Isnin, 8 Julai 2013

Harian Metro: Rap


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Advertorial: Elemen 3D mantapkan lagi Despicable Me 2

Posted: 07 Jul 2013 05:51 AM PDT

Setelah kejayaan pertama menerusi filem animasi Despicable Me, para penonton bakal dihiburkan dengan sekuel berjudul Despicable Me 2. Siapa sangka, filem yang diisi dengan suara para pelakon terkenal berjaya menggegarkan panggung dengan watak-watak animasi yang telah direka begitu comel sekali.

Keletah makhluk-makhluk kecil yang berperanan sebagai pembantu Gru (Steve Carell) kembali mencuri pentas dan menonjol dengan perangai mereka yang mampu membuatkan penonton ketawa terbahak-bahak. Walaupun watak mereka dicipta dengan dialog yang tidak difahami namun aksi-aksi lucu mereka begitu menghiburkan.

Filem ini mengisahkan seorang ayah tunggal, Gru yang membesarkan tiga orang anak perempuannya iaitu Margo (Miranda Cosgrove), Edith (Dana Gaier) dan Agnes (Elsie Fisher). Gru berusaha membesarkan anak-anaknya dengan menghasilkan jem dan jeli buatan sendiri selepas berubah meninggalkan kerjayanya sebagai seorang penjenayah.

Malah Gru juga turut ditawarkan oleh sebuah organisasi rahsia , Anti Villain untuk menyiasat sebuah kes kehilangan satu formula baru. Berperanan membantu untuk menentang kejahatan, Gru merupakan seorang calon yang sesuai kerana statusnya yang bergelar bekas penjenayah.


Gru yang fobia untuk berkawan dengan wanita kerana kisah silamnya telah disatukan dengan Lucy Wilde (Kristen Wiig) untuk menangkap penjahat tersebut. Selain menyelesaikan tugasan yang diberi, Gru juga perlu mengimbangi tanggungjawabnya sebagai seorang bapa yang mana anaknya, Morgan semakin meningkat remaja.


Penggunaan kesan 3D juga memberi impak yang lebih berkesan melalui filem animasi ini dan anda dapat merasakan seperti turut berada dalam Despicable Me 2 ini.

Tahniah diucapkan kepada Cinco Paul dan Ken Daurio kerana selain menghiburkan, filem ini juga menerapkan mesej dan nilai-nilai murni yang banyak memberikan pengajaran.

Tidak salah sekiranya anda mengeluarkan sejumlah wang untuk menonton filem Despicable Me 2 yang sedang ditayangkan di pawagam sejak 4 Julai. Filem ini mampu membuatkan anda ketawa terbahak-bahak serta turut membantu menghilangkan tekanan kerja di pejabat.

Filem: Despicable Me 2

Genre: Komedi

Suara latar: Steve Carell (Gru), Kristen Wiig (Lucy Wilde), Miranda Cosgrove (Margo), Ken Jeong (Floyd) dan Russel Brand (Dr. Nefario)

Info: Selain sebagai tarikan penonton, penerbit Chris Meledandri percaya Despicable Me 2 sesuai dipersembahkan dalam 3D kerana skop dan skala set filem ini sekaligus dapat memberikan impak yang menakjubkan kepada penonton.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/07

Tuah jumpa Anuar Zain

Posted: 07 Jul 2013 05:46 AM PDT

Dilabel sebagai eksklusif, peluang bertemu penyanyi tersohor, Anuar Zain ini hanya ketika dia membuat persembahan yang kebanyakan tertutup dan berbayar.

Perkembangan mengenai kehidupan sehariannya tidak mungkin dapat dijejaki dalam mana-mana laman sosial khususnya Twitter, Instragram dan Keek yang menjadi medium interaksi antara selebriti dan peminat.

Anuar mempunyai pendirian sendiri mengapa dia memilih cara yang menongkah 'trend' masa kini. Bukan tidak mahu kehidupan peribadinya diintai setiap hari, tetapi kesibukannya membataskan dia berbuat demikian selain menyimpan sedikit ruang 'privacy' untuk diri sendiri.

Pendek kata, peluang bertemu penghibur dilahirkan pada tanggal 15 Februari 1970 dengan nama Shahrul Anuar Zain, itu bukan mudah.

Foto

ANUAR buat peminat rasa istimewa.

Foto

ANUAR berbual dengan Farah (bertudung) yang hadir bersama adiknya, Aien.

Foto

NUR Hafeza menghadiahkan Anuar 'cookies' yang dibuat olehnya sendiri.

Foto

PENGARANG Hiburan Harian Metro, Roslen Fadzil (kanan) dan Pengurus Pemasaran Komunikasi Hotel Concorde KL Julini Yusof (kiri) menyerahkan bingkai bergambar kepada Anuar.


Namun, Nur Hafeza Rahmat, 32, dan Azaril Ameer Yahaya, 32, menjadi antara ribuan peminat Anuar yang cukup bertuah. Mereka bukan saja dapat bertentang mata dengan Anuar malah berpeluang menikmati makan malam secara eksklusif di Melting Pot tajaan Hotel Concorde, Kuala Lumpur, baru-baru ini bersama penghibur yang mencipta nama menerusi lagi Kain Pelikat tiga dekad lalu.


Nur Hafeza dan Azaril adalah dua pemenang utama kuiz anjuran Anuar Zain Network dengan kerjasama Harian Metro bersempena konsert Anuar Zain 3 Dekad: Muzik, Cinta dan Sanubari pada 16 Februari lalu di Stadium Malawati Shah Alam.

Tentunya perasaan bangga turut dikongsi teman-teman mereka, Faiz Nor Ain Hamzah, Farah Aini Hamzah dan Mohamad Ridzuan Abdul Mutalib, apabila setiap pemenang dibenarkan membawa pasangan atau rakan masing-masing.

Tiba di lobi hotel pada jam 8.10 malam, Selasa lalu, Anuar berkemeja kuning cair, dipadan celana denim biru gelap dan blazer kelabu, kelihatan tenang dan mesra seperti biasa. Tidak bersendirian sebaliknya bersama 'entourage' dari Anuar Zain Network terdiri daripada dua pengurus, Nana Ahmad dan Dura Talib termasuk Pengurus Pronosi, Sam Kassim.

Betapa dia menghormati majlis dan peminatnya, Anuar tidak memulakan makan malam kerana setia menunggu sehingga semua tetamu istimewanya tiba.

Apabila semuanya sudah lengkap, Anuar berbual mesra dengan peminatnya dan dilihat menjawab setiap pertanyaan yang dilontarkan kepadanya.

"Majlis malam ini, sebenarnya sesuatu yang menyeronokkan. Sudah lama kita nantikan untuk adakan program seperti ini selepas konsert saya tempoh hari. Tetapi banyak waktu terpaksa di tangguh kerana jadual saya yang tidak mengizinkan.

"Alhamdulillah malam ini, akhirnya dapat juga majlis ini dilaksanakan. Pemenang yang hadir pun, mereka tenang-tenang saja, semuanya baik-baik.

"Lama dulu saya pernah juga adakan majlis seperti ini tetapi jarang sekali dapat peluang. Selalunya, berjumpa di majlis undangan nyanyian yang saya hadiri," katanya.

Biarpun ada yang melabelnya eksklusif, Anuar secara peribadi berpendapat hubungannya dengan peminat tidak putus malah berterusan sehingga di luar pentas. Tambahan pula, setiap kali keluar rumah atau mengunjungi mana-mana tempat, dia tidak pernah menghalang peminat mendekatinya.

"Kadang-kadang keluar tidak merancang, kan? Jadi peminat yang jarang melihat kita datang untuk bergambar dan hendak berbual, saya akan melayani mereka sehabis yang saya boleh. Saya sangat-sangat bersyukur ada peminat yang menyokong kerjaya saya dari mula kini menjadi sahabat saya pun.

"Yang membuatkan saya terharu walaupun mereka sudah dianggap sebagai sahabat, belum pernah di antara mereka jenis ambil kesempatan. Misalnya setiap kali 'show' mereka tidak pernah lokek membeli tiket," katanya.

Menghala perbualan pada perkembangan kerjayanya, akui Anuar, sememangnya dia mahu mengadakan edisi kedua Konsert Anuar Zain 3 Dekad : Muzik, Cinta dan Sanubari, jika ada yang sudi menawarkan dari segi penajaan. Walau bagaimanapun, setakat ini belum ada sebarang perancangan ke arah itu.

Kagum sikap merendah diri

Senyuman bagaikan tidak pernah padam di raut wajah pemenang yang begitu gembira dapat bertemu dengan idola mereka secara empat mata.

Nur Hafeza juga Perunding Perniagaan Kanan di sebuah syarikat swasta cukup mengagumi sikap penghibur tersohor itu yang merendah diri.

"Sebagaimana kita lihat di dalam akhbar dan majalah begitulah segaknya Anuar di luar. Paling mengagumkan, dia seorang yang cukup mesra dan merendah diri walaupun namanya cukup gah.

"Dia juga tidak menolak untuk bergambar mahupun diajukan soalan. Saya terasa seperti mimpi pun ada, kerana saya antara ribuan hadirin yang hadir menyaksikan kehebatan figura ini beraksi di konsertnya tempoh hari dan malam ini dia di depan mata saya.

"Paling membuatkan saya terharu, Anuar sudi mencuba Exora's Homemade Chocolate Chip Cookies yang saya buat," katanya yang mengusahakan perniagaan biskut raya itu selama tiga tahun setiap kali menjelang Ramadan.

Sahabat kepada Nur Hafeza iaitu Farah, juga peminat tegar Anuar Zain. Malah, dia sudah mengikuti perkembangan idolanya itu sejak sekian lama.

"Saya sudah lama mengikuti perkembangan abang Anuar tetapi inilah baru pertama kali bertentang mata dengannya. Saya gementar dan rasa hendak menangis awal-awal tadi.

"Pada 16 Februari lalu, saya tidak melepaskan peluang menonton konsert Anuar Zain 3 Dekad: Muzik, Cinta dan Sanubari, bersama adik saya. Walau bagaimanapun, saya hanya dapat merakamkan aksi-aksi persembahannya dari jauh.

"Hari ini, dia di depan mata saya. Bertambah-tambah rasa hormat, abang Anuar melayani kami dengan baik dan kebaikannya itu tidak dibuat-buat," katanya.

Sementara Arief menoktahkan malam itu sebagai malam paling indah dalam hidupnya apabila dapat bertemu dan berbual dengan penghibur lelaki hebat itu.

"Pengalaman malam ini akan saya jadikan kenangan indah seumur hidup saya. Terima kasih kepada Harian Metro memilih saya sebagai pemenang. Tidak dilupakan kepada pihak Anuar Zain Network juga kerana merealisasikan impian saya, bukan saja dapat menyaksikan konsert tetapi menikmati makan malam bersama Anuar Zain," katanya.

Sebelum majlis bersurai, Pengarang Hiburan Harian Metro, Roslen Fadzil, menyerahkan penghargaan berupa bingkai gambar muka hadapan sisipan RAP yang dibingkaikan kepada Anuar.

Sebagai apresiasi ke­­­pa­­­­­­­­­­da Hotel Concorde yang menjadi penaja lokasi serta makan malam buat pemenang, Anuar melaksanakan penyerahan bingkai gambar dan bunga kepada Pengurus Pemasaran Komunikasi Hotel Concorde, Julini Mohd Yusof.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/07
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved