Harian Metro: Hati |
Posted: Pemakaian kanta lekap kini semakin diperluaskan lagi penggunaannya. Ia bukan saja dipakai pada hari biasa sebaliknya semakin digemari bakal pengantin sebagai pelengkap solekan. Namun apa yang perlu diberi perhatian adalah keserasian antara teknik solekan dengan warna kanta lekap supaya penampilan tidak terlalu ketara dan nampak segar pada hari persandingan. Bagi mempelai, tidak semua sesuai memakai kanta lekap kerana ia turut bergantung pada jenis warna anak mata serta tujuannya. Sekiranya warna anak mata terlalu gelap atau cerah, mereka boleh memilih kanta lekap bersesuaian untuk menyeimbangkan penampilan. Menurut jurusolek profesional Iwan daripada Iwan Fancy, pemilihan alat solek bersesuaian mampu menaikkan seri wajah pengantin lebih-lebih lagi bagi mereka yang memakai kanta lekap berwarna. Ini kerana bagi sesetengah individu, kanta lekap menjadi penyelamat iaitu sebagai penambah gaya. "Untuk mempelai dinasihatkan memilih warna semula jadi seperti hazel, coklat atau kelabu supaya wajah tidak terlalu berbeza dan nampak garang. Selain itu, ia memudahkan jurusolek mencari warna pembayang mata sesuai," ujarnya. TAMPIL berseri di hari bahagia. WAJAH sebelum disolek. Tanpa pemakaian kanta lekap wajah tidak bermaya dan kurang berseri. PEMAKAIAN bedak asas mampu menutup cela dan menjadikan rona kulit lebih sekata. SAPUAN pembayang mata warna gelap menyeimbangi pemakaian kanta lekap. PELENGKAP solekan dengan sapuan pemerah pipi. GINCU menjadikan bibir lebih seksi menawan.
Tambah Iwan, untuk tampil menawan pemakaian celak dan maskara seharusnya tidak diabaikan kerana ia membantu menaikkan seri wajah selain gincu merah jambu dan pengilat bibir untuk bibir yang seksi. Untuk mempelai yang inginkan kelainan, dandanan rambut sangat penting kerana ia akan membuatkan wajah tambah jelita. Jika terbiasa dengan rambut yang dilepaskan apa kata pilih sanggul tinggi bersesuaian dengan busana dipakai. Pilih perhiasan seperti anting-anting untuk kekal anggun pada hari bahagia. Panduan memilih kanta lekap Keselesaan kanta lekap berkait rapat dengan kandungan air. Lebih tinggi kandungan air, lebih nipis kanta lekap itu dan ini membuat pemakai terlupa yang dia sebenarnya sedang memakai kanta lekap Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/04 |
Posted: Selama tujuh tahun mengabdikan masa dan tenaganya berkhidmat dengan anak yatim, dia sering ditanyakan kanak-kanak mengapa mereka ditinggalkan dan tidak mendapat kasih sayang daripada ibu bapa sendiri. Lontaran soalan berkenaan membuatkan hati kecil usahawan, Dr Peggy C Wong, terusik hingga mengambil keputusan mengasaskan sebuah badan amal, Living Hope Global. Badan amal ini membantu serta memberi sokongan, kasih sayang dan harapan kepada golongan kanak-kanak kurang bernasib baik yang ditinggalkan atau diabaikan oleh ibu bapa tidak bertanggungjawab.
Beliau yang juga Pengerusi Living Hope Global berkata, kanak-kanak yang ditinggalkan ibu bapa itu berasa tertekan, sedih dan rasa terpinggir dalam masyarakat. Malah ada antara kanak-kanak yang terabai itu turut berasa malu dan enggan ke sekolah kerana tidak mempunyai wang mencukupi untuk membayar yuran, membuatkannya terus berazam membantu mereka.
"Apabila menyampaikan barang keperluan sekolah kepada kanak-kanak, mereka bukan saja akan rasa dihargai, tetapi menjadi lebih gembira dan bersemangat," katanya ketika majlis pelancaran buku hasil nukilannya, Living A Balanced Life, baru-baru ini. Majlis ringkas tetapi meriah itu turut dihadiri Pengerusi Perbadanan Nasional Bhd, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid. Antara peranan Living Hope Global juga adalah mengenal pasti keluarga miskin dan menyalurkan bantuan dalam bentuk keperluan harian seperti bahan asas makanan terdiri daripada susu, minyak, gula, garam dan makanan dalam tin. Bagi tujuan berkenaan, pihaknya turut menjejakkan kaki ke kampung pedalaman yang dihuni oleh masyarakat Orang Asli selain membantu golongan miskin yang hidup kesempitan di bandar besar. "Berdasarkan pemerhatian saya selama 10 tahun ke atas kehidupan masyarakat, keluarga dan kanak-kanak yang dibantu, saya dapati paling penting bagi setiap insan hidup bahagia adalah kehidupan yang seimbang, bukannya semata-mata mementingkan wang, harta benda dan kerjaya. "Saya berpegang kepada kepercayaan, keluarga, kewangan, kesihatan, kawan, pembawaan diri serta keseronokan. Paling utama, kita perlu mempunyai kepercayaan kerana ia memberi hala tuju dan matlamat dalam hidup. "Kita juga perlu menjaga keluarga sebaik mungkin kerana anak-anak memerlukan ibu bapa. Biar setinggi mana kejayaan yang kita capai, kalau keluarga tunggang-langgang, kita tidak akan bahagia," katanya. Peggy berpendapat, setiap orang perlu menghabiskan masa yang berkualiti dengan keluarganya selain bersikap menyayangi dan saling menghormati untuk hidup bahagia. Namun katanya, biarpun nilai kekeluargaan terletak pada kedudukan utama, kewangan tetap penting kerana tanpanya hidup akan susah serta mewujudkan permasalahan lain. "Bagi mendapat kehidupan yang seimbang, setiap orang disaran mempelbagaikan pelaburan untuk memperoleh keuntungan yang berganda. "Kesihatan juga perlu dijaga bukan setakat fizikal, malah kesihatan rohani dan emosi juga perlu diberi perhatian. Buang semua perasaan negatif kerana ia boleh menjadi racun yang merosakkan dan membuatkan hidup kita menderita," katanya. Menurut Peggy, kebahagiaan juga boleh dicapai dengan bergaul bersama rakan yang memberi aura positif dan membantu meningkatkan diri kita, bukannya mereka yang mencerca atau mempengaruhi diri kita dengan perkara yang merosakkan. Memilih rakan yang membantu kita menjadi lebih baik sememangnya amat penting, manakala rakan yang negatif dan menjatuhkan perlu ditinggalkan demi kesejahteraan hidup. Malah membawa diri sendiri dengan baik, berusaha hingga berjaya dan menjalankan tanggungjawab yang mampu memberi kesan positif kepada orang di sekeliling boleh memberi kebahagiaan kepada diri kita sendiri. "Kesimpulannya, kita perlu menikmati setiap hari sebaiknya dan menghargai kehidupan. Apabila kita bangun setiap hari tanpa penyakit kronik, ia satu anugerah tidak ternilai dan kita sepatutnya gembira dan bersyukur," katanya. Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/04 |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Hati To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |