Selasa, 9 Julai 2013

Harian Metro: Rap


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Sarah GM2: 'Saya tak jangka menang'

Posted: 08 Jul 2013 07:53 AM PDT

Keyakinan dan jati diri tinggi serta persembahan konsis­ten sepanjang minggu ternyata memberi kele­bihan kepada peserta dari Ampang, Selangor, Nur Sarah Marie Hildebrand Asyraf, 22, dinobatkan sebagai juara pada malam kemun­cak program pencarian selebriti terunggul Gadis Muka Dua (GM2) yang bersiaran di saluran Astro Ria 104, malam Ahad lalu.

Selepas lima minggu mengharungi cabaran ternyata tuah menyebelahi gadis kacukan Melayu-Jerman-Amerika Syarikat itu sekali gus berjaya menawan hati barisan juri untuk dipilih sebagai pemenang dan mengetepikan empat lagi finalis lain.

Dengan kemenangan itu, Sarah yang mendapat markah tertinggi sebanyak 135.1 markah membawa pulang kontrak pengurusan bernilai RM100,000, dua tiket penerbangan ke Paris tajaan AirFrance, barangan Rafflesia bernilai RM30,000 dan tajaan pembiayaan bernilai RM20,000 dari Snips Art Academy serta menghiasi enam muka surat majalah InTrend.

Secara peribadi, Sarah yang kelihatan sebak pada malam itu mengakui dia memang tidak menjangka kemenangannya pada malam itu.

Foto

SARAH gadis kacukan Melayu-Jerman-Amerika Syarikat.

Foto

FINALIS muncul dengan gaya 'avant garde'.

Foto

PEMENANG tempat kedua, She.

Foto

LIA terpaksa puas hati di tempat ketiga.

Foto

SEMPAT pose dengan 'Big Sister', Dynas Mokhtar ketika majlis 'Amazing Red, Kurung, Kebaya & Hijab', baru-baru ini.


"Terus terang, semua finalis GM2 musim pertama ini memiliki kelebihan masing-masing dan peserta yang paling memberikan saingan yang sengit pada saya sudah pasti She yang turut menyerlah sepanjang minggu. Namun, saya bersyukur kerana kemenangan akhirnya berpihak pada saya.


"Saya juga akan menjadikan GM2 sebagai platform untuk mengembang­kan bakat dalam bidang lakonan ataupun pengacaraan selepas ini. Namun, janganlah menilai saya dari segi wajah kacukan saja tetapi biarlah ia seiring dengan bakat dipertaruhkan," katanya.

Pada malam yang cukup bermakna itu, Sarah turut menerima kejutan apabila ibunya Che Arbi Hashim, 60, muncul di pentas untuk sama-sama berkongsi saat-saat manis kemenangan­nya itu.

"Saya juga memakai 'skirt' yang dihadiahkan emak untuk digayakan pada malam kemuncak ini. Soal hadiah percutian pula, sudah pasti saya akan membawa emak untuk bersama-sama menikmati percutian ke Paris nanti.

"Selain itu, saya juga merancang untuk meng­gunakan biasiwa Snips sepenuhnya sebagai persediaan lengkap untuk menceburi bidang seni tanah air selepas ini," katanya.

Peserta dari Subang Jaya, Selangor, Siti Nursyahirah Nabila, 23, atau She yang mendapat markah sebanyak 134.5 markah nampaknya terpaksa berpuas hati de­ngan sekadar menduduki tempat kedua GM2 serta membawa pulang barangan Rafflesia bernilai RM20,000.

Walaupun kalah tipis pada Sarah, She tidak kecewa dengan kekalahannya itu sebaliknya akur dengan keputusan barisan juri berkenaan.

Walaupun kalah tipis saya harap semua orang nampak bakat saya kerana selain modeling saya juga boleh berlakon dan mengacara.

"Saya sudah menjang­ka Sarah menang dan ia memang rezekinya. Pada masa sama, saya juga baru habis bengkel sehari bersama Pak Nil. Apapun, saya harap ade peluang untuk menceburi bidang seni selepas ini." katanya.

Peserta dari Tawau, Sabah, Alia Afiqah Abden (Lia) 21 (108.95 markah), pula menduduki tempat ketiga dan turut membawa pulang barangan Rafflesia bernilai RM10,000.

Manakala, dua lagi peserta Top 5 GM2 iaitu Atira Remimurni Mohamed Ali (Tyra) 21 (107.75 peratus) dari Setapak, Kuala Lumpur sekadar berpuas hati dengan tempat keempat dan Nur Afiqah Mohd Azmi (Fify), 22 (103.05) dari Subang Jaya, Selangor pula tempat kelima. Keputusan barisan pemenang GM2 pada malam itu diumumkan pe­ngacara, Awal Ashaari.

Sarah miliki ciri-ciri GM2

Setiap juri memiliki pendapat dan peserta pilihan masing-masing untuk di nobatkan sebagai pemenang. Itulah yang dapat disaksikan bila barisan juri tetap, Datin Sofia Jane, Zaihani Zain serta juri jemputan, Bill Bora bila diminta memberi komen persembahan peserta membabitkan dua cabaran akhir GM2 iaitu bertemakan 'avant garde' dan 'tergantung' berlatar belakang bangunan KLCC serta memperagakan busana rekaan pereka terkenal, Azura Azwa sempena ma­j­­lis bertemakan 'Amazing Red, kurung, kebaya & hijab' yang berlangsung di The Weld, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Meskipun ada pertelagahan pendapat antara Bill dan Zaihani, namun, masing-masing tetap sepakat memilih Sarah sebagai juara GM2 musim pertama ini.

Mengulas kemenangan Sarah, Bill berkata, berbanding peserta lain, Sarah memang memiliki ciri-ciri yang dicari dalam program GM2 iaitu pakej lengkap untuk diketengahkan dalam bidang seni.

"Bukan saja tampil yakin ketika cabaran akhir di pentas 'catwalk' dan ketika 'tergantung untuk tema avant garde', dia juga memiliki pakej lengkap untuk bergelar aktres terkenal satu hari nanti.

"She juga memiliki pakej dan kelebihan yang tiada pada peserta lain. Saya nampak She lebih ke arah bidang peragaan dengan ketinggian dan wajah fotogenik serta mampu menjadi model terkenal satu hari nanti," katanya.

Pada malam kemuncak GM2, semua peserta Top 5 mendapat sentuhan tata rias tajaan Snips. Selepas lima minggu melalui pelbagai cabaran dari segi solekan, fesyen, peragaan, Cover Girl dan lakonan, peserta tampil lebih anggun dan bersedia untuk meletakkan diri mereka sebaris dengan golongan seleb­riti di luar sana.

Rancangan terbitan I Like Entertainment Sdn Bhd anak syarikat Kumpulan Sedania ini menjanjikan satu kelainan konsep realiti TV dengan mencari artis yang bukan saja memiliki rupa paras yang cantik tetapi pelbagai kebolehan untuk diketengahkan dalam bidang seni.

Ia turut mendapat penajaan lokasi dari Pusat Konvensyen SP Setia dan Local Sim Kad.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/08

Shila 'radio bergerak'

Posted: 08 Jul 2013 07:07 AM PDT

Siri pertama Jejak Bintang, semalam menceritakan kisah Shila Amzah yang hampir menemui ajal ketika baru berusia dua minggu akibat demam selsema dan sesak nafas seperti diceritakan bapanya yang juga penyanyi, pelakon dan pengacara, Amir Amzah Salleh, 51, atau ND Lala dan ibunya, Fauziah Sarman, 44.

Hari ini, menerusi siri kedua kita dekati pula sahabat baiknya, Siti Munirah Abdul Ghani, 23, sejak mereka di tingkatan empat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Setapak Indah, Kuala Lumpur.

Penulis dan jurugambar tiba lewat 20 minit di pusat beli belah Pavilion, Kuala Lumpur yang menjadi lokasi pertemuan dengan Siti Munirah atau mesra disapa Qira pada petang Khamis lalu.

Ini berlaku selepas kami 'sesat' ketika mencari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Lee Rubber di Jalan Gombak yang juga sekolah pertama Shila Amzah ketika tahun satu dan dua.

Foto

BERSAMA sahabat karib sejak tingkatan empat, Siti Munirah Abdul Ghani atau Qira.

Foto

SHILA (berdiri tengah, tujuh dari kanan) ketika di tingkatan empat SMK Setapak Indah.

Foto

SMK Setapak Indah yang menjadi sekolah Shila belajar.

Foto

SEKOLAH Jenis Kebangsaan Cina Lee Rubber di Jalan Gombak, tempat Shila belajar ketika di tahun satu dan dua.


Pavilion dipilih sebagai lokasi temubual kerana di situlah 'port' kegemaran Shila untuk membeli-belah. Berbalik pada zaman persekolahan, Qira dan Shila bersahabat baik sejak tingkatan empat hingga sekarang meskipun kebelakangan ini jarak bagaikan memisahkan mereka. Namun, ia tidak pernah mengehadkan perbualan dua sahabat itu yang sering berhubung melalui medium komunikasi yang ada.


"Siapa tidak kenal Shila di sekolah. Dia sudah terkenal sejak kecil lagi, lebih-lebih lagi perwatakannya gila-gila, sangat 'sempoi' dan 'low profile'. Dia tak pernah menganggap dirinya artis dan disebabkan itulah semua orang selesa dengan dia," kata Qira membuka bicara.

Menyambung perbualan, Qira berkata, dia dan Shila berada di kelas berbeza ketika tingkatan satu hingga tiga. Bagaimanapun, mereka menjadi sahabat baik ketika di tingkatan empat dan lima apabila ditempatkan dalam kelas prinsip akaun, Utarid.

"Walaupun bersekolah ketika itu, Shila sudah aktif menyanyi dan saya sendiri selalu menemaninya membuat persembahan. Boleh dikatakan saya adalah pembantu peribadi tak rasmi Shila.

"Kami selesa bersama kerana walaupun saya datang dari keluarga susah, dia tidak pernah memandang semua itu kerana katanya dia juga pernah merasai kesusahan hidup," katanya.

Menyingkap kembali memori Shila di sekolah, menurut Qira, dia seorang bijak, tetapi nakal, namun seorang yang cepat 'pick up'. Soalan diberikan guru biasanya Shila dapat menjawab dengan baik.

"Bagi subjek Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan Matematik, dia memang menjadi buah hati guru. Tetapi subjek paling dia tidak minat ialah Sejarah.

Setiap kali guru Sejarah masuk, dia akan menyanyi sampaikan semua pelajar dalam kelas memanggilnya sebagai 'radio bergerak!'

"Saya pula sukakan Sejarah, tetapi lemah dalam Bahasa Inggeris. Jadi, kami saling meniru kerja masing-masing dan itu saya kira antara kenakalan zaman sekolah yang pernah kami buat.

"Apapun, dalam pada dia tidak menyukai Sejarah, pengetahuan am Shila sangat bagus mungkin kerana bapanya sering mendedahkan dan bercerita kepada berhubung perkembangan isu semasa.

"Bukan itu saja, jika terasa bosan kami minta dia menyanyi. Dia seorang yang gila-gila dan sikapnya itu membawa keceriaan kepada kami semua," katanya.

Shila banyak ubah Qira

Sejak mengenali Shila, Qira mengakui sahabat baiknya itu banyak mengubahnya untuk menjadi gadis yang lebih feminin.

"Dia menyolek wajah saya dan memberi saya pakaiannya serta membuat 'facial' untuk wajah saya. Malah, Shila juga mengajar saya untuk mengenali 'cinta monyet' dengan seorang pelajar lelaki di sekolah kami," katanya tersenyum.

Menurutnya, Shila juga menjadikannya seorang yang lebih positif sekali gus melupakan masalah keluarganya.

"Ada satu lagi perkara yang sangat manis Shila lakukan di mana dia menghadiahkan saya satu 'teddy bear' sempena ulang tahun kelahiran saya yang ke-16, pada 1 Ogos 2006 iaitu 13 hari lebih awal daripada ulang tahun Shila.

"Pemberian itu cukup bermakna kepada saya kerana itulah hadiah pertama saya dapat sempena ulang tahun saya. Sebelum ni saya tidak pernah menerima hadiah daripada sesiapa pun," kata Qira yang berbintang Leo sama seperti Shila.

Ditanya pernahkah Qira menjangkakan nama Shila akan menjadi sebesar ini dan jawapannya cukup ringkas iaitu ringkas jawapannya 'sangat percaya'.

"Semasa kami tingkatan empat, saya pernah cakap, 'Satu hari awak akan jadi sehebat Datuk Siti Nurhaliza, apapun menjaga tingkah laku awak seperti sekarang ini adalah yang terbaik. Kekal merendah diri.

"Nah! Sekarang sudah terbukti. Kalau ikutkan Shila juga terkejut dengan perubahan hidup yang dilaluinya sekarang," katanya yang mahu bercuti ke Shanghai, China selama dua minggu dengan Shila.

ESOK: Hanya 40 minit rakam sebuah lagu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/08
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved