Rabu, 3 April 2013

Harian Metro: Rap


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Nora & Sam rasa selesa

Posted:

Filem genre Islamik selain membawa mesej dakwah, sesuai ditonton seisi keluarga. Itulah antara mesej yang ingin disampaikan dalam filem genre romantik Islamik, Dua Kalimah terbitan MIG yang ditayangkan di pawagam mulai esok.

Dua Kalimah jelas memiliki mesej yang mendalam untuk disampaikan kepada penonton kerana cerita ini mengangkat kisah kehidupan manusia yang tersasar dari landasan Islam dan akhirnya ingin kembali mencari keredaan Ilahi.

Filem arahan pengarah muda Eyra Rahman ini julung kali menggandingkan bintang popular Shaheizy Sam dan Nora Danish di layar besar.

Sam ketika ditemui RAP, akui tertarik membintangi Dua Kalimah kerana ingin menyahut cabaran dalam genre Islamik yang belum pernah dicubanya sepanjang pembabitan dalam bidang lakonan.


"Saya tidak pernah berlakon dalam filem genre ini. Berbanding genre lain, genre ini agak sensitif dan kita perlu peka dengan perkara yang membabitkan isu keagamaan supaya tidak ada fakta yang salah dari segi agama.


"Saya juga membuat kajian mendalam di Internet mengenai mereka yang diserang penyakit angin ahmar untuk menjiwai babak Aiman yang diserang penyakit itu supaya ia nampak tidak dibuat-buat sekali gus memberi kesan mendalam pada penonton," katanya.

Sebagai pelakon berpengalaman, Sam nampaknya tidak sukar mencari keserasian ketika bergandingan dengan Nora dalam filem itu.

"Kami berdua cepat serasi kerana Nora juga memberi apa yang saya kehendaki dalam filem ini. Sepanjang penggambaran filem ini, Nora juga buat saya rasa selesa untuk menjiwai babak romantik Selina dan Aiman.

"Apa yang penting, babak romantik dilakonkan itu nampaknya menjadi dan tidak keterlaluan kepada penonton. Walaupun masih baru dalam filem, saya melihat banyak peningkatan dalam lakonan Nora sekarang. Apapun, saya percaya filem ini memiliki tarikan tersendiri kerana banyak pengajaran yang ingin disampaikan pada penonton," katanya.

Sam menangis, Nora kena mandi jenazah

Sam yang yang baru saja mengungguli kategori Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem Songlap pada Festival Filem Antarabangsa ASEAN 2013 (AIFFA) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo, Kuching (BCKK), Sabtu lalu berkata, fokus utamanya kini untuk mengukuhkan lagi misinya dalam bidang lakonan.

"Selepas menang anugerah di AIFFA, sampai masanya saya lebih selektif dengan pengarah yang saya ingin bekerja dan naskhah yang ditawarkan kerana saya inginkan yang terbaik untuk karier lakonan pada 2014. Terbaru, saya akan berlakon dalam filem Manisnya Cinta arahan Bernard Chauly terbitan Red Films Sdn Bhd," katanya.

Nora yang sudah 10 tahun berkecimpung dalam bidang lakonan mengakui impiannya untuk bergandingan dengan Sam akhirnya kesampaian dalam filem itu.

"Saya teruja apabila dapat tahu digandingkan dengan Sam selaku teraju utama filem ini. Walaupun kami bernaung di bawah payung Metrowealth (MIG), baru sekarang kami dapat digandingkan sama dalam filem. Terus terang, saya sangat mengagumi bakat Sam kerana dia seorang pelakon yang hebat menerusi pelbagai pencapaiannya dalam bidang seni hari ini.

"Pada mulanya saya rasa takut berlakon dengannya tetapi Sam berjaya buat saya selesa di lokasi filem ini yang menjalani penggambaran, lapan bulan lalu. Sam juga banyak membimbing saya dari aspek lakonan supaya menjadi lebih bersahaja. Sebelum berlakon, dia akan membuat kajian mengenai sesuatu watak di laman YouTube terlebih dulu.

"Saya percaya, peminat pasti tersentuh hati apabila menonton salah satu babak Sam menangis untuk menjiwai watak Aiman dalam filem ini. Babak itu lima minit saja tapi kita dapat merasainya," katanya.

Ditanya cabaran melakonkan watak Selina, ibu tunggal kepada seorang cahaya mata, Putera Rayqal Ramli, 3, ini berkata dia ditawarkan watak yang lebih serius dalam Dua Kalimah.

"Saya cukup tertarik untuk melakonkan watak Selina, anak orang kaya yang suka bersosial tetapi terpaksa bertudung untuk mengaburi mata orang kampung apabila mengikut teman lelakinya, Aiman (lakonan Sam) pulang ke kampung.

"Saya juga tidak ada masalah pegang watak bertudung kerana pernah berlakon watak bertudung dalam Mencari Cinta dan ternyata peminat suka melihat imej saya seperti itu. Dari segi babak yang susah pula adalah ketika Selina turut serta memandikan jenazah seorang wanita yang meninggal di kampung itu," katanya.

Plot Dua Kalimah

Filem ini menceritakan mengenai Aiman, pemuda yang disayangi dan disenangi penduduk kampung kerana akhlaknya yang baik. Dia juga memiliki kekasih yang solehah di kampungnya, Humaira dan berjanji untuk mengahwininya. Bagaimanapun, semuanya berubah apabila Aiman melanjutkan pelajarannya ke luar negara dan jatuh cinta dengan Selena.

Apabila Aiman mahu pulang ke kampung halamannya, Selina mahu mengikut kekasihnya itu. Kemudian konflik berlaku apabila Aiman dibesarkan dalam keluarga yang penuh didikan agama, manakala, Selina pula sebaliknya gadis liar.

Barisan pelakon lain Dua Kalimah adalah Yana Samsudin, Shima Anuar, Mikael Andre, Siti Aziz, Adiba Yunus, Niezam Zaidi, Wan Hanafi Su, Kartina Aziz, Rashidah Jaafar, Azlan Komeng, Kay Maria dan Ustaz Dini. Ia membabitkan lokasi indah di pesisiran pantai Kemaman, Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/03

Advertorial: Terlahirnya 'Oblivion'

Posted:

Pada tahun 2005, lima tahun sebelum Joseph Kosinski mengarahkan filem pertamanya, 'TRON: Legacy' (2010), dia telah menghasilkan sebuah karya setebal 12-muka surat yang diberi judul 'Oblivion'. Karya bergenre aksi pengembaraan itu berlatarbelakangkan Bumi pada tahun 2077, enam dekad selepas pencerobohan makhluk asing yang meninggalkan Bumi terdedah kepada radiasi. Watak utama bernama Jack Harper, seorang juruterbang berani mati yang kini bertugas di Bumi.

Realiti yang Jack selama ini percaya sebagai kebenaran musnah dalam sekelip mata apabila dia dipertemukan dengan seorang wanita misteri. KesedarJack akhirnya melihat lelaki ini menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin kepada mereka yang masih berada di Bumi.

Impian Kosinski ialah untuk mengadaptasi 'Oblivion' buat layar perak. Malangnya, masa sering tidak menyebelahinya. Sehinggalah beberapa tahun kemudian bila dia ditemukan dengan pengasas Radical Studios, Barry Levine dan Jesse Berger.

Ketika itu, mereka bertiga mendapat idea untuk mempersembahkan cerita 'Oblivion' dalam versi novel grafik. Tujuannya bagi memudahkan mereka mendemonstrasikan halatuju 'Oblivion' kepada pelabur yang berminat. Arvid Nelson dipertanggungjawabkan untuk menulis novel tersebut sementara ilustrasi oleh Andree Wallin.


Pada masa yang sama, mereka ingin mendapatkan maklum balas dari orang-orang awam terhadap 'Oblivion'. Sebanyak 30,000 salinan novel grafik itu diedarkan di Comic-Con International 2010 dan mendapat sambutan yang memberangsangkan.


Kosinski ingin berkongsi pengalaman dan minatnya mengarah sebuah karya sains fiksyen. Beliau membesar dengan filem-filem klasik seperti 'The Omega Man', 'Blade Runner' dan '2001: A Space Odyssey' dan buku termasuk 'Hyperion' serta rancangan TV seperti 'The Twilight Zone'. Pengarah muda ini memberitahu, dia gemar melihat teknologi canggih yang dipersembahkan dalam rekaan bergaya ditemukan dengan latarbelakang yang 'rugged'.

Bagi Berger dan Levine, mereka tertarik dengan 'Oblivion' kerana ia bukan sahaja sebuah filem aksi-penggembaran yang hebat tetapi pada terasnya, ia mengisahkan tentang seorang individu yang sedang mencari kemanusiaannya dan sebagai penonton, anda mahu menyokong dan melihatnya berjaya.

Selepas kejayaan mereka di Comic-Con, Universal Pictures dan Chernin Entertainment bersetuju untuk bekerjasama merealisasikan impian Kosinski. Sementara kerja-kerja mengadaptasikan 'Oblivion' untuk layar perak dimulakan, Kosinski perlu fokus pada pencarian pelakon-pelakon yang akan menghidupkan watak-wataknya.

Berbeza dari filem aksi-penggembaraan lain yang dipopulasikan dengan ramai pelakon, 'Oblivion' hanya mengetengahkan beberapa watak sahaja, lebih-lebih lagi Bumi pada waktu itu sudah ditinggalkan penduduknya.

Buat Kosinski, pelakon A-list Hollywood, Tom Cruise merupakan calon teratas di dalam senarainya. Walaupun begitu, dia mengakui terkejut bila dihubungi wakil Cruise yang memaklumkan bahawa pelakon tersebut sudah membaca novel grafik 'Oblivion' dan ingin duduk berbincang dengannya. Dalam tempoh tiga jam, pertemuan yang berlangsung di sebuah hangar kapal terbang di Burbank berakhir dengan berita gembira yang Cruise ingin terlibat sama dalam projek Kosinski.

Tentang koloborasi mereka, Kosinski menjelaskan, "Tom tahu apa yang diperlukan untuk menghasilkan sebuah filem yang hebat. Berpeluang bekerjasama dengannya sesuatu yang menakjubkan, bukan sahaja di set ketika penggambaran tetapi dari awal lagi sewaktu kami bersama-sama membentuk skrip dan wataknya.

Bagi Tom pula, alasannya menawarkan diri untuk 'Oblivion' mudah sahaja - dia tartarik dengan ceritanya.

"Pertama kali kami bertemu, saya sudah kagum dengannya (Kosinski). Joe seorang yang berbakat. Dia seorang pengarah yang mencipta dunia lain dan visinya untuk 'Oblivion' membuatkan saya tertarik. Belum pernah lagi saya melihat visi sebegitu di dalam karya-karya lain. Walaupun sudah lama saya tidak terlibat di dalam sebuah filem sains fiksyen sejak 'Minority Report' tetapi saya suka genre itu dan saya tahu Joe mampu menghasilkan sebuah karya yang hebat."

'Oblivion' bukan sahaja percubaan pertama Cruise bekerja di bawah arahan Kosinski tetapi ia juga pertama kali dia digandingkan dengan pelakon tersohor Morgan Freeman yang membawa watak Beech, pemimpin revolusi.

Kongsi Cruise, "Pada tahun 1990, kami berdua telah dicalonkan untuk Oscars. Saya untuk watak saya dalam 'Born on the Fourth of July dan dia untuk 'Driving Miss Daisy'. Saya begitu mengaguminya dan saya ingat lagi di malam Oscars, saya memberitahunya saya meminati hasil kerjanya dan mencadangkan kami patut bekerjasama. Agak sedih ia telah mengambil masa bertahun lamanya untuk kami digandingkan tetapi saya gembira diberikan peluang ini. Dia seorang individu yang hebat dan pelakon yang luar biasa."

Barisan pelakon lain yang turut terlibat di dalam 'Oblivion' termasuk Olga Kurylenko (sebagai Julia Rusakova, penggembara misteri yang telah merentas masa dan ruang untuk mencari cinta sejati), Andrea Riseborough (Victoria 'Vika' Olsen, pembantu setia Jack), Nikolaj Coster-Waldau (Sykes, orang kanan Beech) dan Melissa Leo (Sally, ketua pegawai yang ditugaskan mengendalikan pemindahan penduduk dari Bumi).

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/03
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved