Ahad, 7 April 2013

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Ragam pelari tamatkan larian

Posted:

Kesilapan mendaftar kategori larian akhirnya membuatkan wanita muda ini terus memilih maraton penuh sebagai acara kegemarannya.

Senaman dan aktiviti larian yang sebelum ini perkara asing baginya kini menjadi rutin harian dan percubaan pertama menyertai kejohanan itu membuatkan Yee Pei Ni bagaikan ketagih untuk menyertai acara seterusnya.

"Saya jarang bersenam dan sesekali melakukan aktiviti larian bersama rakan sekampus. Disebabkan tubuh yang agak berisi, saya terus mendaftar menyertai acara maraton yang dianjurkan pihak universiti pada 2009.

"Sudahlah itu pertama kali, tersilap mendaftar pula untuk kategori maraton penuh 42 Kilometer (km). Mahu atau tidak, saya terpaksa lakukan walaupun tiada latihan dan desak diri berlari hingga ke garisan penamat.

Foto

PESERTA melakukan senaman pemanas badan sebelum memulakan larian.

Foto

YEE tidak melepaskan peluang menemui idolanya, Kathrine Switzer.

Foto

ANTARA peserta luar negara yang tidak ketinggalan memeriahkan Maraton Wanita Malaysia Nestle Fitnesse 2013.


"Seperti dijangka, catatan masa saya ketika itu melebihi lima jam dan saya hampir pitam kerana terlalu penat," katanya.


Kini selepas hampir 20 maraton yang disertainya dalam dan luar negara wanita berusia 22 tahun ini sudah mampu berbangga dengan pencapaiannya. Bukan setakat berjaya menurunkan berat badan, malah Yee turut ditaja syarikat ternama bagi membolehkannya terus menyertai acara larian tempatan dan antarabangsa.

Pada Maraton Wanita Malaysia Nestle Fitnesse 2013, semalam, penuntut jurusan Sains Pemakanan ini muncul juara 42km kategori terbuka wanita, sekali gus menjadikan itu maraton penuh ke-15 yang disertainya.

Kekangan masa latihan kerana memberi komitmen pada kerja kursus amali yang dilakukannya ketika ini sama sekali tidak menghalang Yee mencatat masa 3:40:08s.

"Saya cuba luangkan masa sejam untuk berlari setiap hari selepas waktu kerja. Disebabkan waktu kerja saya sehingga lewat petang, saya tidak berani berlatih terlalu lama kerana berlari sendirian.

"Bagaimanapun, saya puas hati dengan catatan masa ini. Ia antara catatan masa terbaik pernah saya lakukan," katanya yang muncul juara Maraton Malam tahun lalu.

Juara maraton penuh kategori veteran, Yuka Takehiro pula menyifatkan lariannya semalam tidak begitu memuaskan.

Dengan catatan masa kira-kira tiga jam 42 minit, pelari dari Jepun itu menewaskan dua pelari Malaysia, Annie Lee dan Foo Kam Miew yang masing-masing melakukan catatan 3:50:52s serta 4:10:00s.

"Masa terbaik pernah saya lakukan ialah 3:23:00s di Maraton Tokyo baru-baru ini. Keadaan cuaca yang panas di i-City dan bentuk jalan berbukit menyukarkan larian saya.

"Apapun, ia catatan masa terbaik saya di Malaysia. Jika berpeluang melakukan latihan dalam keadaan begini, saya pasti dapat memperbaikinya di masa depan," katanya.

Untuk acara separuh maraton (21km) kategori veteran, Emer Breen muncul juara dengan 1:35:40s, disusuli Chong Swee Ying (1:38:21s) dan Susan Khoo (1:39:80s).

Kategori terbuka pula diungguli Emily Ailsa yang melakukan 1:27:47s manakala Kimbeley Yap dengan 1:42:01s dan Loh Chooi Fern di tempat ketiga menerusi catatan 1:45:32s.

Dalam mana-mana acara larian pasti diserikan dengan bermacam ragam peserta dan paling popular ialah pakaian beragam.

Mun Pui Yee, 40, mencuri tumpuan dalam acara maraton penuh 42km kategori veteran apabila berlari dengan menyarungkan baju seragam jururawat.

Jururawat di hospital swasta itu pertama kali beraksi dengan pakaian beragam kerana berasakan maraton khusus untuk wanita ini adalah platform tepat
untuk meningkatkan kesedaran kesihatan diri dalam kalangan petugas perubatan.

"Jururawat dan petugas kesihatan memang tugasnya menjaga tahap kesihatan yang baik untuk masyarakat, tapi mereka selalu mengabaikan kesihatan sendiri.

"Sibuk dan tiada masa selalu dijadikan alasan untuk mengelak daripada bersenam, jadi dengan cara ini saya harap dapat meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya bersenam untuk kesihatan.

"Jika saya mampu lakukannya, tidak mustahil untuk orang lain mencubanya," ujar ibu kepada tiga cahaya mata ini yang pertama menyertai acara maraton penuh di Pulau Pinang, tahun lalu.

Wong Ching Yoong pula menarik perhatian bukan kerana pakaiannya, tapi bib yang dipakainya tertera kata-kata lucu dan comel.

Pada bibnya ditulis 'Suami kepada A0179. Saya perlahan tapi saya mahu menyokong isteri tercinta', yang merujuk kepada tanda sokongan dan semangatnya menemani si isteri, Lee Yok Yong, yang bertanding dalam acara maraton penuh 42km.

"Ini kali pertama isteri menyertai maraton penuh jadi saya ambil keputusan menemaninya. Saya tidaklah aktif menyertai acara maraton, paling jauh
pun sekadar 21km.

Tapi demi memberi semangat padanya, saya cuba juga habiskan 42km," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/07

Hidup gembira panjang usia

Posted:

Pakar perubatan berpendapat orang yang hidupnya tidak gembira, sentiasa berfikiran negatif dan tertekan lebih cepat dihinggapi penyakit kemurungan. Bahkan ada juga pendapat mengatakan orang yang sentiasa dalam keadaan negatif ini mempunyai jangka hayat lebih pendek berbanding golongan yang hidup gembira.

Panjang atau pendek jangka hayat seseorang itu Allah yang tentukan tetapi relakah kita menjalani hidup yang tidak gembira, sentiasa dipengaruhi pemikiran negatif sama ada pada diri sendiri mahupun orang lain? Tanpa kita sedar, pemikiran dan perasaan negatif yang kita cuba sedaya upaya lindungi sebenarnya akan terpancar pada wajah dan percakapan.

Apa yang dibimbangkan apabila ia boleh memberi kesan kepada orang sekeliling khususnya pasangan dan anak-anak. Bahkan sikap negatif kita juga boleh menyebabkan rakan menjauhkan diri, membuatkan kita berasa tidak seronok apabila berada di tempat kerja dan akhirnya menjejaskan prestasi sendiri.

Kajian sains mendapati orang yang gembira mempunyai kebarangkalian lebih rendah untuk mendapat penyakit jantung. Satu kajian menunjukkan satu daripada lima pesakit jantung adalah orang yang mengalami kemurungan teruk.


Kajian kanser pula mendapati ketawa dan rasa seronok boleh menambah jumlah sel yang menjadi benteng kepada pertahanan badan. Bahkan ketawa juga akan merangsang penghasilan hormon endorfin komponen dalam otak yang membuatkan kita rasa seronok untuk menjalani hidup dengan lebih baik.


Ada banyak cara yang boleh dilakukan untuk berasa gembira dan seronok. Lain orang lain pendekatannya. Antara kaedah yang boleh kita cuba amalkan ialah:

Menjaga hubungan kita dengan Allah

Menjaga hubungan dengan Allah bermakna menunaikan setiap perintahnya dan meninggalkan semua larangannya secara bersungguh-sungguh terutama mendirikan solat pada awal waktu dan lebih baik jika dapat solat berjemaah.

Menunaikan tanggungjawab sebagai hamba adalah cara kita bersyukur atas anugerah Allah yang tidak terhitung banyaknya yang dinikmati setiap hari. Walaupun kita merasakan hidup serba kekurangan terutama jika dibandingkan dengan orang lain, hakikatnya terlalu banyak perkara yang perlu kita syukuri.

Cubalah sedaya mung­kin untuk memulakan hari kita dengan membaca al-Quran, sekurang-kurangnya 10 ayat sehari dan memahami maksudnya. Ia juga antara cara terbaik untuk menenangkan hati. Kita juga boleh membeli cakera padat bacaan al-Quran dan dengarlah dalam perjalanan ke tempat kerja.

Jaga hubungan kita dengan manusia

Ertinya cubalah eratkan hubungan dengan keluarga dan semua orang di sekeliling kita. Paling penting ialah memastikan hubungan kita dengan ibu bapa terjalin baik. Bagi yang masih ada ibu bapa, luangkan masa sekurang-kurangnya sebulan sekali untuk menjengah orang tua anda. Jika tinggal berjauhan, usahlah kedekut membelanjakan beberapa ringgit sebulan untuk menghubungi ibu bapa anda bertanya khabar.

Setiap kali menerima gaji, asingkan sebahagian kecil sebagai sara hidup ibu bapa. Memang mereka tidak minta, tetapi memberi wang kepada ibu bapa adalah antara cara untuk mendapat keberkatan hidup. Pada masa sama, usah berkira wang ringgit dan kudrat dengan adik beradik. Keberkatan hidup akan membuatkan kita berasa tenang dan bahagia.

Menjaga hubungan dengan Allah saja tidak cukup kerana hak sesama manusia perlu ditunaikan. Berbuat baik kepada semua orang di sekeliling kita. Kita tidak tahu bila akan dijemput balik, jadi manfaatkan sepenuhnya masa yang kita ada dengan menjadi insan yang manis hati dan wajah, supaya bukan saja dapat menenangkan diri sendiri tetapi mampu membuatkan orang lain juga merasa senang.

Sentiasa nilai diri sendiri. Kita yang menentukan emosi sendiri

Cuba bayangkan betapa indahnya hidup jika berfikiran positif dan cara bertindak juga positif. Ini kerana tindakan kita biasanya dipengaruhi oleh perasaan dan pemikiran. Jadi bermula hari ini, marilah kita sama-sama mengingatkan diri sendiri dengan berkata: "Bermula hari ini, saya yang menentukan bagaimana tindak balas atau perlakuan saya".

Kita tidak mungkin dapat berubah dalam satu malam, tetapi cubalah berusa­ha sebaik mungkin untuk menjadi insan yang lebih positif dan melihat dunia dalam perspektif berbeza.

Namun ini bukanlah bermakna kita tidak boleh mempunyai emosi kurang baik. Perasaan marah, geram, sedih dan emosi yang kurang baik adalah normal cuma kita perlu bijak menanganinya supaya ia tidak mengawal kehidupan kita.

Amalkan pemakanan yang boleh merangsang rasa bahagia

Caranya mudah saja iaitu mengamalkan pemakanan seimbang dengan melebihkan pengambilan sayur-sayuran khususnya berdaun hijau dan buah-buahan. Apabila berhadapan dengan makanan, sentiasa ingatkan diri sendiri untuk bersederhana.

Ingatlah bahawa apa-apa yang berlebihan akan memudaratkan. Tentu saja berlebihan makan akan memudaratkan kesihatan. Jika kesihatan terjejas, timbullah rasa resah, bimbang dan paling dikhuatiri apabila ada yang tidak dapat menerima kenyataan dengan menyalahkan takdir tuhan.

Mulakan hari kita dengan doa dan senyuman

Saat pertama kita membuka mata pada waktu pagi, teruslah berdoa bagi menyatakan rasa syukur kita diberi peluang hidup sehari lagi untuk melihat pelbagai kebesaran Allah khususnya wajah ahli keluarga, pasangan dan anak-anak tersayang. Itu tidak termasuk kita dianugerahkan anggota badan yang sempurna, pekerjaan, rumah, kenderaan dan hidup dalam negara yang aman.

Berdoalah dengan senyuman. Tahukah anda dengan menggerakkan beberapa otot muka untuk tersenyum boleh mening­katkan paras hormon endorfin dan merendahkan hormon tekanan iaitu kortisol.

Ucapkan kata semangat untuk diri sendiri

Ucapkan kata-kata perangsang semangat kepada diri sendiri seperti 'Saya mahu jadi orang yang positif. Saya orang yang proaktif. Saya mahu hari yang gembira dan ceria. Saya boleh menangani pelbagai keadaan dengan fikiran dan hati terbuka. Saya sukakan kerja saya dan boleh lakukannya dengan baik'.

Penulis teringat seorang teman ketika belajar dulu yang 'Saya mahu jadi doktor' berulang kali sebaik bangun tidur pada waktu pagi dan sebelum tidur waktu malam. Memang, kata-kata itu yang mendorongnya belajar bersung­guh-sungguh sehingga dia berjaya menjadi doktor pakar.

Jangan takut pada cahaya matahari

Luangkan masa untuk menikmati cahaya matahari pagi sebelum jam 10 pagi selama 20 minit sehari. Kajian menunjukkan pendedahan kepada cahaya matahari membantu merangsang penghasilan melatonin. Hormon ini berperanan memperbaiki ritma sirkadian badan yang mengawal selera, tidur dan hormon seks.

Selain itu, ia juga boleh memperbaiki emosi kita dengan memberi kesan kepada penghasilan hormon serotonin. Pada masa sama, kita juga akan mendapat vitamin D yang sangat diperlukan untuk kesihatan.

Bersenam

Ini sangat penting. Carilah sedikit masa walaupun hanya 10 hingga 20 minit pada waktu pagi untuk bersenam. Pilih senaman yang mudah seperti berjalan, menari atau sekadar turun naik tangga di rumah sebelum bergegas ke tempat kerja.

Sambung sesi senaman di tempat kerja dengan memperbanyakkan berjalan dan menaiki tangga (serta melarang diri sendiri daripada menggunakan lif).

Apabila balik ke rumah pada waktu petang, lengkapkan sesi senaman kita bersama ahli keluarga.

Bersenam bukan saja penting untuk mengekalkan kesihatan malah ia juga dapat membuatkan kita berasa lebih cergas sepanjang hari di tempat kerja. Bahkan bersenam juga menjadi terapi mudah dan murah untuk membekalkan tenaga selain memberi ketena­ngan fikiran.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/07
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved