Selasa, 23 April 2013

Harian Metro: Arena


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Arena


Gantung Raja?

Posted: 22 Apr 2013 09:43 AM PDT

Kuala Lumpur: Sama ada Datuk K Rajagobal bersalah ataupun tidak, semuanya bakal terjawab apabila Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membicarakan kes ketua jurulatih kebangsaan itu esok.

Perbicaraan kes itu menyusul selepas hampir dua minggu Rajagobal menjawab surat pertuduhan kerana didakwa melanggar Perkara 4.5.8 Kod Tatatertib FAM selepas mengkritik dasar diputuskan badan induk bolasepak tanah air itu mengenai penggunaan pemain import.


Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM (JKPT) Datuk Taufek Abd Razak, menerusi surat jawapan diterima, Rajagobal mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu dan akan membela diri pada hari perbicaraan.

"Datuk Rajagobal mengaku tidak bersalah dan kami akan mengadakan perbicaraan Rabu ini (esok). Apa saja keputusan bergantung kepada pembelaannya pada hari perbicaraan itu," katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.


Kerana kes itu kedudukan Rajagobal sebagai jurulatih skuad Harimau Malaya kini terancam kerana jika bersalah, beliau boleh digantung enam bulan dan denda RM8,000 mengikut Kesalahan 18.3 Kod Tatatertib FAM.


Semuanya berpunca daripada kenyataannya mengenai kehadiran pemain import dalam Liga Malaysia (Liga-M) yang menyebabkan negara ketandusan penyerang semula jadi.

Kenyataan pengendali berusia 56 tahun itu dibuat pada sidang media selepas beliau menyaksikan anak buahnya tumpas di tangan Arab Saudi pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam, 17 Mac lalu.


Taufek berkata, selain kes Rajagobal, pihaknya juga akan membicarakan pendakwaan terhadap dua pemain Selangor, Mohd Afiq Azmi dan Abdul Shukor Jusoh yang terbabit dengan insiden pergaduhan dalam perlawanan pusingan pertama Piala FA menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM), 25 Januari lalu.

"Keputusan mengenai dua pemain Selangor ini juga dibuat pada Rabu ini, pendakwaan ke atas Afiq dan Shukor adalah berdasarkan insiden dalam perlawanan dan bukannya selepas tamat perlawanan itu," katanya.


Sebelum ini JKPT sudah mengenakan hukuman penggantungan dua hingga empat perlawanan kepada pemain ATM iaitu Mohd Fitri Omar, G Jeevanthan, R Surendran dan Mohd Shukor Adan kerana terbabit dengan pergaduhan itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/23

Juve hampiri juara Serie A

Posted: 22 Apr 2013 09:38 AM PDT

Turin: Juventus menghampiri kejuaraan Itali ke-29 selepas menewaskan AC Milan, 1-0 hasil sepakan penalti Arturo Vidal pada babak kedua, awal pagi semalam.

Juve memerlukan empat mata daripada lima perlawanan terakhir selepas pencabar terdekat Napoli, ketinggalan 11 mata, menundukkan Cagliari 3-2 di Stadio San Paolo.


Milan kini perlu memikirkan ancaman Fiorentina yang mengalahkan Torino, 4-3 dan kini hanya ketinggalan satu mata di tangga keempat.

Fiorentina kini memiliki kelebihan lima mata ke atas Inter Milan, yang berjaya meraih semula sentuhan kemenangan apabila menewaskan Parma, 1-0 menerusi jaringan penyerang veteran Tommaso Rocchi pada minit ke-82 sekali gus mengendurkan sedikit tekanan buat jurulatih Andrea Stramaccioni.


Babak pertama yang hambar di Turin menyaksikan hanya satu peluang dicipta tapi penjaga gol Milan, Christian Abbiati hebat menyelamatkan sepakan percuma Andrea Pirlo.


Abbiati mengalami kecederaan berikutan tindakan akrobatik itu dan digantikan Marco Amelia.

Tuan rumah mendahului pada minit ke-58 apabila Kwadwo Asamoah dijatuhkan Amelia. Vidal tampil dan menyempurnakan penalti menarik ke penjuru kanan gol.


Jurulatih Juve Antonio Conte gembira dengan kemenangan itu namun enggan mengulas mengenai kejuaraan.

"Milan adalah Milan, mereka sering bermain untuk menang," katanya. "Ia tidak mudah buat kami, jika tumpas, Napoli akan merapati dan kami pasti tertekan." Milan kini tidak menang dalam tiga perlawanan namun jurulatih Massimiliano Allegri percaya mereka akan menamatkan musim dengan bergaya.


"Kami kalah tipis kepada Juventus kerana kami tidak banyak mencipta peluang," kata Allegri. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/23
Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved