Selasa, 12 Mac 2013

Harian Metro: Arena


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Gegar velodrom New Delhi

Posted:

Kuala Lumpur: Skuad trek negara mempamerkan kemampuan sebagai jaguh Asia apabila menggegar di hari terakhir Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) di India semalam dengan meraih lima pingat emas.

Saingan di Velodrom Kompleks Sukan Indira Gandhi di New Delhi itu menyaksikan dua pelumba elit negara, Josiah Ng mencuri tumpuan dengan memenangi acara keirin dan 200 meter pecut lelaki manakala Fatehah memenangi acara 200 meter pecut wanita. Turut perlu diberi perhatian adalah pelumba berusia 16 tahun yang memenangi acara satu kilometer ujian masa sebelum ini, Muhammad Firdaus Mohd Zonis yang menguasai acara pecut 200 meter dan keirin remaja sekali gus mengumpul tiga pingat emas.


Pada aksi terakhir semalam, tuaian emas negara dimulakan Fatehah yang menyambut hari lahirnya ke-24 hari ini apabila memenangi pecut 200 meter menewaskan pelumba China, Shi Jingjing pada aksi yang membabitkan tiga perlumbaan namun terpaksa berpuas hati apabila sekadar memenangi perak dalam final keirin.

Namun Josiah sebaliknya mengungguli acara keirin sekali gus mempertahankan pingat emas dimenanginya di Kuala Lumpur pada tahun lalu selepas terlebih dulu turun dalam acara akhir 200 meter pecut lelaki untuk menafikan kelibat pelumba Iran, Hassanali Varposhti dalam dua perlumbaan saja.


"Ini sangat indah. Sudah lama saya menanti detik ini," kata Josiah yang gembira dengan kejayaan mengungguli dua acara utama itu.


Kejayaan terbabit turut menggembirakan pengurus pasukan negara, Ibrahim Mustafa yang puas hati dengan prestasi dipamer pelumba negara sama ada elit atau pelapis.

Foto

JOSIAH (tengah) bersama pingat emas acara keirin.

"Tujuh pingat emas diraih sesuatu yang di luar jangkaan. Kita meraih dua pingat emas pada hari pertama acara trek dan lima pingat emas pada hari terakhir. Namun yang pasti ia amat membanggakan," katanya.


Mengenai prestasi skuad elit negara yang meraih tiga pingat emas, Ibrahim berkata, mereka mencapai tahap diharapkan selaku pelumba yang mampu beraksi di pentas lebih tinggi.

"Josiah dan Fatehah menepati tahap sebenar, Azizulhasni (Awang) mungkin berdepan masalah yang membataskan prestasinya di ACC," katanya.


Saingan acara trek ditutup semalam dengan tumpuan kini beralih kepada pelumba acara lebuh raya negara yang menyertai beberapa acara dipertandingkan.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/12

MSN tak keluar larangan

Posted:

Kuala Lumpur: Majlis Sukan Negara (MSN) belum mengeluarkan larangan untuk mana-mana atlet negara menyertai sebarang kejohanan yang berlangsung di Filipina.

Perkara terbabit mendapat perhatian MSN susulan tindakan Persatuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM) yang membuat keputusan menarik diri daripada menyertai Kejohanan Remaja Asia yang berlangsung di negara itu dengan alasan keselamatan berikutan pencerobohan pengganas Sulu dari Filipina ke Sabah yang belum menemui jalan penyelesaiannya.


Malah terdapat laporan media asing mendakwa tindakan menarik diri terbabit adalah atas arahan MSN tapi Ketua Pengarah, Datuk Seri Zolkples Embong (gambar) menafikannya dan menjelaskan tidak pernah mengeluarkan arahan terbabit.

"Kami tidak boleh membuat keputusan berdasarkan persepsi semata-mata kerana ia turut membabitkan hubungan dua negara. Malah setahu saya, hingga kini Filipina tidak pernah mengeluarkan kenyataan rakyat Malaysia tidak boleh bertandang ke negara itu," katanya. Zolkples turut menjelaskan keputusan dan tindakan seharusnya dirujuk kepada Wisma Putra bagi mendapatkan kepastian sewajarnya.


Selain Kejohanan Remaja Asia, atlet karate negara turut dijadual mengambil bahagian pada Kejohanan Karate Asia Tenggara edisi kedua yang turut berlangsung di negara itu pada bulan depan.


Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Pengarah Cawangan Pelapis MSN Jefri Ngadirin berkata, beliau sudah mendapatkan maklum balas Wisma Putra semalam yang mengesahkan masih belum terdapat sebarang sekatan perjalanan dan sebagainya membabitkan kedua-dua negara.

"Malah saya difahamkan tiada situasi berbentuk sentimen berlaku di negara itu namun saya akan menulis surat kepada kedutaan Malaysia di sana bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai keadaan sebenar sebelum menghantar atlet negara. Ingin saya tegaskan penghantaran atlet karate bergantung kepada situasi semasa," katanya.


Difahamkan Persekutuan Karate Malaysia bercadang menghantar kira-kira 40 atlet bagi menyertai kejohanan dijadual berlangsung dari 17 hingga 21 April di bandar Clark yang membabitkan kategori elit, pelapis dan peserta berusia 14 hingga 16 tahun menyertai kategori kadet.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/12
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved