Sabtu, 13 Julai 2013

Harian Metro: Rap


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Kejutan suami & Fasha 'menjadi'

Posted: 12 Jul 2013 08:40 AM PDT

Pernah sekali jiwanya gundah gulana memikirkan pengalaman melahirkan bayi sulungnya ini. Meskipun tebal rasa gembira dan syukur namun sukar bagi si empunya senyuman manis ini mengenepikan perasaan gusar itu.

Bagaimanapun benar yang apa saja direncana oleh takdir itu indah. Apa yang sudah terbentang disuratkan buatnya sepanjang sembilan bulan mengandung adalah pengalaman terindah.

Jelas dramatis Izreen Azminda Aznam berkali-kali, dirinya tidak sekali diberikan kepayahan sebaliknya dilayan bagai "mem" besar oleh suaminya.

"Alhamdulillah saya bersyukur dengan segala ketentuan ini. Kehamilan ini memberikan saya seribu pengalaman manis yang tiada kata mampu diterjemah. Mujur tiada alahan ataupun ragam serius, cuma saya lekas letih dan mengah jika berlebihan kerja.

Foto

IZREEN diraikan oleh teman dan kru produksi drama Tentang Hati.

Foto

Izreen & Riza


"Pejam celik sudah tiba di penghujung. Saya dan suami sendiri tidak puas melalui saat indah sepanjang sarat ini kerana sebalik realitinya terlihat yang saya makin berisi dan mudah penat, hamil membuatkan kami berdua bertambah mesra dan romantis.


"Syukur saya diberikan suami yang sangat penyayang, memahami dan terima saya seadanya. Riza banyak membantu saya termasuk masak dan menyediakan kelengkapan bayi. Malah dia begitu rajin dalam melakukan semua kerja rumah.

"Namun tidaklah saya tersandar rehat sepanjang masa kerana semua kerja rumah dan masak masih saya buat sendiri jika suami keluar bekerja. Malah hingga ke saat akhir seperti ini saya masih memandu sendiri.

"Paling kelakar mampu saya ceritakan adalah proses kehamilan ini membuatkan saya lebih feminin berbanding zaman anak dara dulu. Maklumlah saya jenis 'tomboy' dan lasak. Kini belum pun lahir anak kami ini, saya sudah merasakan jiwa keibuan ini.

"Inilah yang dikatakan ikatan sebuah perkahwinan dan kami berdua gembira menanti cahaya mata ini," katanya kali terakhir berlakon pada bulan Mei lalu menerusi drama yang bakal ditayangkan Aidilfitri ini berjudul Barakah.

Izreen ditemui di majlis kejutan meraikannya sebelum bergelar ibu yang dianjurkan teman juga aktres terkenal, Fasha Sandha di Restoran Bora Ombak, Ampang.

Hadir polos tanpa secalit mekap dengan penampilan santai petang itu, dramatis terkenal ini bagaimanapun berasa terharu dengan ingatan teman-teman terutamanya Fasha yang merancang majlis untuknya.

"Jujurnya saya begitu terkejut dan merasakan diri cukup bertuah kerana dihargai sebegini. Saya juga berterima kasih kepada Fasha yang sudi merancang majlis ini untuk saya. Ia sesuatu yang sangat indah dan membahagiakan," katanya.

Fasha yang baru saja melangkah ke fasa baru sebagai ibu kini ligat membesarkan putera tunggalnya, Putra Rayfal Ramli meskipun jadual kerjanya padat.

Bintang popular yang baru selesai penggambaran drama Tentang Hati bersama Aaron Aziz itu sengaja mengaturkan majlis istimewa ini buat Izreen kerana dia memahami perasaan seorang ibu yang menghitung hari.

"Saya kenal Izreen sudah lama sejak drama Suteramaya begitu juga suaminya yang sudah banyak kali bekerja dengan saya. Justeru saya ingin sekali meraikan mereka berdua yang saya sifatkan pasangan bahagia dan comel.

"Kebetulan suami Izreen, Riza adalah juru kamera saya untuk drama Tentang Hati ini. Justeru saya menawarkan diri untuk membantunya bagi memberikan kejutan buat isteri tercinta. Saya sendiri pernah diraikan begini dan sudah tentu rasa gembira itu mampu memberikan kebahagiaan buat bakal ibu buat Izreen yang kini melaluinya.

"Saya ingin sekali melihat sebelum Izreen bergelar ibu, dia dapat merasakan dirinya istimewa dan dihargai. Sudah pasti momen ini akan kekal menjadi peristiwa indah dalam dirinya," katanya.

Tiada apa lebih baik untuk diluahkan buat Izreen selain mengharapkan proses kelahiran bayi sulungnya nanti mudah dan sempurna.

"Insya-Allah Izreen akan mudah melahirkan cahaya mata sulungnya ini kerana dia seorang wanita yang lasak dan aktif. Moga anak sulungnya nanti akan sihat dan selamat dilahirkan, ia akan selamanya menjadi saksi kepada kasih sayang kedua ibu bapanya ini," katanya.

Majlis meraikan Izreen petang itu diadakan sempena berbuka puasa dan ia begitu meriah dengan kehadiran kesemua tenaga kerja produksi drama siri Tentang Hati terbitan Global Station Sdn Bhd termasuk pengarahnya dan aktor popular, Aaron Aziz.

Pelakon berbakat besar berusia 28 tahun yang sebelum ini popular menerusi drama Juvana dan Jangan Ambil Padang Kami ini berkahwin dengan pengarah fotografi, Muhamad Riza Baharudin pada Ogos tahun lalu dan belum menjengah usia setahun pelayaran itu, pasangan ini dikhabarkan berita kehamilan dan kini masing-masing menanti penuh debar kehadiran putera sulung mereka yang dijangka lahir pada 27 Julai ini.

Riza lebih teruja!

Bersembang dengan suaminya, Riza, dia sangat teruja untuk menimang cahaya mata bersama Izreen selain mengatakan ia adalah momen luar biasa buat mereka berdua.

Jelasnya yang menyifatkan Izreen adalah segala-galanya untuknya, apa yang penting adalah kesihatan bayi itu nanti dan sudah tentu Izreen selamat melahirkan dengan baik.

"Setiap malam saya bercakap dengan bayi kami walaupun dia masih dalam kandungan. Saya tidak sabar dan terlalu 'excited' untuk menimangnya nanti.

Semua kelengkapan bayi sudah saya sediakan dan tinggal menunggu kehadirannya saja tambahan pula kami sedang menunggu seorang hero. Pasti dia akan menjaga ibunya dan menjadi kawan baik saya nanti," katanya.

Izreen bakal bersalin di hospital pakar Ampang Puteri dan dijadualkan bercuti daripada dunia lakonan hingga habis berpantang dan bersedia untuk kembali ke lokasi penggambaran.

Tambah Riza, dia tidak menghalang atau meletakkan apa-apa syarat buat Izreen sebaliknya menyerahkan semuanya kepada isteri bagi memikirkan mana yang baik.

"Izreen akan ditemani seorang bidan sepanjang tempoh berpantang nanti kerana kami tidak mahu menyusahkan keluarga. Tapi ibu mentua akan datang sesekali menjenguk anak dan cucunya di kediaman kami di sini," katanya yang tidak henti berdoa untuk kesejahteraan Izreen dan kebahagiaan mereka berdua.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/12

Rezeki Huda di sini

Posted: 12 Jul 2013 08:03 AM PDT

Dia, sama saja seperti kebanyakan artis dari Singapura yang datang ke negara ini untuk berkarya dan mengembangkan bakat seni.

Memang tak dapat dinafikan, kalau bercakap mengenai industri hiburan, Malaysia sememangnya lebih aktif serta terbentang luas peluang di sini.

Berbalik kepada subjek cerita, Nurul Huda Ramdzan, 26, selepas menyingkap sejarahnya adalah 10 peserta terbaik musim ketiga Singapore Idol yang dianjurkan pada 2009.

Statusnya itu, menarik perhatian penulis untuk melihat sejauh mana kehebatan vokal gadis itu kerana kita tahu bukan mudah bergelar finalis rancangan Idol itu yang memiliki francais hampir seluruh dunia.


Sesudah melayari Google, satu info yang sangat menarik ditemui. Gadis dilahirkan pada 5 November 1987 dan mesra disapa Huda itu pernah memenangi gelaran 1st Singapore Rihanna menerusi acara dinamakan Singapore Rihanna Competition anjuran 98.7 @ Powerhouse, sekitar Jun 2007.


Sejak itu, terbit keyakinan di hati Huda untuk melangkah serius dalam bidang nyanyian di mana dua tahun kemudian dia memberanikan diri menyertai Singapore Idol dan diterima selaku finalis.

"Bermula daripada pertandingan itu, saya terus mendapat peluang sehingga ke hari ini. Malah, hasrat untuk datang ke Malaysia sudah lama saya simpan sejak tamat pertandingan itu lagi. Namun, ketika itu saya masih muda selain tidak punya kenalan di Malaysia yang kenal rapat orang-orang industri.

"Bagaimana akhirnya saya boleh ke sini, semuanya disebab–kan sebuah video saya menyanyi di Esplanade di muat turun ke dalam Youtube oleh seorang kenalan.

"Saya menyanyikan lagu lama dipopularkan oleh Lynn Anderson iaitu Rose Garden. Kemudian tidak beberapa lama, saya mendapat panggilan dan diminta datang ke Malaysia untuk uji bakat dengan label Hikayat Records.

"Saya melihat ia peluang yang sangat baik tambahan saya sudah lama memasang angan-angan untuk memasuki pasaran Malaysia. Setibanya di Hikayat Studio di Kuala Lumpur, saya diminta menyanyi dan ada juga 'sesi jamming' sewaktu uji bakat itu.

"Santai saja cara uji bakatnya dan selesai semua permintaan dilakukan, mereka terus memaklumkan mahu me–ngambil saya sebagai artis rakaman. Semua ini berlaku sekitar November 2012 yang lalu," katanya.

Proses rakaman album pertamanya sudah pun dijalankan dan setakat ini sebanyak lima lagu selesai dirakam. Bagaimanapun penerbit albumnya, Kunci Demak mahu Huda merakamkan sebanyak lagu sebelum memilih karya terbaik untuk dimuatkan menerusi album pertamanya kelak.

"Bagaimanapun untuk single pertama, saya mempertaruhkan lagu ciptaan sendiri iaitu Jiwa Kacau. Saya menulisnya bukan tatkala jiwa kacau, kerana kalau saya berkarya ketika jiwa kacau, saya pasti tidak boleh mencipta lagu ini.

"Lagu ini 'mood'nya ceria. Selain itu ia membawakan mesej dan nasihat, biar putus cinta sehebat manapun kita tidak perlu terlalu bersedih kerana kita harus percaya ada hikmah di sebalik kejadian," katanya persis wajah penyampai Hot FM, Chad.

Satu pencapaian juga bagi pendatang baru sepertinya apabila tiga lagu dendangan Huda iaitu Hati Berbisik, Damai termasuk duet bersama Nashrin My Starz LG khabarnya terpilih sebagai 'sountrack' salah sebuah terbitan filem, terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd.

Bercerita mengenai aliran muzik pilihannya, Huda lebih cenderung kepada nuansa jazz serta menggemari lagu-lagu lama khususnya nyanyian daripada Tony Bennett.

"Memenuhi apa yang pasaran inginkan membuatkan saya pening kerana umum adalah pembeli. Untuk kebaikan kerjaya, saya terbuka untuk mempelajari sesuatu yang baru dan diharapkan kehadiran saya dapat diterima.

"Saya menjadikan artis Singapura yang berjaya di negara ini sebagai contoh dan sumber inspirasi. Aaron Aziz misalnya, apa yang dikecapinya tidak diraih dengan mudah.

"Dia merangkak-rangkak membina kerjaya lakonannya di sini. Saya sedar mungkin saya juga bakal melalui laluan sukar seperti keba–nyakan artis senegara dengan saya tetapi saya sudah bersedia untuk menghadapinya. Malah berharap masyarakat di Malaysia menerima kehadiran saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/12
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved