Selasa, 5 Mac 2013

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Terpikat tema dekat di hati

Posted:

Jika dulu kebanyakan rakyat Malaysia kurang menitikberatkan sambutan hari lahir anak atau menyambutnya di rumah bersama keluarga hanya dengan membeli sebiji kek, tetapi keadaan itu mula berubah seiring peredaran masa.

Semakin ramai yang tidak kisah mengeluarkan belanja besar untuk mendapatkan khidmat perancang majlis demi memastikan sambutan hari lahir anak mereka diraikan dengan meriah dan meninggalkan kenangan indah.

Keadaan itu membuka peluang perniagaan buat mereka yang rajin dan kreatif. Apatah lagi sekiranya mampu menawarkan pakej berpatutan dari segi harga dan produk berkualiti, ia pasti dapat menarik perhatian pelanggan.

Begitu juga halnya de­ngan ibu kepada dua anak, Norazrin Zakaria, 31, yang mula serius dalam cabang perniagaan itu selepas merancang sambutan majlis hari lahir anak sendiri.

Foto

NORAZRIN bersama Aliff Aziz ketika merancang majlis sambutan hari jadi mengejut buat pelakon itu.

Foto

MEJA yang dihias mengikut tema parti Halloween.

Foto

NORAZRIN turut memberi perkhidmatan merancang majlis minum petang Erra Fazira.

Foto

NORAZRIN turut memberi perkhidmatan merancang majlis minum petang Erra Fazira.


Melihat permintaan mencurah-curah daripada orang sekeliling yang hadir pada majlis hari lahir itu, dia terus mengorak lang­kah lebih jauh apabila kreativitinya dihargai, malah kini menjadi antara sumber pendapatan utamanya biarpun dibuat secara sampingan.


Terjun secara kebetulan sebagai perancang maj­lis hari lahir kanak-kanak dan parti kecil-kecilan di pejabat, Norazrin tidak sangka usaha yang dilakukannya sendiri untuk meraikan hari lahir anak membawanya kepada perniagaan merancang majlis.

Pada majlis sambutan hari lahir anaknya, dia menggunakan tema Spiderman serta menyediakan badut, menyebabkan ramai yang terpikat dan memintanya menyediakan pakej dengan tema mengikut pilihan mereka.

Wanita berwawasan itu berkata, sejak mula aktif pada pertengahan 2012, tempahan daripada pelanggan tidak putus-putus, malah semakin ramai yang berminat berikutan kreativiti serta tawaran harga yang berpatutan mengikut bajet pelanggan.

"Pada mulanya saya mahu mencari perancang majlis untuk sambutan hari lahir anak, namun kecewa kerana semuanya terlalu mahal menyebabkan saya mengambil keputusan membuat sendiri mengikut bajet.

"Ketika majlis itu, ramai pula rakan dan saudara-mara yang datang berkenan dengan apa yang dipersembahkan dan saya pun mula membantu merancang majlis hari lahir untuk anak mereka.

"Bermula dari situ, bukan setakat majlis hari lahir, majlis minum petang termasuk di pejabat sempena perayaan seperti Krismas dan Deepavali juga saya rancang untuk pelanggan. Pendek kata, apa-apa saja majlis yang membabitkan hidangan ringan boleh saya sediakan," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Dia turut merancang majlis minum petang bagi majlis perkahwinan dan Aidilfitri yang sudah semestinya mampu menceriakan suasana terutama jika sanak-saudara atau kawan-kawan berkumpul.

Perniagaannya berkembang hasil promosi dari mulut ke mulut pelanggannya dan sehingga kini sudah mendapat perhatian banyak pihak. Malah ada syarikat besar pernah menggunakan perkhidmatannya bagi mengadakan majlis makan untuk kakitangan jabatannya.

Norazrin juga boleh berbangga apabila kreativitinya turut menarik perhatian artis terkenal Erra Fazira untuk bekerjasama menjayakan majlis minum petang yang diadakan tahun lalu serta majlis hari jadi mengejut buat pelakon dan penyanyi Aliff Aziz, baru-baru ini.

Menggunakan jenama Rockabye Sayang, pakej majlis sambutan hari lahir mengikut tema yang ditawarkan Norazrin bermula pada harga serendah RM350 sehingga RM1,650, bergantung kepada kehendak pelanggan.

Bagi pakej asas yang disediakan untuk 80 orang, ia dilengkapkan dengan makanan seperti apam polka dot, bertih jagung, gula kapas, air mineral, coklat, biskut dan hiasan latar belakang untuk sesi bergambar bersama kek.

Pakej yang lebih eksklusif pula dileng­kapkan dengan bufet pancuran coklat yang dimakan bersama buah-buahan dan marshmallow. Norazrin turut menyediakan badut dan maskot mengikut tema bagi mereka yang berminat menceriakan lagi majlis sambutan.

"Saya melakukannya bersama sepupu tanpa bantuan mana-mana pekerja. Memang agak meletihkan, tetapi seronok apatah lagi saya melakukannya pada hujung minggu. Majlis diadakan selama tiga jam dan kami berada di lokasi sepanjang majlis untuk memastikan kelancarannya.

"Biarpun ketika ini ia dilakukan pada hujung minggu saja, memang saya ada rancangan untuk memberi tumpuan penuh kepada perniagaan ini memandangkan ia mendapat sambutan sangat menggalakkan," kata ibu kepada Nik Zarief Amin, 6, dan Nik Zarfan Amin, 3.

Katanya, majlis sambutan hari jadi dalam kalangan rakyat Malaysia sudah berubah berbanding dulu. Jika sebelum ini ibu bapa gemar melakukannya secara kecil-kecilan, tetapi kini semakin ramai yang mahu meraikan hari bermakna anak dengan lebih meriah.

Berdasarkan pemerhatiannya menjalankan perancangan majlis hari jadi, ibu bapa dilihat sudah tidak kisah mengeluarkan belanja sehingga ribuan ringgit untuk memastikan tarikh lahir anak dipahat sebagai memori indah buat keluarga.

Malah ada kalangan pelanggannya pernah mengeluarkan belanja sehingga RM7,000 dengan mengambil semua pakej yang disediakan semata-mata untuk meraikan hari jadi anak mereka secara besar-besaran.

"Kini trend meraikan hari jadi sudah mengikut gaya orang luar yang gemar membuat majlis mengikut tema dan kami sedia mengikut apa saja permintaan pelanggan asalkan mereka puas.

"Kebanyakan majlis hari jadi mengikut tema selalunya untuk kanak-kanak di bawah usia enam tahun, tetapi saya tidak meletakkan had kepada majlis hari jadi saja kerana turut mengambil permintaan untuk acara lain," katanya.

Mendapat sokongan penuh suaminya, Nik Azam Nik Ibrahim, 34, dia terus melangkah penuh yakin dan merancang membesarkan lagi perniagaan untuk membuka kedai yang membolehkan pelanggan bertemu dan melihat sendiri pakej yang disediakan.

Ketika ini dia hanya beroperasi menerusi dalam talian, Facebook/Rockabye Sayang dan blog miliknya, rockabyesayang.blogspot.com, serta mengambil tempahan melalui e-mel.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/05

Fahami tangisan bayi

Posted:

Apabila bayi mena­ngis, ibu atau bapa akan terus bertindak bagi memastikan bayi menghentikan tangisan.

Walaupun sudah melakukan pelbagai cara seperti menukar lampin atau memberi susu, bayi masih merengek seperti berada dalam keadaan kurang selesa. Ada pula sesetengah pendapat mengatakan bayi terkena gangguan makhluk halus menyebabkan dia menangis tanpa henti.

Bagi meredakan tangisan, apa yang sering dilakukan ibu ialah memberikan susu badan kepada bayi mereka. Namun bukan semua tangisan menandakan isyarat bayi lapar, mungkin si kecil menghadapi pelbagai kemungkinan seperti kembung perut, panas, penat, tidak selesa akibat ruam, demam dan selesema.

Apa yang perlu diketahui, tangisan adalah cara komunikasi pertama dikuasai bayi. Dengan tangisan, bayi menyampaikan keinginan dan keperluannya secara efektif.


Tidak hairan jika bayi menghabiskan banyak masa dengan menangis. Dalam buku Your Child's Body Language, Dr Richard Woolfson menjelaskan, tangisan bayi mempunyai erti berbeza. Setiap jenis ta­ngisan menyampaikan pesanan tertentu untuk ayah dan ibu.


Walaupun ramai ibu di seluruh dunia sedar tangisan bayi mempunyai maksud tertentu, kebanyakannya terutama ibu muda masih berteka-teki mengenai maksud tangisan sebenar sama ada lapar, mengantuk atau sakit sebaliknya menggunakan pelbagai teknik sekadar mencuba untuk menenangkan bayi.

Apa yang menjadi masalah, tindakan mencuba ini akan menimbulkan pelbagai reaksi sama ada positif atau negatif. Kemungkinan bayi akan menangis lebih lama dalam nada yang kuat manakala jika tekaan ibu tepat mengenai punca bayi menangis, kemungkinan bayi dapat ditenangkan.

Namun laporan daripada Universiti Miami yang mengatakan tidak kurang 1,500 kes sindrom bayi meninggal akibat goncangan kuat secara ganas oleh orang dewasa yang kecewa dan tertekan berhadapan tangisan bayi, amat menakutkan. Di Amerika Syarikat, satu kematian bagi setiap empat bayi disebabkan punca yang sama, selebihnya menderita kerosakan otak yang kronik dan kekal.

Saban hari Malaysia juga tidak sunyi daripada berita penderaan atau pengabaian bayi. Majoritinya disebabkan tekanan berhadapan tangisan bayi sama ada oleh ibu
berkerjaya, bapa atau pembantu rumah. Namun tiada statistik dilaporkan berikutan pendedahan dan tahap kesedaran yang amat rendah di Malaysia.

Menurut Pendidik Bahasa Bayi, Dunstan Baby Language Malaysia, Uswatun Hasanah Mohd Habib, tangisan bayi bukanlah satu bunyi yang dihasilkan secara rawak, sebaliknya satu cara komunikasi bagi bayi menyampaikan keinginan mereka. Tangisan ini adalah bahasa sejagat di seluruh dunia.

Buktinya, Priscilla Dun­stan iaitu wanita pertama yang memperkenalkan program Dunstan Baby Language membuat kajian selama lapan tahun dari 1998 sehingga 2006 untuk mengetahui jenis dan maksud tangisan bayi. Dia menjalankan kajian ke atas lebih 500 bayi di Amerika Syarikat dan Australia. Hasil penelitian ini menunjukkan semua bayi mempunyai bahasa yang sama walau di mana mereka berada. Malah ia terjadi disebabkan tindakan luar kawalan dan bukan dipelajari sendiri oleh bayi.

Uswatun yang mula tertarik mengenai kaedah memahami tangisan bayi selepas melahirkan anak pertama, Izz Aydan Arez Amizamzuri memberitahu, dia terus mendapatkan cakera padat menerusi dalam talian dan mula mengkaji satu persatu jenis tangisan dan maknanya sebelum mencubanya pada anak sulungnya.

"Hasilnya sangat menggembirakan kerana selepas mempelajarinya, saya lebih mudah mengetahui apa yang bayi inginkan sama ada lapar, kembung atau tidak selesa. Keadaan ini memberikan kualiti masa terbaik kepada saya dan suami kerana kami tidak perlu berjaga malam terlalu lama. Malah ketika memandu bersama anak dari Bangi ke Ampang, apabila bayi menangis saya tidak panik kerana sudah tahu apa yang dia inginkan," jelasnya yang turut menggunakan kaedah sama untuk anak kedua, Kal Aydin Shaq yang kini berusia setahun.

Kaedah mengenali tangisan bayi mengajar ibu bapa memahami tangisan sebaik saja bayi dilahirkan sehingga berusia empat bulan. Ia mengkategorikan bahasa bayi kepada lima bunyi iaitu Neh, Owh, Eh, Eairh dan Heh.

Neh adalah bahasa bayi Dunstan untuk menzahirkan rasa lapar dan bahasa ini akan keluar dari mulut bayi untuk memberitahu kepada ibu yang dia lapar.

"Untuk mengenali bunyi ini, bayi akan menggunakan bahasa bayi Neh dengan beberapa kombinasi suara dan gerakan lidah bayi di bahagian langit-langit mulut. Bersama bunyi, bayi akan menggerak-gerakkan kepala ke kiri dan kanan sambil menjilat bibir atau menghisap tangannya. Apabila mendengar bayi menangis seakan bunyi Neh, ibu boleh menyusukan bayi mereka," katanya.

Sekiranya bayi menangis sambil membunyikan Owh, ia adalah bahasa untuk menunjukkan rasa mengantuk. Ini diikuti tindakan bayi menguap dan pergerakan mulut berbentuk bujur. Ada juga bayi yang menggaru mata, menarik cuping telinga dan menggeliat bagi menunjukkan rasa mengantuk.

"Selepas mengetahui bayi anda mengantuk, ibu boleh menidurkan anak dengan mudah tanpa perlu melakukan perkara lain terlebih dulu," ujarnya.

Eh pula adalah bahasa bayi yang membawa maksud bayi minta disendawakan. Bunyi ini terjadi disebabkan berlaku kontraksi pada bahagian dada untuk mengeluarkan angin menerusi mulut. Jika dibiarkan, angin akan menekan ke bawah dan menimbulkan rasa sakit.

"Bagi melihat dengan jelas keadaan bayi, biasanya bayi akan menggeliat ketika dibaringkan. Dada bayi menegang dan selepas disusukan biasanya mereka akan menangis tanda tidak selesa," ujarnya.

Bagi ibu muda, tangisan berpanjangan diikuti bunyi Eairh menandakan ketidakselesaan pada perut atau kembung. Ini dapat dilihat apabila semua bahagian tubuh menjadi tegang dan kaku. Ada juga bayi mengangkat kaki ke arah perut diikuti tangisan yang semakin mengeras.

Heh adalah bahasa bayi daripada Dunstan yang bererti bayi berada dalam keadaan panas, sejuk, ruam atau lampin basah. Suara Heh kedengaran sangat jelas dan bayi biasanya akan berhenti menyusu apabila berasa tidak selesa.

Menurut Uswatun, ibu bapa perlu memahami tangisan bayi selepas dilahirkan sehingga dia berusia empat bulan kerana tempoh ini kritikal bagi ibu bapa menumpukan perhatian kepada bayi mereka. Selepas berusia empat bulan, lama-kelamaan tindakan luar kawal ini akan hilang dengan sendiri dan bayi akan menghasilkan bunyi tangisan berbeza.

"Terutama bagi wanita yang baru bergelar ibu, mereka masih belum memahami punca bayi menangis. Ini menyebabkan mereka memberi susu sedangkan bayi menangis berpunca daripada pelbagai perkara," katanya.

Uswatun menjelaskan, mengenali tangisan bayi dapat mengurangkan tekanan kepada ibu berkerjaya kerana masa yang digunakan untuk meredakan tangisan bayi akan menjadi lebih singkat. Malah teknik ini boleh diajar kepada pembantu rumah supaya mereka lebih memahami apa yang perlu dilakukan ketika bayi menangis.

Daripada kajian ke atas 1,000 bayi daripada 30 bangsa berbeza, sembilan daripada 10 ibu di dunia memberikan maklum balas positif terhadap teknik ini. Kira-kira 70 peratus ibu ini melaporkan mereka menjadi lebih positif dan berkeyakinan melayan kerenah anak manakala dua pertiga daripada responden mengakui hubungan suami isteri menjadi lebih positif dan tekanan emosi semakin berkurangan.

"Ini menunjukkan me­ngenali maksud tangisan bayi dapat merubah kehidupan wanita terutama ibu menjadi lebih positif dan bermakna. Malah bayi menjadi lebih ceria kerana kurang menangis dan membesar dalam keadaan sihat," katanya.

Uswatun yang berkelayakan dalam bidang bahasa bayi memberitahu, dia kini menjalankan taklimat dan latihan mengenai topik Mentafsir Makna Tangisan Bayi Dengan Tepat kepada pihak hospital, pusat jagaan kanak-kanak dan ibu-ibu yang ingin mendalami maksud tangisan dengan betul.

Bagi pembaca yang ingin mengetahui lebih lanjut me­ngenai tangisan bayi, boleh melayari laman sesawang www.dunstanbaby.com atau e-mel blushing83@yahoo.com.sg.

Panduan meredakan kembung perut bayi:

Apabila bayi menangis terlalu kuat dan suaranya menekan ke dalam, cuba pastikan sama ada dia mengalami kembung perut atau tidak. Cuba usahakan untuk mengeluarkan gas dari perut bayi dengan cara membuatnya sendawa. Hal ini sangat efektif untuk menghilangkan ketidakselesaan itu.

Terdapat pelbagai cara boleh dilakukan untuk me­ngeluarkan gas, sekali gus membuatkannya sendawa antaranya:

1. Tepuk punggung bayi perlahan-lahan sambil menggerakkan paha anda.

2. Letakkan bayi dengan perut di atas bahu kemudian gerakkan bahu anda (perlahan-lahan).

3. Bayi diletakkan dengan kedudukan di atas lengan dan tapak tangan menyokong dada bayi, gerakkan tangan ke hadapan dan belakang seperti mendodoi.

4. Kedudukan bayi berada dalam keadaan meniarap, urut seluruh bahagian belakang terutama pinggang dengan lembut bagi mengeluarkan angin.

5. Kedudukan bayi dalam keadaan telentang, urut lembut bahagian perut bayi.

Sekiranya anda menyusukan bayi, elakkan makanan yang boleh menyebabkan kembung seperti kacang, sayuran berangin seperti kubis dan kangkung, dadih, jagung dan telur. Usahakan agar bayi menyusu sambil berbaring untuk mengurangi jumlah udara yang masuk ke bahagian pencernaan. Sentiasa sapu minyak panas pada bahagian perut dan tapak kaki bagi memberi kehangatan kepada bayi anda.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/05
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved