Ahad, 17 Mac 2013

Harian Metro: Arena


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Apa yang tak kena?

Posted:

Kuala Lumpur: Bagaikan ada sesuatu yang tidak kena dengan perkembangan beregu utama negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong ketika ini selepas terus terkandas, yang terbaru di Seluruh England minggu lalu.

Meskipun pelbagai 'gertakan' diberi terhadap mereka sejak beberapa tahun lalu, apa yang diharapkan masih gagal diubah.


Apatah lagi, kejohanan itu satu daripada dua pengukur ditetapkan terhadap mereka selain Kejohanan Dunia yang berlangsung di Guangzhou, China pada Ogos.

Justeru, sudah tiba masanya Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengambil pendekatan tegas terhadap kedua-dua pemain andai keadaan masih tidak berubah.


"Mereka sudah diberi masa, tunggu saja hingga Kejohanan Dunia," kata bekas beregu kebangsaan, Cheah Soon Kit.


Soon Kit yang bergandingan dengan Yap Kim Hock pernah mengharumkan nama negara apabila memenangi pingat perak Olimpik Atlanta 1996, pencapaian yang masih gagal diulangi beregu terbabit biarpun pernah mencuba pada Olimpik 2008 dan 2012.

Foto

KIEN Keat (kiri), Boon Heong masih lagi pamer aksi buruk walau sudah diberi amaran.

Satu lagi beregu negara yang pernah melakar kejayaan di Olimpik, pasangan adik beradik, Razif dan Jalani Sidek memenangi gangsa Olimpik 1992.


Soon Kit yang kini menggalas tugas di Akademi Badminton Looi menegaskan, selepas tempoh itu berakhir, biarlah BAM menentukan nasib mereka sama ada masih terus dikekalkan atau sebaliknya.

"Jika gagal, BAM harus melakukan sesuatu memandangkan mereka sudah diletakkan dua kejohanan sebagai penanda aras.


"Apapun BAM perlu tegas dengan tindakan mereka, tidak kira sama ada beregu itu bermain dengan baik atau sebaliknya." Realitinya, menurut beliau, gandingan itu masih beregu terbaik negara ketika ini dan masih sukar untuk gandingan lain mengejar kedudukan mereka.


"Menurut analisis saya, beregu kedua negara, Hoon Thien How-Tan Wee Kiong juga masih belum mencapai tahap terbaik mereka meskipun sudah sekian lama digandingkan.


"Mungkin ada perkara tidak kena yang kita tidak ketahui dan sesuatu perlu dilakukan untuk mengatasinya. Kien Keat-Boon Heong berada dalam kelompok lima terbaik dunia ketika ini dan sukar untuk beregu tempatan lain mengatasi mereka.


"Biarpun ada muka baru yang mula menunjukkan potensi, pencapaian mereka juga masih jauh untuk menyamai kedudukan Kien Keat-Boon Heong dan saya fikir ia sesuatu yang sukar."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/16

Usah pindah!

Posted:

London: Pengurus Fulham Martin Jol menggesa Gareth Bale untuk terus kekal di Tottenham dan menjadi legenda di White Hart Lane.

Jol mengendalikan Spurs ketika Bale menyertai kelab itu dari Southampton dan mereka kembali bersatu apabila dia membawa pasukannya, Fulham untuk berdepan anak buah Andre Villas-Boas di utara London, malam ini.


Bale yang kembali menyertai barisan pemain Spurs tidak beraksi sewaktu pasukannya tewas kepada Inter Milan pada aksi Liga Europa dijangka menerima tawaran lumayan daripada kelab ternama Eropah sebaik musim ini berakhir.

Begitupun bekas pengurusnya percaya pemain tengah Wales itu lebih baik jika terus bersama Spurs.


"Saya lihat Bale di Southampton ketika dia berusia 15 tahun, kami memantaunya dan pasukan lain cuba mendapatkannya tapi saya memberi kata dua kepada ibunya untuk meyakinkan pemain itu datang menyertai Spurs," kata Jol.


"Apa yang saya jangkakan memang benar, dia pemain terbaik di Liga Perdana Inggeris ketika ini dan membuktikannya setiap minggu.

"Saya menurunkannya pada perlawanan pertama menentang Manchester United dan statistik ditunjukkannya lebih baik daripada pemain lain biarpun ketika itu dia baru berusia 17 tahun.


"Saya harap dia terus kekal demi Spurs dan liga ini kerana kelab itu yang terbaik untuknya. Dia menjadi semakin kuat dan lebih baik sebagai seorang penyerang.

"Spurs sebuah kelab besar dengan kumpulan penyokong yang besar dan dia boleh menjadi legenda di sana. Jika dia mahu melakukan perkara lebih hebat di negara lain, ia mendatangkan risiko. Tidak semuanya membawa tuah." Spurs turun menentang Fulham selepas mempamerkan aksi tidak meyakinkan di San Siro yang hampir menjejaskan peluang ke suku akhir Liga Europa.


Skuad Villas-Boas kembali memiliki jentera serangan lebih hebat berbanding di Itali dengan kepulangan Bale dan bekas penyerang Fulham Clint Dempsey yang turut pulih daripada kecederaan. Dimitar Berbatov akan mengetuai serangan Fulham ke atas bekas kelabnya manakala Steve Sidwell disahkan cergas selepas mengalami kecederaan di Sunderland.


Tottenham kini berada di tangga ketiga liga, dua mata di depan Chelsea di tempat keempat dan memburu tiket ke Liga Juara-Juara musim depan selepas gagal tahun lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/16
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved