Khamis, 4 April 2013

Harian Metro: Rap


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Timba pengalaman di Los Angeles

Posted:

Perasaan ingin tahu khalayak mengenai kisah wanita bernama Lisa Surihani Mohamed ini memang tidak pernah bernoktah. Apabila menyentuh soal peribadi khususnya, Lisa memang tidak boleh mengelak daripada terus dihujani perihal perkahwinan dan anak.

Namun, biar klise mana bunyinya atau berpuluh kali sekali pun dia diajukan soalan berbaur peribadi, pelakon jelita berusia 27 tahun ini cukup profesional menghadapinya.

Tanyalah berulang-kali pun topik keramat yang ingin diketahui ramai iaitu kehamilan, Lisa sentiasa terbuka untuk menjawab.

Sejak bergelar suri kepada pengarah filem, Yusry Abdul Halim pada 23 Februari 2012, perkembangan semasa mengenai rumah tangga pasangan ini sentiasa jadi buruan.


"Saya sedar ia (kehamilan) klise dan sudah berulang-kali ditanya kepada saya tetapi saya faham ramai yang ingin tahu. Cuma, sehingga kini masih belum ada rezeki untuk kami.


"Saya belum mengandung lagi. Kami suami isteri terus berharap dan doakanlah yang terbaik," katanya kepada RAP ketika ditemui, kelmarin.

Tambah Lisa, dia dan suami hanya mampu berusaha dan terus berharap akan muncul satu hari indah yang membawa berita gembira buat mereka, keluarga dan peminat.

Dalam masa yang sama, katanya, tiada apa yang lebih membahagiakan selain bergelar isteri kepada Yusry kerana keserasian yang mengikat erat hubungan mereka hari demi hari.

Ditanya mengenai perkembangan terbaru mereka berdua, Lisa berkata, dia baru saja pulang ke tanah air selepas menghabiskan masa hampir seminggu di Los Angeles, Amerika Syarikat menemani suami atas urusan kerja.

"Saya temankan Yusry bersama beberapa wakil KRU Studios atas urusan berkaitan filem Vikingdom di sana. Sebenarnya, saya masih lagi mengalami gangguan ritma kerana baru sampai semalam (Isnin)," ceritanya dengan penuh teruja.

Kongsinya, percutian singkat di bandar raya yang dikenali sebagai City of Angels itu bukan saja mengeratkan hubungan mereka yang julung kali ke sana berdua, malah ia turut memberikan pendedahan kepadanya mengenai proses pembikinan filem dan keseronokan bermain di teman tema terkemuka di situ.

"Banyak pengalaman baru saya peroleh di sana. Ia adalah percutian singkat yang sangat menyeronokkan. Bukan saja saya dapat menghabiskan lebih banyak masa bersama suami di tempat orang, malah saya sendiri begitu teruja kerana dapat melihat proses pembikinan sebuah filem Hollywood di Universal Studios dan melawat set penggambaran Desperate Housewives," katanya yang teruja saat mengimbas semula keseronokan berkunjung ke taman tema Disneyland.

Tak sabar berlakon bawah suami

Beralih pada perkembangan kerjaya, anak tunggal wanita dalam keluarga ini melahirkan perasaan bercampur-baur mengenai projek filem akan datangnya yang enggan didedahkan secara terperinci.

Apabila ditanya, Lisa berkata, dia berasa tidak sabar untuk memulakan penggambaran sebuah filem di bawah arahan suami sendiri tidak lama lagi.

"Projek filem itu masih dalam proses perbincangan dan dijangka akan memulakan penggambaran dalam sedikit masa lagi pada tahun ini juga. Cuma, pada waktu ini saya tidak boleh mendedahkan mengenai tajuk, genre atau butiran lanjut mengenai filem itu.

"Yang pasti ia akan diarahkan Yusry dan saya akan membintanginya. Ia adalah projek yang sangat saya nanti-nantikan," katanya.

Tambah pelakon filem Istanbul Aku Datang ini, keseronokan terhadap filem itu timbul kerana dia tidak pernah bekerja di bawah arahan pengarah filem Cicak-Man itu.

"Jadi, saya berasa tidak sabar untuk memulakan penggambaran filem berkenaan. Status dan keserasian kami sebagai suami isteri memudahkan proses perbincangan dan pertukaran idea ketika bekerja.

"Tetapi ia bukan satu kelebihan buat saya hanya kerana filem itu diarahkan oleh suami sendiri. Apa pun, masih terlalu awal untuk kita bercerita mengenai projek itu buat masa ini. Tunggulah sehingga ada perkembangan," katanya.

Mengenai projek lain pula, Lisa berkata, dia juga bakal memulakan penggambaran sebuah filem yang masih dirahsiakan dalam masa terdekat dan tawaran bergelar pengacara sebuah program yang bakal diumumkan kelak.

"Ada sebuah tawaran filem yang masih dalam perbincangan akan diumumkan tidak lama lagi. Selain itu, saya juga akan cuba mengembangkan kebolehan dalam pengacaraan program televsiyen yang juga akan diumumkan dalam masa terdekat,.

"Bagaimanapun, demi menghormati kontrak, saya tidak dapat bercerita secara terperinci sehingga pihak produksi sendiri yang dedahkan nanti," kata pelakon drama bersiri Maskara ini.

Wajah aplikasi WeChat

Nama Lisa dan laman sosial bagai isi dan kuku yang cukup sinonim ekoran populariti yang dikecapi graduan undang-undang ini.

Lihat saja pada jumlah pengikutnya di laman Facebook, Twitter atau Instagram, angka yang mencecah jutaan peminat itu bukti kukuh bahawa dia begitu relevan dengan teknologi komunikasi maya ini.

Atas kelebihan itu juga, bukan sesuatu yang pelik apabila Lisa disambar oleh aplikasi komunikasi sosial mudah alih, WeChat selaku duta produk untuk tempoh setahun.

Ditanya mengenai pelantikan itu, Lisa berkata, pembabitan secara aktif menerusi pelbagai platform sosial sejak beberapa tahun lalu menjadi titik-tolak untuk dia mencuba aplikasi baru pula.

"Perasaan ingin tahu mengenai aplikasi ini yang membuatkan saya tertarik untuk menerima tawaran WeChat. Sebaik mereka meluahkan hasrat untuk melantik sebagai duta, saya tidak terus bersetuju tetapi menerokai aplikasi ini untuk melihat sejauh mana impaknya.

"Memang WeChat berbeza daripada aplikasi lain kerana ia mempunyai beberapa ciri menarik yang unik dan tersendiri. Saya mulai suka dengan butang fungsi 'pushtalk' pada aplikasi ini yang membolehkan kita berkomunikasi menerusi audio dengan begitu mudah.

"Malah, apa yang lebih saya suka kerana aplikasi ini membolehkan saya membuat panggilan video secara percuma dan lancar sama ada menerusi 3G atau Wi-Fi di mana saja," katanya yang dilamar pengeluar aplikasi itu kira-kira sebulan setengah yang lalu.

Jelasnya lagi, peluang sebagai wajah produk maya itu adalah satu perkembangan baru yang tepat pada waktunya seiring dengan arus perkembangan teknologi sosial semasa.

"Saya gembira dan bersyukur dengan peluang menjadi wajah aplikasi ini. Bagi saya, ia adalah sesuatu yang dekat dan relevan dengan saya yang secara kebetulan memang pengguna aktif di laman sosial," katanya.

Selain Lisa, aktor popular Shaheizy Sam turut dilantik sebagai duta aplikasi yang ditawarkan dengan 17 bahasa pilihan itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/04
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved