Ahad, 28 Julai 2013

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Perlu kerap buat pemeriksaan mata

Posted: 28 Jul 2013 08:34 AM PDT

Pada 24 September 2009, Datuk Hew Hoi Lam, 66, disahkan menghidap masalah dege­nerasi (degenaratif) makular berkaitan umur (AMD) yang mengganggu penglihatan mata kanannya.

Semuanya berlaku ketika beliau berada di majlis makan malam sempena cuti Aidilfitri apabila secara tiba-tiba mendapati mata sebelah kanannya tidak dapat melihat makanan yang terhidang di dalam pinggan dengan jelas.

Perkara itu turut me­nyebabkan matanya berasa gatal dan tidak selesa. Tidak menyangka ia penyakit yang boleh membawa kepada masalah buta, beliau membiarkan masalah berkenaan ­berlarutan selama tiga hari sebelum pergi berjumpa ­doktor.

Beliau ke klinik berhampiran pejabatnya untuk mengetahui masalah dihadapi. Beliau semakin berdebar kerana sepanjang rawatan, tiada sepatah perkataan diucapkan oleh doktor lantas mula mengesyaki sesuatu yang buruk.

Foto

DR FONG, Steffen dan Dr Wong melancarkan EYLEA.

Foto

LAKUKAN pemeriksaan mata secara berkala.

Foto

TETAMU jemputan mencuba cermin mata yang digelapkan pada bahagian tengah penglihatan.


Apa yang ditakuti menjadi kenyataan apabila doktor memberitahu separuh daripada mata kanannya mempunyai gumpalan darah. Beliau kemudiannya dirujuk ke Pusat Pakar Mata Antarabangsa (ISEC) untuk pemeriksaan lanjut.


Pelbagai prosedur berkaitan dilakukan dan keputusan akhir mendapati beliau menghidap AMD lembap yang memerlukannya menjalani rawatan laser serta suntikan untuk menghentikan perkembangan ­penyakit itu.

Kira-kira 46,000 rakyat Malaysia berumur melebihi 45 tahun yang menghadapi risiko buta tidak boleh dipulihkan disebabkan AMD. Malah, penyakit yang berkaitan usia itu adalah punca utama kehilangan penglihatan rakyat Amerika Syarikat yang berusia 60 tahun ke atas.

AMD adalah kerosakan makula iaitu bahagian mata yang bertanggungjawab untuk ketajaman pusat penglihatan yang diperlukan untuk melakukan aktiviti seperti membaca cetakan kecil dan mencucuk benang ke dalam jarum.

Gejala AMD termasuk kekaburan, herotan imej atau tompok hitam pada bahagian tengah penglihatan seseorang. Terdapat dua jenis AMD iaitu kering dan lembap.

AMD lembap berlaku apabila saluran darah tidak normal mula tumbuh di bahagian bawah makula iaitu di bawah retina.

Saluran darah baru ini boleh bocor dan melelehkan darah atau bendalir, meninggalkan parut dan mengaburkan penglihatan pusat seseorang.

Semakin lama saluran darah ini tumbuh dan semakin banyak ketirisan, semakin tinggi risiko kehilangan penglihatan pusat.

Seseorang boleh menjadi buta disebabkan AMD lembap berlaku dengan lebih cepat dan ketara daripada AMD kering. Kerosakan juga lebih teruk dan tidak boleh dipulihkan.

Dalam kes tertentu, AMD dapat dirasai secara perlahan-lahan pada mulanya dengan perubahan penglihatan mereka.

Pemeriksaan mata secara komprehensif yang kerap dapat mengesan AMD sebelum ia boleh menyebab­kan seseorang kehilangan upaya penglihatan. Namun, rawatan hanya boleh memperlahankan kehilangan penglihatan dan tidak memulihkannya.

Pakar Perunding Oftalmologi dan Pakar Bedah Vitreoretina, Dr Kenneth Fong berkata, AMD lembap adalah wabak senyap dalam kala­ngan mereka yang berusia.

Penyakit mata progresif dan kronik ini boleh dicegah tetapi kesedaran terhadapnya sangat rendah.

"Terlalu ramai orang tidak menyedari mengenai AMD lembap dan gejalanya. Secara tidak langsung, ini bermakna mereka melengahkan langkah untuk mendapatkan rawatan kerana tidak me­nyedari mereka boleh kehilangan penglihatan dalam masa tiga bulan.

"Pesakit AMD lembap selalunya tidak dapat membaca, menulis dan melakukan kerja di rumah. Mereka juga mungkin mengalami kesukaran untuk mengenali wajah atau objek.

"Penyakit ini juga me­ngekang pergerakan dan kebebasan serta menjejaskan kesejahteraan emosi pesakit dengan agak teruk. Walau apapun puncanya, buta menyebabkan kualiti hidup merosot," katanya.

AMD dihidapi oleh kira-kira 30 hingga 50 juta orang di seluruh dunia dan menjadi punca utama kehilangan penglihatan teruk di negara maju.

Bagi AMD lembap, ia satu bentuk penyakit yang menjejaskan kira-kira 1.3 peratus penduduk global berumur lebih daripada 50 tahun. Penularan AMD lewat dalam kalangan orang Asia sama seperti di negara Barat.

Meskipun AMD lembap hanya meliputi kira-kira 10 peratus daripada semua kes AMD, ia turut menyebabkan sehingga 90 peratus kehila­ngan penglihatan yang dikaitkan dengan penyakit berkenaan.

Sementara itu, Pakar Perunding Oftalmologi, Pe­nyakit Perubatan dan Pembedahan Retina dan Gelemaca, Dr Wong Jun Shyan berkata, tanpa rawatan, ramai pesakit yang disahkan menghidap AMD lembap akan buta dalam tempoh dua tahun.

"Oleh sebab itu, pesakit perlu melakukan diagnosis dan mendapatkan rawatan secepat mungkin bagi mencegah masalah lebih serius seperti buta.

"Buat masa ini tidak ada ubat untuk menyembuh­kan AMD lembap tetapi rawatan boleh dijalankan untuk membantu melambatkan penularan penyakit, malah boleh mengembalikan penglihatan yang hilang," jelasnya.

Pilihan rawatan awal untuk AMD lembap termasuk laser yang digunakan untuk menghapuskan saluran darah halus dan bocor yang tumbuh di belakang mata serta terapi fotodinamik iaitu ubat diaktifkan cahaya akan disuntik ke dalam lengan dan bergerak melalui saluran darah.

Selepas suntikan, lampu disuluh ke dalam mata untuk mengaktifkan ubat yang akan memusnahkan saluran darah halus dan bocor tadi.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, AMD lembap dirawat dengan perencat faktor pertumbuhan endotelium vaskular (VEGF) iaitu rawatan berkesan menyasarkan sekumpulan protein yang merangsang pertumbuhan saluran darah bocor dalam mata.

Mengulas mengenai rawatan laser dan terapi fotodinamik yang tidak lagi digunakan secara meluas, Dr Wong menjelaskan, terapi perencat VEGF memberi revolusi baru kepada rawatan AMD lembap dan menjadi terapi paling lazim digunakan sekarang.

Bagaimanapun, terapi perencat VEGF awal memerlukan pemantauan mata secara bulanan di mana kadang-kadang boleh membebankan pesakit dan juga pakar perubatan.

Baru-baru ini, Bayer HealthCare melancarkan pilihan rawatan baru iaitu EYLEA (VEGF Trap-Eye, larutan aflibercept untuk suntikan).

Ia adalah sebatian protein yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia bagi merawat AMD lembap berdasarkan bukti yang meyakinkan daripada dua kajian klinikal Fasa lll.

Ujian berkenaan menunjukkan keberkesanan EYLEA untuk mengekalkan ketajaman penglihatan ­dengan kurang kekerapan suntikan berbanding terapi semasa diberikan sepanjang tempoh 52 minggu kajian.

Kajian Fasa III kini dijalankan dengan EYLEA dalam rawatan pusat oklusi vena retina (CRVO), edema makular diabetes (DME) dan neovaskularisasi koroid miopik (mCNV).

Pengarah Urusan Bayer Co (Malaysia) Sdn Bhd, Thomas Steffen berkata, menerusi EYLEA, pesakit yang menghidap AMD lembap boleh mendapat manfaat daripada keberkesanan terapi perencat VEGF dan menikmati kualiti hidup lebih baik.

"Mereka juga dapat me­ngurangkan kekerapan pemeriksaan pemantauan dan mungkin kurang suntikan. EYLEA menandakan satu pencapaian membanggakan dalam rawatan AMD lembap lantas membuatkan kami lebih komited untuk menambah baik kehidupan masyarakat menerusi sains," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/28

Jaga makan, selalu senam

Posted: 28 Jul 2013 08:10 AM PDT

Dek tidak mempunyai kecekalan meninggalkan makanan berkalori tinggi dan jarang bersenam, Nurul Nadiah Nordin, 29, sebelum ini sukar mahu melaksanakan hajatnya menurunkan berat badan yang mencecah 74 kilogram (kg).

Perkara itu menjadi halangan terbesar buat dirinya, apatah lagi dia juga kurang pengalaman mengenai cara penurunan berat badan yang betul.

"Berdasarkan paparan di media massa, saya dapati ramai wanita mengambil jalan mudah dengan makan atau minum ubat pelangsing badan dan saya memang takut mencubanya.

"Namun, saya masih percaya jika hendak kurus, kita kena jaga makan dan lakukan senaman secara konsisten.


"Justeru, peluang melakukannya bersama dua orang lagi kawan sekerja menerusi program Cabaran Nestle Fitnesse Ubah Gaya Hidup Anda di Pejabat pada Jun lalu menjadi langkah pertama saya untuk mencapai matlamat menguruskan badan," katanya yang bekerja sebagai Pembantu Akaun di Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin) cawangan Subang Jaya.


Cabaran itu ditaja bijiran sarapan Nestle Fitnesse yang dilakukan di enam pejabat terpilih sekitar Lembah Klang.

Setiap pasukan terdiri daripada tiga ahli bersaing antara satu lain dalam tempoh 14 hari untuk mencapai jumlah penurunan berat badan paling tinggi dengan mengikut diet yang disarankan di samping mengikuti program senaman khas.

Melalui program ini, ia membantu peserta menurunkan berat badan sekurang-kurangnya tujuh kilogram dalam tempoh dua minggu.

Lebih membanggakan, usaha dilakukan bijiran sarapan Nestle itu mencatatkan pembabitan 444 peserta dengan jumlah keseluruhan 521 kg berat badan berjaya dikurangkan.

Menurut Nurul Nadiah, dia terdetik memasuki program berkenaan kerana mereka diberi panduan mengenai diet seimbang dan jenis senaman yang boleh dilakukan di gimnasium dengan bantuan jurulatih kecergasan.

Walaupun cabaran berkenaan berlangsung selama dua minggu saja, Nurul Nadiah dan dua rakannya berjaya menurunkan berat badan sebanyak 8.3 kg secara keseluruhan dengan 3.7 kg daripada jumlah penurunan itu disumbangkan Nurul Nadiah.

Sebelum ini, dia amat suka makan makanan segera yang mudah didapati kerana cara itu lebih cepat selain tiada masa untuk memasak di rumah sebaik pulang bekerja.

"Dulu, setiap hari juga saya makan nasi dalam kuantiti agak banyak sebab sudah terbiasa tetapi kini saya mengurangkannya mengikut saranan jurulatih.

"Setiap pagi, saya mulakan diet dengan makan bijirin Nestle Fitnesse untuk sarapan manakala makan tengah hari dan malam seperti biasa iaitu nasi, ikan atau ayam serta sayur.

"Buah-buahan juga diambil lebih supaya badan saya mendapat semua vitamin dan nutrisi lengkap yang diperlukan. Selepas tamat waktu bekerja, saya bersenam di gimnasium," katanya.

Selesai tempoh cabaran berkenaan, Nurul Nadiah masih meneruskan rutinnya kerana tidak mahu usaha kerasnya selama ini terhenti di tengah jalan.

Pengurus Perniagaan Negara Bijirin Sarapan Nestle, Nirmalah Thurai berkata, pihaknya bukan saja komited dalam menyediakan makanan berzat kepada pengguna secara berterusan tetapi juga mahu mereka mencapai gaya hidup lebih baik.

"Menerusi usaha ini, semua peserta sudah membuktikan kepada diri sendiri, rakan dan keluarga yang mereka boleh mendisiplinkan diri dengan pilihan makanan yang betul.

"Ini bukan bermakna mereka tidak boleh menjamah langsung makanan ringan cuma ia perlu dikurangkan dan jangan terlalu kerap memakannya," jelasnya.

Dalam cabaran berkenaan, kumpulan Nurul Nadiah yang mewakili Mydin meraih tempat ketiga manakala U Mobile Sdn Bhd (UMobile) dan Prudential masing-masing bergelar tempat kedua dan johan cabaran berkenaan.

Hadiah utama termasuk bekalan bijirin Nestle Fitnesse selama enam bulan, mesin pembancuh kopi Nescafe Dolce Gusto, baucar kelengkapan sukan Mizuno dan keahlian di gimnasium Fitness First.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/28
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved