TABIR 2013 terus dibuka bersama sebuah karya bergenre seram daripada Metrowealth Movies Productions (MMP) untuk mengisi pawagam tempatan. Filem itu, Minyak Dagu arahan Azhari Zain mempertaruhkan tiga nama yang sudah terbukti lakonan mereka iaitu Yana Samsudin, Fezrul Khan dan Fizo Omar.
Yana atau nama sebenarnya, Norliana Samsudin, 26, yang memegang watak sebagai Emelda berkata, banyak pengalaman mencabar dan menakutkan ketika terbabit dalam penggambaran Minyak Dagu di sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya pada 2011.
"Saya tertarik untuk berlakon dalam filem ini kerana ia ada kelainan pada jalan cerita dan watak saya. Ia lebih agresif berbanding yang pernah saya lakukan sebelum ini.
"Ia berkisar mengenai amalan mistik iaitu perbuatan mengambil minyak dagu daripada mayat wanita yang meninggal dunia ketika melahirkan anak untuk dijadikan ubat guna-guna.
"Antara babak yang membuatkan saya trauma sekejap adalah ulat-ulat kecil kena diletakkan pada muka saya. Saya memang takut dan geli sampai menangis semata-mata menjayakan babak itu.
"Babak lain yang turut mencabar saya ialah ketika Emelda berlari ke satu kubur lama, mencakar dan mengorek-ngorek tanah kubur itu sambil menangis. Bayangkanlah bagaimana saya kena buat benda yang selama ini tidak pernah saya terfikir untuk melakukannya dan babak di kubur lama itu dibuat dari sebelah malam sampai ke subuh," katanya.
Sebelum ini, pelakon kelahiran Yong Peng, Johor ini pernah beraksi dalam filem seram Histeria arahan James Lee terbitan Tayangan Unggul pada 2009 selain telemovie Kubur Tak Bertanda dalam slot Astro Citra sebelum ini.
Menyentuh gandingannya dengan Fezrul, Yana yang cukup dikenali menerusi wataknya sebagai Wawa dalam filem Adnan Sempit akui ada keserasian antara mereka sepanjang bekerjasama dalam filem itu.
"Kami sudah banyak kali digandingkan dalam drama dan kami tiada masalah untuk digandingkan dalam filem ini. Terbaru, kami dipertemukan lagi dalam filem komedi Bini-Biniku Gangster. Justeru, saya tidak berasa kekok membawa watak Emelda yang juga tunang kepada Azman lakonan Fezrul dalam Minyak Dagu.
"Begitu juga gandingan dengan Fizo yang membawa watak Johan yang juga bekas teman lelaki Emelda. Masing-masing berusaha memberikan yang terbaik seperti dikehendaki Azhari. Saya juga selesa bekerja dengan Azhari kerana kami pernah bekerja dalam projek Tarian Melayu Terakhir," kata Yana.
Bagi Fezrul yang pernah berlakon dalam drama Santau Merasuk dan Sumpahan Kum Kum pula, wataknya sebagai jurujual iaitu Azman dalam filem Minyak Dagu juga memberi cabaran tersendiri.
"Apa yang mencabar, dia juga perlu menjiwai watak Azman yang panas baran dan berdepan dengan tekanan kerja sebagai jurujual.
"Azman sudah bertunang dengan Emelda dan sangat menyayanginya tetapi dia tidak berusaha merebut hati keluarga tunangnya itu.
"Sebagai pelakon, saya juga buat kajian mendalam mengenai watak Azman dan perkara berkaitan minyak dagu yang dikatakan diambil daripada wanita yang mati beranak," katanya.
Pelakon kacak yang dikenali menerusi drama Jelatang ini mengakui, dia sudah lama ingin bergandingan dengan Yana dan akhirnya ia tercapai dalam filem ini. Saya juga serasi berlakon dengan Yana kerana dia sangat profesional ketika di lokasi.
"Saya juga pernah bekerja dengan Azhari dalam Santau Merasuk dan sebagai pengarah, dia banyak membimbing pelakon dalam menjiwai watak masing-masing. Pada masa sama, Azhari tahu apa yang dikehendakinya dalam karya dihasilkan," katanya.
Fezrul yang mengikat kontrak dua tahun bersama MIG turut bersyukur kerana tidak mengalami sebarang gangguan ketika di lokasi penggambaran filem seram itu.
"Cuma seorang kru saja yang kena kacau ketika di lokasi. Bayangkan kru yang bertubuh besar dan sedang bercakap tiba-tiba jatuh pengsan. Selepas tersedar, dia memberitahu kami dia berasa seperti kena tumbuk oleh seseorang," katanya.
Bagaimanapun, kata Fezrul yang lebih sedekad berlakon, dia mengaku dirinya bukanlah penggemar genre seram sejak dulu.
"Terus terang, saya memang seorang yang penakut. Justeru sebelum memulakan penggambaran, saya akan membaca ayat-ayat suci al-Quran terlebih dulu.
"Bukan saja penakut malah imunisasi badan saya juga agak lemah dan mudah jatuh sakit gara-gara terbabit dengan kecederaan serius sebelum ini.
"Selain itu, saya juga takut berada dalam gelap kerana ada pengalaman menakutkan ketika saya terbabit dalam penggambaran di Kelantan dulu.
"Saya masih ingat lagi, ketika terjaga jam 3 pagi, tiba-tiba pintu terbuka dengan sendirinya. Kejadian itu terus menghantui saya sampai sekarang," katanya yang turut berlakon dalam Malam Keliwon dan Tarik Duit.
Filem Minyak Dagu menceritakan mengenai Azman, seorang jurujual yang berdendam dengan bekas tunangnya Emelda selepas gadis itu memutuskan ikatan pertunangan mereka. Ia disebabkan Emelda mengikut nasihat ibu bapanya yang lebih sukakan Doktor Johan sebagai calon suaminya.
Barisan pelakon lain yang menjayakan filem ini termasuklah Maimon Mutalib, Mior Hashim Manap, Kartina Aziz, Zul Suphian dan Wan Hanafi Su. Minyak Dagu akan ditayangkan mulai esok di pawagam berdekatan anda.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/01