Jumaat, 28 Disember 2012

Harian Metro: Rap


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Harian Metro: Rap


Gegar bandar raya bersejarah

Posted: 27 Dec 2012 06:10 AM PST

ACARA kemuncaknya hanya tinggal 10 hari saja lagi, tetapi bahang kehangatan Anugerah Juara Lagu 27 (AJL27) sudah cukup membuat peminat jadi teruja sehingga ada yang jatuh pengsan!

Insiden terbabit terlihat beberapa minit selepas finalis AJL27 tiba dari Kuala lumpur untuk menjayakan Jelajah AJL27 bertemakan Rasai kehangatan Ekspresi Seni di Kompleks Melaka Mall, Ayer Keroh, Melaka, petang Ahad lalu.

Difahamkan, peminat berkenaan terpaksa diberi bantuan kecemasan dengan alat pernafasan oleh kakitangan paramedik yang ada. Ia dikatakan berpunca daripada terlalu ramai peminat yang datang dan mengerumuni ruang depan pentas.

Semuanya gara-gara ribuan penonton mahu melihat persembahan artis finalis AJL27 seperti Stacy, Black & Rapper Jambang (RJ), Aweera Mojo, One Nation Emcees (ONE) & Jimmy Palikat, Azlan & Typewriter, Amir Jahari dan Hazama.


Mimie ONE ketika ditemui Rap terkejut apabila mendengar berita ada peminat yang pengsan pada petang itu.


"Panik sekejap kami dibuatnya, maklum sajalah keadaan ini jarang berlaku dalam mana-mana konsert promosi jelajah hingga ada peminat yang pengsan. Namun syukurlah keadaan kembali pulih dan konsert tetap diadakan seperti mana yang dirancangkan.

"Keadaan ini membuktikan AJL memang gah dan ia acara yang paling ditunggu-tunggu peminat hiburan. Memandangkan hanya satu program promosi jelajah diadakan, tidak hairanlah ramai peminat di Melaka yang turun pada hari ini," katanya.

Sebelum itu, artis yang terbabit ke Melaka diarak mengelilingi bandar Ayer Keroh bersama wakil media dan kru AJL27 dengan bas klasik dua tingkat yang tidak berbumbung.

Masing-masing gembira kerana ia peluang untuk mengambil angin di sekitar bandar itu memandangkan sudah lama tidak berkunjung ke Melaka.

Bagi Amir Jahari, selaku finalis yang pertama kali bertanding untuk AJL, dia sungguh terharu melihat ribuan peminat datang dengan besar hati.

"Pertamanya, saya bersyukur kerana pihak Media Prima Berhad sudi mengundang saya bersama rakan artis untuk datang ke Melaka. Memang sambutan sungguh hangat di sini dan ternyata orang Melaka sangat 'sporting'.

"Bagi saya, promosi jelajah sebegini adalah cara terbaik bagi TV3 membawa finalis AJL27 bertemu peminat masing-masing," kata Amir yang juga artis pertama yang membuka tirai pertandingan jelajah itu dengan lagu ciptaannya, Tanpamu.

Bagi Black pula, dia sungguh seronok dapat ke Melaka lagi dan kali ini bergandingan bersama RJ untuk lagu Teman Pengganti.

"Sambutan sungguh hebat di sini. Apabila datang ke Melaka saya terasa lain mungkin ia masih ada aura bandar raya bersejarah. Bagi saya sejarah Melaka juga ada kaitan dengan sejarah seni di negara kita.

"Apatah lagi ini kali pertama kami merasa dibawa menaiki bas dua tingkat untuk mengambil angin dan sampai ke lokasi konsert, saya rasa agenda yang disusun cukup unik.

"Apa yang penting, kami berkongsi pengalaman baru bersama peminat yang tidak henti-henti mahu bergambar dan menandatangani autograf. Saya rasa empat jam macam pantas dan tidak cukup!" ujarnya.

Bagi Jimmy Palikat yang bergabung dengan ONE, dia sangat terharu dapat menyampaikan lagu Anak Kampung, Sayang Kinabalu, Cek Mek Molek & Goyang Inul.

"Sejak menjadi artis, inilah kali pertama saya menjayakan konsert jelajah AJL," kata Jimmy.

Hazama pula antara artis paling sibuk melayan kerenah peminat sebelum mendendangkan lagu Simetri dan Majnun.

Rakannya, Aweera Mojo, tampil menghiburkan peminat dengan lagu Gemuruh dan Andai Ku Bercinta Lagi.

"Saya bangga kerana pencapaian Mojo memberangsangkan selepas ditubuhkan setahun lalu. Saya akui masih mentah dan banyak perlu dipelajari kerana nama Mojo masih cukup gah seperti mana artis 'senior' lain.

"Peluang berada dalam jelajah AJL27 saya manfaatkan dengan sebaik-sebaiknya. Sekalipun perasaan gemuruh ada, saya sangat teruja untuk bersaing bersama 11 finalis lain pada pada 6 Januari depan. Saya harap pertaruhan Mojo dengan muzik 'synth-rock' dapat diterima peminat," katanya.

Penampilan Stacy antara yang menarik perhatian peminat remaja. Beberapa peminat tidak melepaskan peluang menari bersama artis terkenal dengan tarian lincah itu sewaktu dia menyampaikan lagu Pelangi Senja dan Kasanova.

Petang itu tubuh Azlan nyata dibasahi peluh gara-gara melayan peminat. Bagaimanapun, dia tidak kurang hebatnya melontarkan vokalnya menerusi lagu Tanda Tanya dan Idola.

"Selalunya saya muncul sebagai artis jemputan dalam AJL. Sekarang saya dan Typewriter pula akan bersaing dan sudah tentu kami mahu memberi persembahan terbaik.

"Latihan rapi akan dibuat beberapa hari sebelum final. Kami masih memikirkan cara terbaik menonjolkan konsep persembahan dengan 'props' yang sesuai.

"Apapun, sasaran utama kami adalah menonjolkan genre rock kami. Saya gembira kerana dibantu barisan pemuzik yang matang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/27



Uchop bawa keluarga bercuti

Posted: 27 Dec 2012 06:00 AM PST

"ALHAMDULILLAH dengan wang RM100,000 yang saya peroleh, insya-Allah jika tiada halangan saya akan terus mempromosikan lagu Jujurlah Padanya di samping persiapan album penuh yang akan mengenengahkan konsep rock moden mengikut cara sendiri.

"Saya juga masih aktif dengan kumpulan sendiri dan sentiasa akan bersama-sama mereka, soal tawaran persembahan terpulang pada penganjur jika mereka mahukan saya solo atau pun berkumpulan, saya bersedia pada bila-bila masa," katanya Uchop selepas diumumkan juara Vokal Bukan Sekadar Rupa 2, kelmarin.

Selain itu, Uchop juga menyatakan akan terus menggunakan nama 'Uchop' kerana baginya nama itu cukup memberi makna besar dengan terbuktinya kemenangan yang diraih pada malam itu.

"Bagi saya nama Uchop cukup istimewa dan akan terus mengekalkan nama ini sampai bila-bila. Pastinya peminat akan lebih mengenali nama ini selepas saya menyertai Vokal 2.


"Kehadiran saya dalam bidang seni dengan gaya rock tersendiri sudah cukup untuk membuktikan kemampuan diri tanpa perlu menukar nama yang mungkin kelihatan tidak komersial," kata pemilik nama Mohamad Yusof Ahmad ini.


Malah dia juga berhasrat membawa ahli keluarga bercuti menggunakan wang yang dimenangi.

Uchop mengakui gembira dengan kemenangan yang diraih dan berharap kemunculan single Jujurlah Padanya akan memberi laluan untuknya mencipta nama sebagai seorang penyanyi selepas ini. Menurutnya, walaupun bakal bergerak solo, dia tetap setia bersama kumpulannya, Avitydy.

Teka-teki mengenai juara Vokal musim ke-2 terjawab apabila ia berpihak kepada jejaka berasal dari Kampung Pandan, Kuala Lumpur, yang berusia 28 ini dengan memberikan saingan cukup sengit kepada peserta dari Tamparuli, Sabah, Marllenney Fane JL Paul atau Mar, 25.

Acara yang bersiaran langsung dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral Shah Alam malam Rabu lalu menyaksikan Uchop mengatasi peratusan undian sebanyak 72 peratus mengalahkan Mar yang hanya 59 peratus undian.

Uchop yang membawa pulang wang tunai bernilai RM100,000 berserta trofi dan hadiah iringan mempertaruhkan lagu Dipenjara Janji dan medley bersama lagu Opera Hidup nyanyian asal Awie.

Pertandingan yang mempertaruhkan tiga segmen itu turut mempersembahkan Uchop menyampaikan lagu baru ciptaan Yuzai berjudul Jujurlah Padanya selain pusingan 'battle', Uchop memilih lagu Bujang Senang.

Sementara itu, Mar pula mempertaruhkan lagu Semua Isi Hatimu dan medley lagu Sesuatu Janji manakala lagu baru berjudul Maafkanlah Cinta ciptaan Ajai dan pusingan 'battle', Mar memilih lagu Inggeris iaitu Stand Up For Love.

Penonton turut dihiburkan dengan persembahan daripada Zamani, Saleem, One Nation Emcees dan juri-juri Vokal 2 seperti Ziana Zain, Hattan, Mas Idayu dan Azmeer.

Bagi Mar pula, kemenangan RM30,000 itu akan digunakan untuk memperbaiki rumah keluarga di Sabah manakala selebihnya akan disimpan untuk kegunaan pada masa depan.

"Selepas ini saya akan pulang ke Sabah dan meneruskan rutin harian seperti biasa di sana. Untuk waktu ini rasanya biarlah saya mempromosikan single Maafkanlah Cinta di Sabah dulu, pastinya peminat di sana sedang menantikan kehadiran saya.

"Jujur dikatakan sebenarnya saya tidak terfikir akan bertahan dan terus mara sehingga ke peringkat akhir, justeru perancangan untuk menetap terus di Kuala Lumpur belum ada. Namun jika jemputan nyanyian di sini banyak, mungkin saya akan mempertimbangkan untuk tinggal di Kuala Lumpur saja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/12/27



Kredit: www.hmetro.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Harian Metro

Copyright 2010 All Rights Reserved