Khamis, 4 April 2013

Harian Metro: Setempat


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Setempat


Kebas alat proses data

Posted:

Shah Alam: Rahsia kerosakan bilik kawalan operasi pencawang milik Celcom Axiata Bhd (Celcom) di Bandar Sunway, Subang, dekat sini, membongkar kehilangan 16 alat pemprosesan data syarikat itu pada 16 Mac lalu.

Kejadian disedari apabila seorang lelaki iaitu jurutera Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerima aduan mengenai terdapat kerosakan pada pencawang berkenaan sebelum membuat pemeriksaan pada jam 7.15 pagi.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, hasil maklumat diterima, polis melakukan siasatan sebelum menahan dua lelaki dipercayai adik-beradik berusia 23 dan 28 tahun.

Katanya, suspek yang beralamat di Gombak itu adalah bekas kontraktor dan ditahan pada jam 12.15 pagi pada 18 Mac lalu selepas dipercayai terbabit kejadian itu.


"Tindakan pantas polis melakukan serbuan di sebuah kedai menjual barang lusuh di Kampung Salak Selatan Baru membolehkan seorang lagi lelaki berusia 38 tahun dipercayai pemilik premis berkenaan ditahan. Dia ditahan bersama seorang pekerja lelaki warga India dalam tempoh 24 jam selepas penahanan dua beradik terbabit. "Hasil siasatan, dua hari kemudian polis menahan dua lelaki warga tempatan masing-masing berusia 24 tahun jam 10.30 malam selepas dipercayai terbabit kecurian itu.


"Suspek yang berasal dari Malim Nawar, Perak dan Kampung Batu 38, Sabak Bernam itu bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat swasta," katanya pada sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, semalam.

Foto

MOHD Adnan (kanan) menunjukkan peralatan telekomunikasi yang dirampas daripada suspek.

Mohd Adnan berkata, dengan penahanan enam suspek terbabit, polis percaya sudah menyelesaikan enam kes membabitkan kes kecurian alat pemprosesan data milik syarikat komunikasi itu yang pernah dilaporkan di Kuala Selangor, Kajang, Petaling Jaya dan Subang Jaya.


"Dengan penahanan ini, polis merampas sebuah kereta Proton Saga FL dipercayai digunakan suspek untuk melakukan kegiatan mencuri, kabel seberat 143 kilogram (kg), bateri dan pelbagai jenis alat pemprosesan data," katanya.

Katanya, kelima-lima suspek warga tempatan terbabit sudah didakwa di Mahkamah Tinggi Petaling Jaya mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda, jika sabit kesalahan, manakala seorang lagi suspek warga India direman 14 hari mengikut Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.


Sementara itu, dalam serbuan terbaru dilakukan polis Selangor, pihaknya menahan tiga lelaki di sebuah kedai di Jalan Kebun, Klang kerana dipercayai turut terbabit kejadian mencuri kabel.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/04
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved