Selasa, 9 April 2013

Harian Metro: Rap


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


'Peminat artis balas dendam!'

Posted: 08 Apr 2013 04:25 PM PDT

Biarlah apa saja persepsi sege­lintir besar penggiat seni dan khalayak ekoran perubahan lokasi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2012 dari lokasi tradisinya sebelum ini di puncak Genting Highlands ke Stadium Putra, Bukit Jalil, malam kelmarin.

Suasana dan kemeriahannya mungkin berbeza dari lokasi sebelum ini, tetapi penganjuran acara hiburan mega itu tetap meninggalkan kenangan tersendiri. Buktinya, ABPBH 2012 berjaya merakamkan memori istimewa penuh ­dengan kejutan.

Bukan satu dua kejutan tetapi majlis berprestij itu menyaksikan beberapa kejutan manis keputusan dalam pelbagai kategori yang dipertandingkan.

Siapa sangka gelaran Bintang Paling Popular edisi ke-26 ini kembali ke tangan pelakon berbakat besar Shaheizy Sam selepas memenanginya buat kali pertama pada ABPBH 2010.

Foto

AKSI lucu Sam dan Yana.

Foto

Nabila Huda

Foto

ZIZAN

Foto

WAWA ZAINAL


Tambah menarik apabila malam kemuncak itu turut mencatatkan Nabila Huda sebagai Pelakon TV Wanita Popular buat julung kali selepas 12 tahun bergelar anak seni.


Kemanisan itu turut menyaksikan Yana Samsudin mengungguli Pelakon Filem Wanita Popular buat pertama kali selepas dua tahun tercalon.

Bagi Shaheizy Sam, tempoh enam bulan ini diibaratkan sebagai kebang­kitan semulanya dalam dunia lakonan selepas sembilan bulan berehat.

Jika pada 9 November tahun lalu, pelakon berusia 31 tahun ini dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik Filem di Anugerah Skrin 2012 menerusi Songlap, rezeki sekali lagi memihak kepadanya apabila meraih kejayaan di Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa Asean (AIFFA) 2013 baru-baru ini apabila dinobatkan Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem yang sama.

Malam kelmarin, jejaka yang mesra disapa Sam ini sekali lagi membuktikan pesonanya di hati peminat dengan membawa pulang dua trofi iaitu Bintang Paling Popular dan Pelakon Filem Lelaki Popular.

Sam meraih 79,656 undi, sekali gus mengetepikan saingan kelompok empat artis yang mendapat undi tertinggi dalam kategori utama iaitu Aaron Aziz, Zizan Razak, Neelofa dan Adi Putra.

Mengulas mengenainya, Sam berkata, kemenangan berganda yang tidak dijangkakan itu adalah hadiah termanis buat dirinya secara peribadi dan simbol penghargaan kepada keluarga dan peminat yang setia menyokong selama ini.

"Kemenangan ini tidak saya sangka. Ia bukan kerana kehebatan sendiri tetapi kekuatan daripada sokongan keluarga dan peminat. Gabungan kelab peminat di seluruh negara, Singapura dan Brunei membawa kepada kejayaan ini. Sebab itu saya tidak pernah perkecilkan kehebatan penyokong," katanya.

Sam berkata, dia menyifatkan kemenangan semula trofi Bintang Paling Popular kali ini adalah hasil kerja keras penyokongnya yang kecewa dengan kegagalannya di tangan Aaron Aziz tahun lalu.

"Saya anggap kejayaan ini cara peminat 'membalas dendam' atas kegagalan saya di ABPBH 2011. Mungkin pada kali ini, mereka bekerja keras menerusi undian hingga berpihak pada saya.

"Saya umpama jeneral tentera yang tidak akan diangkat tanpa sokongan kuat tentera-tenteranya. Saya dapat lihat ada 'pertempuran' dan 'perang undi' dalam anugerah ini dan ternyata rezeki berpihak kepada saya kali ini," katanya.

Berikutan kemenangan itu, Sam membawa pulang hadiah utama, kereta Nissan Coupe 370Z tajaan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd berharga RM370,000, selain barang kemas Habib tajaan Habib Jewels Sdn Bhd bernilai RM150,000 beserta trofi.

Selain tiga bintang ini, kejutan ABPBH 2012 turut memperlihatkan pengacara terkenal Datuk Aznil Nawawi yang kembali merampas trofi Pengacara TV Lelaki Popular daripada tangan Zizan Razak pada edisi terdahulu.

Malam bertemakan Ledakan Geometri itu turut memberi peluang kepada dua pendatang baru Aiman Hakim Ridza dan Wawa Zainal masing-masing memenangi kategori Artis Baru Lelaki dan Wanita Popular.

Lain-lain pemenang termasuklah Fara Fauzana untuk Penyampai Radio Wanita Popular dan Pengacara Wanita Popular, Didie Alias (Artis Komedi Wanita Popular), Zizan Razak (Artis Komedi Lelaki Popular), Black & Malique (Artis Duo/Berkumpulan Popular), Aaron Aziz (Pelakon TV Lelaki Popular), Faizal Ismail (Penyampai Radio Lelaki Popular), Shila Amzah dan Hafiz masing-masing dipilih sebagai Penyanyi Wanita dan Lelaki Popular.

Kumpulan rock tersohor Search pula menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat atas sumbangan dan pencapaian mereka selama lebih 30 tahun dalam industri muzik tanah air.

Seperkara yang jelas, rata-rata kejutan keputusan pada ABPBH 2012 membuktikan peminat semakin matang dan bijak mengundi anak seni kita berdasarkan gerak kerja anak seni kita dan bukan kerana populariti kosong.

Sementara itu, kategori berasingan menerusi undian dalam internet iaitu Online ABPBH 2012 menyaksikan Zizan memenangi empat kategori - Artis Lelaki Stailo, Artis Asia Paling Popular, Artis Berpengaruh Di Laman Media Sosial, termasuk bersama Johan menang Gandingan Serasi Di Layar. Sofi Jikan menang Watak Jahat Dalam Filem/Drama; Upin & Ipin (Watak Animasi Tempatan Popular) dan Melissa Francis (Artis Wanita Stailo).

Hadiah untuk papa - Nabila Huda

Malam kemuncak ABPBH 2012 turut memukau apabila memahatkan nama anak perempuan bintang rock legenda Amy Search, Nabila Huda sebagai Pelakon TV Wanita Popular buat julung kali selepas 12 tahun berkecimpung dalam dunia seni.

Ketika ditanya mengenai kejayaan sulung itu, Nabila mendedikasikan trofi berkenaan kepada bapanya itu yang sering bersedih dan terkilan dengan pelbagai kontroversi yang dikaitkan dengannya.

Malah, wanita berusia 29 tahun ini juga berharap anugerah itu akan membuka mata banyak pihak terhadap kerja kerasnya selama ini berbanding rantaian kontroversi yang silih berganti.

"Anugerah ini adalah untuk papa (Amy) yang terganggu dan bersedih kerana perjalanan kerjaya saya sering dicemari pelbagai kontroversi selama ini.

"Saya harap kejayaan ini dapat mengalihkan perasaan papa yang terganggu dengan cerita-cerita negatif yang timbul dan sekali gus membuktikan segala kerja keras serta pengorbanan selama ini terbalas.

"Akhirnya saya dapat buktikan kepada keluarga bahawa kemenangan ini tiada kaitan dengan kontroversi yang berlaku kerana peminat mengundi atas kerja saya," katanya yang tidak meletakkan sebarang harapan untuk memenangi kategori itu.

Tambah Nabila, kemenangan itu mengundang perasaan sebak buatnya kerana sokongan peminat tidak goyah dengan pelbagai kisah peribadi yang tercetus.

"Sebak apabila saya fikirkan mengenai sokongan peminat yang tidak pernah memandang aspek peribadi dan kontroversi yang timbul tetapi mereka melihat kerja yang saya lakukan.

"Saya percaya kejayaan ini bertitik-tolak daripada sokongan peminat yang menyukai lakonan saya. Jika orang tidak suka, tidak mungkin ada yang sudi mengundi," katanya yang mengakui kegigihan dalam lakonan selama ini terbalas dengan trofi berkenaan.

Yana tidak terfikir menang

Kemenangan sebagai Pelakon Filem Wanita Popular itu adalah sesuatu yang tidak pernah difikirkan Yana Samsudin.

Katanya, selepas sedekad bertapak dalam bidang seni, soal menang atau kalah dalam sesebuah acara anugerah tidak lagi menjadi perkara utama.

"Saya tidak sangka akan menang pun. Pada setiap anugerah, kalau tidak menang pun tidak mengapa jika sudah tercalon.

"Persaingan sengit dalam kategori ini terutamanya dengan Maya Karin yang turut dicalonkan membuatkan saya tidak begitu mengharap. Saya anggap ia adalah rezeki selepas 10 tahun terbabit dalam bidang ini," katanya.

Bercerita mengenai trofi itu, pelakon filem Cerita Kita ini berkata, kejayaan itu mungkin dipengaruhi kelibat seninya yang semakin mendapat tempat di hati peminat dan pelbagai judul filem dibintanginya tahun lalu.

"Mungkin saya semakin dikenali dan orang mula mengiktiraf kerja saya selepas 10 tahun berkecimpung atau faktor kemunculan pelbagai filem lakonan saya pada tahun lalu membuatkan peminat mahu mengundi," katanya yang mengakui kemenangan membuktikan kerja kerasnya yang tidak bercuti sepanjang 2012 akhirnya berbalas.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/08
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved