Ahad, 28 Julai 2013

Harian Metro: Arena


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Bale rayu dilepaskan

Posted: 27 Jul 2013 07:59 AM PDT

London: Ketika bertemu dengan pengurusan Tottenham, hanya satu yang dipinta Gareth Bale iaitu: "Lepaskan saya. Saya mahu menyertai Real Madrid."

Sebuah akhbar tabloid Britain yang mendedahkan cerita itu secara ekslusif mendakwa kelab gergasi Sepanyol itu ada membuat tawaran rasmi sebanyak £81 juta (RM399 juta) untuk mendapatkan pemain sayap Wales itu tetapi ditolak oleh Spurs.


Akhbar Sepanyol, Marca, yang mempunyai hubungan rapat kepada Madrid, mendakwa Bale berang apabila Spurs menolak tawaran itu sekalipun mengatasi bayaran dibuat Real kepada Manchester United untuk mendapatkan Cristiano Ronaldo pada Julai 2009.

Bale, 24, berkata, apa yang dia faham ialah pengerusi Spurs, Daniel Levy penah berkata bahawa mereka sedia melepaskannya jika menerima tawaran lumayan.


Marca mendakwa Bale pernah memberitahu Levy: "Berjanjilah dengan saya. Jika kita tidak layak beraksi pada Liga Juara-Juara dan ada tawaran baik yang datang untuk membeli saya, anda perlu menimbangkan tawaran berkenaan.


"Sekarang tawaran itu sudah tiba dan saya mahu beraksi untuk Real Madrid. Jadi, berpeganglah pada janji anda dan adakan rundingan secara segera." Bale ada berbincang dengan Levy dan berterus-terang mengatakan bahawa dia tidak lagi dapat melihat masa depannya di White Hart Lane.

Hubungan pemain dan ahli lembaga kelab begitu tegang apabila Madrid berterusan menggunakan kekuatan kewangan mereka untuk mendapatkan Bale.


Pengurus Spurs, Andre Villas- Boas (AVB) pernah membuat kenyataan menjelang perlawanan pra-musim menentang China Selatan mengenai kontrak pemain antarabangsa Wales itu masih sah hingga dua tahun lagi.

Bagaimanapun, sumber dari Sepanyol mendakwa tiada sebarang perbincangan diadakan sejak 2012 untuk memperbaharui kontrak pemain berkenaan.


Bale terlepas beraksi bersama Spurs untuk perlawanan pembukaan jelajah pra-musim kelab itu selain tidak berlatih bersama skuad itu ketika mereka berada di luar negara.

AVB menegaskan Bale direhatkan kerana mengalami kecederaan punggung tetapi rakan rapat kepada Pemain Terbaik dua kali itu mendedahkan dia berada dalam keadaan cukup cergas untuk beraksi. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/27

Pengganti terbaik: Hamidin

Posted: 27 Jul 2013 07:56 AM PDT

Kuala Lumpur: "Dengan pengalaman serta kemampuan dimilikinya, saya yakin beliau mampu memikul tugas sebagai Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang baru. Saya ucapkan tahniah dan selamat berjaya untuknya," kata Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin.

Dua hari lalu, Rosman Mohd Ibrahim yang mengabdikan diri lebih 15 tahun bersama FAS, dilantik menggantikan Hamidin selaku Setiausaha Agung FAS dan pengumuman itu dibuat Menteri Besar Selangor yang juga Presiden FAS Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.


Dengan pengumuman itu, tamatlah teka-teki siapakah yang bakal dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan FAS selepas Hamidin dilantik menjadi Setiausaha Agung FAM bagi menggantikan Datuk Azzudin Ahmad, mulai 1 Julai lalu.

Hamidin berkata, Rosman berpengalaman luas dan antara kejayaan yang pastinya membanggakan seluruh warga FAS ialah ketika beliau menguruskan skuad futsal wanita Selangor hingga muncul juara musim 2008 dan 2009.


"Saya tidak nampak mengapa beliau tidak layak memegang jawatan itu dan saya percaya beliau mampu menjulang Selangor selaku antara pasukan gergasi di persada bola sepak tanah air.


"Beliau seorang yang mudah mesra dengan sesiapapun dan untuk itu, saya yakin beliau akan mendapat sokongan serta kerjasama baik semua pihak. Ditambah lagi dengan peribadinya yang baik, beliau pasti disenangi semua pihak," katanya.

Hamidin berkata, yang penting bagi Rosman ialah memastikan hubungan baik antara FAS dengan FAM serta persatuan bola sepak (FA) negeri lain diteruskan kerana faktor itu bakal memainkan peranan penting bagi membuktikan sama ada beliau berjaya atau tidak melaksanakan tanggungjawabnya.


"Untuk bergelar setiausaha yang berjaya, beliau perlu bijak memainkan peranan. Bukan setakat mengurus dan mengendalikan FAS tanpa ada cacat cela, malah beliau juga perlu rendah diri dan sanggup menerima teguran serta kritikan.

"Saya faham sangat tugas selaku Setiausaha Agung FAS kerana saya memegang jawatan itu lebih 10 tahun. Selangor sebuah pasukan yang hebat dan ia memerlukan seorang pemimpin yang hebat dan berkarisma.


"Saya sedia menunjuk ajar beliau atau mana-mana setiausaha FA negeri lain andai diperlukan kerana yang penting, hubungan antara FAM dan semua FA negeri perlu baik dan kami harus berjalan seiring."

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/27
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved