Khamis, 4 April 2013

Harian Metro: Arena


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


'Saya terpaksa'

Posted:

Johor Bahru: Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengambil tindakan drastik apabila melepaskan jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) berkuat kuasa serta-merta, malam tadi.

Bagaimanapun, menurut kenyataan media yang diedarkan, Tunku Ismail masih membabitkan diri dalam bola sepak di Johor apabila menjadi penaung persatuan itu bagi memastikan segala urusan pentadbiran, terutama aspek kewangan dan kebajikan kakitangan dan pemain PBNJ sentiasa dijaga.


Setiausaha Kehormat PBNJ, Fahmy Yahya yang mengesahkan peletakan jawatan Tunku Ismail berkata, jawatan selaku presiden kini disandang Timbalannya, Datuk Obet Tawil yang juga Setiausaha Kerajaan Johor.

Dalam kenyataan media itu, Tunku Ismail berkata, keputusan meletak jawatan dibuat selepas mendapat persetujuan ayahandanya, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan juga hasil daripada perbincangan dengan Penasihat Undang-Undang Negeri Johor.


"Saya terpaksa mengambil keputusan itu kerana berasa jika saya terus menjadi presiden dan pada masa sama Tunku Mahkota Johor, amat sukar untuk saya mentadbir PBNJ yang sentiasa terikat dengan undang-undang dan peraturan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).


"Oleh itu, saya membuat keputusan mentadbir PBNJ dengan menjadi Penaung, berkuatkuasa serta-merta mulai hari ini (semalam). Ini kerana mengikut hiraki protokol, saya sebagai Tunku Mahkota Johor sememangnya layak memegang jawatan sebagai Penaung PBNJ," katanya.

Menurutnya, sebagai Penaung PBNJ, ia akan membuka lebih banyak ruang dan peluang serta kelebihan kepadanya untuk mentadbir PBNJ yang turut membabitkan aspek pengurusan kewangan, kebajikan kakitangan dan juga pemain di samping dapat membuat keputusan yang lebih tepat.


"Justeru, saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua penyokong bolasepak Johor yang bersusah payah memberi sokongan tidak terbatas selama ini. "Sokongan padu anda semua amat dihargai dan saya harapkan ia akan berterusan sampai bila-bila kerana dengan adanya sokongan anda, pasukan Johor boleh terus gah berdiri di persada tanah air." Sebelum ini, Tunku Ismail digantung enam bulan dan denda RM18,000 oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM selepas mengeluarkan kenyataan mengkritik mutu pengadilan dan turut mencetuskan kontroversi selepas duduk di bangku simpanan pemain ketika masih dalam penggantungan sewaktu aksi Liga Super, Johor Darul Takzim menentang Terengganu, 30 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/04

Penalti berharga!

Posted:

Kota Bharu: Kolej Poly Tech Mara (KPTM) Kota Bharu muncul juara Kejohanan Bolasepak Piala Presiden KPTM yang berlangsung di Kompleks Belia dan Sukan, Panji, baru-baru ini.

KPTM Kota Bharu dan KPTM Alor Setar seri 0-0 pada perlawanan akhir dan mengheret perlawanan ke masa tambahan. Keputusan 0-0 itu kekal ke akhir perlawanan sebelum mereka menang sepakan penalti 5-4.


Terdahulu, dalam saingan separuh akhir, KPTM Kota Bharu diikat KPTM Bangi, 1-1 pada hujung masa tambahan dan mengesahkan slot ke final menerusi tendangan penalti 7-6 manakala KPTM Alor Setar mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas KPTM Ipoh.

Lebih membanggakan, pemain KPTM Kota Bharu Wan Mohd Izham Wan Rosli dinobat Pemain Paling Bernilai (MVP) manakala Arif Johan dari KPTM Bangi muncul Penjaring Terbanyak. Pasukan KPTM Bangi menduduki tempat ketiga keseluruhan selepas menewaskan KPTM Ipoh 3-1.


Timbalan Presiden Hal Ehwal Pelajar KPTM Dr Wan Sabri Wan Husin menyampaikan hadiah kepada pemenang dan turut disaksikan Setiausaha Sulit Timbalan Menteri Kewangan Dr Nik Yahya Ab Rahman dan Pengarah KPTM Kota Bharu Mohamed Saifudin Hussin.


Sementara itu, Wan Sabri berkata, lapan pasukan termasuk KPTM Kuantan, Batu Pahat, Kuala Lumpur dan Kesedar Gua Musang menyertai kejohanan empat hari itu. Katanya, pertandingan bolasepak sebahagian daripada acara dipertandingkan pada Sukan Poly Tech Mara (SUPTEM) Kelima yang berlangsung tahun ini.

"Biasanya semua acara berlangsung serentak tapi tahun ini kita buat transformasi apabila mempertandingkan sukan bolasepak terlebih dulu. Tapi ini sebahagian daripada acara SUPTEM yang akan berlangsung tidak lama lagi,.


"KPTM juga bersedia melahirkan atlet berkualiti menerusi pertandingan sukan dianjurkan malah kita boleh lihat kebolehan pelajar ketika menyertai kejohanan SUPTEM dan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT)" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/04
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved