Isnin, 8 Julai 2013

Harian Metro: Arena


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


FAM kena kecam lagi

Posted: 07 Jul 2013 09:00 AM PDT

Johor Bahru: Kesal dengan mutu pengadilan yang didakwa teruk ketika aksi terakhir Liga Super membabitkan Johor Darul Takzim (JDT) dan Selangor kelmarin, Exco Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Johor berharap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dapat segera meningkatkan mutu pengadilan pada saingan Liga Malaysia (Liga M) yang dilabel masih di tahap amatur.

Pengerusinya Datuk Zulkurnain Kamisan berkata, FAM selaku badan induk bola sepak tempatan tidak boleh berlengah lagi dalam meningkatkan mutu pengadilan di negara ini yang didakwanya amat rendah.


Beliau memberi contoh beberapa keputusan pengadil Syed Azhar Syed Kamar yang mengendalikan perlawanan antara Johor DT dengan Selangor yang boleh dipertikaikan malah menyaksikan sendiri beberapa tindakan tidak masuk akal pengadil itu.

"FAM kena ambil langkah drastik untuk mengatasi masalah ini dengan segera. Penonton membeli tiket berhak disajikan perlawanan yang adil tapi apa yang berlaku semalam (kelmarin) amat mengecewakan.


"Sudah tiba masanya mutu pengadilan perlu ditingkatkan ke arah lebih profesional sebab FAM perlu ingat jika tidak ditingkatkan, ia hanya akan terus mengundang persoalan mungkinkah wujudnya unsur rasuah membabitkan pengadil.


"Paling penting kami tak nak kepercayaan penyokong berkurang kerana gejala seperti rasuah. Apapun, saya yakin FAM akan ambil tindakan drastik berhubung perkara ini," katanya.

Foto

PENJAGA gol Johor DT, Muhd Al-Hafiz Hamzah (kanan) menyelamatkan bola daripada pemain Selangor, Francis Forkey Doe, kelmarin.

Zulkurnain berharap Datuk Hamidin Mohd Amin yang baru dilantik sebagai Setiausaha Agung baru FAM dapat mencari jalan penyelesaian terbaik untuk mengatasi masalah yang sekian lama membelenggu arena bola sepak negara.


Ditanya adakah perubahan itu perlu dilakukan dengan kadar segera, Zulkurnain berkata perkara itu tidak perlu dimulakan pada musim depan.

"Kalau boleh pembaharuan ini perlu bermula pada saingan Piala Malaysia, tidak perlu hingga dua atau tiga musim lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/07

Kelantan pertahan emas kali kedua berturut-turut

Posted: 07 Jul 2013 08:56 AM PDT

Kuala Lumpur: Kira-kira 17 tahun lalu, sukan ragbi bukan sukan diminati golongan muda. Jika ada, hanya dimainkan di tiga buah sekolah saja di Kelantan.

Sejarah itu sudah bertukar apabila pasukan ragbi Kelantan meraih pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA) 2013 selepas menewaskan Melaka 36-0 pada final ragbi 7 sebelah di padang Kolej Canselori Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, semalam.


Kejayaan itu hadir sekalipun skuad kendalian jurulatih, Mohd Saizul Hafifi Md Noor membuat permulaan kurang meyakinkan dalam dua perlawanan peringkat saingan kumpulan, kelmarin.

"Kami membuat permulaan goyah perlawanan pertama melawan Terengganu tapi akhirnya menang 10-12 selepas ketinggalan 0-10.


"Keyakinan serta semangat juang anak buah saya hadir pada perlawanan kedua sewaktu mengatasi Perak 24-14. Apapun, kejayaan perlawanan final mengatasi Melaka 36-0 satu pencapaian membanggakan kerana kami berjaya mempertahankan pingat emas SUKMA dimenangi dua tahun lalu," katanya.


Saizul berkata, pasukan dianggotai pemain berusia antara 19 hingga 21 tahun itu kini fokus membuat persiapan untuk mempertahankan gelaran pada Kejohanan Piala Agong November ini.

"Selepas SUKMA, pertandingan itu akan menjadi satu lagi tumpuan kami. Kami mahu meneruskan rentak kemenangan dan mengangkat martabat ragbi Malaysia sebagai satu sukan menyeronokkan ditonton dan dimainkan," katanya selepas menyaksikan pasukannya melakukan enam try dan tiga conversion pada perlawanan menarik berlangsung di bawah panas terik yang turut disaksikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.


Kapten Mohd Khairul Abdillah, 21, menyatakan rasa gembira membawa kejayaan Kelantan pada penampilan pertama selaku kapten.

"Jerih payah berlatih dan keserasian pasukan semakin baik daripada satu perlawanan ke satu perlawanan. Kami mempamer permainan berpasukan dan tidak membuka ruang kepada lawan.


"Saya berharap ragbi akan menjadi permainan diminati di Malaysia kerana di England sukan dimainkan kelas atasan dan pertengahan dan di Perancis sebagai satu tradisi," katanya bermain pada posisi scrum-half, kini belajar di Sekolah Sukan Tengku Ismail Johor.


Pingat gangsa ragbi 7 sebelah diraih oleh Kedah yang mengatasi Terengganu 35-5.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/07
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved