Ahad, 28 Julai 2013

Harian Metro: Global


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Global


70 penyokong Mursi ditembak mati

Posted: 27 Jul 2013 07:18 AM PDT

Kaherah: Pasukan keselamatan Mesir semalam menembak mati sekurang-kurangnya 70 orang penyokong bekas Presiden Mohamed Mursi awal semalam, sekali gus memburukkan lagi kekacauan yang mencengkam Mesir sejak beberapa minggu lalu.

Rangkaian televisyen Al Jazeera melaporkan 120 orang mati dan 4,500 cedera dalam serangan ke atas penyokong Ikhwan yang berkumpul berhampiran sebuah masjid di Kaherah.


Jurucakap Ikhwanul Muslimin, Gehad El-Haddad berkata, tentera mula menembak sebelum solat Subuh.

"Mereka menembak bukan untuk mencederakan, tetapi sengaja untuk membunuh. Kepala dan dada menjadi sasaran," katanya.


Seorang wartawan berkata, dia melihat 20 mayat di selimut kain putih yang berlumuran darah di kawasan lapang yang dijadikan pusat rawatan sementara oleh anggota Ikhwan di Masjid Rabaa al-Adawiya, sebuah masjid di timur laut Kaherah.


Mangsa lain dibawa ke hospital berlainan.

Foto

PENYOKONG yang cedera diberikan rawatan oleh petugas perubatan Ikhwan.

Foto

SEORANG lelaki yang cedera dibawa dengan motosikal untuk mendapatkan rawatan.

Foto

PENYOKONG Mursi bertempiaran lari apabila anggota polis melepaskan tembakan dengan dibantu penentang bekas pemimpin itu yang melontar batu di timur Kaherah, semalam.

Penyokong dan penentang Mursi mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran di seluruh negara semalam, menghimpunkan ratusan ribu di jalan raya serta memburukkan lagi perpecahan di kalangan rakyat negara paling ramai penduduk itu.


Lebih 200 orang terbunuh dalam keganasan yang meletus sejak penggulingan Mursi, termasuk sembilan kelmarin, kebanyakannya penyokong Ikhwan.

Ketua Tentera Jeneral Abdel Fattah al-Sisi yang memainkan peranan utama menggulingkan Mursi selepas tunjuk perasaan menentang pemerintahannya, menggesa rakyat Mesir mengadakan perhimpunan untuk memberikannya mandat bagi menangani keganasan.


Ratusan ribu menyahut gesaannya, tetapi penyokong Ikhwan tetap dengan tunjuk perasaan mereka, menuntut pelantikan semula Mursi yang semalam menghadapi tuduhan jenayah, termasuk membunuh.


Gehad berkata, polis mula menembak gas pemedih mata selepas jam 3 pagi (6 pagi waktu Malaysia), menyasarkan penunjuk perasaan.


"Ketika asap menyelubungi kawasan itu, peluru pula mula terbang," katanya.


Beliau berkata, selain polis beruniform serba hitam, tembakan juga dilepaskan daripada anggota bersenjata yang menguasai bumbung bangunan di universiti kawasan berkenaan dan sebuah jambatan berhampiran.


Agensi berita rasmi Mesir yang anti-Mursi memetik sumber keselamatan sebagai berkata, hanya gas pemedih mata dilepaskan untuk menyuraikan penunjuk perasaan. Tidak ada senjata digunakan.


Gehad berkata, penyokong Mursi terpaksa mengguna batu untuk mempertahan diri mereka. Di atas pentas masjid Rabaa, seorang penceramah menggesa orang ramai berundur selepas polis melepaskan tembakan. Bagaimanapun, penyokong lelaki enggan berundur kerana melindungi wanita dan kanak-kanak yang berada di dalam masjid itu.


Ini kali kedua pembunuhan beramai-ramai dilakukan polis dan tentera Mesir terhadap penyokong Mursi. Pada 8 Julai lalu, 53 orang mati apabila sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah orang ramai selepas solat Subuh berhampiran perkarangan pejabat tentera di Kaherah.


"Kejadian hari ini (semalam) lebih ganas. Tembakan dilepaskan secara rambang," kata Gehad. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/27

Terlalu gemuk untuk New Zealand

Posted: 27 Jul 2013 07:13 AM PDT

Wellington: Seorang lelaki obese Afrika Selatan diberitahu dia terlalu gemuk untuk tinggal di New Zealand walaupun sudah turun 30 kilogram sejak berpindah ke negara itu enam tahun lalu.

Albert Buitenhuis yang kini seberat 130 kilogram dan isterinya, Marthie berkata, mereka berdepan diusir selepas permohonan untuk memperbaharui visa kerja mereka ditolak kerana berat badan Buitenhuis.

Imigresen New Zealand (INZ) menegaskan penilai perubatan negara itu memutuskan Buitenhuis tidak 'mencapai standard kesihatan yang ditetapkan negara itu."

Pasangan itu berkata, mereka berpindah dari Afrika Selatan ke Christchurch di Pulau Selatan enam tahun lalu ketika berat badan Buitenhuis 160 kilogram dan visa kerja tahunan diperbaharui tanpa sebarang masalah.


"Kami membaharui visa setiap tahun dan tiada isu timbul selama ini.


"Mereka tidak pernah menyebut mengenai berat Buitenhuis atau kesihatannya walaupun ada ketikanya dia lebih berat berbanding mula datang," kata Marthie

"Tetapi apabila beratnya makin berkurangan berbanding kali pertama kami tiba di New Zealand dan juga turut berkurangan pada pemeriksaan perubatannya yang pertama, ia dianggap sebagai gemuk melampau oleh pihak imigresen dan visa kami tidak diperbaharui," katanya.

Sementara itu, jurucakap INZ berkata, permohonan visa Buitenhuis ditolak kerana kegemukannya menyebabkan dia berdepan "risiko ketara" termasuk terdedah kepada penyakit diabetes, darah tinggi, penyakit jantung dan pelbagai penyakit lain.

"Mereka yang datang ke sini untuk bekerja perlu mempunyai tahap kesihatan yang ditetapkan bagi meminimumkan kos dan tuntutan perkhidmatan kesihatan New Zealand," katanya.

Laporan OECD baru-baru ini menyenaraikan New Zealand sebagai negara maju ketiga paling ramai penduduk obese selepas Amerika Syarikat dan Mexico. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/27
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved