Jumaat, 28 Disember 2012

Harian Metro: Hati


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Hati


Gaya mewah, elegan

Posted: 28 Dec 2012 08:22 AM PST

KEINDAHAN persalinan yang disalut cantik pada tubuh wanita bukan saja mempamerkan daya kreativiti pereka, tetapi keberanian dalam melahirkan idea. Ilham ini kemudiannya digarap cantik pada helaian fabrik menjadi busana yang elegan sekali gus menonjolkan keunikan tersendiri.

Terjemahan daya imaginasi pereka dapat dilihat apabila kebanyakan mereka menggunakan flora dan fauna atau hidupan sebagai latar rekaan.

Bagi pereka muda, Rico Rinaldi, inspirasi daripada unsur alam mampu memperluaskan idea dalam rekaan kerana banyak perkara yang boleh digunakan seperti warna, motif, corak dan lakaran berbeza.

Jika sebelum ini, dia mengambil konsep daripada budaya masyarakat Sarawak, untuk himpunan musim panas dan bunga 2013, Rico mengambil inspirasi daripada keunikan kehidupan ular kerana ingin menyampaikan mesej tersendiri dengan menonjolkan nilai estetika penuh terperinci menerusi corak reptilia paling berbisa di dunia itu.


Koleksi Ratu Berbisa ini bakal menjadi salah satu karya Rico ditujukan kepada penggemar fesyen tempatan mahupun dunia.


Bagi menyerlahkan lagi pemakaian, setiap helaian dilakarkan pada fabrik khas yang direka untuk menonjolkan kesempurnaan. Teknik percetakan silkscreen dan digital digunakan pada fabrik berkualiti seperti sifon, bulu dan kapas.

Menurut Rico, pemilihan fabrik bermutu bukan saja mampu menonjolkan gaya
si pemakai, malah memberikan keanggunan tatkala disalut pada tubuh wanita.

"Saya amat mementingkan kualiti dalam pemilihan fabrik kerana setiap helaian akan memberikan persepsi berbeza pada wanita," katanya.

Tampil dengan 10 rekaan gaun labuh, blaus dan skirt, jaket serta gaun ala kaftan dipadankan dengan perincian manik seperti batu halus dan kristal, ia menjadikan rekaannya lebih kaya dan mewah. Malah, Rico berani menggabungkan unsur tradisi dan moden menjadikan busana tampil kontemporari. Ini dapat dilihat pada jaket dipadankan skirt labuh begitu juga kaftan pendek yang memberikan imej berbeza.

Selain itu, anak muda ini juga bijak memilih rona dengan mengetengahkan coklat, kelabu, putih dan hitam dipadankan dengan warna terang seperti merah, kuning, biru, oren dan hijau bagi memberi perlambangan dramatik dan berbeza.

"Warna pastel memberikan kesan lebih menyerlah serta tampil mewah bagi wanita yang menyukainya manakala rona terang serta ceria sesuai digayakan ke pejabat atau majlis kasual. Rekaan Ratu Berbisa ditujukan kepada mereka yang bukan saja ingin tampil dengan gaya mewah, tetapi elegan dan berada dalam kelas tersendiri," ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/28



Sentuhan tiga beradik

Posted: 28 Dec 2012 07:30 AM PST

TERBIASA dengan koleksi bertemakan gaya tradisional dan moden, jenama Mimpikita memberanikan diri dengan mengetengahkan sentuhan edge berkonsepkan sofistikated mewah pada majlis pelancaran yang diadakan di butiknya, baru-baru ini.

Hadir dengan busana elegan berstruktur bersama lima gaun eksklusif hasil sentuhan tiga beradik, Nurul Afidah, Amirah Hanis dan Syahira Zulkifli, ternyata semua persalinan digayakan model dan jelitawan selebriti mampu menarik perhatian wanita.

Istimewanya apabila setiap rekaan ditampilkan dengan potongan gaya bahu berstruktur, blaus cotout (blaus tanpa lengan) dan bermain dengan warna pilihan gelap seperti hitam, coklat, kelabu dan perang bersama gabungan rona ceria seperti kuning, biru, merah jambu dan ungu.

Padanan jaket, blaus, gaun dan skirt labuh menggunakan fabrik mewah seperti renda, sifon, sutera dan crepe membuatkan setiap helaian terletak cantik pada tubuh si pemakai. Ditambah perincian manik dan batu pertama, ia ternyata menampilkan sisi berbeza.


Menurut Nurul Afidah, mereka sengaja memilih untuk memperkenalkan gaya lebih elegan dan sofistikated menerusi potongan memikat yang sesuai digayakan semua peringkat usia. Lebih penting, ia mampu dipakai ke majlis rasmi atau kasual.


"Sebelum ini kebanyakan koleksi berkonsepkan moden kontemporari dengan sedikit sentuhan tradisi. Tetapi menyedari wanita kini lebih bijak bergaya, pemilihan tema edge diharap memberikan pelbagai pilihan kepada wanita," katanya.

Pada masa sama, turut diadakan pelancaran label terbaru pakaian kanak-kanak Kitakids di bawah Mimpikita yang ditujukan kepada kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia dua hingga lima tahun. Himpunan sedia dipakai berkonsepkan ceria menampilkan gaun comel, seluar, blaus, skirt dan kemeja-T yang memberi pelbagai pilihan kepada si comel menggayakannya. Ia sesuai dipakai ketika menghadiri majlis rasmi, tradisional atau kasual.

Koleksi ini boleh didapati di butik Mimpikita, Jalan Telawi Bangsar Kuala Lumpur atau menerusi www.mimpikita.com.my, www.fashionvalet.com dan www.zalora.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/28



Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved