Ahad, 17 Mac 2013

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Kongsi masalah

Posted:

Wanita mampu melakukan pel­bagai tugasan dalam satu-satu masa.

  Bayangkan jika di pejabat dia boleh menumpukan perhatian dalam bidang kerjaya, sekembalinya ke rumah berhadapan pula dengan pelbagai kerenah keluarga.

Rutin saban hari itu meskipun penat dan melelahkan  ia tetap dilakukan dengan penuh rasa tanggungjawab.

Namun, tahukah anda dalam setiap pencapaian yang dilalui, wanita juga perlu menghadapi cabaran membabitkan isu kesihatan.

Foto

PESERTA berkongsi pandangan dengan Dr Nor Hamidah berkaitan isu masalah kesihatan mental di kalangan wanita.

Foto

PESERTA berkongsi pandangan dengan Dr Nor Hamidah berkaitan isu masalah kesihatan mental di kalangan wanita.

Foto

PENUHI masa dengan aktiviti cergas.

Foto

AMBIL diet seimbang dan jangan mengambil makanan secara berlebihan apabila berhadapan dengan tekanan.


Mereka berisiko tinggi mendapat penyakit tidak berjangkit dan paling membimbangkan apabila ia membabitkan masalah kesihatan mental.


Tidak dinafikan berbanding penjagaan kesihatan mental, ramai individu beranggapan penjagaan kesihatan fizikal perlu diberi lebih keutamaan.

Namun, menurut Pakar Perunding Psikiatri Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Dr Nor Hamidah Mohd Sal­leh, kesihatan mental membabitkan penjagaan minda yang mempengaruhi personaliti diri.

Antara masalah kesihatan mental yang sering berlaku kepada wanita ialah kemurungan.

Kemurungan adalah penyakit mental yang me­nyebabkan emosi seseorang individu menurun hingga memberi pengaruh negatif pada diri dengan menjejaskan emosi, pemikiran dan perlakuan seseorang.

"Masyarakat umum terutama wanita perlu mengetahui kemurungan adalah satu penyakit serius dan perlu mendapatkan rawatan sewajarnya bagi mengelakkan ia berulang.

"Ia menyerang secara senyap jika wanita tidak memberikan perhatian sepenuhnya terhadap perubahan sikap diri serta dapatkan rawatan lebih awal untuk mengelakkan pelbagai kejadian tidak diingini," katanya ditemui pada majlis Ceramah Kesihatan Mental Wanita: Perbezaan Gender dan Pe­nyakit Mental sempena Hari Wanita Sedunia di Gleneagles Kuala Lumpur, baru-baru ini. 

Walaupun ia tidak hanya berlaku kepada wanita dan turut membabitkan lelaki, apa yang perlu difahami kemurungan dialami kaum Adam berbeza dengan wanita kerana tekanan hidup kedua-dua jantina terbabit tidak sama.

Kemurungan pada wanita ditunjukkan melalui keadaan di mana emosi mereka tidak stabil, menjadi pendiam, mengasingkan diri serta memendam perasaan.

Secara umumnya kemurungan boleh dikenal pasti melalui:

  • Mengalami gangguan tidur (sama ada sukar tidur atau terlalu banyak tidur)
  • Perasaan tidak menentu, sensitif, resah dan keliru.
  • Tidak boleh menumpukan perhatian.
  • Letih dan tertekan.
  • Mempunyai perasaan negatif dalam diri seperti putus harapan, berasa tidak berguna, bersalah dan ingin membunuh diri.
  • Mengalami emosi negatif dan rasa sedih berpanjangan.
  • Hilang selera makan dan berat badan turun mendadak.

    Malah, mengikut statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kemurungan akan berada di tangga kedua penyakit tidak berjangkit yang menyerang wanita selepas penyakit jantung.

    Kadar kemurungan wanita adalah 41.9 peratus manakala lelaki pula 29.3 peratus yang menunjukkan jumlah keseluruhan pesakit wanita dua kali ganda berbanding lelaki.

    Dalam situasi kehidupan moden kini, kemurungan dialami boleh berpunca daripada pelbagai sebab antaranya tekanan terhadap sesuatu peristiwa sama ada membabitkan keluarga atau persekitaran.

    Perasaan rendah diri serta menghidap penyakit kronik seperti kanser, berhadapan masalah yang sering bermain di fikiran dan tidak mampu diselesaikan turut mempengaruhi kemurungan.

    Selain itu, wanita terbabit juga terlalu memikirkan sesuatu masalah, menyebabkan fikirannya kusut hingga mengganggu kualiti kehidupan harian mereka tanpa disedari.

    "Kebiasaannya kemuru­ngan berlaku kepada mereka yang berada pada usia produktif iaitu 30 hingga 40 tahun.

    "Ketika ini wanita berkenaan berada dalam keadaan terbeban sama ada dengan kerjaya, perkahwinan atau anak," katanya.

    Bagaimanapun menurutnya, tidak semua individu mengambil pendekatan mendiamkan diri jika berada dalam keadaan marah.

    Malah, ada yang melepaskan kemarahan hingga tidak menyedari apa yang dilakukan sebaliknya selepas ditegur rakan atau ahli keluarga, barulah dia mengetahui apa yang sudah dilakukannya.

    Tetapi apa yang me­nyedihkan, katanya, tidak ramai yang tampil ke hadapan mendapatkan rawatan.

    Dianggarkan hanya dua daripada lima wanita yang mengalami gangguan keresahan dan perubahan emosi ini mendapatkan bantuan pakar.

    Selebihnya masih enggan mengaku dan meluahkan apa yang terbuku di hati malah, ada antara mereka tidak mengetahui menghadapi masalah kemurungan.

    "Di sinilah orang di persekitaran terutama ahli keluarga dan rakan memainkan peranan. Sokongan diberikan penting bagi memastikan wanita berkenaan mengetahui dan menerima 'sakit' yang mereka alami itu.

      "Ia juga memberi peluang kepada pakar memberikan rawatan  untuk memastikan ia tidak berulang pada masa depan," katanya.

    Oleh itu, katanya, langkah terbaik menanganinya ialah dengan meluahkan perasaan mengenai masalah dihadapi dengan individu yang dipercayai seperti suami, keluarga dan sahabat.

    "Melalui sikap keterbukaan dalam komunikasi dengan berkongsi masalah kepada orang lain, ia secara tidak langsung membuatkan kita berasa lega kerana diberi diberi sokongan emosi setiap kali berada dalam keadaan tertekan.

    "Malah, bebanan dialami juga makin berkurangan berbanding sebelum ini iaitu dengan menyimpan masalah dihadapi sendirian," kata­nya.

    Stigma dan pandangan masyarakat yang memandang sinis kepada golongan yang mendapatkan bantuan psikiatri dengan menganggap mereka gila antara pe­nyebab ramai enggan tampil mendapatkan rawatan awal.

    Malah, sebut saja pakar psikiatri pasti terbayang tempat yang cukup sinonim dengan pesakit jiwa iaitu Tanjung Rambutan dan Tampoi.

    Dr Nor Hamidah menegaskan, pemikiran sebegitu perlu dibuang kerana kini tanggungjawab yang dibawa pakar psikiatri bukan hanya membabitkan masalah 'gila'.

    Katanya, zaman itu sudah berlalu kerana kini masalah dialami golongan terbabit makin berubah dan bertambah bersesuaian dengan peredaran masa.

    Wanita kini tidak perlu lagi berasa malu untuk berjumpa pakar kesihatan mental bagi memastikan dan mengelak ia menjadi lebih mudarat.

    "Kemurungan boleh dirawat jika ia dikesan lebih awal, namun bergantung kepada peringkat kemurungan dialami ada yang memakan masa agak lama.

    "Jika peringkat kemuru­ngan dihadapi serius, bantuan melalui pemberian ubat-ubatan akan diberikan namun, tetap disulami ­dengan sesi kaunseling," katanya.

    Kebiasaannya generasi terdahulu lebih bersikap tertutup terhadap isu ini. Seboleh-bolehnya mereka ingin menyembunyikan 'kewujudan' anak yang berhadapan dengan kemurungan.

    Hinggakan ada yang membawanya mendapatkan rawatan secara tradisional kerana disangka tersampuk sesuatu yang 'kotor' atau makhluk halus.

    Ia boleh memburukkan lagi keadaan pesakit kerana ia membabitkan masalah jiwa. Punca sebenar perlu diketahui dan ia boleh dilakukan melalui sesi kaunseling berpanjangan.

    Dr Nor Hamidah berkata, generasi muda kini lebih bersikap terbuka dan akan datang mendapatkan rawatan sendirian sekiranya mengalami gejala kemurungan peringkat awal.

      Ia penting bagi memastikan keadaan kesihatan mental generasi pelapis ini berada pada tahap optimum kerana perjalanan kerjaya dan kehidupan golongan ini masih jauh.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/18
  • Sihat Cergas: Bukan penghalang

    Posted:

    Pernahkan anda mengalami kesakitan otot selepas melakukan senaman atau mengangkat berat?

    Usah bimbang kerana sakit yang dialami ketika itu hanya fenomena biasa dan tidak memudaratkan diri.

    Kita juga sering mengalami ketegangan otot selepas melakukan aktiviti senaman yang jarang dilakukan, apatah lagi sekiranya usia sudah meningkat.

    Bagaimanapun, kesakitan ini bukanlah isyarat untuk kita menghentikan aktiviti senaman buat selamanya. Lantaran sakit otot, mungkin ada yang serik lalu mengambil jalan mudah berputus asa!


    Sebenarnya, kesakitan otot yang anda alami itu satu petanda supaya melakukan senaman dengan lebih berhati-hati secara berterusan.


    Kebiasaannya, sakit otot selepas bersenam atau mengangkat berat itu berlaku kerana kita mengabaikan beberapa prinsip senaman yang betul. Antaranya, kita tidak melakukan senaman regangan badan sebelum dan selepas aktiviti berkenaan.

    Program senaman sepatutnya dimulakan dengan perlahan tetapi berterusan untuk mencapai tahap kecergasan yang tinggi. Otot badan tidak dapat menerima aktiviti berat secara tiba-tiba kerana ia akan menyebabkan kecederaan.

    Tahap kesukaran perlu ditingkatkan sedikit demi sedikit tidak kira jenis aktiviti yang dilakukan supaya otot menjadi kuat sebelum beralih ke tahap kesukaran lebih tinggi.

    Aktiviti sukan atau senaman yang dilakukan perlu dimulai dengan pemanas badan supaya otot, ligamen dan sendi dapat menegang dengan baik.

    Kesakitan yang dirasai apabila kita baru mula bersenam bukannya bermakna kita melakukan kesalahan tetapi ia menunjukkan kita memerlukan rehat seketika dan memulakannya semula.

    Sakit otot atau istilah sebenarnya sengal otot adalah hasil daripada pengumpulan asid laktik di bahagian otot anda ketika melakukan aktiviti senaman ataupun mengangkat berat.

    Sengal otot ini sering berlaku selepas anda melakukan aktiviti senaman atau mengangkat berat untuk pertama kali atau setelah sekian lama tidak melakukan aktiviti itu.

    Seseorang itu juga boleh berasa sengal otot selepas aktiviti mengangkat berat yang berpunca daripada otot terkoyak.

    Apabila anda mengalami sengal otot, ia boleh berlaku dalam dua situasi iaitu kesengalan otot serta-merta dan tertangguh (delayed onset).

    Kesengalan otot serta-merta akan berlaku ketika dan sejurus selepas anda melakukan senaman atau mengangkat berat mahupun latihan bebanan.

    Sementara itu, dalam keadaan sengal yang tertangguh itu pula yang dikenali sebagai 'delayed onset muscle soreness' (DOMS), seseorang akan berasa sengal otot 24 jam selepas senaman atau mengangkat berat dan ia akan berlarutan sehingga 72 jam.

    Sekiranya mengalami keadaan sengal otot ini, apa yang perlu anda lakukan mudah saja iaitu mendapatkan rehat yang secukupnya. Jika anda tidak mendapat rehat yang mencukupi, sengal otot yang dialami akan mengambil lebih lama untuk pulih.

    Selain itu, anda disarankan supaya minum air yang banyak untuk menyingkirkan toksin di dalam badan serta memastikan sengal otot itu tidak berlarutan.

    Pemakanan yang seimbang juga membantu mengurangkan masalah sengal otot. Sumber potasium yang baik perlu diambil dalam pengembangan otot dan kandungan protein juga penting bagi mengelakkan masalah itu berpanjangan.

    Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/18
    Kredit: www.hmetro.com.my

    0 ulasan:

    Catat Ulasan

     

    Akhbar Harian Metro

    Copyright 2010 All Rights Reserved