Harian Metro: Rap |
Posted: Senyap hampir lima tahun, hanya video lama di YouTube saja menjadi pengubat rindu terhadap pemilik vokal gemersik penyanyi kelahiran program realiti ini. Dia menyepi sebaik mendirikan rumah tangga selepas berakhirnya Akademi Fantasia musim keempat (AF4). Velvet Lawrence Aduk atau Velvet, 25, yang berkahwin dengan vokalis Estranged, Rich tidak dinafikan antara peserta AF paling diingati kerana memiliki bakat besar namun kemunculannya hanya sementara. Bertemunya baru-baru ini, dia mengakui sebenarnya terlalu rindu untuk kembali ke bidang ini cuma masa belum mengizinkan. Tidak pernah terdetik sekalipun dalam hatinya untuk melupakan minatnya ini begitu saja. "Sepanjang lima tahun itu, saya memang rancang mahu fokus kepada famili saja terutama buat dua cahaya mata saya. Sukar untuk saya bergerak ke mana-mana apatah lagi untuk aktif dalam bidang nyanyian.
Kehendaknya cuma satu, mahu meneruskan impian jadi penyanyi dan paling penting muncul dengan produk yang memuaskan. "Saya mahu kembali jadi penyanyi kerana inilah cita-cita saya sejak kecil lagi. Kehadiran saya dalam industri ini pun bukan bertujuan untuk mengejar anugerah sebaliknya mahu membina nama saja. "Jujurnya, saya juga tidak kisah jika tidak diberikan publisiti kerana apa yang penting buat saya adalah berjaya memuaskan hati peminat selepas sekian lama ternanti lagu baru. Sekalipun menyepi dalam tempoh masa beberapa tahun, namun saya tidak pernah berhenti mencari karya yang bagus untuk dimuatkan dalam album saya nanti," ulasnya. Yang pasti, kehadirannya tidak dengan tangan kosong apabila single terbarunya, Tanpa Terluka sudah mula berkumandang di corong radio. Istimewanya, lagu berkenaan hasil sentuhan komposer Indonesia, Gio Wibowo yang pernah menghasilkan lagu tema filem Lagenda Budak Setan berjudul Bila Cinta. Terkenal dengan vokal lantang dan hebat menyanyikan lagu balada bernada tinggi, bagaimanapun single berkenaan tampil berbeza apabila melodinya lebih 'up-tempo'. Ditanya kenapa bukan lagu balada yang sering menjadi 'makanannya', menurut Velvet, Tanpa Terluka cukup istimewa kerana dibikin khas buatnya selain mahu tampil dengan kelainan. "Awalnya saya pun terfikir hendak menghasilkan lagu balada sebagai produk baru sempena 'comeback' ini. Bagaimanapun, saya tidak mahu tergesa-gesa untuk 'memberi' dan lihat dulu penerimaan single itu. "Lagipun, lagu ini dibuat khas untuk saya dan Gio adalah komposer yang bukan calang-calang. Saya yakin dengan hasil sentuhannya dan percaya lagu ini boleh pergi jauh. "Apapun, saya pasti akan hadir dengan lagu balada tidak lama lagi, namun selepas single seterusnya siap. Sekarang ini, saya masih dalam proses menyiapkan lagu duet saya bersama suami, Rich," katanya. Selain itu, penyanyi yang popular dengan lagu Kini Detiknya itu juga bakal bekerjasama dengan beberapa lagi penyanyi popular selain suaminya termasuklah kolaborasi dengan Atilia. Bagaimanapun katanya, semua masih lagi dalam proses perbincangan dan mengharapkan peminat menyambut baik Tanpa Terluka. Nekad tinggalkan Sabah Bukan senang untuk meninggalkan kampung halaman tercinta, namun demi kelangsungan karier, Velvet kini mengambil keputusan menetap di Kuala Lumpur dan turut membawa anak-anaknya bersama. Jika sebelum ini dia sentiasa ternanti suaminya untuk pulang menjengah mereka sekeluarga di Sabah, kini tidak lagi. Meskipun dia sebenarnya berat hati untuk berpindah ke sini, Velvet tidak bimbang kerana sekurang-kurangnya suami ada di sisi. "Sudah selesa di kampung, memang berkira-kira juga saya hendak kembali ke sini. Memikirkan kesibukan jadual kerja lagi, paling saya risaukan adalah perhatian buat anak-anak kelak. "Nasib baiklah ibu saya sudi ikut kami ke sini dan menjaga mereka setiap kali Rich mahupun saya keluar. Saya juga mahu mereka bersekolah di sini, tapi kena tengok keadaan dulu," katanya. Bertekad untuk menumpukan sepenuh fokus dan membina kembali namanya dalam industri, Velvet juga bersyukur kerana hasratnya itu mendapat sokongan penuh daripada keluarga. "Walaupun kini saya bergelar ibu dan sepatutnya menumpukan perhatian kepada anak-anak, keluarga tidak pernah menghalang impian saya. Itu yang menguatkan saya untuk kembali dan semestinya tidak akan mensia-siakan peluang yang terbentang," katanya. Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/05 |
Soseh Soseh: Mamat boleh tidur lena Posted: Tahun 2013 ini nampaknya bakal menjadi milik Mamat Khalid apabila dalam tempoh tidak sampai sebulan, dua filemnya sudah mencecah kutipan pecah panggung. SS memang kagum dengan sentuhan pengarah berasal dari Ipoh, Perak ini. Filem Hantu Kak Limah 2: Husin, Mon & Jin Pakai Toncit khabarnya sudah mengutip lebih RM6 juta sejak ditayangkan pada 7 Februari lalu. Kini, Rock Oo! mula meletup-letup! Sejak mula ditayangkan Khamis lalu, kutipan Rock Oo! hingga Ahad lalu sudah melebihi RM2 juta!
Wah! Nampaknya Mamat kini sudah boleh tidur lena kerana sudah terbukti dua filemnya itu memang dinanti-nantikan penonton. SS juga berkesempatan menonton dua filem itu dan seperti kebanyakan penonton yang lain, SS turut terhibur. Malah, ramai penonton yang membawa anak-anak menonton bersama sekali gus membuktikan filem Mamat memang sesuai ditonton seisi keluarga.
Rock Oo! nampaknya bakal mengulangi fenomena itu. Bagi SS, Mamat memang ada sentuhan komedi tersendiri. Tanpa pelakon bertaraf 'superstar', Mamat mampu menarik minat ramai penonton ke panggung! SS: Nak tengok Rock Oo! lagi. Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/05 |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan