ENAM minggu sebelum Britain menganjurkan temasya sukan terbesar dunia, jaguh lumba basikal, Sir Chris Hoy berdepan ujian paling besar buatnya.
Dalam tempoh 24 jam, Hoy meninggalkan kem latihan Olimpik di Jerman dengan kecederaan belakang sebelum mendapati bapanya dikesan mengalami kanser prostat.
Pada pagi esoknya dia dipanggil menghadiri mesyuarat dengan ketua jurulatih British Cycling, Shane Sutton dan pengarah prestasi Dave Brailsford, yang memberitahu Hoy diketepikan bagi memberi laluan kepada Jason Kenny untuk acara pecut individu di Sukan Olimpik London.
Orang biasa pastinya mengalah apabila berdepan dugaan seperti ini.
Begitupun Hoy enggan membiarkan kesakitan atau regim latihan yang sering membuatnya hampir pitam atau muntah, memusnahkannya.
Jaguh dari Scotland itu terus bersemangat untuk berjuang dan akhirnya menjadi Olimpian terhebat Britain sepanjang zaman.
Dua pingat emas dibawa pulang dari velodrom London, dalam acara pecut mahupun keirin dan berjaya mengatasi rekod yang sebelum ini menjadi milik Sir Steve Redgrave.
Begitupun sebelum mendaki podium sambil mengalirkan air mata selepas kejayaan acara keirin yang menyaksikannya mengumpul pingat emas Olimpik keenam, Hoy hampir berputus asa.
Terganggu dengan kecederaan belakang, terkejut dengan keadaan kesihatan bapanya dan kecewa dengan keputusan pemilihan Sutton, yang menghalangnya daripada mempertahankan gelaran hatriknya di Beijing dan kini semuanya kelihatan luar biasa apabila meninggalkan Olimpik dengan kejayaan.
Bagaimanapun, apa yang berlaku di Cottbus ketika British Cycling memburu kilauan emas adalah sebaliknya.
"Saya menempuhi kem yang teruk, bergelut sepanjang masa kerana belakang saya terlalu sakit dan setiap kayuhan membuat saya menderita," kata Hoy menerusi autobiografinya.
"Saya merancang untuk pulang awal. Saya menempah tiket sendiri tapi apabila tiba di lapangan terbang Berlin, nampaknya saya membuat kesilapan ketika membuat tempahan tiket.
"Tiada penerbangan ke Manchester, jadi saya terbang ke tempat terdekat iaitu Glasgow. Isteri saya, Sarra memandu tiga setengah jam untuk mengambil saya dan kemudian memandu tiga setengah jam lagi ke rumah.
"Sarra, seperti biasa tidak pernah merungut. Saya rasa begitu kecewa ketika itu tetapi keadaan menjadi semakin buruk.
"Pada jam 7 petang keesokan harinya, bapa saya menelefon dan memberitahu dia ada berita untuk saya. Dengan tenang, beliau memberitahu bahawa beliau mengidap kanser prostat. Saya bagaikan dipanah halilintar.
"Keesokan paginya saya bermesyuarat dengan Dave Brailsford dan Shane, dan saya tidak memberitahu kedua-dua mereka mengenai bapa saya. Saya tidak pasti mengapa saya dipanggil. Saya tidak tahu sama ada ia membabitkan pemilihan Olimpik atau perkara lain. Saya keliru.
"Saya duduk dan Shane terus memberitahu mereka mahu meletakkan Jason dalam acara pecut dan juga acara keirin.
"Mungkin mereka terkejut kerana saya tidak melawan, saya pasti mungkin itu yang mereka jangkakan dan itulah sebabnya mengapa Shane menggunakan nada yang lebih tenang.
"Dia memanggil saya kapten persatuan debat sekolah kerana biasanya saya sering bersuara, seratus sebab mengapa saya patut berada dalam pasukan tetapi saya tidak mempunyai naluri untuk bergaduh kerana menganggap semua itu tidak penting.
"Mujurlah selepas beberapa pemeriksaan, saya menerima perkembangan positif daripada bapa saya. Doktor kelihatan optimis ia boleh dirawat tetapi berita yang melegakan datang kemudian. Pada ketika itu ia cukup mencemaskan ahli keluarga saya." Keupayaan Hoy untuk bangkit dan meraih kejayaan terakhir di London 2012 mengekalkan aura positif dalam skuad berbasikal Britain apabila Bradley Wiggins mencatat sejarah dengan menjuarai Tour de France.
Malah Wiggins turut menjadi pilihan untuk menjadi atlet berbasikal ketiga menjulang gelaran Personaliti Sukan Tahunan 2012 selepas Hoy memenanginya pada 2008 dan Mark Cavendish, tahun lalu.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/09
0 ulasan:
Catat Ulasan