Isnin, 29 Julai 2013

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Suasana belajar memasak santai

Posted: 29 Jul 2013 08:52 AM PDT

Sebelum ini, Mirawati Mohamad, 52, hanya menjalankan perniagaan menjahit di rumah bagi membantu suami menambah pendapatan keluarga.

Namun disebabkan minatnya ke arah membuat kek dan roti sejak kecil lagi, dia mula sedar serta mengambil langkah seterusnya dengan mengikuti kelas berkaitan bersama rakannya.

Walaupun harus meninggalkan perniagaan menjahit bajunya itu, dia tidak kisah asalkan dapat melakukan aktiviti diminatinya dan mampu memberi kegembiraan.
"Apabila ada rakan yang tahu bakat saya membuat kek sejak zaman remaja lagi, dia menyuruh saya membuka perniagaan secara dalam talian.

Foto

MIRAWATI menunjukkan hasil kuih tart dan bakul pastri yang diajar di kelasnya.

Foto

ANTARA kek menarik dihasilkan Mirawati.

Foto

SUASANA kelas santai dan dipenuhi gelak ketawa.

"Rakan sentiasa me­nyokong saya. Selepas enam bulan mengikuti kelas membuat dan menghias kek, akhirnya terdetik di hati untuk membuka perniagaan secara dalam talian atas nasihat rakan.

"Selepas itu, baru saya membuka kelas dengan memberi penekanan terhadap pembuatan bakul pastri kerana saya memang mahir membuat roti sejak 15 tahun lalu," katanya.

Menariknya, pelajar pertama yang hadir ke kelasnya adalah rakan baiknya itu yang banyak menyokong serta memberi semangat untuk terbabit dalam bidang berkenaan.

Kini, sudah tiga tahun Mirawati membuka kelas untuk sesiapa saja yang ingin mempelajari membuat bakul pastri, kuih tart dan kek kukus bagi menambah pengetahuan mereka, sekali gus memberi peluang membuka perniagaan sendiri.

Kelasnya tampak santai dan dipenuhi gelak ketawa bagi mengelakkan pelajarnya berasa bosan. Dia juga tidak mahu terlalu serius ketika mengajar dan berkongsi pelbagai panduan berguna walaupun bukan berkaitan dengan kuih.

Kebiasaannya, dia hanya mengadakan kelas di rumah dan pelajar yang diambil tidak lebih daripada enam orang dalam satu masa disebabkan tempat terhad selain mahu memberi keselesaan kepada mereka sepanjang sesi pembelajaran.

"Namun, jika saya menerima jemputan, jumlah pelajar lebih daripada angka itu mengikut keluasan tempat mengadakan kelas membuat kuih atau kek berkenaan.

"Biasanya, saya mengadakan kelas dua kali seming­gu pada hujung minggu. Namun, jika terdapat permintaan daripada pelajar yang ingin belajar secara sendirian atau bersama rakan lain, pada hari biasa pun akan dilakukan juga me­ngikut kelapangan.

"Bukan hanya di rumah, malah saya juga ada mengadakan kelas di tempat lain seperti di Johor Bahru, Pahang dan Pulau Pinang atas jemputan. Dalam masa terdekat ini, saya akan ke Sabah pula untuk mengajar di sana," katanya.

Sebelum ini, Mirawati hanya gemar mencuba resipi sendiri yang diperoleh menerusi majalah atau Internet. Namun, kesedarannya mula timbul sejak membuka kelas berkenaan membuatkan dirinya lebih gemar mengikuti kursus dengan guru lain yang lebih mahir mengenai sesuatu jenis kuih atau kek yang ingin dipelajarinya.

Baginya, walaupun mampu mengajar wanita lain, proses pembelajaran tidak pernah berhenti dan akan diteruskan mengikut kemampuan untuk memastikan dia tidak ketinggalan meningkatkan kemahiran diri dalam bidang berkenaan.

Perkara baru harus dipelajari setiap masa untuk menambah pengetahuan asalkan dia memang meminatinya dan akan melatih diri melakukannya sendiri di rumah bagi mengelakkan ilmu dipelajari menjadi sia-sia.

Pernah juga dia terpaksa mengikat perut bagi me­ngikuti kelas belajar membuat hiasan kek di Pahang kerana tidak mampu.

Namun, dia tetap berusaha mengumpul wang dan berjimat cermat untuk mempelajari hiasan kek kerana sangat meminatinya walaupun terpaksa menumpang tidur di rumah guru berkenaan.

Setiap ilmu dipelajari akan dikongsi bersama pelajar lain bagi memantapkan kemahiran diri selain dapat membuka peluang kepada wanita yang mahu mempelajarinya.

"Setakat ini, saya sudah mengikuti lebih 20 kelas berlainan guru bagi meningkatkan kemahiran diri sebelum mengajar agar pelbagai teknik dan pengetahuan dapat dikongsi bersama.

"Cara saya, tidak lokek berkongsi apa saja ilmu berkaitan pembuatan kek atau roti dengan pelajar. Malah, jika ada bekas pelajar yang ingin bertanya di luar kelas, mereka terus menelefon saya untuk bertanya," katanya.

Baginya, banyak kebaikan yang diperoleh jika berminat atau mengikuti apa saja kelas diminati untuk mengisi masa lapang bagi menambah ilmu pengetahuan dan mempelbagaikan cabang kemahiran.

Kelas yang diadakan dalam tempoh empat jam atau paling lama dua hari itu bergantung kepada kursus dipelajari bagi memberi peluang kepada pelajar untuk bertanya sebanyak mungkin kepada dirinya dan dia cuba menjawabnya dengan sebaik mungkin.

Selain dapat berkenalan dengan rakan baru, mereka juga boleh bertukar idea dan pastinya perkenalan itu akan diteruskan hingga ke luar kelas bagi berkongsi pengetahuan.

Ibu kepada empat anak ini juga tidak mahu membuang masa terluang begitu saja, malah akan menerima tempahan membuat kek daripada pelanggan untuk hantaran atau majlis perkahwinan.

Walaupun kadangkala dia berasa letih, apabila mengenang kembali keseronokan dan kepuasan me­ngajar membuatkan dia tetap meneruskan perkongsian ilmu pembuatan kek dan roti tanpa rasa jemu.

Persediaan diri

Bagi Mazita Said, 30, itulah kali pertama dia me­ngikuti kelas membuat kuih ketika ditemui penulis, baru-baru ini.

Walaupun agak kekok ketika menyediakan kuih tart yang diajar Mirawati, ia dianggap sebagai proses pembelajaran tanpa sedikit pun rasa malu untuk berta­nya.

"Saya baru pertama kali mengikuti kelas membuat kuih tart ini, namun empat jam dilalui pada hari ini langsung tidak dirasai.

"Mungkin kerana gurunya rajin melayan setiap pertanyaan yang diajukan, selain ia lebih kelihatan santai dan menyeronokkan.

"Pengajian hari ini pasti dapat memberi kebaikan kepada diri saya pada masa akan datang kerana banyak panduan yang dikongsi bersama guru untuk mendapat­kan hasil terbaik," katanya.

Tambahnya, tujuan me­ngikuti kelas membuat tart berkenaan untuk menambah pengetahuan sebagai isteri dan ibu kepada tiga cahaya mata.

Malah, ilmu berkenaan juga akan digunakan sebaik mungkin untuk membuka perniagaan jika berpeluang.

"Disebabkan saya mempunyai perancangan untuk berhenti kerja kerana me­ngikut suami berpindah ke negeri lain pada tahun depan, jadi saya harus mencari peluang memantapkan kemahiran diri.

"Saya harus mempersiap­kan diri dengan kemahiran bagi menghadapi saat tidak bekerja kelak bagi mengisi masa lapang dengan perkara berfaedah," katanya.

Tambahnya, apabila mendapati dia tertarik dengan pembuatan kuih dan roti ini, tanpa berfikir panjang Mazita terus memberitahu Mirawati untuk menyertai kelasnya.

Selain dilihat mempu­nyai masa depan cerah, ilmu yang dipelajari juga boleh digunakan untuk membantu menjana pendapatan sendiri tanpa mengharapkan bantuan daripada suami semata-mata.

Jelasnya, dia mula berminat untuk mempelajari membuat kuih dan kek apabila terpandang hasilnya yang menarik dan dimuat naik di laman blog yang biasa dikunjunginya.

Walaupun sudah lama berhasrat untuk mengikuti kelas membuat kuih, dia masih tercari-cari guru sesuai bagi memastikan hasilnya berbaloi.

"Kini, saya rasa bersemangat untuk terus belajar berbanding hanya melihat di Internet kerana dapat melihat dengan jelas cara pembuatannya yang lebih mudah.

"Banyak teknik dan panduan diperoleh selain jawapan khusus daripada mereka yang mahir jika hasil kuih yang dibuat tidak menjadi kelak.

"Menariknya, Mirawati turut mengajar cara me­nyusun kuih agar tampak lebih menarik jika ia dihasil­kan untuk tujuan hantaran perkahwinan," katanya.

Walaupun hanya memiliki masa terhad untuk ke kelas berkenaan disebabkan bekerja dan masih belajar separuh masa di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, disebabkan memikirkan masa depannya, dia tetap menggagahkan diri mencuri sedikit masa untuk menghadirinya.

Selain untuk diri sendiri, Mazita juga mempelajari membuat kuih untuk dikongsi bersama anak-anaknya bagi mening­katkan kreativiti mereka sejak kecil lagi.

Ia juga dapat memupuk minat terutama anak perempuan mempelajari proses membuat kuih bagi menyiapkan diri mereka apabila menempuh alam dewasa kelak.

Mencari kepuasan

Seorang lagi pelajar Mirawati, Zurida Ahmad, 55, suri rumah, mengakui mendapat faedah selepas me­ngikuti kelas berkenaan sejak setahun lalu.

Walaupun melakukan kerja sambilan sebagai ejen insurans, minat mendorongnya mengikuti kelas membuat kuih yang dikendalikan Mirawati.

"Disebabkan masa saya banyak terluang di rumah, apatah lagi anak-anak sudah besar, saya tercari-cari aktiviti sesuai untuk mengisi masa lapang.

"Saya pula memang aktif dan tidak suka duduk diam saja di rumah tanpa membuat sebarang pekerjaan kerana mudah rasa bosan," katanya.

Tambahnya, sebelum ini saja dia sudah mengikuti pelbagai jenis kelas antaranya kelas membuat mufin, kek kukus, kuih tart, mi dan hidangan lauk daripada empat guru berbeza di sekitar Kuala Lumpur serta Selangor.

Semangatnya untuk terus menimba ilmu tidak pernah terhenti malah akan mengikuti kelas sama berulang kali jika masih tidak dapat mendalaminya dengan baik.

"Untungnya, hadir ke kelas membuat kuih ini kita memperoleh pelbagai teknik dan ilmu berguna yang tidak dapat dimiliki jika hanya belajar menerusi Internet.

"Kini, saya dapat belajar banyak teknik kerana kadangkala ada yang kita lihat sesetengah kuih itu disediakan dengan mudah saja tetapi sebaliknya.

"Jika kita tidak belajar daripada orang yang mahir, pasti kuih dihasilkan tidak akan menjadi seperti diinginkan," katanya.

Tambahnya, dia menghadiri pelbagai jenis kelas membuat kuih dan lauk-pauk atas tujuan komersial.

Ini bagi memantapkan lagi kemahiran dimiliki, apatah lagi dia juga berhasrat untuk membuka perniagaan bagi mengisi masa lapang.

Perkara yang menaikkan semangatnya untuk terus belajar kerana ada rakan yang sudah menempah walaupun dia baru saja tamat menghadiri kursus.

"Selain itu, saya juga belajar membuat kuih untuk menghidangkan anak-anak dengan sajian menarik, unik dan enak.

"Malah hasil pembelajaran, saya juga mampu membuat sendiri hantaran perkahwinan anak. Ia memberi kepuasan kepada diri sendiri apabila hasilnya menjadi," katanya.

Tambah meyakinkan apabila anak dan suaminya turut menyokongnya mengikuti kelas berkenaan bagi menambah pengetahuan diri sendiri selain menjana pendapatan sampingan.

Tidak mempunyai asas dalam pembuatan kuih dan kek membuatkan Zurida kekal dengan keputusannya untuk mengikuti seberapa banyak kelas yang boleh bagi memantapkan lagi kemahiran.

Memasuki usia emas juga membuatkan dia letih untuk keluar bertemu pelanggan. Ini sekali gus mendorongnya memasang impian menjalankan perniagaan kek atau kuih di rumah saja.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/29

Cabaran jaga anak istimewa

Posted: 29 Jul 2013 08:32 AM PDT

Anak adalah anugerah yang diamanahkan kepada suami isteri untuk dijaga dengan sebaik mungkin. Walaupun ia tidak sempurna dan dikategorikan sebagai anak istimewa, ibu bapa tidak seharusnya mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap amanah itu.

Walaupun memiliki anak istimewa, si kecil tidak berdosa itu juga mempunyai minat masing-masing.

Presiden Pusat Jagaan Kanak-Kanak Kurang Upaya Kirtarsh, Manivannan berkata, kanak-kanak istimewa itu tidak seharusnya diabaikan kerana mereka sebenarnya bijak jika ibu bapa tahu bakat dimiliki anak mereka.

"Ada ibu bapa yang tidak mahu ambil berat mengenai anak mereka selepas dihantar ke pusat jagaan ini walaupun saya dapati ada sesetengah mereka mempunyai pemikiran yang baik.


"Saya sering mengingatkan ibu bapa agar melayan anak bermasalah ini dengan baik seperti kanak-kanak normal walaupun bukan dijaga oleh mereka," katanya.


Tambahnya, banyak cabaran harus dihadapi dirinya dan penjaga pusat kebajikan berkenaan apabila ada anak istimewa yang dihantar sudah remaja berusia 15 atau 20 tahun untuk menjalani latihan mengurus diri.

Malah, ada juga penghuni yang mempunyai masalah buta dan sawan yang memerlukan penjagaan rapi bagi memastikan mereka sentiasa berkeadaan baik.

Selain itu, perbelanjaan yang besar membuatkan dia terus berusaha mengumpul dana walaupun ada masyarakat yang menganggap lokasi jauh sebagai alasan untuk menghulurkan bantuan.

Seramai 55 penghuni memerlukan pelbagai keperluan seperti lampin pakai buang, beras dan pembersih setiap hari.

Justeru, sumbangan yang diberikan sedikit sebanyak membantu meringankan beban pusat kebajikan terbabit untuk memenuhi keperluan penghuninya.

"Setiap bulan kami memerlukan perbelanjaan sebanyak RM25,000 tetapi kami hanya menerima RM2,000 hasil bayaran daripada ahli keluarga penghuni untuk menjaga mereka walaupun sebenarnya ia tidak mencukupi.

"Penghuni yang diterima pula dari seluruh negara berusia antara lima hingga 90 tahun. Kami bukan hanya menerima kanak-kanak yang memiliki masalah pembelajaran, tetapi anak normal yang tidak mempunyai identiti diri dan warga emas sakit kronik," katanya ketika ditemui pada karnival mini anjuran L'Oreal Malaysia, baru-baru ini.

Sementara itu, menurut Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif L'Oreal, Jean-Paul Agon, kempen tahunan yang diadakan kali keempat itu dianjurkan sebagai memenuhi tanggung-jawab korporat jenama berkenaan.

"Karnival mini ini sebagai usaha untuk menanamkan semangat membantu dalam kalangan kakitangan dengan menjalankan pelbagai aktiviti menarik bersama kanak-kanak istimewa.

"Ia hari untuk berkongsi kegembiraan dan mengumpul dana yang boleh memberi kesan positif kepada masyarakat sekeliling walaupun ia hanya membabitkan kakitangan jenama ini," katanya.

Tambahnya, tahun ini ia membabitkan lebih daripada 20,000 kakitangan di 60 negara sepanjang Julai ini.

Selain membantu melancarkan program pada hari berkenaan, kakitangan
bertugas turut menderma bagi mengumpul dana untuk diberikan kepada dua
rumah kebajikan yang diraikan.

Dua pertubuhan berkenaan adalah Pusat Jagaan Kanak-Kanak Kurang Upaya Kirtarsh dan Pusat Penjagaan Kanak-Kanak Cacat Taman Megah yang diraikan dengan pelbagai aktiviti menyeronokkan.

Seramai 76 kanak-kanak istimewa kebanyakannya anak yang ditinggalkan ibu bapa terdiri daripada anak yatim, sindrom Down, autisme serta masalah pembelajaran.

Bertempat di The Club Golf & Country Club, Bandar Utama, acara dimulakan pada jam 9 pagi hingga 2 petang yang dipenuhi dengan sorak tawa peserta yang menyertai permainan.

Menerusi karnival mini yang dianjurkan jenama berkenaan, sebanyak RM15,000 disumbangkan kepada dua badan kebajikan itu untuk membeli keperluan ubat-ubatan penghuninya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/29
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved