Rabu, 3 April 2013

Harian Metro: Arena


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Kelantan berpesta gol

Posted:

Kota Bharu: Kelantan menerajui Kumpulan G selepas berpesta gol ketika membenam SHB Da Nang dari Vietnam 5-0 dalam saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, malam tadi.

Kemenangan itu juga menyaksikan The Red Warriors mengekalkan rekod tanpa kalah di gelanggang sendiri sejak musim lalu selain meleburkan SHB Da Nang yang tidak pernah tewas selepas tiga perlawanan sejak saingan AFC bermula.


Seawal minit pertama, pertahanan tuan rumah sudah diuji menerusi rembatan penyerang import SHB Da Nang, Merlo Sebastian Gaston selepas menerima lorongan Giang Tran Quach Tan namun ketangkasan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat berjaya menyelamat keadaan.

Tersentak asakan awal pelawat, anak didik skuad kendalian Bojan Hodak mula mengatur gerakan pada minit kedua menerusi penyerang import bertubuh sasa, Dickson Nwakaeme yang melakukan hantaran lintang sebelum pemain veteran, Indraputra Mahayuddin melakukan rembatan namun melepasi palang gol.


Dua minit berselang, Nwakaeme membuka tirai jaringan menerusi percubaan luar kotak penalti selepas menerima hantaran pemain sayap, Mohd Faiz Subri yang mempamer kelincahan melepasi tiga pemain lawan.


Minit keenam, Indraputra terus menjarakkan kedudukan apabila menghasilkan jaringan kedua selepas menerima umpanan cantik bintang muda dari Australia, Dimitri Petratos sekali gus menewaskan penjaga gol, Nguyen Thanh Binh.

Foto

NWAKAEME (kiri) jaring gol pertama Kelantan.

Ketinggalan dua gol menyaksikan pasukan pelawat yang dikendalikan Le Huynh Duc buntu melakukan gerakan sebaliknya Kelantan terus menguasai perlawanan. Minit ke-15 Nwakaeme sekali lagi melakukan percubaan namun ditepis penjaga gol.


Kelincahan Mohd Faiz terus menjadi perhatian kira-kira 10,000 penyokong, malah usahanya berjaya menghasilkan jaringan ketiga pada minit ke-23 selepas menerima umpanan Nwakaeme sekali gus terus mengukuhkan kedudukan.

Pelawat yang ketinggalan 0-3 memaksa melakukan perubahan apabila menukar tiga pemainnya meskipun belum berakhir babak pertama.


Peluang terbaik SHB Da Nang hadir pada minit ke-44 namun percubaan Vo Hoang Quang sedikit tersasar meskipun Khairul Fahmi sudah tertewas. Keputusan 3-0 itu kekal sehingga tamat babak pertama.


Bermula babak kedua, Kelantan terus garang malah Nwakaeme terus mempamer kehebatan dengan merembat kencang dari kotak penalti pada minit ke-47 namun sekadar melepasi palang gol.


SHB Da Nang terus derita apabila Petratos menghadiahkan jaringan keempat Kelantan pada minit ke-58 selepas menerima hantaran lintang Mohd Faiz.


Kelantan berpeluang menghasilkan gol kelima menerusi sepakan penalti selepas Nwakaeme dikasari penjaga gawang pada minit ke 69. Namun sepakan penalti Mohd Shahir Shaari tersasar ke kanan gawang meskipun penjaga gol sudah tidak dapat membaca arah sepakan berkenaan.


Minit ke-83 penyerang berbahaya, Nwakaeme digantikan dengan Zairo Anuar Zailani. Penyokong Kelantan terus berpesta apabila kapten, Mohd Badri Radzi menjaringkan gol kelima pada minit ke-85 dengan melakukan percubaan dari luar kotak penalti selepas penjaga gawang lawan keluar dari kawasannya untuk menyelamatkan serangan Petratos.


Dua minit masa tambahan tidak cukup untuk SBH Da nang mencari gol sagu hati yang menyaksikan keputusan 5-0 itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/03

Penat lelah berbayar

Posted:

Senawang: Mereka mengharungi perjalanan ratusan kilometer sejak bermula Karnival Futsal Milo Hidup Bola 2013 semata-mata bagi mencari tiket beraksi di grand final. Itulah ranjau yang terpaksa dihadapi skuad futsal bawah 12 tahun Remaja Semangat Pejuang (RSP) Smart Kids A dari Klang.

Percubaan mereka di Orbit de Futsal, Kuala Lumpur menerusi Siri Pertama, Manjung Indoor Sports Arena, Perak (Siri Ke-2) dan Safira Sports Palnet, Pulau Pinang (Siri Ke-3), semuanya menemui jalan buntu.


Namun akhirnya tuah berpihak kepada mereka di Sports Planet Senawang, Negeri Sembilan apabila muncul juara selepas menumpaskan SK Puchong Indah, 2-1.

Sebelum itu pada separuh akhir, RSP Smart Kids A menumpaskan RSP Smart Kids, B 1-0 manakala SK Puchong Indah mengalahkan Sri Remaja Kapar Junior, 2-1.


Pengurus pasukan Muhammad Nazrin Ab Aziz gembira dengan kejayaan itu selepas beberapa kali langkah mereka tersekat di separuh akhir.


"Pemain menunjukkan aksi konsisten dan permainan yang menghiburkan penonton sepanjang kejohanan," katanya yang akan mempertaruhkan skuad RSP Smart Kids B untuk bersaing di Melaka pada 13 April ini.

Perlawanan sengit turut dipamerkan kedua-dua finalis kategori bawah 16 tahun, membabitkan GB FC A dari Klang menentang Kartallar FC (Sepang) sehingga juara terpaksa ditentukan melalui sepakan penalti selepas terikat 2-2. Gelaran milik GB FC A apabila menang 3-2.


Kartallar FC tidak menghadapi masalah mengalahkan wakil tuan rumah Safias FC dari Ampangan, 5-1 pada separuh akhir manakala GB FC A diberi tentangan hebat Impro Mahkota (Johor) sebelum menang 3-1.

Hadiah disampaikan Pengurus Pemasaran Sukan Nestle Product Sdn Bhd Ng Ping Loong.


Siri Ke-5 berlangsung di Sports Arena Klebang pada 13 April ini diikuti Siri Ke-6 di Arena Sukan Simpang Tiga, Sarawak (20 April). Borang penyertaan boleh dimuat turun melalui www.syoknyasukan.com atau hubungi Nik Muhd Radzi menerusi talian 019- 3519934 dan Zack 019- 9444334.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/03
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved