Rabu, 20 Mac 2013

Harian Metro: Rap


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Sentiasa perbaiki diri

Posted:

Hampir dua tahun mengacarakan Nona sejak Januari 2012, pengacara popular Fara Fauzana mengakui jiwanya semakin sebati dengan program berkenan. Kata pemilik nama sebenar, Fara Fauzana Mohd Fadzil, 33, ini dia juga tiada masalah untuk mendapatkan keserasian dengan pengacara jelita yang digandingkan dengannya dalam Nona iaitu Nor Neelofa Mohd Noor (Lofa).

"Saya tidak kisah pun jika orang nak bandingkan saya dengan Lofa ketika mengacarakan Nona kerana itu pandangan peribadi masing-masing. Ketika saya ambil alih program Melodi dulu pun, orang tetap bandingkan saya dengan pengacara sebelumnya.

"Bagi saya ia asam garam dalam bidang hiburan tanah air. Apa yang penting, saya dan Lofa selesa untuk bekerjasama dalam memantapkan lagi Nona.

"Saya juga mengacarakan Nona dengan cara sendiri. Ketika mula-mula mengendalikan Nona dulu, memang ada peminat yang berasa janggal dan komen suara saya 'kepit' dan 'control' ketika itu. Namun, masuk tahun kedua bersiaran, orang sudah boleh terima itu memang cara saya ketika mengacarakan Nona," katanya.

Foto

FARA sibuk melayan peminatnya di Rojak Box.

Foto

BAKAL bergandingan dengan Zizan sebagai hos ABPBH 2012.


Justeru, apabila diminta mengulas gosip yang mendakwa, dirinya akan meninggalkan Nona tidak lama lagi, Fara menafikannya sama sekali.


"Itu hanya spekulasi orang saja kerana saya tidak pernah dengar pun gosip sama ada saya atau Lofa akan meninggalkan Nona. Pada tahun pertama bersiaran dulu, memang saya mengacarakan program ini seorang saja dan Lofa hanya pengacara bersama kerana dia sibuk dengan penggambaran ketika itu.

"Tapi, kami terus digandingkan sebagai hos bersama sekali gus dalam Nona pada tahun kedua bersiaran. Maklumlah, kontrak saya sebagai pengacara Nona masih berbaki tiga tahun lagi. Tapi saya tidak tahu pula berapa lama kontrak Lofa sebagai pengacara Nona kerana perkara itu di bawah pihak pengurusan Media Prima," katanya.

Bagaimanapun, sebagai wajah baru dalam Nona, Fara mengakui masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki untuk memantapkan lagi Nona terutama dari aspek penampilannya.

"Saya ingin memperbaiki dari aspek penampilan supaya ia nampak lebih sesuai untuk imej program Nona. Antaranya, dengan menghadiri kelas perunding imej anjuran personaliti terkenal, Sharifah Shawati. Berbanding pada kemunculan awal dalam Nona dulu, saya percaya banyak kekurangan dari segi penampilan di kaca TV sudahpun diperbaiki sekarang," katanya.

Sepanjang mengendalikan Nona, Fara mengakui kredibilitinya sebagai pengacara sudahpun teruji ketika membuat liputan bersama Nona selama seminggu di bumi Gaza pada 28 Januari hingga 3 Februari lalu.

"Saya menimba pengalaman cukup berharga dalam hidup ketika membuat liputan bersama kru Nona di sana. Antara yang sukar dilupakan ialah ketika berdepan dengan bahaya peluru sesat apabila terdengar bunyi tembakan di luar bilik Hotel Arcmed, Gaza tempat kami menginap pada hari terakhir kami di sana.

"Sebagai wanita, hati siapa yang tidak tersentuh dengan nasib kanak-kanak yang tidak berdosa dan menjadi mangsa kekejaman di sana. Selain itu, saya juga terkejut kerana kanak-kanak di Gaza cukup bersopan santun dan tidak berebut pun untuk mengambil coklat diberikan kepada mereka ketika kunjungan kami ke kampung mereka," katanya.

Fara ditemui pada majlis makan-makan bersama peminatnya dan pihak media di premis miliknya, Rojak Box yang beroperasi di KL Sentral, di sini, Jumaat lalu.

Fara membuka perniagaan makanan itu lebih seminggu lalu bersama dua lagi rakan kongsi daripada Will Group Berhad iaitu Widayu Latiff, 35, dan Aliza Ali, 29.

Mengulas pencalonannya dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2012 (ABPBH 2012), penyampai radio Hot FM ini mengaku dia hanya serahkan kepada penilaian peminat nanti.

Pada ABPBH2012, Fara tercalon dalam dua kategori iaitu Penyampai Radio Wanita Popular selama enam tahun berturut-turut dan Pengacara TV Wanita Popular buat kali kelapan.

"Terus terang, saya tidak fikir soal menang atau kalah pada kedua-dua kategori dipertandingkan kali ini kerana fokus utama saya lebih pada persiapan sebagai hos dengan Zizan Razak. Maklumlah, ia kali pertama diberi kepercayaan mengendalikan ABPBH dengan Zizan.

"Apa yang pasti, saya dan Zizan akan bekerjasama memberikan yang terbaik pada anugerah berprestij bertemakan ledakan geometri yang akan berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil pada 7 April nanti," katanya.

Fara sudah buat persiapan kahwin

CERITA Fara dikatakan mula membuat persiapan untuk majlis perkahwinannya turut menjadi bualan ramai, sekali gus mendapat tempat di laman sosial dan akhbar. Malah, kenyataan itu keluar daripada mulut Fara sendiri yang mengiyakan cerita berkenaan.

"Saya memang seorang yang suka merancang termasuk berkaitan soal jodoh. Apatah lagi, usia pun sudah mencecah 33 tahun. Sebab itu, saya sudah mula membuat persediaan awal terutama kedai tempahan kad kahwin, pereka busana yang sesuai untuk majlis akad nikah dan bersanding, sekali gus butik yang sesuai untuk pelamin, bunga telur dan sebagainya lagi.

"Justeru, jika ditakdirkan saya bertemu jodoh pada tempoh terdekat ini, saya tidaklah kelam-kabut pula nanti untuk membuat persiapan kahwin," katanya.

Bagaimanapun, akui Fara yang sudah dua kali putus cinta, dia masih belum bertemu jejaka yang sesuai untuk dijadikan calon suaminya lagi.

"Buat masa ini, saya memang ada 'berkawan' dengan lelaki tetapi belum ada yang serius lagi. Kriteria lelaki yang saya cari ialah yang beriman yang boleh membimbing menjadi isteri yang baik. Saya juga menyasarkan usia 35 tahun untuk berkahwin dan membina keluarga. Tapi soal jodoh, saya serahkan pada ketentuan Tuhan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/20

Jejak Bintang: Yana tak lupa diri

Posted:

Siri kedua Jejak Bintang semalam membawa pembaca mendekati sisi Yana sebagai gadis ala tomboi dan aktif dalam sukan. Juga, rakan sekolahnya Siti Solehah Noor Aziz Nud-din atau Sue, 29, memberitahu pemikiran Yana agak matang berbanding pelajar lain.

Siri penutup ini membawa pembaca menyorot kembali saat pembabitan awal Yana dalam bidang seni. Bermula sebagai pe­nyanyi lagu runut bunyi filem terbitan MIG, Yana kini berjaya menempat­kan namanya sebagai pelakon wanita popular tanah air.

Ikuti cerita Azmi Hassan atau lebih dikenali sebagai Amy Uk's kepada wartawan RAP. Dia adalah individu yang bertanggungjawab membawa masuk Yana dalam bidang seni. Ketika itu Amy bertanggungjawab mencari artis baru untuk syarikat rakaman Carrybase yang berpusat di Taman Maluri.

Menurut Amy yang berasal dari Parit Sulong, setiap kali pulang ke kampung, dia mendengar cerita mengenai kehebatan seorang gadis yang berasal dari Yong Peng. Ini mendorong dia mencari siapakah gadis yang dimaksudkan.


"Tak silap saya ketika itu sekitar 2001. Orang kampung bercerita mengenai gadis yang selalu menang pertandingan karaoke, tetapi mereka tak berapa kenal dia. Apabila rakan beritahu yang ayah gadis ini buka warung menjual makanan di stesen bas Yong Peng, saya segera menjejakinya di sana.


"Rupanya orang memang kenal Yana kerana apabila ditanya pekedai di situ di mana gerai ayahnya, mereka terus menunjukkan gerai nombor satu paling hujung. Saya jumpa ibu bapanya dan beritahu hal sebenar. Awal­nya mereka takut dan tak yakin dengan saya.

"Selepas puas meyakinkan mereka, barulah mereka percaya. Ketika itu Yana masih bersekolah dalam ting­katan empat jadi dia tiada di situ. Malamnya saya pergi ke rumah keluarganya pula untuk berjumpa Yana.

"Buat kali pertama, saya lihat dia menyanyi depan saya dan mendapati suaranya boleh diketengahkan. Saya terus berikan dia satu lagu ciptaan saya berjudul Aku Pasrah untuk dinya­nyikan. Tujuannya, saya nak lihat bagaimana cara nya­nyian dia jika menyanyikan lagu sendiri," katanya.

Amy memberikan tempoh seminggu buat Yana menghayati lagu itu. Apabila kembali bertemu Yana dan melihatnya menyampaikan lagu itu, dia terus terpikat dengan suara Yana dan mencadangkan membawanya menjadi artis rakaman Carrybase.

"Kami bertolak dari Yong Peng ke Kuala Lumpur. Selain Yana, saya turut bawa kumpulan Princess untuk uji bakat. Malangnya Yana gagal dalam uji bakat ini kerana mungkin pengurusan melihat penampilannya tak seberapa. Maklumlah dia masih belajar ketika itu dan belum pandai bergaya.

"Tak lama selepas itu saya berhenti daripada Carrybase dan me­nyertai MIG. Apabila bersama mereka, saya cadangkan kepada David Teo untuk mencari artis baru bagi me­nyanyikan lagu runut bunyi filem terbitannya.

"Kebetulan ketika itu kami perlukan penyanyi untuk filem Mami Jarum. Lagunya sudah ada dan saya bagi Yana dengar dan berlatih. Apabila dia menyanyikannya, saya dapati suara­nya sedap.

"Saya terus mengesyorkan untuk bawa dia jumpa David dan dia bersetuju. Awalnya David tak suka Yana kerana wajahnya nampak iras Cina. Sekali lagi, mungkin penampilannya kurang memikat hati David.

"Namun, saya minta dia diberikan peluang merakam­kan lagu Mami Jarum. Sebaik mendengar lagu ini, David dan Profesor Madya A Razak Mohaideen (pengarah Mami Jarum) sukakannya dan bersetuju ambil lagu ini sebagai runut bunyi Mami Jarum.

Peluangnya menyanyi terus cerah apabila filem ini disambung menggunakan judul Mami Jarum Junior," jelasnya.

Dari situ, membuka jalan buat Amy menghasilkan album pertama Yana berjudul Yana Ceria. Ia memuatkan tujuh lagu ciptaan Amy sendiri serta masing-masing satu lagu ciptaan Ly, Edrie Hashim dan Norman Radzuan.

"Antara lagu di dalamnya ialah Hingga Hujung Nyawa, Aku Pasrah, Go Away dan Ceria. Lagu Go Away diminati ramai hingga berjaya menduduki carta teratas stesen radio X Fresh (ketika itu) selama beberapa minggu.

"Tak dinafikan lagu ba­nyak dimainkan di radio, tapi orang kurang kenal Yana. Jadi, dia kerap me­ngikuti rombongan pelakon yang mempromosikan filem-filem MIG yang ditayangkan di pawagam," katanya.

Amy mengakui agak terkejut apabila Yana tiba-tiba bergelar pelakon sedang­kan awalnya dia begitu malu terutamanya ketika di atas pentas. Malah Yana sering mendapat teguran dan nasihatnya mengenai cara berkomunikasi dengan peminat.

"Mungkin dia berasa kurang yakin dengan penam­pilannya ketika itu. Tapi Yana senang diajar dan mudah menerima teguran. Dalam banyak-banyak artis yang pernah saya didik, Yana langsung tak lupa diri. Dia orang yang mengenang budi dan menghormati setiap orang.

"Selepas tamat tingkatan lima, Yana menyertai MIG sebagai kakitangan. Dia diajar buat suntingan filem. Gurunya ketika itu ialah Azahari Zain. Kami dapati dia sangat tekun dan pandai dalam kerjanya. Bagaimanapun tak lama selepas itu, dia meninggalkan MIG kerana sambung pelajaran di UiTM.

"Dalam tempoh itu, saya dapati dia berjinak-jinak berlakon apabila berlakon watak tambahan menerusi filem Tujuh Perhentian, Main-Main Cinta dan ba­nyak lagi. Saya tengok lakonannya kaku dan sekali lagi menasihatkan dia supaya banyak merujuk kepada lakonan pelakon lain sebagai panduan.

"Macam biasa dia terima teguran saya dengan baik dan sedikit demi sedikit belajar memperbaiki mutu lakonannya. Akhir­nya pada 2007 kami berpisah apabila saya membuat keputusan meletak jawatan daripada MIG.

"Dia juga tak lupa merujuk kepada saya apabila dapat tawaran mengarah filem Selamat Pagi Cinta. Saya bangga kerana Yana akhirnya mencapai kejayaan. Itu yang saya hendakkan kerana kejayaan ini untuk dia juga.

"Paling penting dia tak lupa diri kerana membantu keluarganya menjalani kehidupan yang lebih selesa. Hubungan kami sekarang macam saudara kerana setiap kali hari raya, kami akan berkunjung ke rumah satu sama lain," katanya.

Yana pula memberitahu, dia belum berpuas hati dengan apa yang diperolehnya sekarang. Bermula dari bawah, segala pengalaman sudah ditempuhi­nya. Dia akan terus belajar pelbagai ilmu selagi hidupnya. Impiannya kini untuk bergelar pengarah yang berjaya.

Segala perkembangan lanjut mengenai aktiviti dan karier Yana, boleh diikuti menerusi www.yanasamsudin.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/20
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved