Selasa, 5 Februari 2013

Harian Metro: Rap


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Pakej lengkap tarik peminat

Posted:

Kuasa media sosial mengangkat ramai bakat terutama YouTube memang trend paling sebati dalam industri muzik masa ini. Tidak perlu disebut nama yang sudah menempa kejayaan dan pastinya medium ini ketara menjadi lubuk mencungkil penyanyi baru.

Terbaru, muncul seorang remaja berusia 16 tahun yang pada mulanya hanya suka-suka berkongsi suara sedapnya di laman berkenaan. Namun, Austin Mahone kini bukan lagi bermimpi kerana syarikat rakaman gergasi, Chase/Universal Republic Records akhirnya mempercayai kebolehan anak jati San Antonio, Texas, Amerika Syarikat itu.

Dicanang hebat menjadi saingan terbaru Justin Bieber, selain bakat menyanyi, Austin juga memiliki wajah tampan yang pastinya boleh dijadikan sandaran menarik peminat.

Sebelum dilamar syarikat rakaman, Austin sudah mencetuskan fenomena di YouTube apabila klip video nyanyiannya ditonton jutaan orang. Sehubungan itu, Austin dilihat cukup berpotensi mengikut jejak bintang YouTube muda lain termasuklah Grayson Chance dan Bieber.

Foto

FENOMENA terbaru YouTube ini berazam menjadi bintang terkenal.


Dalam temu bual eksklusif bersama RAP menerusi telefon, baru-baru ini, Austin mengakui biarpun alam glamor ini terlalu baru buatnya namun dia cukup teruja untuk menempuhnya dan tidak sabar berkongsi muziknya di seluruh dunia.


"Saya sebenarnya tidak menjangkakan akan pergi sejauh ini kerana apa yang saya tunjukkan di YouTube adalah sekadar untuk mengisi masa lapang, suka-suka dan kepuasan sendiri.

"Minat terhadap muzik yang mendalam itu mendorong saya berani tampil dan membikin video nyanyian menerusi lagu 'cover version' di laman itu. Sejurus dihubungi mengenai tawaran untuk bernaung di bawah syarikat rakaman Universal, saya terkedu seketika dan seakan-akan bermimpi adakah benar panggilan itu," katanya yang kelihatan masih kekok de­ngan sesi temu bual itu.

Memperjuangkan muzik genre pop, Austin yang tidak ketinggalan membuat 'cover version' beberapa lagu Justin di YouTube termasuklah Baby dan Mistletoe tidak kisah disamakan dengan penyanyi berkenaan.

"Siapa boleh nafikan, Justin memang bukan calang-calang artis dan menjadi inspirasi buat penyanyi muda di luar sana tidak terkecuali saya sendiri. Bukan saja dia memiliki pakej lengkap berwajah tampan dan bakat nyanyiannya besar, malah muziknya sungguh bagus.

"Dia mempunyai rekod cemerlang dan setiap kali muncul dengan karya baru, pasti lagunya menjadi hit. Jadi melihat kejayaannya itu, mengapa tidak saya menjadikan dia inspirasi?" katanya.

Austin berkata, tawaran daripada syarikat rakaman itu peluang yang tidak boleh disia-siakan dan dia bercita-cita mahu menakluk dunia tidak lama lagi.

"Inilah yang saya idam-idamkan selama ini untuk berkarya dan bersyukur usaha keras selama ini membuahkan hasil. Bukan mahu terlalu riak tapi saya akan terus berusaha selepas ini lebih-lebih lagi kini mempunyai pengurusan yang cukup kuat.

"Pastinya impian utama saya untuk mencipta fenomena dan nama kukuh dalam industri setanding artis terkenal yang ada dan dikenali sehingga saat ini.

"Akhirnya dapat peluang berjabat tangan dan bertemu sendiri dengan beberapa superstar termasuklah Taylor Swift serta Jason Derulo untuk menguatkan lagi sema­ngat memberikan yang terbaik," kata­nya.

Sambung belajar di rumah

Mendapat sokongan penuh daripada keluarganya, sebaik menandatangani kontrak dengan Universal, Austin yang belajar di Lady Bird Johnson High School mengambil keputusan berhenti sekolah.

Disebabkan popularitinya semakin memuncak dan jadual karier yang baru bermula itu semakin padat, dia memilih untuk belajar di rumah.

Tidak kesal mengambil keputusan itu, Austin mendapati dia lebih selesa dengan persekitaran begitu.

"Di sekolah terlalu banyak komitmen yang perlu kita hadapi dan tidak mustahil akan terganggu dengan kesibukan saya sekarang ini. Jadi, daripada saya bingung memikirkan semua itu, lebih baik terus berhenti dan belajar di rumah.

"Apapun, ia bukan alasan untuk saya bersenang-lenang kerana saya masih perlu fokus kepada pelajaran pada masa sama. Bagaimanapun, saya rasa lebih bebas begini kerana boleh membahagikan masa mengikut kehendak saya," katanya yang tinggal bersama ibunya.

Austin mula dikenali pada 2011 apabila memuat naik beberapa videonya di YouTube menyanyikan 'cover version' pelbagai lagu popular. Dari situ, pengikutnya meningkat sedikit demi sedikit dan akhirnya 2012 jadi titik permulaan baru baginya.

Sehingga kini, dia sudah melancarkan dua single dan yang terbaru, Say Something pada Jun 2012 selepas 11:11 (Februari 2012). Say Something berjaya menduduki tempat ke-34 carta Billboard Pop Songs dan turut menjadi penyanyi termuda tersenarai di carta Billboard Social 50 di kedudukan ke-38.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/04

Didenda curi gas dalam makmal

Posted:

Semalam, siri pertama Jejak Bintang mengimbas cerita Umie Aida ketika zaman kanak-kanak dan remajanya hingga bergelar aktres disegani tanah air seperti diceritakan ibunya, Asmah Mohd Ali, 65.

Dalam siri kedua Jejak Bintang hari ini, kita singkap pula zaman persekolahan Umie di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puteri Titiwangsa, Jalan Temerloh, Kuala Lumpur.

Bagaimanakah sikap dan perwatakan Umie ketika di bangku sekolah? Kenapa Umie dan rakannya pernah ditangkap guru disiplin ketika di tingkatan satu Seroja?

Ikuti kisahnya seperti yang diceritakan rakan karibnya, Rosemelia Sulaiman, 40.


"Saya mula berkawan rapat dengan Umie selama tiga tahun iaitu ketika sama-sama menuntut di tingkatan satu hingga tingkatan tiga. Kami dari sekolah rendah yang berbeza dan bertemu ketika di sekolah menengah.


"Kami ditempatkan dalam kelas yang sama dan duduk sebelah menyebelah. Selepas itu, kami terus berkawan rapat selama tiga tahun belajar di situ," katanya.

Rosemelia berkata, dia selesa berkawan dengan Umie kerana dia seorang kawan yang baik, prihatin dan suka membantu orang lain. Umie juga seorang pelajar yang bijak dan sifat kepemimpinannya cukup terserlah ketika mereka menuntut di sekolah menengah.

"Selain bijak dalam akademik, Umie juga seorang yang tegas, berani dan mempunyai sifat kepemimpinan ketika di sekolah. Umie juga banyak pegang jawatan di sekolah iaitu Penolong Ketua Kelas 1 Seroja dan seterusnya ketua kelas apabila masuk tingkatan dua dan tiga.

"Pelajar kelas kami pula ramai yang keturunan Cina kerana kelas peralihan dan mereka memang takut dengan Umie yang garang dengan mereka yang nakal dalam kelas," katanya.

Katanya, jika nak diikutkan, terlalu banyak kena­ngan manis yang dikongsi Rosemelia dengan Umie sepanjang menuntut di sekolah menengah dulu.

"Sebagai remaja, kami selalu meluangkan masa bersama lepas habis sekolah setiap Jumaat dan tempat lepak popular ialah di Perpustakaan Negara yang ketika itu di Jalan Raja Laut.

"Selain itu, rumah Umie di Setapak Garden juga selalu menjadi tempat lepak 'wajib' bila habis sekolah untuk menikmati lauk kegemaran kami berdua iaitu sambal tumis ikan bilis yang dimasak pembantu rumahnya.

"Maklumlah, saya tinggal di Sentul dan rumah Umie sering menjadi tempat lepak kami. Boleh dikatakan kami sangat rapat hingga makan pun sepinggan dan tidur sebantal ketika itu," katanya.

Rosemelia berkata, mereka juga berkongsi minat sama dengan menyertai pasukan hoki sekolah.

"Kami berdua memang suka glamor, sebab itu kami masuk pasukan hoki sekolah kerana boleh pakai 'skirt' pendek. Saya juga tidak nafikan, Umie juga popular di sekolah dan pernah ada guru lelaki yang menaruh hati padanya," katanya.

Didenda gara-gara warnakan rambut

Berkongsi kenangan yang sukar dilupakan pula, kata Rosemelia, mereka pernah didenda guru disiplin kerana berani mewarnakan rambut warna perang di sekolah.

"Saya masih ingat, kami memang nakal dan berani kerana mewarnakan rambut perang dengan mencuri gas hidrogen dalam kelas makmal sains. Apa lagi, kami terus dipanggil guru disiplin ke dalam biliknya diminta menghitamkan semula rambut dengan segera. Apa yang lucu, kami terus hitamkan semula rambut dengan menggunakan celak India saja!

"Antara kenangan lain yang masih segar di ingatan ialah ketika kami didenda dengan menghantuk kepala sama sendiri kerana bercakap ketika cikgu mengajar dalam kelas Perdagangan ketika itu," katanya.

Ditanya bila Umie menunjukkan minatnya dalam bidang seni, Rosemelia berkata, dia sudah nampak bakat Umie dalam bidang nyanyian kerana sering memasuki pelbagai pertandingan nyanyian peringkat sekolah.

"Dia memang minat menyanyi sejak di tingkatan satu. Masa di tingkatan empat, dia sudah terbabit sebagai model dan wajahnya juga sudah keluar majalah hiburan. Saya juga tahu kakaknya, Erma Fatima terbabit dalam bidang lakonan dan saya turut tumpang glamor sebab berkawan dengan adik artis," katanya.

Rosemelia berkata, selepas peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) (sekarang Penilaian Menengah Rendah - PMR), mereka terpaksa berpisah kerana dia memohon ke Sekolah Vokasional untuk mengikuti kursus kecantikan.

"Umie masih meneruskan persekolahannya di SMK Puteri Titiwangsa hingga tamat tingkatan lima. Selepas saya berpindah ke sekolah vokasional, Umie juga sudah mula berkawan dengan Erra Fazira. Namun, kami tetap berjumpa bila musim cuti sekolah untuk melepaskan rindu," katanya.

Selepas sekian lama terpisah, mereka bertemu semula apabila Umie terbabit dalam drama Pengantin Popular ketika berusia 18 tahun.

"Saya juga sudah berkahwin dan memiliki keluarga sendiri. Secara kebetulan, suami saya terbabit dengan produksi Erma dan di situlah kami bertemu semula dan mengimbas kenangan ketika zaman persekolahan dulu.

"Apapun, sebagai kawan baiknya ketika zaman sekolah, saya tetap ikuti perkembangan Umie di akhbar mahupun majalah termasuk menonton drama dan filem lakonannya. Terus terang, kenangan kami ketika zaman persekolahan dulu tetap terpahat dalam ingatan," katanya menutup perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/04
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved