Ahad, 7 Julai 2013

Harian Metro: Arena


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Benam ego Pakistan

Posted: 06 Jul 2013 11:37 AM PDT

Johor Bahru: Skuad negara berjaya mengubat kekecewaan gagal merebut tiket ke Piala Dunia 2014 di Belanda menerusi Kejohanan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia apabila menewaskan gergasi Asia, Pakistan 3-1 pada perlawanan penentuan tempat kelima hingga kelapan semalam.

Turun dengan misi untuk melakar kemenangan, skuad bimbingan Paul Revington berjaya memenuhi hasrat menerusi aksi meyakinkan meskipun sedar peluang untuk ke Belanda sudah tertutup rapat.


Kemenangan itu juga membalas kekecewaan keputusan seri 4-4 ketika bertemu Pakistan pada saingan peringkat kumpulan meskipun pada satu ketika Malaysia di depan dengan kelebihan tiga gol.

Skuad negara dihadiahkan pukulan sudut penalti pertama dan ia disempurnakan dengan baik oleh Muhammad Razie Abdul Rahim pada minit ke-14.


Bagaimanapun kedudukan itu tidak bertahan lama apabila Pakistan menyamakan kedudukan dua minit kemudian hasil jaringan padang Shafqat Rasool.


Malaysia kembali di depan pada minit ke-19 selepas bola pukulan Faizal Saari dari luar kawasan D terkena kaki penjaga gol Pakistan, Imran Butt sebelum masuk ke gawang gol sendiri.

Foto

AKSI skuad negara ketika menentang Pakistan.

Tengku Ahmad Tajuddin Abdul Jalil menjadikan kedudukan 3-1 menerusi jaringan padang selepas menerima hantaran cantik daripada Faizal pada minit ke-38.


Skuad negara dihadiahkan pukulan sudut penalti kedua pada minit ke-50 tapi peluang itu disia-siakan begitu saja oleh barisan pemain negara.

Sementara itu, pada satu lagi perlawanan penentuan tempat kelima hingga kelapan, Jepun bangkit untuk menewaskan Afrika Selatan menerusi pukulan penalti shoot-out 1-0 selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada masa sebenar.


Jepun mendahului menerusi pukulan sudut penalti Manabu Hatakeyama dua minit sebelum tamat babak pertama tetapi Afrika Selatan berjaya menyamakan kedudukan hasil pukulan sudut penalti Craig Haley pada minit ke-56.


Skuad bimbingan Carlos Pereira di depan pada minit ke-62 hasil gol Wade Paton tetapi kesilapan di benteng pertahanan pada minit-minit akhir menyaksikan mereka menjaringkan gol ke gawang sendiri sekali gus menjadikan kedudukan terikat 2-2. Malaysia akan bertemu Jepun pada perlawanan penentuan tempat kelima dan keenam hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/07

Kekurangan bukan halangan

Posted: 06 Jul 2013 11:36 AM PDT

Kuala Lumpur: Kekurangan infrastruktur gelanggang latihan tidak menghalang Sarawak meraih pingat emas selepas mengatasi Johor, 3-2 pada final acara bola tampar wanita di Sukan Malaysia (SUKMA XVI) di Stadium Tertutup MBSA Seksyen 19, Shah Alam, semalam.

Sarawak menang pertarungan sengit mendebarkan selama lebih dua jam dengan keputusan 25-23, 25-14, 13-25, 18-25 dan 16-14. Sekalipun Johor mempamer kebangkitan di set kedua namun ia tidak cukup menjinakkan Sarawak yang kental bertahan menafikan setiap percubaan dilakukan pemain Johor untuk menang set kelima.


Ketua jurulatih bola tampar Sarawak Moh Wung Ming puas hati dengan prestasi dipamer pemain berusia antara 15 hingga 20 tahun.

"Kejayaan meraih pingat emas Sukma begitu bermakna buat pasukan ini yang saya anggap seperti anak sendiri kerana sembilan pemain masih dikekalkan sewaktu kami memenangi pingat emas, juga menewaskan Johor 3-1 di Sukma Kuantan tahun lalu.


"Kekalahan pada set ketiga dan keempat akibat pemain hilang fokus dan memandang cabaran lawan sambil lewa. Menyedari lawan begitu kental mengasak pada hujung perlawanan, kami menggunakan kelebihan servis untuk mengutip dua mata terakhir pada set penentuan," katanya.


Meskipun tidak mempunyai gelanggang latihan mencukupi di Sarawak, pasukan dibentuk Wung Ming sejak 1996 mula menampakkan hasil yang bakal menjadi nadi kekuatan Sarawak dalam pada setiap pertandingan SUKMA.

"Pada pertengahan 1990-an, sukan bola tampar seperti tidak disebut dalam sukan di Sarawak. Sejak itu, saya mencari pendekatan terbaik, merangka strategi dan mencari pemain berbakat untuk dilatih dan sejak mengambil alih pasukan pada 1997 dan awal 2006, pasukan bola tampar Sarawak muncul antara disegani. "Sekarang mereka memberikan hasil kerana bola tampar wanita Sarawak memenangi 10 daripada 12 pingat SUKMA," kata jurulatih berasal dari Bintulu itu.


Kapten Sarawak, Ho Xiao Hui berkata: "Tahniah kepada pasukan terutamanya pemain berpengalaman Stephanie Low kerana berjaya membantu kami mengekalkan pingat emas tahun lalu. Projek membangunkan sukan bola tampar di Sibu membuahkan hasil kerana Sarawak kini mempunyai pasukan bola tampar yang kompetitif.

"Kami harap dapat beraksi pada lebih banyak pertandingan luar untuk meningkatkan lagi prestasi dan kewibawaan pasukan ini. Sasaran saya adalah beraksi pada Sukan SEA dan membantu pasukan negara memenangi pingat pada temasya sukan terbesar Asia Tenggara itu." Dalam satu lagi saingan final acara bola tampar lelaki, Selangor tidak menghadapi masalah menewaskan Sarawak, 3-0 untuk meraih pingat emas.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/07
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved