Isnin, 8 Julai 2013

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Belajar jahitan dalam talian

Posted: 08 Jul 2013 07:01 AM PDT

Bertujuan memartabatkan kembali seni jahitan berasaskan sulaman agar tidak hilang ditelan arus zaman membuatkan wanita muda ini tidak berhenti mengetengahkan bentuk pengajaran menggunakan teknologi terkini sebagai daya penarik.

Dia mengetahui jika berterusan menggunakan cara lama berkemungkinan apa yang ingin ditonjolkannya itu tidak mampu disebarkan kepada seluruh masyarakat.

Bagi pengasas Akademi Sulaman Sri Classic, Syahida Ramli, 34, dia cuba menjadikan kaedah pembelajaran secara dalam talian sebagai satu tempat interaktif untuk memudahkannya berkomunikasi dengan pelajarnya tanpa perlu berkumpul di satu kawasan pada masa tertentu.

Malah, daripada maklum balas diperolehnya keba­nyakan wanita yang berminat untuk mempelajari seni jahitan sulaman adalah golongan bekerjaya. Pastinya mereka sukar mengikuti bengkel tanpa menjejaskan masa kerja dan juga cuti hujung minggu.

Foto

PESERTA kursus khusyuk melakukan latihan praktikal sulaman manik tersendiri selain mempelajarinya secara teori.

Foto

UNJUK ajar dilakukan sendiri Syahida bagi memastikan sulaman manik dihasilkan menepati kualiti dikehendaki.

Foto

BANGGA dengan penghasilan buku sulaman manik pertamanya.


Oleh itu, berdasarkan masalah dihadapi ini dia mula mengetengahkan cara baru untuk mengajar tanpa perlu berhadapan dengan pelajar seperti kaedah konservatif yang biasa dilakukan sebelum ini.


"Disebabkan itu, saya mula memperkenalkan kursus pembelajaran secara dalam talian kerana melaluinya saya boleh berada dekat dengan pelajar tanpa mengira masa.

"Malah, mereka juga mudah untuk mendapatkan pandangan dan maklum balas kerana ia dilakukan secara 24 jam," katanya.

Mula berjinak-jinak dalam dunia jahitan sulaman sejak kecil lagi Syahida mengakui apa yang dirasakan sebagai satu bentuk pembelajaran secara terpaksa satu ketika dulu kini menjadi minat yang sukar dipisahkan dalam dirinya.

Namun, bukan mudah untuk memperkenalkan kaedah ini kepada umum malah, malah ramai yang memperlekehkan usahanya itu.

Dia mengambil masa dua tahun untuk menjelajah seluruh negara dan membuat kajian tersendiri mengenai golongan yang meminati seni jahitan halus sulaman manik ini.

Walaupun ada pihak memandang remeh usaha­nya tetapi ia tidak mengendurkan semangat Syahida malah menjadikan dia semakin ligat berfikir bagi memastikan usahanya itu terus berjaya.

"Saya yakin satu hari nanti akan ada individu yang mengiktiraf usaha yang dilakukan ini dan kini saya boleh tersenyum bangga kerana ramai anak murid sudah memperoleh kejayaan.

"Saya bukan meminta pengiktirafan tetapi rasa bertanggungjawab me­ngekalkan seni jahitan halus masyarakat Melayu ini membuatkan saya tidak mengalah dan menoleh ke belakang lagi," katanya.

Di samping itu, dia turut memperkenalkan kaedah web bina iaitu satu bentuk seminar dalam web secara dalam talian bagi membolehkannya berkomunikasi dan berinteraksi dengan pelajarnya secara serentak.

Kaedah ini bukan saja menjimatkan masa malah ia juga mampu memberikan lebih kefahaman kerana setiap masalah dialami dan pendapat dikehendaki boleh diperoleh dengan mudah secara dalam talian.

"Bentuk interaksi seperti ini membolehkan pelajar mempelajari satu bentuk jahitan secara berulang kali sehingga mereka mahir tanpa perlu mengharapkan penyertaan dalam bengkel tertentu.

"Mereka boleh menilai dan melihat sendiri cara jahitan digunakan tetapi yang nyata asas jahitan tetap sama cuma cara ia diolah semula membuatkan bentuk dan rekaannya berbeza," katanya.

Selain wanita, golongan lelaki terutama kaum bapa turut menjadikan kursus secara dalam talian ini sebagai platform terbaik untuk mereka mempelajari seni jahitan sulaman dengan lebih mendalam.

Katanya, apabila dita­nyakan sebab utama mereka mempelajarinya ramai yang mengatakan ia disebabkan isteri dan anak perempuan mereka.

"Mereka yang tidak memiliki anak perempuan ramai tidak merasai beban membeli pakaian kerana harga baju sedia pakai yang bersulam agak mahal. Inilah sebabnya mereka sanggup berusaha mempelajarinya bagi mengurangkan kos perbelanjaan membeli pakaian," katanya.

Mungkin ada beranggapan alasan diberikan agak melucukan tetapi ia adalah hakikat yang perlu dilalui golongan berpendapatan sederhana seperti mereka.

Sungguhpun begitu, ia juga boleh dijadikan sebagai sumber pendapatan sampingan keluarga sekiranya mereka memperluaskan minat dan bakat mereka itu.

"Saya dapati 75 peratus kaum Adam memberikan alasan yang sama apabila ditanya mengenai pembabitan mereka dalam dunia seni jahitan sulaman manik.

"Tidak perlu berasa malu kerana seni jahitan boleh dipelajari sesiapa saja tanpa mengira jantina dan sepanjang pembabitan saya dalam bidang ini kualiti jahitan dihasilkan golongan lelaki lebih kemas, teliti dan kreatif bentuknya berbanding kaum wanita," katanya.

Di samping itu, Syahida juga mengeluarkan buku sulaman manik pertamanya pada 2009 dan hingga kini ia sudah memasuki cetakan keenam.

Sementara itu, menurut peserta kursus hiasan manik bantal tiga dimensi, Rosnah Yusof, 28, dia menyertai bengkel jahitan bersama rakan kongsi sejak dua tahun lalu dan mula mendapat bantuan Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) kelolaan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) setahun lalu.

Setakat ini dia hanya menumpukan kepada jahitan pakaian wanita saja kerana tidak memiliki tenaga kerja mencukupi untuk melakukan jahitan tudung dan pelbagai lagi.

Biarpun begitu, tempahan diperolehnya amat memberangsangkan dan melalui kursus seni jahitan manik disediakan ini pasti mampu menambah pendapatan dengan lebih menyeluruh.

"Masih banyak lagi ilmu jahitan yang perlu dipelajari dan saya cuba melakukan yang terbaik untuk memastikan kepuasan pelanggan supaya pakaian dihasilkan menepati jangkaan.

"Jika ingin mengembangkan lagi bentuk perniagaan ini saya perlu melakukannya langkah demi langkah tanpa perlu terburu-buru," katanya.

Bagi Rosiah Mat Nasir, 49, dia mengambil upah menjahit baju di bawah kendalian Risda sebagai kerja sampingan yang ternyata dapat meningkatkan taraf hidupnya sekeluarga.

Disebabkan itulah dia sentiasa menyertai apa saja kursus disediakan kerana mengetahui pelbagai lagi ilmu jahitan boleh dimilikinya.

Malah, pembabitannya dalam aktiviti kursus sebegini pastinya memberikan kelebihan kepadanya dalam menghasilkan rekaan baju yang lebih menyerlah.

"Saya tidak pernah menolak sekiranya dikehendaki mengikuti kursus jahitan walaupun mengetahui tidak menang tangan dengan limpahan tempahan pakaian yang datang.

"Ini antara cara untuk saya meningkatkan pe­ngetahuan bagi menghasil­kan rekaan pakaian yang memberikan kepuasan kepada pelanggan yang menggunakan khidmat saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/08

Atasi tekanan hidup

Posted: 08 Jul 2013 05:39 AM PDT

Siapa sangka ilham yang dianggap kurang munasabah boleh membantu menyelamatkan banyak pemilik kenderaan daripada dikenakan saman? Berapa ramai di antara kita yang sudi meluangkan 10 hingga 15 saat menjengah tiket parkir kenderaan sebelah, di belakang atau di hadapan untuk melihat sama ada ia sudah tamat tempohnya?

Penulis sendiri berasa cuak untuk berbuat demikian, bimbang disalah sangka oleh pemilik kenderaan jika kebetulan dia berada tidak jauh dari situ. Malah selepas beberapa tahun memandu, tidak pernah terfikir untuk menjengah atau mengintai tiket parkir kenderaan yang berjiran dengan kereta penulis.

Namun ada pihak yang bukan saja sanggup meluangkan masa malah mengeluarkan belanja bagi membantu menghindarkan pemilik kenderaan di ibu kota ini daripada menerima surat saman.

Kerja amal yang kreatif dengan nama 'Projek 5kupang Parking' dijalankan bagi menyebarkan aktiviti sukarela ke peringkat lebih berkesan dengan harapan ia dapat meluaskan lagi kesedaran orang ramai untuk sama-sama menyumbang tenaga dalam pelbagai aktiviti berbentuk kemasyarakatan.


Program ini adalah ilham sukarelawan Kindness.my yang ingin menyebar kebaikan melalui bayaran tiket letak kereta. Ia menerapkan konsep 'memburu' kereta sudah tamat tempoh letak kereta dan kemudian meletakkan tiket baru secara percuma.


Pada peringkat awal ia mula dijalankan di Bangsar namun kini khidmat murni itu 'merebak' ke kawasan lain seperti Gombak dan Petaling Jaya.

Sukarelawan Kindness.my hanya memerlukan kos amal 50 sen dan usaha yang dilakukan ini akan dijalankan secara berterusan sehingga menjelang Ramadan.

Baru-baru ini aktiviti amal berkenaan diperluaskan di Dataran Sunway dan mensasarkan lebih 50 kereta untuk 'diselamatkan' daripada disaman.

Pada hari itu, ahli sukarelawan dibahagikan kepada dua kumpulan yang bergerak di dua lokasi berdekatan secara berasingan.

Seorang daripada mereka bertindak membayar tiket letak kereta manakala seorang sukarelawan lain akan mendapatkan nombor pendaftaran kenderaan serta ahli lain bertindak meletakkan tiket baru pada kereta berkenaan.

Namun, kali ini had bayaran dinaikkan antara 60 sen hingga RM1 kerana jumlah minimum untuk tiket letak kereta di kawasan terbabit ialah 60 sen sejam berbanding di Kuala Lumpur iaitu 50 sen sejam.

Objektif utama aktiviti ini adalah untuk melahirkan kumpulan masyarakat yang lebih positif serta membantu mengurangkan tekanan hidup golongan yang tinggal di bandar besar.

Menurut pe­ngasasnya, Muhammad Kamarulazizi, 31, hingga kini ada 20 sukarelawan yang menyertai aktiviti amal ini.

Malah, kebanyakan dana diperoleh untuk membolehkan aktiviti amal sebegini dijalankan adalah melalui bantuan rakan yang tidak pernah 'kedekut' membantu menghulurkan sumbangan.

"Saya cuba membina kesedaran umum terhadap amal kebajikan yang boleh dilakukan meskipun pada skala kecil. Walaupun sibuk dengan urusan masing-masing tetap masih boleh melakukan kebaikan dengan cara tersendiri.

"Tanyalah sesiapa saja, pasti akan berasa tertekan, marah, kecewa dan susah hati apabila mendapat surat saman meletak kenderaan. Hidup di bandar besar sudah banyak tekanan, jadi kami cuba lakukan sesuatu untuk membantu mengurangkan tekanan berkenaan.

"Ilham aktiviti amal ini diperoleh dari negara luar yang mana masyarakatnya tidak pernah loket menghulurkan bantuan sungguhpun tidak mengenali individu terbabit. Memang kita tidak perlu kenal seseorang untuk membantu. Inilah yang dikatakan orang, peluang untuk membuat kebaikan secara kecil-kecilan sentiasa ada di depan mata," katanya.

Selain sekitar Lembah Klang, projek amal ini turut dijalankan di beberapa negeri lain seperti Pulau Pinang, Melaka dan Sabah namun dalam kumpulan yang lebih kecil ataupun secara bersendirian.

Katanya, pada peringkat awal maklum balas diperoleh penduduk setempat tidak begitu menggalakkan dan mereka berasa cukup pelik dengan 'bantuan' diberikan itu.

Tetapi ia adalah langkah pertama bagi memperkenalkan aktiviti sukarela sebegini kepada umum dengan lebih meluas. Malah pada Ramadan ini, tidak salah sekiranya kita - walaupun tidak berdaftar sebagai sukarelawan Kindness.my untuk turut sama menyumbang, semoga dengan bantuan yang hanya beberapa sen itu dapat meningkatkan kesejahteraan hidup orang lain.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/08
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved