Selasa, 16 April 2013

Harian Metro: Rap


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Waspada Wawa

Posted: 15 Apr 2013 09:47 AM PDT

Mungkin jelitawan bernama Wawa Zainal ini cukup hijau dan mentah untuk bersuara mengenai industri seni.

Apa sangatlah nilai pengalaman selama dua tahun setengah dalam poketnya itu untuk bercakap mengenai selok-belok dunia hiburan.

Namun jelasnya, pembabitan singkat yang berwarna-warni itu sudah mampu membuka mata dan mematangkan diri berkaitan sepak terajang atas pentas yang penuh glamor dan ranjau ini.

Seperti diluahkan pemilik nama penuh Nur Hawa Zainal Abidin ini pada sesi fotografi bersama Rap baru-baru ini, industri hiburan tampak serba indah dan menyeronokkan di mata umum.


Namun, realiti sebenar percaturan dalam atmosfera seni ini tidak seindah yang disangkakan.


"Selepas hampir tiga tahun menceburi bidang ini, saya berani katakan industri hiburan tidaklah seindah yang disangkakan. Kalau lihat sekali imbas, bidang ini memang menyeronokkan dan menjanjikan kekayaan dan glamor pada mata umum.

"Hakikatnya, ia tidak seindah yang disangkakan ramai. Sebenarnya, banyak ranjau yang terpaksa saya lalui untuk menempatkan diri dalam bidang ini," jelasnya dengan penuh kesantunan memutar kata.

Tanpa perlu gadis dari Lahad Datu, Sabah ini menyenaraikan secara terperinci tiap cabaran dan kesulitan yang sudah ditempuhinya, Wawa mengakui bidang ini sarat dengan cabaran.

"Bukan mudah bergelar anak seni. Kalau bukan kerana minat yang mendalam, mungkin saya juga sudah putus asa pada awal pembabitan. Banyak perkara yang harus dijaga melangkaui keperluan menjaga diri sendiri.

"Gerak geri perlu dikawal sepanjang masa dan tidak boleh bertindak sesuka hati. Malah apa yang lebih penting, pergaulan bersama orang sekeliling juga perlu dijaga agar disenangi ramai," luahnya.

Sambung bintang muda ini, atas kesedaran itu juga dia mengambil pendekatan untuk membataskan pergaulan di luar dan menghabiskan lebih banyak bersama keluarga jika tiada urusan kerja.

"Bukan sebab sombong atau tidak pandai bersosial, tetapi sejak awal saya ambil pendekatan selamat dengan mengurangkan pergaulan bersama rakan-rakan industri.

"Saya lebih selesa jika waktu terluang dihabiskan di rumah bersama keluarga sendiri. Depan keluarga, saya berasa lebih tenteram, bebas dan selamat untuk buat apa sahaja," ceritanya.

Kata Wawa, pendekatan itu diambil bersebab dan punya alasan. Kemungkinan untuk seseorang selebriti dipertikaikan tanpa sebab mudah berlaku kerana terlalu banyak mata yang memerhati.

Justeru ulasnya, lebih baik dia berjaga-jaga sebelum masalah yang tidak diingini timbul di luar kawalan.

"Saya menyertai bidang ini bukan dengan jalan mudah. Saya sudah alami semua pahit getir sebelum mencapai keselesaan pada hari ini.

"Sebab itu, saya sangat berhati-hati dalam tindak-tanduk kerana tidak mahu perkara yang bukan-bukan mengenai saya timbul dan mengganggu kerjaya yang baru berkembang ini," akuinya dengan penuh pengharapan.

Pun begitu, dalam tertib langkahnya bertatih di pentas seni lakon, Wawa berkata, dia tidak terlepas daripada tempias kontroversi.

Biarpun, dia mengakui beberapa cerita nakal yang timbul tidak melampau dan masih mampu ditangani, ia tetap meninggalkan impak kepadanya sebagai orang baru.

"Kalau diperhatikan, tidak begitu banyak gosip dan kontroversi mengenai saya yang timbul sejak bergelar artis. Kalau ada pun, cuma satu atau dua dan masih boleh dihadapi.

"Sebab itulah, saya berusaha untuk menjaga tingkah-laku supaya tidak berlaku pula cerita yang bukan-bukan pada masa akan datang," luahnya yang pernah dikaitkan dengan aktor Aeril Zafrel dan golongan VIP sebelum ini.

Tambahnya, apa juga gosip yang tercetus boleh dikawal kerana bimbingan syarikat pengurusannya, Metrowealth (MIG) selain kepercayaan keluarga yang tidak berbelah bahagi kepadanya.

"Saya bertuah kerana ada MIG yang banyak membantu dan melindungi saya daripada kontroversi yang bukan-bukan. Keluarga sendiri juga meletakkan kepercayaan penuh kepada saya biar apa juga cerita yang timbul.

"Apabila ada cerita timbul, mereka akan bertanya kesahihannya terus kepada saya. Kalau ia memang tidak berlaku seperti didakwa, tiada apa yang perlu saya sorokkan daripada keluarga pun," hurainya.

Terkilan kemenangan dipertikai

Bagai sudah jadi trend pula, sesiapa yang menang pada mana-mana majlis anugerah tidak boleh mengelak daripada pertikaian pihak tertentu.

Begitu juga kesnya dengan Wawa yang baru menjulang trofi Artis Baru Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2012 pada 7 April lalu.

Seperti nasib yang pernah berlaku pada sebahagian artis kita sebelum ini, aktres filem Budak Pailang ini turut tidak terkecuali daripada perkara itu.

Dalam kemeriahan pelbagai pihak mengutus tahniah, ada juga yang kurang senang dan meragui kelayakan Wawa membawa pulang trofi berkenaan.

"Sudah tentu nama-nama lain dalam kategori itu juga berhak untuk menang, tetapi undian lebih memihak kepada saya.

"Saya sendiri pun tidak meletakkan sebarang harapan pada awalnya kerana sedar pada kekuatan diri berbanding calon-calon lain. Tetapi sudah tertulis rezeki berpihak kepada saya," katanya.

Ditanya mengenai desas-desus yang mengaitkan kemenangannya sebagai percaturan MIG dalam proses undian, Wawa terkejut dan menganggap ia sebagai dakwaan tidak berasas.

"Kalau ada orang cakap kemenangan saya, Yana (Shamsudin) dan Sam (Shaheizy) di ABPBH2012 diaturkan MIG kerana kami bernaung di bawah syarikat itu, kenapa pada majlis tahun lepas tiada dominasi daripada artis-artis MIG?

"Kenapa ketika kami menang ia jadi isu hanya kerana beberapa artis MIG menang pada malam itu? Saya rasa tidak adil untuk orang tuduh begitu hanya kerana kami artis MIG," terangnya dengan nada terkilan.

Bagi Wawa, tanggapan itu tidak patut dijadikan isu kerana kemenangannya atau artis-artis lain pada anugerah terbabit adalah telus berdasarkan jumlah undian peminat.

"Janganlah jadikan kemenangan mana-mana artis sebagai isu hanya kerana persepsi atau perasaan tidak puas hati pihak tertentu.

"Anugerah itu berlangsung secara telus berdasarkan undian peminat dan tidak perlu dipolitikkan pula," tuturnya yang bakal muncul dengan filem terbaru, 99 Kali Rindu pada 9 Mei depan.

Sekali pun kemenangannya dijentik pihak tertentu, Wawa bagaimanapun berkata, ia bukan tekanan yang boleh menggugat percaturannya dalam kerjaya.

Malahan, pencapaian kecil itu adalah titik mula untuknya terus mengorak langkah dan meningkatkan prestasi kerja untuk menjadi lebih baik.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/16
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved