Harian Metro: Hati |
Posted: Dia mengambil masa beberapa bulan sebelum benar-benar dapat menyesuaikan diri mengajar di sekolah pendidikan khas. Walaupun pernah tiga kali menjalani latihan amali di beberapa sekolah sepanjang tempoh lima tahun setengah menuntut di Institut Perguruan Ilmu Khas, Cheras, Kuala Lumpur, cabaran yang digalas kini terasa amat berbeza buat Nurliana Hassan, 27. "Ramai yang beranggapan profesion sebagai se-orang guru itu kerjanya mudah. Namun hakikatnya, ia memerlukan kekuatan diri dari segi mental dan fizikal apatah lagi perkembangan dunia pendidikan masa kini yang penuh cabaran. "Percayalah, ia tidak semudah seperti yang disangka kerana kami juga mengharungi seribu satu kesenangan dan kesulitan ketika mengajar pelajar terutama anak-anak istimewa di dalam kelas pendidikan khas. Nurliana Hassan
Mengajar bersama se-orang lagi guru, mereka turut mempunyai seorang pembantu yang akan mengurus keperluan pelajar seperti ketika mereka mahu makan atau pergi ke tandas. Tidak mahu menipu, di awal tempoh kerjayanya, dia pernah mengeluh dengan kerenah pelajar tetapi tidak mahu cepat mengalah kerana ia satu tanggungjawab Baginya, merungut bukanlah satu penyelesaian terbaik dan menyalahkan orang lain juga bukan jawapan paling bagus. Tidak ramai yang sanggup memilih subjek ini apatah lagi bagi guru muda dan belum berkahwin. "Jujurnya, hasrat saya mahu mengajar subjek matematik atau Bahasa Inggeris tetapi hasrat itu tidak ke-sampaian dan saya menjadi guru di sekolah pendidikan khas. "Bagaimanapun, saya tetap gembira dengan peluang yang diberikan kerana saya mempunyai ilmu baru dan lain daripada guru biasa iaitu memahami bahasa isyarat. "Selain itu, saya juga harus mengetahui bahasa tubuh pelajar kerana ramai antara mereka yang kurang fasih bertutur," jelasnya. Untuk memastikan semua pelajarnya menumpukan perhatian dengan pembelajaran yang sedang berlangsung juga menjadi dugaan terbesar buat Nurliana. Ini kerana, kebanyakan daripada mereka tidak tahu duduk diam, berkhayal dan suka bercakap. Justeru, pendekatan memujuk dan mengajar mereka satu persatu diambil oleh Nurliana agar anak muridnya tidak tercicir. Program Pendidikan Khas adalah tempat untuk anak istimewa menimba ilmu yang mana guru memberi perkhidmatan dan sumbangan dalam bentuk bimbingan, nasihat, tunjuk ajar, pengajaran dan pembelajaran. Oleh kerana itu, Nurliana sedar dan bersungguh-sungguh memberikan perkhidmatan sebaiknya. Wajar difahami, masyarakat khususnya ibu bapa meletakkan harapan tinggi dalam perkembangan anak istimewa. Bagaimanapun, terdetik di hati Nurliana bahawa tugas mendidik dan mengajar mereka bukan 100 peratus jatuh ke tangan seorang insan bergelar guru. "Memang tugas warga pendidik mengajar pelajar tetapi saya percaya pendidikan bermula dari rumah. Kami mengajar dan membantu mereka sekadar yang mampu tetapi ibu bapa juga seharusnya memainkan peranan penting. "Sekiranya di rumah, anak perlu dilatih sebagaimana mereka boleh mengawal diri di sekolah dan bukannya dibiarkan saja tanpa sebarang perhatian. "Jika mereka sudah terbiasa dengan pengabaian atau sikap sambil lewa ibu bapa ketika mereka memberontak, merengek mahupun melakukan sesuatu aktiviti, tidak mustahil ia menjadi sebati di dalam diri anak," katanya yang baru mendirikan rumah tangga bersama pasangannya, Mohd Faisal Samian, tiga minggu lalu. Mendapat sokongan padu daripada keluarga tercinta terutama ibu bapanya iaitu Roziah Sulaiman, 50, dan Hassan Siraj, 52, Nurliana tetap percaya dengan niat yang betul berbekalkan semangat dan kesungguhannya dalam usaha mendidik anak-anak terpilih ini, jalannya pasti dipermudahkan oleh Tuhan. Selain kesibukan mengajar di sekolah, Nurliana juga mampu membahagikan masa dengan baik meneruskan minatnya terhadap bidang fesyen. Suka berpenampilan cantik dan menarik, dia serius berniaga secara dalam talian sejak tiga tahun lalu. Walaupun suka berniaga, ia tidak menjejaskan tumpuannya sebagai guru. Tugas mendidik tetap diutamakan kerana ia adalah cinta pertamanya yang mahu berbakti kepada bangsa dan negara. Oleh itu, Nurliana menjadikan perniagaan dalam talian sebagai mata pencarian sampingan tanpa menjejaskan tumpuan untuk menggalas tanggungjawab mulia mendidik anak bangsa. Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/28 |
Posted: 'Hendak cantik, sakit pun tidak mengapa' - ungkapan klise yang sering kita dengari terutama apabila membabitkan proses rawatan untuk mengekalkan awet muda wajah dan tubuh badan. Mungkin ada kebenarananya di sebalik ungkapan ini. Begitu juga yang penulis rasai apabila berkunjung ke Jemari Spa & Beauty House baru-baru ini.
Pakej rawatan terapi penggelek jarum mikro kali ini menarik perhatian penulis. Bentuknya seperti penggelek tangan yang dilengkapi jarum kecil mengikut saiz, bertujuan melukakan kawasan kulit bermasalah.
Malah, ia dikatakan berkesan bagi menghilangkan kesan parut serta pigmentasi pada kulit. Caranya dengan melayangkan penggelek berkenaan pada bahagian bermasalah secara perlahan-lahan berulang kali. "Kaedah ini banyak membantu wanita mengurangkan masalah kedutan pada kulit serta memperbaiki tekstur kulit secara menyeluruh. "Ia juga boleh digunakan untuk membantu menghilangkan kesan regangan kulit, bukaan liang pori yang besar serta penuaan kulit," katanya. Jika saiz jarum digunakan kecil antara 0.07 milimeter, kulit wajah akan kelihatan kemerah-merahan apabila dilayangkan penggelek berkenaan manakala makin besar saiz jarum digunakan kulit akan mengalami kesan luka. "Kebiasaannya kami tidak menggunakan jarum yang besar kerana kaedah ini juga perlu disesuaikan dengan keadaan kulit wanita Asia. "Jarum paling besar pernah digunakan mempunyai bersaiz 1.5 milimeter, namun proses terbabit akan menyebabkan rasa sakit, kulit luka dan berdarah," katanya ketika ditemui di cawangan butik kecantikannya di Jalan 4/6B Pandan Indah, Kuala Lumpur. Apabila kulit asal dilukakan, proses penyembuhan yang berlaku menyebabkan peningkatan kolagen dan mempercepatkan pertumbuhan sel kulit baru. Disebabkan proses rawatan terbabit membabitkan kesan luka dan darah pada kulit, bagi memastikan kebersihan jarum digunakan, setiap pelanggan memperoleh penggelek jarum mikro berbeza. Malah, ia akan disteril terlebih dulu sebelum digunakan serta boleh digunakan secara berulang kali sehinggalah mata jarum digunakan tumpul sebelum ditukar baru. Walaupun boleh dibawa balik, pelanggan tidak digalakkan melakukannya sendiri tanpa pengawasan pakar bertauliah bagi mengurangkan risiko kesihatan lain. "Selain itu, pelanggan yang tidak mampu menahan sakit apabila jarum dilayangkan pada kulit wajah akan diberikan ubat bius untuk mengurangkan rasa sakit. "Tetapi ia akan diberikan apabila pelanggan memintanya saja. Kemudian barulah proses menggelek dilakukan mengikut kesesuaian," katanya. Terapi jarum mikro ini perlu dilakukan pada waktu petang untuk mengelakkan wajah kembali terdedah kepada sinaran cahaya matahari bagi mengelakkan pembentukan melanin secara drastik. Proses rawatannya memakan masa tiga jam dan ia dimulakan dengan rawatan wajah bagi membersihkan kulit menggunakan kaedah dua kali basuhan iaitu pembersih susu dan gel, diikuti proses sentalan wajah. Kemudian barulah proses menggunakan penggelek jarum mikro dilakukan selama 20 minit. Bagi mereka yang menggunakan ubat bius, tempoh 'bertenang' selama 30 minit diberikan sebelum memulakan rawatan. Wajah akan dibahagikan kepada empat bahagian terlebih dulu iaitu pipi kiri dan kanan, dahi serta hidung. Ia dimulakan dari bahagian dagu dan digerakkan mengikut bahagian wajah yang dibahagikan sebelum ini. Tempoh untuk melakukan rawatan kali kedua terapi berkenaan juga bergantung kepada saiz jarum digunakan kerana makin panjang jarum, masa penyembuhan kulit juga bertambah. Untuk mendapatkan maklumat lanjut, layari www.jemarispa.weebly.com. Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/28 |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Hati To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |