Rabu, 13 Mac 2013

Harian Metro: Rap


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Dazrin tak buru populariti

Posted:

Usahanya nyata tidak sia-sia apabila lebih setahun bergelar pelakon, Dazrin Kamarudin mula terasa bahang selepas diberikan tanggungjawab memegang watak utama melalui drama bersiri popular di Astro Ria, Jodoh yang bersiaran setiap Isnin jam 9 malam.

Melalui drama 13 episod itu, Dazrin memegang watak Azlan yang menyertai pertandingan jodoh bagi mencari pasangan hidupnya bergandingan dengan Scha Al-Yahya.

Menurut jejaka berusia 25 tahun itu, impian­nya untuk berlakon watak romantik bercampur lucu tercapai melalui drama berkenaan yang skripnya dihasilkan khusus buat­nya.

Walaupun baru sekarang diberi peluang memegang peranan utama, ia bukan alasan untuk ­Dazrin patah semangat sebaliknya minat yang begitu kuat dalam bidang lakonan memberi lebih peluang untuknya mencuba pelbagai watak.


"Ia satu peluang yang tidak akan saya lepaskan apabila diberi penghargaan oleh KL Motion Pictures memegang watak utama dalam Jodoh malah saya difahamkan 'rating' untuk drama ini paling tinggi bagi siaran setiap hari Isnin.


"Syukur kini perjalanan lakonan saya semakin bersinar, malah tahun ini saya memang tidak menang tangan menerima tawaran berlakon hingga terpaksa mengambil dua tawaran dalam satu masa.

"Semua ini saya lakukan demi peluang yang diberi. Jika diikutkan pada awal ­kemunculan saya sering diberi watak sampingan namun masih ada yang tidak mengenali diri," katanya yang terpaksa tidur dua jam setiap hari sepanjang menjalani penggambaran drama Jodoh.

Baru saja selesai menjalani penggambaran drama Jodoh, Dazrin sekali lagi sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri yang diangkat dari sebuah novel berjudul Syurga Di Wajahmu memegang watak utama bergandingan dengan Ana Dahlia yang mana penggambaran hampir 99 peratus dilakukan di Kelantan.

Kata anak kedua daripada tiga beradik ini, dia tidak peduli apabila diri kurang popular, yang penting banyak menerima tawaran berlakon. Baginya bukan populariti yang dikejar tetapi kepuasan apabila minat berlakon terlaksana.

"Pada awal pembabitan saya kurang dikenali namun saya tidak pernah mengeluh kerana saya sedar kesilapan yang saya lakukan ketika itu terlalu cepat menerima tawaran berlakon filem sedangkan ramai pelakon baru memulakan karier melalui drama atau telefilem.

"Walaupun seperti tersilap percaturan saya tidak mengalah malah pengarah, Mamat Khalid banyak membantu saya untuk terus bertahan di dalam industri ini walaupun masih ada beberapa filem saya seperti Apokalips dan Lebuh Raya Ke Neraka belum ditayangkan.

"Disebabkan kurang muncul di media juga menyebabkan masih ada yang tidak mengenali saya namun semua itu bukan sengaja dilakukan tetapi saya mahu biarlah lakonan lebih menyerlah berbanding diri dan kisah peribadi," katanya.

Dibesarkan dalam keluarga beradad, Dazrin tidak pernah menjadikan keluarga sebagai batu ­loncatan untuk mengecapi semua yang dimiliki ­sekarang dengan mudah, sebaliknya dia berusaha sendiri bagi membuktikan kepada kedua orang tua biarpun satu-satunya anak lelaki tunggal dalam keluarga Dazrin tidak akan sekali-kali meminta.

"Sejak kecil saya ­sudah biasa berdikari justeru apabila melakukan sesuatu saya akan berusaha ­sehingga berjaya tanpa mengharapkan keluarga. Mungkin ada yang menyangka segala yang saya peroleh adalah hasil bantuan mereka namun tidak sama sekali.

"Saya mahu buktikan pada keluarga, walau susah sekali pun saya tidak akan menyusahkan mereka apatah lagi mereka berada di Melaka dan saya hidup sendiri di Kuala Lumpur. Tambahan pula saya sudah menuruti kehendak orang tua yang mahukan saya memiliki ijazah dan semua itu berjaya saya lakukan malah jika berkesempatan, saya berhasrat ingin menyambung pengajian ke pering­kat sarjana.

"Saya mahu segala yang saya impikan terlaksana. Jadi apabila ada yang menegur lakonan saya tidak bagus dan lebih teruk lagi ada yang mengatakan saya tidak layak memegang peranan utama kerana tidak kacak, itu semua saya jadikan semangat untuk terus memperbaiki lagi ­lakonan dari masa ke semasa," katanya yang pernah kemalangan akibat tertidur ketika memandu.

Cabar diri nyanyi lagu tema Jodoh

Mungkin tiada siapa tahu bakat yang ada pada diri sendiri begitu juga dengan Dazrin. Peluang menyanyikan lagu tema Jodoh berjudul Kota Antara, ciptaan Audi Mok benar-benar mencabar dirinya yang baru pertama kali menyanyi.

Menurutnya, peluang yang diberikan Audi harus digunakan sebaiknya, apatah lagi mendengar kata-kata Audi dia mampu menyanyikan lagu itu sesuai seperti yang diinginkan menjadikan ­Dazrin lebih teruja.

"Satu pengalaman yang tidak mungkin saya lupakan apabila menyanyikan lagu ciptaan Audi, bagi saya bukan mudah apatah lagi lagu berkenaan sangat mencabar di mana ada bahagian lagu yang saya perlu menarik nafas panjang.

"Memang sukar pada awalnya namun saya tidak menyangka berjaya merakamkan lagu berkenaan dalam tempoh tiga jam saja. Mungkin pengalaman sering menyanyikan lagu-lagu Awie ketika menjadi pengacara majlis memudahkan segala-galanya," katanya.

Tidak menjadikan nyanyian sebagai kerjaya kedua jejaka berasal dari Klebang, Melaka ini lebih memilih untuk serius dalam lakonan.

"Saya akui menyanyi juga salah satu minat saya, apabila diberi peluang menyanyi apa salahnya saya cuba namun untuk memberi fokus sepenuhnya tidak mungkin kerana dari awal kehadiran saya dalam bidang ini demi memenuhi minat untuk berlakon.

"Andai kata satu hari nanti ditawarkan menjadi penyanyi biarlah sekadar menyanyi single lagu tema yang mana saya turut berlakon sama tetapi untuk menjadi penyanyi sepenuhnya tidak pernah terlintas di fikiran dan mustahil bagi saya.

"Namun jika perlu menyanyi lagi, saya akan mengambil kelas vokal bagi mengasah bakat yang pastinya waktu itu mengambil masa lama dan saya tidak tahu bila," katanya sambil ketawa.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/13

Mengulit lukisan & longboard

Posted:

Minggu lalu adalah minggu begitu istimewa dan paling sibuk bagi saya. Saya baru saja selesai merakamkan lima lagu baru untuk EP saya dan hanya tunggu proses 'mixing' saja. Semuanya sudah diperdengarkan kepada syarikat rakaman The Verve Records dan pihak pengurusannya gembira dengan lagu itu. Lega rasanya!

Selain sibuk bekerja, saya di sini sering mencari aktiviti-aktiviti baru jika ada masa lapang. Memang saya sibuk menjalani proses penciptaan, rakaman dan penerbitan album terbaru selain menguruskan perniagaan pakaian 'IAMJETFUELSHOP' (http://shop.iamjetfuel.com).

Bagi sesiapa yang rapat dengan saya, mereka tahu saya ini jenis yang tak boleh duduk diam di rumah atau menonton TV saja! Alhamdulillah, sejak 'single' ini saya makin mengenali diri sendiri.

Apabila ada banyak masa lapang dan tiada komitmen dalam sebarang 'relationship' atau hubungan istimewa dengan seseorang, kita ada banyak masa untuk mencari identiti diri sendiri yang mungkin selama ini diabaikan kerana memberikan banyak perhatian kepada pasangan berbanding diri sendiri.


Muzik memang hobi saya dan saya gembira dapat berkarya dan jadikannya sebagai kerjaya.


Sejak akhir-akhir ini, saya mula melukis atas kanvas. Melukis memang menjadi minat saya sejak kecil lagi. Saya masih ingat ketika di sekolah dan di universiti, saya selalu teringin untuk melukis atas kanvas tetapi, hobi melukis ini agak mahal dan kerana saya lebih banyak meluangkan masa di kelas atau tuisyen, saya tak sempat untuk mendalami hobi melukis.

Berhampiran tempat tinggal saya di sini, ada sebuah kedai menjual peralatan melukis dan kraf di 'downtown'. Jaraknya kira-kira lima minit berjalan kaki dari apartment saya. Akhirnya selepas beberapa kali lalu di depan kedai itu, saya terus masuk dan beli berus, kanvas dan cat akrilik. Memang seronok!

Akhirnya saya berjaya melukis enam buah lukisan. Saya gembira kerana 'it's very relaxing. The physical act itself is very therapeutic' terutama apabila kita menggerakkan berus.

Saya pernah terbaca artikel di laman web www.indianexpress.com/news/-the-physical-act-of-painting-is-therapeutic yang sangat menarik. Saya mencadangkan anda semua cuba melukis di atas kanvas. Tak kisahlah pandai atau tidak, 'you have to try it!'

Selain itu, sejak akhir-akhir ini saya mula terasa sudah menjadi wanita dewasa kerana tidak lagi membeli-belah untuk baju dan kasut. Sebaliknya saya suka beli pokok bunga dan barangan hiasan rumah. Ketika bergelar pelajar dulu, saya malas untuk mencantikkan rumah dan yang ada cuma barangan asas saja.

Sekarang di rumah saya banyak barang perhiasan dan pokok bunga! Poster-poster band yang saya tampal di dinding semua sudah diturunkan dan saya gantikan dengan lukisan saya. Barulah nampak macam rumah betul! 'A real home!'

Dalam masa yang sama, saya sekarang cuba belajar bermain 'longboarding'. Ia sama seperti skateboard, tetapi lebih panjang, rodanya lebih besar dan lebih senang untuk berdiri atas 'longboard' kerana ia lebih besar dan stabil.

Saya memang tidak pernah cuba 'skateboarding', takut jatuh! Tetapi minggu lalu saya dan rakan, Faiz Rosli nekad untuk mencuba 'longboarding' di Santa Monica, Los Angeles. Faiz adalah jurutera bunyi yang saya gunakan khidmatnya apabila saya melakukan 'tour' di Amerika Syarikat. Sekarang dia mengikuti kursus kejuruteraan bunyi di Los Angeles Recording School.

Saya sudah pun membeli sebuah 'longboard' untuk permulaan yang tidak begitu mahal. Kami juga ke pantai Venice untuk cuba 'longboarding for the first time'. Kami meluncur dari Santa Monica hingga pantai Venice yang jaraknya kira-kira tiga kilometer. Memang seronok kerana saya sudah boleh imbang badan dan menghala ke kanan dan ke kiri.

Setakat ini saya belum pernah jatuh lagi, tapi saya pakai 'wristguard' untuk keselamatan. Ini juga satu aktiviti yang rileks. Saya sarankan anda di sana yang ingin belajar 'longboarding', jangan takut untuk mencuba! Tapi pastikan ada rakan yang pandai bermain 'longboard' bersama-sama supaya proses pembelajaran itu jadi lebih mudah.

Itu saja yang saya nak kongsikan kali ini bersama anda. Kadang-kadang memang normal apabila kita rasa kita tidak kenal diri sendiri dan teringin melakukan sesuatu tetapi tidak pernah ada masa. Cuba lapangkan masa satu hari dan cuba sesuatu yang baru. Mana tahu, anda mempunyai skil yang anda sendiri tak pernah sangka. Jumpa lagi!

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/13
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved