Ahad, 17 Mac 2013

Harian Metro: Setempat


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Sembilan wanita diselamatkan

Posted:

Melaka: Sembilan wanita asing yang bekerja di sebuah restoran di Banda Hilir, di sini, mendakwa dikurung dalam sebuah bilik dan tidak dibenarkan keluar selepas waktu bekerja, sejak sembilan bulan lalu.

Tidak cukup dengan itu, mereka juga mendakwa dipukul majikan.


"Hanya kerana melakukan kesalahan kecil seperti tersalah meletak barang, saya ditampar dan dimaki hamun serta pernah dikurung di dalam bilik," kata Pita, 25, warga Indonesia.

Dia antara sembilan wanita warga asing yang diselamatkan Jabatan Imigresen negeri selepas satu serbuan ke atas premis berkenaan, jam 12 tengah hari semalam.


Difahamkan, semua wanita masing-masing tujuh warga Indonesia dan dua warga Myanmar berusia 22 hingga 31 tahun itu terkurung di kedai dan tidak sesekali dibenarkan keluar.


Mereka yang ditempatkan dalam sebuah bilik mendakwa turut dikasari majikan dengan menampar dan memukul, selain dipercayai mengugut mengenakan denda serta memotong gaji.

Foto

SEMUA wanita asing yang berjaya diselamatkan.

Dakwa Pita dari Jawa Tengah, dia beberapa kali dilempang sepanjang sembilan bulan bekerja di restoran.


"Dalam kejadian terbaru pagi tadi (semalam), saya yang ditugaskan memasak nasi terkejut apabila ditampar seorang ahli keluarga majikan hanya kerana tersalah meletakkan barang," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen negeri, di sini, semalam.

Turut hadir Pengarah Imigresen negeri, Kamalludin Ismail dan timbalannya, Mohammad Azlan Jawawi.


Menurut Pita, tidak tahan didera, rakan sekerjanya, Anie, 23, menghubungi seorang kenalan di Kuala Lumpur untuk memohon bantuan.


Seorang lagi mangsa, Eka, 22, yang berasal dari Jawa Timur mendakwa, sepanjang tiga tahun bekerja di restoran itu, lebih 20 kali dia ditampar, ditendang dan dibaling dengan kasut hanya kerana melakukan kesalahan kecil, antaranya lambat membersihkan lantai.


"Sebaik menyedari Jabatan Imigresen melakukan serbuan, saya sangat bersyukur kepada Allah kerana berjaya diselamatkan. Saya sudah serik dan mahu pulang ke Indonesia," katanya sebak.


Sementara itu, Mohammad Azlan berkata, serbuan dilakukan selepas pihaknya menerima aduan awam mengenai wujud pekerja asing yang dikurung majikan di premis berkenaan.


"Hasil pemeriksaan mendapati majikan dan pekerja asing itu tidak melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen kerana mempunyai permit sah.


"Bagaimanapun, kita akan menjalankan siasatan mengikut Anti Pemerdagangan Orang kerana semua wanita itu mendakwa didera dan tidak diberi kebebasan selain berkaitan soal bayaran gaji," katanya.


Menurut beliau, perkara itu akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya dan majikan berkenaan akan dipanggil bagi membantu siasatan.


"Semua wanita berkenaan kini berada di bawah pengawasan kami sebelum tindakan susulan dijalankan kelak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/16
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved