Kejayaan membanggakan diraih program pertarungan band popular, Versus tahun lalu membuktikan rancangan ini mempunyai matlamat cukup kuat dalam memartabatkan band-band tempatan.
Membuka dimensi baru dalam penerbitan program realiti, Versus meraih pengikut tersendiri tidak terkecuali mencetus fenomena baru dalam industri muzik tempatan khasnya.
Bukan bertanding semata-mata, namun intepretasi kreativiti yang disalurkan lima band iaitu Hujan, Black & Parallax, Sofarz, Sixth Sense dan Go Gerila! turut mengubah skeptikal penonton terhadap kemampuan mereka.
Meneruskan kehangatan program yang turut menggondol trofi Fresh TV Series Award pada Shout Awards 2012, Versus kini kembali dengan barisan band lebih mantap serta menjanjikan kekuatan tersendiri.
Lima band berkenaan termasuklah pemenang anugerah, Estranged, Kristal, Manifesto serta dua band 'underground', Oh Chenta Ku dan Kyoto Protocol.
Yang pasti, kreativiti masih lagi menjadi sandaran utama pada musim ini dan pemilihan lima band ini dilihat cukup bertepatan serta mampu memenuhi kriteria berkenaan.
Bercakap mengenai pemilihan musim ini, Pengurus Besar TV9, Zurina Othman berkata, biarpun ada beberapa band mungkin masih asing dalam kalangan penonton, itu bukan isu utama.
"Selepas kejayaan serta bagaimana berkesannya program ini pada musim lalu, kami menerima banyak penyertaan daripada band-band popular tidak terkecuali band kecil untuk mencuba platform ini.
"Bagaimanapun, komitmen juga menjadi syarat utama bertanding dalam Versus kerana mereka akan 'diikat' selama sembilan minggu menyebabkan ada yang terpaksa melupakan hasrat untuk masuk," katanya.
Melihat kepada potensi untuk diubah, kriteria berkenaan juga meletakkan lima band ini dalam senarai peserta tahun ini agar matlamat memaksimumkan tahap kreativiti itu tercapai.
"Selama ini, pastinya mereka sudah selesa berkarya mengikut konsep sendiri namun Versus bakal mengubah semua itu kerana tugasan diberi sangat mencabar.
"Bukan bermaksud kami mahu mengubah mereka seratus-peratus namun paling penting mereka tunjukkan sesuatu pembaharuan dan kelainan yang penonton tidak pernah terfikir mereka mampu lakukan," katanya.
Masih mengekalkan format pertandingan iaitu 50 peratus markah diberikan juri tetap dan 50 peratus lagi berdasarkan undian penonton, musim ini juga menyaksikan Jennifer Thompson dan Loque dipertanggungjawabkan menduduki kerusi juri tetap.
Lebih teruja dan tidak sabar menantikan kemampuan kreativiti yang bakal ditunjukkan setiap band, menurut Jennifer, pengalaman tahun lalu benar-benar membuka matanya agar tidak skeptikal dengan kebolehan mereka.
"Pada tahap ini, populariti bukan jadi persoalan utama kerana mengikut apa yang terjadi tahun lalu, pola undian berubah mendadak selepas bersiaran tiga minggu kerana penonton mula faham dengan konsep Versus.
"Saya pada mulanya juga agak skeptikal mengenai kemampuan lima band berkenaan tetapi melihat kejutan-kejutan yang mereka tampilkan setiap minggu, cukup mengubah persepsi saya," katanya ditemui pada sidang media pelancaran Versus 2, Isnin lalu.
Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi, Rangkaian Televisyen, Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar; Pengurus Besar Kumpulan TV3 & TV9, Sherina Nordin; Pengurus Besar Rangkai Radio Media Prima, Anida Mohd Tahrim dan Ketua Pegawai Operasi, Rangkaian Radio Media Prima, Seelan Paul.
Tahun lalu, kumpulan Hujan berjaya menggondol gelaran juara, sekali gus membawa pulang wang tunai berjumlah RM200,000.
Selain mengekalkan format serta juri tetapnya, Versus 2 juga masih dihoskan Aidid Marcello serta Hunny Madu dan akan memulakan siaran episod pengenalan pada jam 9.30 malam, 5 April nanti di saluran TV9.
Episod rakaman itu akan menunjukkan setiap band mempersembahkan tugasan pertama mereka bertemakan 'Band Malaya' manakala siaran langsung mingguan pula diadakan setiap Jumaat, jam 9.30 malam bermula 12 April ini. Masih lagi bertempat di Space U8, Shah Alam, Selangor, siaran secara langsung juga boleh diikuti menerusi radio Hot FM.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/14