Ishak dan Vanidah Imran, Marsha Londoh, Dafi, Datin Sofia Jane, Eja, Tam Suhaimi, Fazura, Erma Fatima dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/04

Warna ceria majlis sanding

Posted:

Mata terpaku pada kejelitaan dan ketampanan pasangan mempelai saat melintasi permaidani merah menuju ke pelamin yang dihias begitu indah. Tetamu yang diundang tidak kurang hebatnya apabila masing-masing melaram sakan.

Itu antara secebis memori tatkala berlangsungnya majlis persandingan aktres berbakat besar, Liyana Jasmay dan Fathuddin Mazlan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Sabtu lalu.

Bertemakan hitam putih, rata-rata selebriti yang hadir memilih warna yang tidak memenuhi tema lantas membiaskan lagi keceriaan pada malam penuh bererti buat pasangan mempelai.

Fazura misalnya, memilih persalinan rona ungu sentuhan pereka kegemarannya, Rizman Ruzaini manakala Dafi tampak begitu ceria dengan sepasang baju Melayu dari jenama Lats Collection.


Marsha pula menawan dengan persalinan rona 'turquoise' berpotongan ala-ala 'cheongsam'.


Pasangan sama cantik sama padan, Awal Ashaari dan isterinya, Scha Al-Yahya, juga tidak kurang hebatnya dengan kombinasi pakaian mereka, begitu juga merpati dua sejoli, Lisa Surihani dan suaminya, Yusry Abdul Halim.

Antara nama-nama besar lain yang turut memeriahkan majlis persandingan Liyana dan Fathuddin adalah Sofia Jane, Sharifah Eja, Farid Kamil, Sharifah Sakini, Dira Abu Zahar, Ana Dahlia, Tam Suhaimi, Zain Ruffedge termasuk Vanidah Imran, suami, Rashidi Ishak serta anak-anak.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/04
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved