Jumaat, 26 Julai 2013

Harian Metro: Arena


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


'Tiada hitam putih'

Posted: 25 Jul 2013 09:28 AM PDT

Johor Bahru: "Saya tidak mahu ulas lanjut kerana tiada hitam putih."

Jurulatih Johor Darul Takzim (DT), Fandi Ahmad membuat kenyataan itu berhubung laporan pelantikan bekas pengurus Atletico Madrid dan Valencia, Cesar Ferrando Jiminez selaku pengurus dan ketua jurulatih baru skuad Harimau Selatan pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.


Fandi yang baru pulang dari Chile atas urusan keluarga tidak mengendahkan segala perkhabaran malah bersikap profesional apabila kembali melatih pemain Harimau Selatan tanpa mempedulikan desas-desus membabitkan dirinya menghadapi kempen Piala Malaysia 20 Ogos ini.

"Saya tidak tahu apa-apa mengenai jurulatih baru itu. Tiada maklumat rasmi walaupun saya ada dengar berita mengenai perubahan musim depan. Apa yang saya dengar, jurulatih dari Sepanyol akan ditugaskan selaku ketua jurulatih. Saya tidak mahu fikirkan apa-apa kerana tumpuan sekarang pada persiapan rapi kempen Piala Malaysia.


"Saya tidak mahu ulas lanjut. Apapun saya akan mengadap Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk mendapat maklumat lebih terperinci," katanya yang turut memuji pemain yang memberi komitmen tinggi terhadap latihan ketika bulan puasa sekalipun tanpa pemain utama yang bersama skuad kebangsaan.


Sementara itu, Jiminez difahamkan akan berada di Johor Bahru dalam masa terdekat sebelum saingan Piala Malaysia bermula dan belum ada kata putus pengurusan tertinggi sama ada beliau akan bergandingan dengan Fandi.

Foto

FANDI (tengah) fokus persiapan hadapi Piala Malaysia.

Sebelum ini Johor DT dilapor berusaha membawa pemain LionsXII, Hariss Harun dan tiga pemain Harimau Muda yang juga anak jati Johor, Mohd Fadhli Shas, Irfan Fazail dan Fandi Othman selepas Sukan SEA Myanmar, Disember ini selain pemain pertahanan dan penjaga gol utama Selangor, Norazlan Razali dan Mahali Jasuli.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/25

Strategi Guardiola

Posted: 25 Jul 2013 09:10 AM PDT

Munich: Ketua jurulatih Pep Guardiola akan berbincang dengan pengarah sukan Matthias Sammer serta pengerusi kelab Karl-Heinz Rummenigge kemungkinan mengurangkan jumlah pemain berstatus bintang dalam skuad itu selepas mereka bertemu Borussia Dortmund, esok, perlawanan yang dianggap ulangan final Liga Juara-Juara.

Guardiola menyaksikan anak buahnya menang 2-0 di tempat sendiri ke atas bekas kelab bimbingannya, Barcelona pada perlawanan persahabatan kelmarin tetapi pengendali dari Sepanyol itu menurunkan kesebelasan utama pada separuh masa pertama.


Diketuai Lionel Messi, bintang Barcelona itu beraksi selama 45 minit dengan gol sumbangan kapten, Philipp Lahm dan Mario Mandzukic. Pertemuan itu menghiburkan 71,137 penyokong tuan rumah yang membanjiri stadium.

Dengan saingan Bundesliga berlangsung dua minggu lagi, Guardiola perlu membuat beberapa keputusan sukar kerana beliau hanya menyediakan tempat kepada 10 pemain tengah berkualiti dalam kelab itu.


Dengan bintang Jerman, Bastian Schweinsteiger dan Mario Goetze kembali pulih daripada kecederaan manakala pemain Sepanyol, Javi Martinez juga sudah siap untuk diturunkan selepas tugasan Piala Konfederasi, beberapa bintang Bayern akan menyaksikan mereka bakal memanaskan bangku simpanan kecuali jika berhijrah ke kelab baru.


"Kami akan berbincang mengenai perkara ini selepas Piala Super. Kami perlu melihat kembali prestasi setiap pemain," kata Guardiola yang meletakkan pemain sayap Jerman, Thomas Mueller sebagai penyerang tunggal ketika bertemu Barcelona.

Selepas berjaya mendapatkan kapten antarabangsa Sepanyol Bawah 21 tahun, Thiago Alcantara dari Barcelona, Guardiola berkata, beliau ingin cuba beberapa strategi baru.


Bagaimanapun pemain Brazil, Luiz Gustavo dikaitkan ke Wolfsburg sementara Liverpool dilapor berminat mendapatkan pemain sayap Switzerland, Xherdan Shaqiri.

"Kami mempunyai beberapa pemain yang boleh beraksi di posisi berlainan. Saya lebih gemar pemain yang boleh beraksi di mana-manapun dan serasi dengan pelbagai sistem diterapkan," kata pengendali berusia 42 tahun itu.


"Toni Kroos umpamanya sudahpun beralih ke posisi pertahanan tengah. Saya mahu mencuba beberapa perkara baru dan menguji segala strategi pada perlawanan persahabatan itu," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/25
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved